25 November 2015

Rahmat Allah vs Amalan


Dalam posting yang lalu menyebut bahawa kita masuk syurga dengan rahmat Allah.  Kenyataan ini disokong dengan sebuah hadis yang agak panjang. Hadi berkenaan ialah tentang riwayat seoerang hamba Allah yang mendirikan sembahyang di sebuah pulau terpencil. Disebutkan bahawa sembahyangnya selama 500 tahun itu tidak menjaminnya masuk syurga. Dia dimasukkan ke syurga dengan rahmat Allah.
Mungkin ada antara kita tidak dapat menerima pandangan ini. Bagi mereka, amalan-amalan sembahyang, zakat, puasa dan haji, serta rangkaian-rangkaiannya itu yang membawa kita masuk ke syurga. Memang ada bukti-bukti yang menyatakan demikian. Misalnya hadis dari Mu’aadz bin Jabal, katanya,
‘Aku pernah bersama Nabi saw dalam satu perjalanan. Lalu suatu ketika aku berada di dekat beliau dalam keadaan kami sedang dalam perjalanan. Aku bertanya, ‘Wahai Rasulullah, beritahukan kepadaku satu amalan yang memasukkanku ke dalam syurga dan menjauhkanku dari neraka’. Baginda saw bersabda,Sungguh engkau bertanya tentang sesuatu yang besar. Padahal, ia sebenarnya mudah (dilakukan) bagi siapa saja yang dimudahkan oleh Allah. Yaitu, engkau beribadah kepada Allah tanpa menyekutukan-Nya dengan sesuatu apapun, mendirikan shalat, menunaikan zakat, berpuasa Ramadlaan, dan menunaikan ibadah haji (Riwayat Ahmad Tarmizi, An-Nasa’i dan Ibnu Majah).
Antara lain lagi ialah yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang menyebut bahwa Rasulullah saw pernah bersabda,
Barangsiapa yang shalat pada dua waktu dingin (Subuh dan ‘Asar), niscaya masuk syurga’.
Kelihatannya dua hadis di atas ini menyatakan dengan jelas bahawa sembahyang membawa kita masuk ke syurga.
Dengan demikian dapatlah kita lihat dua pandangan. Pandangan ini pula seperti bercanggah – satu pandangan menyebut masuk syurga dengan sembahyang, manakala yang satu lagi menyebut masuk syurga dengan rahmat Allah.
Jadi jelas terdapat dua pandangan yang kelihatannya bercanggah satu sama lain. Apakah benar ujud percanggahan ini. Atau apakah ini suatu kesilapan? Bolehkan kita hendak menyatakan Nabi saw tersilap. Bagaimana mungkin berlaku kesilapan kerana Nabi saw adalah seorang yang maksum dan sentiasa dipelihara oleh Allah dari sebarang kesilapan.
Atau bolehkah kita menerima kedua-duanya sebagai benar, dan membenarkan kita membuat pilihan. Idea ini boleh menimbulkan banyak persoalan pula. Misalnya, jika kita memilih salah satu bererti kita menolak yang satu lagi. Bolehkah, kita menolak hadis. Tambahan lagi jika ada hadis yang bercanggah bererti salah satunya bercanggah pula dengan ayat-ayat al-Quran kerana kita tahu bahawa akhlak Nabi saw adalah al-Quran.
Bukan hadis sahaja yang sedemikian kedudukannya, tetapi juga ayat-ayat al-Quran. Misalnya,
‘Selamat sejahtera kepada kamu; masuklah ke dalam Syurga disebabkan amal baik yang telah kamu kerjakan’ (a-Nahal, 16: 32), manakala ayat 72 surah az-Zukhruf pula menyebut,‘Dan (dikatakan lagi kepada mereka): "Inilah Syurga yang diberikan kamu mewarisinya, disebabkan amal-amal yang dahulu kamu kerjakan’. (az-Zukhruf, 43: 72)
Jika dilihat dari lahiriahnya ayat 32 surah an-Nahl di atas tadi yang menyebut ‘masuklah ke dalam Syurga disebabkan amal baik yang telah kamu kerjakan’, seperti bercanggah dengan ayat 72 surah az-Zukhruf yang maksudnya, Dan itulah syurga yang diwariskan kepada kamu disebabkan amal-amal yang dahulu kamu kerjakan.

Percanggahan timbul jika kita melihat frasa kata amal-amal yang dahulu kamu kerjakan itu sebagai amal-amal mendirikan sembahyang dan lain-lain, manakala amal baik itu sebagai amal yang selainnya seperti menjaga silaturrahim, menjaga kebersihan dan sebagainya. Benarkah ini satu percanggahan?
Justeru bagaimanakah sikap kita terhadap kedudukan ini, dan apakah alasannya. 

Perbahasan:
 As-Syafie ra pernah berkata, ‘As-Sunnah tidak mungkin menyelisihi Al-Qur’an selamanya’. Jika ini kita jadikan sandaran bererti kedua-dua pandangan di atas adalah sejajar dengan al-Quran. Sama ada pandangan yang pertama mahupun yang kedua itu tadi, mengikut as-Syafie adalah tidak bercanggah dengan ayat al-Quran. Secara tidak langsung ini menafikan percanggahan antara dua pandangan di atas itu.
Semua orang, Muslim dan non-Muslim mengakui bahawa tidak ada ayat-ayat al-Quran yang bercanggah. Namun bagaimanakah caranya kita hendak mengatakan bahawa sebenarnya dua ayat itu tadi tidak bercanggah!
Dalam syarah sahih Muslim menyebut bahawa makna ayat-ayat ini adalah bahwa masuknya seseorang ke dalam syurga adalah sebab amal-amal yang mendapat rahmat Allah. Jika ini kita jadikan asas maka kita tidak perlu bercakap lebih panjang lagi tentang percanggahan tersebut. Kedua-dua pandangan itu sudah berada pada satu titik persetujuan iaitu rahmat Allah. Dengan kata lain bahawa amal-amal yang boleh membawa kita masuk ke syurga adalah amal-amal yang telah mendapat rahmat Allah. Ini menjelaskan bahawa amal-amal itu sendiri tidak dapat membawa kita masuk ke syurga.
Bagaimanakah amal-amal kita mendapat rahmat Allah. Kita tinggalkan dahulu persoalan ini.
Yang harus kita sedari di sini ialah bahawa amal-amal yang membawa kita masuk syurga adalah yang telah mendapat rahmat Allah, bukan amal-amal itu sendiri.
Misalnya amalan mendirikan sembahyang. Mengikut syarah sahih Muslim sembahyang yang kita tunaikan setakat menyempurnakan kesemua tiga belas rukun sahaja tidak akan membawa ke syurga, kerana kita hanya mendirikan zatnya sahaja. Sembahyang yang begini belum mendapat rahmat Allah. Untuk mendapat rahmat Allah ada lagi yang harus dilakukan selepas itu supaya diberi rahmat. Begitu juga halnya dengan ibadah-ibadah puasa, zakat dan haji serta rangkaian-rangkaiannya. Inilah yang disebut sebagai amal soleh. Dengan kata lain amalan mendirikan zatnya semata-mata tidak mendapat rahmat Allah.
Hal ini sejajar dengan kenyataan Ibnu Katsir dalam komennya kepada ayat 72 surah az-Zukhruf itu menyebut, Amal-amal soleh kalian yang menjadi sebab kalian diliputi rahmat. Kerana, tidak ada seorang pun yang masuk syurga karena amalnya semata, akan tetapi (ia masuk syurga) kerana rahmat dan kurnia Allah’.
Justeru, maksud hadis yang menyebut, ‘Salah seorang di antara kalian tidak akan masuk syurga dengan sebab amalnya’, adalah bermaksud bahwa amal itu sendiri, iaitu amal yang hanya didirikan zatnya sahaja. Itu sebabnya Prof. Dato’ Dr Haron Din dalam bukunya menyebut,
Setelah kita mempunyai keimanan dan membentuk sikap-sikap hidup berdasarkan rukun-rukun keimanan tersebut, atau setelah kita mempunyai gambaran mengenai hidup berdasarkan rukun-rukun itu, apakah yang seharusnya kita lakukan selepas itu?’ (Manusia dan Islam, 93)
Yang maksudnya ialah setelah kita berpegang kepada Rukun Iman dan Rukun Islam, dan kita mengambil sikap menunaikannya, dan mempunyai gambaran-gambaran tentang hari akhirat dan sebagainya, apakah yang harus kita lakukan lagi. Persoalan ini menunjukkan bahawa setelah kita mendirikan zat ibadah-ibadah yang terkandung dalam Rukun Islam itu ada lagi yang harus kita lakukan.
Jadi dari kenyataan-kenyataan di atas ini dapatlah kita lihat bahawa sembahyang sahaja belum cukup untuk membawa kita ke syurga, kecuali sembahyang yang telah mendapat rahmat Allah. Bagaimanakah caranya hendak mendapat rahmat Allah swt dari ibadah-ibadah yang tersebut, atau apakah tindakan-tindakan yang boleh kita lakukan untuk mendapat kurnia rahmat Allah. Hal ini disebut juga oleh sebuah hadis dari Abu Hurairah, katanya Rasulullah saw bersabda, yang maksudnya,


Segala amal akan datang pada hari qiamat (untuk memberi syafaat kepada yang mengerjakannya), antaranya sembahyang datang lalu berkata, ‘Ya Tuhanku akulah sembahyang’; Allah Taala berfirman (kepadanya) ‘Tujuan engkau itu baik, (tetapi engkau sahaja belum cukup)’; dan (selepas itu) datang pula sedekah, puasa, dan amal-amal yang lain, semuanya itu Allah berfirman (kepada tiap-tiap satunya): Tujuan engkau itu baik, tetapi engkau sahaja belum cukup’; kemudian datang pula Islam lalu berkata, ‘Ya Tuhanku, Engkau-lah Tuhan yang bernama Assalam, dan akulah Islam’; maka Allah Taala berfirman (kepadanya), ‘Tujuan engkau itu baik, pada hari ini dengan engkaulah Aku menerima dan dengan engkaulah jua Aku memberi balasan’. (Mustika Hadis Jilid I, 42)
Ada dua perkara berkait dengan hadis ini – satu, ialah ibadah-ibadah sembahyang, zakat, puasa dan haji yang hanya didirikan zatnya sahaja belum cukup kecuali setelah menegakkan Islam; dua, menggambarkan bagaimanakah caranya ibadah-ibadah itu boleh mendapat rahmat Allah.

No comments: