Sunday, November 8, 2015

Sikap Terhadap Harta



Sikap kesederhanaan

Islam mementingkan kebaikan, tidak kecukupan keperluan asas kehidupan dan hidup dalam keadaan kemiskinan, dilihat sebagai suatu keadaan yang menakutkan; ini jelas apabila Nabi bersabda Kemiskinan boleh membawa kepada kefakiran yang bermaksud penolakan Tuhan dan kekufuran. Bagaimanapun, Islam adalah bersifat wasatiyah, dalam ertikata seimbang, di samping menitikberatkan hal-hal ketuhanan, tidak menghalang penganutnya untuk menikmati kehidupan dunia, jadi bersama dengan usaha-usaha untuk menghapuskan kemiskinan, orang-orang yang beriman juga digalakkan untuk menikmati keseronokan hidup, dan bukan menyisihkannya, atau melebihkan yang satu dan mengurangkan yang satu lagi, tetapi biar seimbang; namun berseronok biarlah dalam ertikata menikmati sebahagian daripada limpah kurnia Allah tetapi bukan yang membawa kepada terlalu materialistik, dan kemaruk untuk memperoleh lebih banyak lagi. Dalam soal makan-minum misalnya biarlah makan untuk hidup bukan hidup untuk makan. Jadi, dalam Islam, cita-cita untuk menikmati kekayaan adalah tertakluk kepada sifat kesederhanaan yang dipanggil wasatiyah itu.
‘Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas; Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas’. (al-Maidah 5 :87)
‘Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) masjid, makanlah dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan’. (al-A’raf 7: 31)
Ayat-ayat di atas ini menyeru untuk bersikap munasabah dan seimbang terhadap kekayaan dan kemewahan. Islam tidak menyisihkan kehidupan tetapi kehidupan itu haruslah yang memenuhi keperluan hidup, yang tidak melampaui batas-batasnya, misalnya dalam hal makan-minum biarlah makan untuk hidup bukan hidup untuk makan. Dalam konteks ini, salah satu doa yang paling kerap diulang-ulang oleh Nabi dan Muslim, Ya Allah peliharalah kami, dan kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat.

No comments:

Post a Comment