11 October 2015

Harta yang mendatangkan rahmat Allah

Sebagai seorang yang mukallaf kita wajib bekerja untuk menyediakan keperluan-keperluan untuk diri sendiri dan orang-orang yang secara naturalnya bergantung hidup kepada kita seperti ibu bapa kita jika mereka sudah tua, atau anak-anak kita yang masih belum dewasa.
Adalah suatu hakikat bahawa hampir semua aspek untuk membangun kehidupan adalah berkaitan dengan orang lain. Untuk mengekalkan struktur sosial yang natural dan stabil, semua urusan termasuk urusan perniagaan dan komersil, mesti berdasarkan sifat kejujuran, keadilan, tanggungjawab, dan persaudaraan secara natural, sebaliknya sebarang urusan yang bercirikan kecurangan, penipuan, ketidakadilan, sama ada pada tahap yang kecil dan jangka pendek, atau kes putar-belit yang licik dan yang membawa untung berlebihan, akan memusnahkan sifat semulajadi individu dan memecah-belahkan ikatan persaudaraan dan perpaduan masyarakat.
Islam menghendaki umatnya bekerja kerana ianya adalah satu kewajipan seperti kewajipan-kewajipan lain; kemalasan, mengemis atau mengharap pemberian dari sumber negeri atau dari badan-badan amal semuanya memusnahkan maruah diri seseorang, malah mungkin kebebasan dirinya sekali. Ini tidak bermakna bahawa dalam masa kesukaran yang tulen kita tidak boleh mendapatkan bantuan dan sokongan daripada orang lain. Namun bekerja biarlah secara yang halal, kerana itu Islam melihat bahawa nilai-nilai etika diperlukan untuk menyelia pemerolehan harta dan perniagaan, ini sebabnya mengapa Al-Ghazali, cendekiawan Islam yang terkenal, mencadangkan agar seseorang Muslim yang berhasrat menjalankan perniagaan sebagai profesyen hendaklah terlebih dahulu mempunyai kefahaman yang tepat dan menyeluruh kaedah-kaedah urus niaga Islam.
Perkara yang sangat penting dalam mempertimbangkan pemerolehan harta dan yang wajib diutamakan ialah soal halal-haramnya harta yang kita perolehi itu. Banyak faktor yang menentukannya, dan faktor-faktor ini juga yang harus dijadikan sebagai kriteria dalam pemerolehan harta. Hal ini diutarakan kerana perolehan harta dari sumber makan gaji pun belum tentu halal sepenuhnya.
Pertama sekali, sebagai seorang Muslim harus sentiasa ingat bahawa manusia dan segala jagatraya ini dijadikan oleh Allah swt, jadi manusia dan segala apa yang ada di jagatraya termasuk dunia ini adalah kepunyaan-Nya, jadi segala aktiviti termasuk dalam hal mencari harta, haruslah mengikut jalan yang diredai-Nya. Apakah ciri-cirinya?
Segala aktiviti kehidupan haruslah yang serasi dengan maksud ayat 6 surah al-Fatihah yang bremaksud mengikut jalan yang lurus, bukan jalan orang-orang yang dimurkai dan yang sesat, yang disebut oleh ayat 7, pendek kata harus mengikut syariat Islam.
Sebagai manusia Islam, yang sangat penting dan perlu diutamakan ialah ciri pengabdian kepada Allah swt, Yang Maha Esa, Maha Berkuasa dan Maha Sempurna segala sifat-sifat-Nya, maka dalam semua bentuk aktiviti, termasuk mencari harta, harus jangan melupakan-Nya, lebih-lebih lagi kerana kita amat memerlukannya seperti yang disebut oleh ayat 5 surah al-Fatihah yang bermaksud dan hanya kepada-Mu memohon pertolongan.
Islam adalah perkataan terbitan dari perkataan salam, yang ertinya sejahtera. Islam juga sering disebut sebagai ad-deen atau way of life, maka jadilah Islam yang membawa erti jalan hidup yang sejahtera, justeru dalam aktiviti mencari harta harus mempertimbangkan soal kesejahteraan, iaitu kesejahteraan manusia dan alam ini keseluruhannya.
Manusia adalah makhluk sosial, jadi secara semuajadinya memerlukan hidup bermasyarakat, saling bergantung antara satu sama lain, dengan kata lain, manusia tidak boleh hidup bersendirian. Pernah diriwayatkan tentang seorang hamba Allah yang terpikat kepada sebuah lembah hijau yang aman tenteram, yang membuatkannya bercita-cita untuk tinggal di situ, agar dapat beruzlah menghabiskan masanya bersama alam semulajadi dan mengabdikan diri kepada Tuhannya, tidak menyakiti orang lain dan tidak juga disakiti; tetapi apabila diajukan cita-citanya kepada Nabi saw, baginda melarangnya.
Walaupun manusia memang memerlukan situasi yang aman tenteram untuk beribadah dan bermuhasabah diri, memerlukan situasi sunyi, tetapi hakikatnya tidak boleh lari dari kehidupan bersosial. Dalam kehidupan bersosial, Islam menghendaki kita agar saling menjaga kebajikan sesama sendiri, bertolak ansur, bagi mengekalkan kehidupan yang sejahtera yang telah disebut tadi. Justeru, dalam menentukan kriteria mencari harta, faktor ini harus diambil kira, iaitu iklim hubungan antara sesama manusia; bagi menjamin hubungan yang sejahtera maka harus dielakkan perkara-perkara yang boleh merosakkan hubungan tersebut, jangan menimbulkan ketegangan dan tidak puas hati dalam hidup bermasyarakat. Faktor ini menyangkut pula kepada kaedah kita menggunakan harta perolehan itu, iaitu mesti yang ke arah kesejahteraan dan keharmonian hubungan sesama manusia dalam sesebuah masyarakat.
Untuk menjamin keharmonian hidup bermasyarakat, harus sentiasa menjamin jangan sampai terjadi unsur-unsur yang boleh merosakkannya seperti keganasan, penipuan, putar belit, waima unsur-unsur yang mendorong kepada perkara tersebut seperti arak, judi dan sebagainya.
Faktor-faktor di atas ini mungkin boleh dirumuskan seperti berikut, sebagai kriteria mencari harta kekayaan:
1.      niat kerana Allah
2.      produk yang halal
3.      kaedah yang dibenarkan
4.      natijahnya betul
5.      tidak meninggalkan kewajipan yang asas
(kita telah bincangkan dalam bab yang lalu)
Justeru, ini harus dijadikan asas bagi menentukan halal-haram dalam segala aspek kehidupan, termasuk dalam hal mencari harta dan kekayaan; jika kelima-lima faktor ini dipenuhi akan membawa kepada perolehan harta yang halal, menjamin kesejahteraan umah, dan yang paling penting ialah jaminan kehidupan di akhirat itu. Kepercayaan kepada Allah dengan segala sifat-sifat yang Maka Kuasa, Maha Mengetahui, menyebabkan kita rasa tidak pernah terlepas dari dimonitor, jadi dalam menjalankan aktiviti mencari harta itu kita tidak akan berani melakukan penipuan, putar belit, mementingkan diri, keganasan dan sebagainya.
Harta perolehan yang dikumpul tidak mengikut garis panduan ini adalah haram kerana boleh mengancam kesejahteraan umah, membawa keburukan (mafsadah) dan kerosakan. Misalnya, kaedah menggunakan racun yang tidak teratur boleh menyebabkan tanaman orang lain rosak, atau menjejaskan perolehan ternakan ikan orang berhampirannya.
Jika kita lihat kembali ciri-ciri asas yang telah disebut di atas tadi, kita akan dapati bahawa kelima-lima syarat itu memang menjurus kepada kesejahteraan umah, menjaga kepentingan individu dan hidupnya dalam masyarakat. Jadi, dapatlah kita lihat bahawa Islam amat mementingkan kesejahteraan umat dalam semua aktiviti kehidupan, termasuk dalam kontek memperoleh harta, dengan kata lain, pemerolehan harta, sebagai sebahagian daripada kehidupan, harus yang memenuhi kelima-lima syarat itu, agar harta yang kita cari adalah halal dalam ertikata yang sebenarnya.
Jadi dapatlah kita lihat bahawa dalam perniagaan soal halal-haram bukan tertakluk kepada produk yang kita jugal semata-mata. Nasi lemak misalnya adalah produk yang halal jika sumbernya halal. Tetapi kaedah menjualnya jika bertentangan dengan kriteria yang ke-3 itu maka perolehannya boleh dipersoal. Misalnya jika di satu-satu tempat itu sudah ada orang menjual nasi lemak tetapi kita menjual di tempat yang sama maka ini boleh menjadi sebab dipersoal halal-haramnya jika mencetus rasa kurang senang. 

No comments: