Saturday, October 2, 2010

Untuk apa kita sembahyang?

Sebuah hadis menyebut, 'Sembahyang kita belum dapat menjamin masuk syurga kecuali setelah mendapat rahmat Allah'. Maksunya, sembahyang kita bukan lesen yang menjamin kita masuk syurga, kecuali setelah mendapat rahmat Allah dari sembahyang kita. Sembahyang yang bagaimana yang akan mendapat rahmat Allah?
Sebuah hadis lain, daripada Jabir, katanya, dia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, 'Bukan amal seseorang yang memasukkannya ke syurga atau melepaskannya dari neraka, termasuk juga aku, tetapi ialah semata-mata rahmat Allah belaka'. (Hadis riwayat Muslim)
Hadis ini pula menyebut amal. Amal yang ditetapkan untuk seseorang muslim menunaikannya adalah amalan yang terkandung dalam rukun Islam, iaitu sembahyang, puasa, zakat dan haji. Seseorang muslim mesti menunaikannya kecuali haji, hanya bagi mereka yang mampu.
Namun, setelah kita mematuhi perintah supaya menunaikan kesemua amalan tersebut, belum lagi menjamin seseorang akan masuk syurga atau melepaskannya dari neraka. Rahmat Allah sahaja yang akan menentukannya. Jadi untuk apa pula amal yang kita lakukan?
Kedua-dua hadis ini menggambarkan dengan jelas bahawa hanya rahmat Allah sahaja yang akan menjamin kita masuk syurga atau melepaskan dari neraka.
Dengan kata lain,kita harus mendapatkan rahmat Allah atas sembahyang kita. Begitu juga dengan amalan-amalan yang kita tunaikan. Kerana, hadis-hadis di atas begitu jelas menyebut, hanya rahmat Allah sahaja yang menjamin masuk syurga. Tanpa rahmatNya, belum tentu kita termasuk dalam golongan mereka yang akan masuk syurga. Jadi, untuk apa sembahyang dan amalan yang kita lakukan?
Prof. Dato' Dr. Haron Din. dalam bukunya bertajuk Manusia dan Islam, ada menyentuh persoalan tentang Manusia dan Peribadatan. Antara tulisannya, beliau menyebut, 'Setelah kita mempunyai keimanan dan membentuk sikap-sikap hidup berdasarkan rukun-rukun keimanan tersebut atau setelah kita mempunyai gambaran mengenai hidup berdasarkan rukun-rukun itu, apakah yang seharusnya kita lakukan selepas itu?'.
Petikan ini secara tegas menyatakan, ada sesuatu tindakan lain yang mesti kita lakukan selepas kita menerima rukun Islam dan rukun Iman. Dengan melaksanakan segala perintah yang terkandung di dalam kedua-dua rukun itu sahaja, masih belum memadai untuk menjamin kita masuk syurga, kecuali setelah kita melakukan amalan-amalan yang berkaitan selepas itu. Apakah pula amalan-amalan lain yang dimaksudkan bagi mendapatkan rahmat Allah s.w.t. yang kelak akan menjamin kita masuk syurga dan melepaskan dari neraka?
Prof. juga mencatatkan dalam buku yang sama, 'Kita tahu bahawa keimanan tidak sempurna kalau tidak diikuti oleh amalan, tetapi apakah yang hendak kita amalkan dan bagaimana caranya?'.
Amalan-amalan yang dimaksudkan dalam petikan ini bukanlah amalan melakukan ibadan khusus seperti sembahyang dan lain-lain, tetapi adalah amalan selepas itu. Apa yang patut kita lakukan sepanjang hidup kita selepas sembahyang, agar dengannya kelak sembahyang kita diberi rahmatNya.
Sembahyang umpamanya, seharusnya dapat membentuk sikap hidup kita. Sikap kita ini kelak yang memandu kita bagaimana cara menjalani hidup di atas muka bumi ini. Jika ini yang kita amalkan, maka dikatakan sembahyang kita sudah mendidik dan mentarbiah kita. Semoga kita akan mendapat rahmatNya. Jika tidak, maka sembahyang kita hanyalah sebagai menunaikan tuntutan Allah semata-mata, tidak beroleh rahmatNya.
Begitu juga dengan ibadah-ibadah khusus yang selebihnya. Ibadah-ibadah itu seharusnya dapat membentuk sikap, yang kelak akan memandu kita bagaimana cara menjalani hidup ini.
Jadi rahmat Allah akan turun selepas kita melakukan sesuatu selepas kita menunaikan ibadah-ibadah yang ditetapkan. Sempurna iman setelah kita melakukan amalan-amalan yang berkait dengan ibadah-ibadah yang terkandung dalam rukun Islam yang lima itu.
'... tetapi apakah yang hendak kita amalkan dan bagaimana caranya'. (Manusia dan Islam, 03)

Wallahu-aa'lam.