19 October 2015

Kewajipan Mencari Nafkah


Diriwayatkan ada seorang lelaki di Madinah menemui Nabi untuk meminta sedekah, Nabi tidak terus menolak walaupun baginda tidak suka menggalakkan orang itu meminta sedekah, lalu bertanya, ‘Apakah anda tidak mempunyai apa-apa di rumah?’
‘Ada’, kata lelaki itu. ‘Sehelai selimut pelana yang kadang-kadang kami pakai, dan kadang-kadang kami hampar atas lantai, dan ada kalanya kami gunakan sebagai bekas air minum’.

Nabi menyuruh hamba Allah itu mengambilnya, lalu menjualnya kepada salah seorang sahabat dengan harga dua dirham, dan diserahkan kepada lelaki itu, sambil berkata, Dengan satu dirham, beli makanan untuk keluargamu dan dengan satu dirham lagi untuk membeli kapak dan bawa kepadaku .

Lelaki itu kembali dengan kapak, lalu Nabi menggunakan kapak itu untuk membelah sebatang kayu, kemudian mengarahkan, Pergi dan kumpul kayu api, dan aku tidak mahu melihatmu selama lima belas hari.

Lelaki itu akur dan selepas dua minggu dia telah mendapat keuntungan sebanyak sepuluh dirham. Dia mengadukan halnya kepada Nabi saw bahawa sebahagiannya digunakan untuk membeli makanan dan sebahagian lagi untuk pakaian. Nabi gembira dan berkata, Ini adalah lebih baik daripada mendapat contengan pada muka kita pada hari kebangkitan’.

Kisah ini menekankan bahawa sebagai Muslim mukallaf, yang khususnya apabila mempunyai keluarga, kita mempunyai kewajipan untuk bekerja. Kita harus menggunakan inisiatif dan apa jua sumber yang kita ada untuk menyara hidup; kegagalan berbuat demikian, bererti menconteng arang ke muka kita sendiri, yang bermaksud melakukan kehinaan terhadap diri dan keluarga, kerana sikapnya yang bergantung hidup kepada orang lain.

Cerita ini juga menunjukkan kaedah yang paling berkesan untuk menawarkan bantuan dan sokongan: jika kita memberikan bantuan kepada orang-orang yang berupaya, lengkap anggota dan mempunyai sumber, walau kecil sekalipun, kita tidak sepatutnya menghulur bantuan kewangan atau kebendaan kepada orang itu. Kita boleh membantu untuk memenuhi keperluan yang segera tetapi harus yang one-off, sebagai remedi jangka pendek, namun bantuan yang berterusan itu sebenarnya menggalakkan sikap kebergantungan dan hilang harga diri orang berkenaan.

Dengan pendekatan yang mudah, praktikal dan berpandangan jauh seperti yang telah ditunjukkan oleh Nabi saw itu adalah contoh bagaimana caranya membantu orang-orang yang meminta-minta, dengan cara mendorong mereka untuk mencari jalan penyelesaian jangka panjang bagi memenuhi keperluan asas mereka; Nabi pernah menegaskan, Sedekah tidak halal untuk orang kaya atau yang lengkap anggota badan.

No comments: