28 November 2014

Worldview Hidup Islam

Islam adalah cara hidup yang semulajadi bagi semua ciptaan, khususnya manusia. Untuk mengenali Islam adalah dengan kembali kepada kecenderungan semulajadi. Untuk memahami Islam dengan betul adalah dengan memahami pengertian dan tujuan hidup yang sebenar. Hidup dalam Islam adalah yang berlandaskan nilai-nilai semulajadi, dan memenuhi keperluan dan kewajipan seseorang, secara semulajadi.
Ini adalah untuk semua orang, Islam atau bukan Islam, yang ingin untuk memahami Islam dan asas-asas pembinaannya. Ia memerlukan anda untuk memikirkan realitinya secara keseluruhan, dan bertanya, soalan-soalan itu seperti: Siapakah saya? Dari manakah saya datang? Apa yang saya lakukan di sini? Ke manakah kita semua pergi dari sini?
Ia memerlukan anda berfikir tentang diri anda dan lingkungan kehidupan anda - waktu santai anda, hubungan keluarga, kejiranan anda, masyarakat, alam sekitar; dan dengan orang-orang yang mempunyai perbezaan worldview, serta idea-idea yang global, dan seterusnya.
Manusia adalah sebaik-baik makhluk. Kerana itu setiap orang harus menjaganya supaya keadaan semulajadi manusia itu akan terus kekal, dalam keadaan baik dan harmoni. Untuk itu kita harus menggunakan satu cara hidup yang natural. Bagaimanakah cara hidup yang natural? Siapakah yang layak menentukan jalan hidup yang natural?

Inilah antara soalan-soalan yang akan timbul bagi menentukan jalan hidup kita. Pandangan kita tentang dunia ini dan kehidupan akan menentukan jalan hidup kita. Ini yang menjadi pegangan atau prinsip hidup kita. Tetapi apakah pandangan yang kita pegang itu adalah yang terbaik. Apakah sumber kepada pandangan kita itu? Dan apakah pula kriteria yang menjadi landasan kepada pegangan kita itu?
Kita lihat sekeliling kita sahaja. Di negara kita, Malaysia, ini terdiri daripada pelbagai bangsa keturunan. Masing-masing mempunyai pegangan yang tersendiri. Itulah pegangan hidup mereka. Jadi perjalanan hidup mereka adalah berpandukan kepada pegangan tersebut. Keturuna Melayu kebanyakannya menganut Islam sebagai landasan perjalanan hidupnya; orang-orang Cina pula kebanyakannya berpegang kepada agama Budha; orang India pula berpegang kepada agama Hindu; dan lain-lain lagi. Inilah agama bagi tiga rumpun keturunan bangsa di Malaysia ini. Apakah mereka benar-benar menjadikan agama-agama yang tiga tadi sebagai pegangan hidup? Atau sekadar agama. Dengan kata lain, umpamanya keturunan Melayu yang kebanyakannya beragama Islam itu, adakah menjadikan Islam sebagai jalan hidupnya, atau sekadar agama? Keturuna Cina beragama Budha, adakah Budha itu yang menentukan jalan hidupnya? Begitu juga halnya dengan orang-orang yang keturunan India.
Ada satu lagi agama iaitu Kristian. Inilah agama yang menjadi anutan pelbagai keturunan. Cina, India, Melayu, Iban, Kadazan dan lain-lain ramai yang menganut agama Kristian. Tidak dinafikan ada juga agama-agama lain yang menjadi anutan kelompok-kelompok kecil masyarakat di Malaysia. Bagaimana pula jika kita tinjau ke dalam kawasan geografi yang lebih luas lagi, masyarakat dunia ini. Lebih banyak lagi agama yang boleh dimasukkan ke dalam senarai di atas tadi.
Kita bercerita tentang agama. Sekali lagi dipersoal di sini, adakah agama itu adalah pegangan hidup, atau sekadar agama? Jika agama itu pegangan hidup, adakah benar-benar Melayu menjalani hidup mengikut yang digariskan oleh Islam; Cina menjalani hidup mengikut agama Budha, dan hidup orang-orang India pula dicorakkan oleh agama Hindu? Sebagai contoh. Ini adalah persoalan tentang pegangan atau prinsip. Atau apakah ada yang berpandangan bahawa agama adalah agama, jalan hidup adalah suatu yang lain?

Tidak dinafikan juga sesetengah manusia tidak berpegang kepada mana-mana agama. Baginya agama itu sebagai khayalan, ritual. Agama tidak ada kaitan dengan kehidupan. Bagi golongan ini, agama adalah agama, dan kehidupan adalah suatu yang lain. Sebahagian mereka ini bepegang kepada fahaman Atheis, dan lain-lain. Atheis bukan agama, tetapi satu kefahaman. Namun tidak dapat lari dari persoalan di atas tadi, adakah Atheist itu menjadi pegangan yang menentukan perjalanan hidup mereka?
Persoalan-persoalan di atas ini tadi bertujuan untuk berfikir tentang kehidupan. Apakah pegangan yang menjadi panduan kita untuk menjalani hidup ini. Atau apakah yang menentukan corak kehidupan kita. Apakah peraturan hidup yang harus menjadi pegangan kita. Atau adakah semua agama yang tersebut di atas tadi sudah sesuai untuk dijadikan panduan hidup? Dalam kontek kehidupan yang terdiri daripada pelbagai bangsa ini adakah agama-agama tadi sesuai untuk semua orang? Inilah yang hendak kita tinjau, yang mana satukah antara agama di atas tadi, atau ada kefahaman-kefahaman yang boleh dijadikan pegangan untuk semua bangsa dan keturunan?

Tentu semua setuju jika dikatakan bahawa untuk menjalani kehidupan dalam sebuah masyarakat harus ada satu pegangan atau peraturan yang sesuai dengan setiap ahli dalam masyarakat itu. Dalam konteks negara Malaysia, pegangan itu mestilah yang serasi dan diterima oleh setiap kelompok keturunan bangsa - Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, dan lain-lain. Dalam konteks manusia dalam sebuah masyarakat yang global pula, perlu berpegang kepada satu peraturan yang nutral untuk semua kelompok bangsa semua negara.
Peraturan yang nutral itu pastinya adalah yang natural. Tetapi apakah ciri-ciri natural yang hendak dibukukan? Siapakah pula yang layak untuk menentukan sesuatu peraturan itu adalah natural. Natural dalam kontek apa, atau bangsa apa? Jika ini yang terjadi, maka masing-masing kelompok bangsa atau negara tertentu akan menyatakan bahawa mereka mempunyai yang terbaik. Bagi kelompok agamawan, akan mengemukan agama-agama tertentu sebagai yang terbaik. Agama Budah adalah yang terbaik, agama Hindu pula akan mendakwa sebagai yang terbaik, begitu juga Islam mahupun agama-agama lain. Bagaimana pula halnya bagi kalangan bangsa-bangsa atau keturunan yang tidak percaya kepada agama seperti golongan Atheist tadi?
Apakah fakta-fakta yang akan menentukan prinsip atau pegangan hidup yang natural, serasi untuk semua manusia, walau di manapun mereka berada, dan apakah budaya hidup mereka. Secara umum beliau menetapkan bahawa natural mestilah yang serasi dengan kejadian manusia, semua manusia sama ada yang sedang tinggal di bandar atau di kampung atau di pedalaman, malah di mana sahaja dan negara mana sekalipun. Hidup yang natural adalah cara yang sesuai dengan kejadian manusia, memenuhi keperluan hidup individu dan masyarakat keseluruhannya. Kesesuaian itu pula adalah yang bertujuan untuk mencapai pengertian dan tujuan hidup yang sebenar, iaitu mengekalkan keadaan semulajadi atau nature kejadian manusia itu.
Islam adalah jalan hidup (agama) untuk semua manusia. Sama ada untuk yang beragama Islam mahupun yang belum Islam. Jalan hidup yang disediakan adalah yang natural dengan kejadian manusia itu sendiri. Sama ada jalan hidup untuk individu atau kehidupan bermasyarakat, atau untuk menjalani aktiviti kehidupan, Islam menunjukkan jalan yang serasi dengan kejadian manusia. Kita akan lihat keserasiannya dalam pertemuan-pertemuan akan datang.




04 November 2014

Masuk Syurga Dengan Rahmat Allah

Bismillahir-rahmanir-rahim.
Kunci masuk syurga ialah rahmat Allah, bukan pahala amalan-amalan kita. Sebuah hadis daripada Jabir, katanya, dia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda,
Bukan amal seseorang yang memasukkannya ke syurga atau melepaskan dari neraka, termasuk juga aku, tetapi ialah semata-mata rahmat Allah s.w.t. belaka.’ (Terjemahan Hadis Shahih Muslim: 2414)
Sebuah hadis lain yang pernah disebut dalam satu ceramah agama di sebuah surau menyebut,
‘Sembahyang kita belum dapat menjamin masuk syurga kecuali setelah mendapat rahmat Allah.’
Kedua-dua hadis ini menunjukkan bahawa kunci pintu syurga ialah rahmat Allah, bukan amalan-amalan sembahyang dan yang tiga lagi itu.
Bagi orang yang mendirikan sembahyang dengan tujuan mencari pahala, bukan pahala yang dikumpulkan itu yang memasukkan kita ke syurga, atau menghindarkan dari api neraka; bagi orang yang mengaji, menghadiri majlis-majlis ilmu, belajar bahasa Arab dan sebagainya dengan niat mencari pahala, atau untuk pengetahuan, bukan pahala dari amalan ini yang memasukkan kita ke syurga atau melepaskan dari api neraka.
Pahala-pahala yang kita cari adalah umpama hasil ladang yang kita usahakan sepanjang hidup kita di dunia, yang Allah s.w.t. himpunkan di akhirat sana dalam bentuk hazanah yang akan kita nikmati setelah masuk syurga. Sebahagiannya tersimpan dalam bentuk mahligai dan bermacam-macam lagi yang menggambarkan kemewahan. Ini bergantung sebanyak mana pahala yang kita hasilkan, dan dari amalan apa yang kita lakukan ketika di dunia. 
Hidup di dunia ini ibarat berladang; hasilnya bergantung kepada apa yang kita usahakan dan hasilnya pula bergantung kepada cara kita mengerjakan ladang kita. Jika kita menanam pokok buah-buahan, dan kita lakukan dengan penuh usaha membajak, menanam benih dan dibaja dengan sebaik-baiknya, disertakan pula dengan usaha-usaha membersih dari rumput-rampai yang boleh merosakkannya, dan menjaganya dari makhluk perosak, maka hasilnya akan lumayan. Tetapi jika usaha-usaha yang kita jalankan itu kurang sempurna, setakat menanam benih, mengharap akan tumbuh, kemudian kita siram, tetapi tidak dijaga sewajarnya, tidak cukup baja, dan sebagainya, bayangkanlah hasilnya. Tidak dinafikan ketika di akhirat kelak ada antara kita yang tidak mempunyai apa-apa, lebih ditakuti jika kita menanam pokok duri ketika di dunia, maka durilah yang akan kita nikmati kelak.
 Ini adalah soal dosa-pahala, iaitu hasil daripada amalan-amalan yang kita lakukan sepanjang hidup kita di dunia, bukan soal kunci untuk masuk syurga; kita masuk syurga dengan sesuatu yang lain iaitu rahmat Allah sahaja. Tetapi, kebanyakan orang bertanggapan bahawa sembahyang yang kita lakukan itulah amalan yang akan memasukkan ke syurga, kita berpuasa untuk masuk syurga, begitu juga dengan zakat dan haji, kita tunaikan itu. Sebuah hadis menyebut, yang bermaksud,
Segala amal akan datang pada hari qiamat (untuk memberi syafaat kepada yang mengerjakannya), antaranya sembahyang datang lalu berkata, ‘Ya Tuhanku akulah sembahyang’; Allah Taala berfirman (kepadanya) ‘Tujuan engkau itu baik, (tetapi engkau sahaja belum cukup)’; dan (selepas itu) datang pula sedekah, puasa, dan amal-amal yang lain, semuanya itu Allah berfirman (kepada tiap-tiap satunya): Tujuan engkau itu baik, tetapi engkau sahaja belum cukup’; kemudian datang pula Islam lalu berkata, ‘Ya Tuhanku, Engkaulah Tuhan yang bernama Assalam, dan akulah Islam’; maka Allah Taala berfirman (kepadanya), ‘Tujuan engkau itu baik, pada hari ini dengan engkaulah aku menerima dan dengan engkaulah jua aku memberi balasan’. (Mustika Hadis Jilid I, 42)
Disebut dengan jelas di sini bahawa sembahyang, zakat, puasa dan haji sahaja tidak cukup untuk mendapatkan syafaat syurga kepada pengamalnya kecuali Islamnya yang terbina daripada ibadah-ibadah tersebut.
Diriwayatkan dalam sebuah hadis dari Jabir r.a. yang disebut oleh Muhammad bin Almunkadir, katanya, ada seorang hamba Allah yang beruzlah di sebuah pulau, dalam usahanya untuk dapat masuk syurga. Hamba Allah berkenaan tinggal di situ selama lima ratus tahun, dan sepanjang tempoh itu, dia hanya melakukan sembahyang sahaja. Malaikat Jibril dengan ilmunya menjangka hamba Allah itu akan masuk syurga, tetapi apabila hamba Allah itu menuntut agar dimasukkan ke syurga dengan amalnya itu, Allah memasukkannya ke neraka kerana setelah Allah memerintahkan Jibril mengira amalnya, didapati belum ada. Ini membayangkan bahawa sembahyangnya yang 500 tahun itu bukanlah amalan yang hendak dihitung.
Mesej yang jelas di sini ialah bahawa sembahyang kita bukanlah amalan yang menjadi kunci masuk ke syurga. Jadi betapa banyak mana sekalipun sembahyang yang kita lakukan, belum dapat menjamin masuk syurga atau menjauhkan dari api neraka, seperti yang disebut dalam hadis di atas tadi.
Renungkanlah apakah yang harus kita lakukan sementara hidup di dunia ini agar mendapat rahmat Allah swt. Wallahu aalam

Ibadah vs rahmat Allah 
Mungkin ada yang melihat pandangan di atas berselisih dengan pandangan yang menyatakan bahawa masuk syurga dengan ibadah-ibadah sembahyang, zakat, puasa dan haji serta rangkaian-rangkaiannya. Rangkaian bagi ibadah sembahyang ialah sembahyang-sembahyang sunat yang berkait dengan sembahyang lima waktu seperti sunat qabliah dan baadiyah, atau sembahyang-sembahyang sunat yang lain seperti sembahyang dhuha dan lain-lain. Pandangan yang ini adalah disokong oleh beberapa ayat dan hadis. Misalnya, hadis dari Mu’aadz bin Jabal, katanya,

‘Aku pernah bersama Nabi saw dalam satu perjalanan. Lalu suatu ketika aku berada di dekat beliau dalam keadaan kami sedang dalam perjalanan. Aku bertanya, ‘Wahai Rasulullah, beritahukan kepadaku satu amalan yang memasukkanku ke dalam syurga dan menjauhkanku dari neraka’. Baginda saw bersabda, ‘Sungguh engkau bertanya tentang sesuatu yang besar. Padahal, ia sebenarnya mudah (dilakukan) bagi siapa saja yang dimudahkan oleh Allah. Yaitu, engkau beribadah kepada Allah tanpa menyekutukan-Nya dengan sesuatu apapun, mendirikan shalat, menunaikan zakat, berpuasa Ramadlaan, dan menunaikan ibadah haji” (Riwayat Ahmad Tarmizi, An-Nasa’i dan Ibnu Majah).
Antara lain lagi ialah yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang menyebut bahwa Rasulullah saw pernah bersabda,
Barangsiapa yang shalat pada dua waktu dingin (Shubuh dan ‘Ashar), niscaya masuk syurga’.
Hadis ini menggambarkan bahawa kita boleh masuk syurga dengan sembahyang, atau ibadah-ibadah yang lain itu.
Dari Abu Hurairah ra pula menyebut bahwasannya Nabi saw pernah bersabda,
Sesungguhnya Allah mempunyai 99 nama, 100 kurang satu. Barangsiapa yang menghitungnya, niscaya ia masuk syurga. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis ini pula menggambarkan bahawa kita masuk syurga dengan mengingati nama-nama Allah sahaja, iaitu satu lagi bentuk ibadah. Dikatakan ibadah di sini adalah kerana amalannya itu berkait dengan Allah swt sahaja, yang biasa disebut sebagai hablum minallah. Sedangkan amal soleh dan amal kebajikan itu adalah berkait dengan hablum minannas iaitu hubungan pelakunya dengan manusia dan makhluk keseluruhannya. 

Dari pembentangan di atas dapatlah kita lihat dua pandangan yang kelihatannya seperti bercanggah. Satu pandangan menyebut masuk syurga dengan amalan-amlan yang hablum minallah seperti sembahyang, manakala yang satu lagi menyebut masuk syurga dengan rahmat Allah. Jadi dua pandangan ini seakan-akan bercanggah. Apakah benar ujud percanggahan ini. Apakah ada dua atau lebih hadis yang berselisih, sedangkan Nabi saw adalah seorang yang maksum dan sentiasa dipelihara oleh Allah dari sebarang kesilapan. Justeru yang mana satu hendak diikuti? Atau apakah ini merupakan peluang untuk kita membuat pilihan?

Pada zahirnya kelihatan seperti ada percanggahan antara hadis-hadis di atas tadi. Ada hadis yang menyatakan kita masuk syurga dengan amalan iaitu sembahyang, zakat, puasa dan lain-lain, manakala ada pula hadis yang menyatakan kita masuk syurga dengan rahmat Allah.

Apakah langkah yang harus kita ambil dari kedudukan ini. Apakah kita hendak menyatakan bahawa terpulanglah kepada masing-masing untuk mengambil yang mana satu? Ingatlah, memilih salah satu bererti kita menolak kebenaran yang satu lagi, sedangkan kedua-duanya adalah hadis Nabi saw. Bolehkah kita menolak hadis. Mana mungkin Nabi saw mengeluarkan kenyataan yang saling bercanggah! Dan, jika ada hadis yang bercanggah bererti salah satunya bercanggah pula dengan ayat-ayat al-Quran. Apakah benar memang ada hadis yang sedemikian?