Wednesday, November 11, 2015

Worldview hidup Islam


Worldview tentang dunia adalah caranya seseorang melihat dan menjelaskan tentang dunia dan bumi tempat tinggal manusia; worldview ini bukan sahaja melibatkan cara kita berfikir tetapi akan menentukan juga perilaku dan tindakan kita, dan sekaligus akan menentukan kualiti hidup.

Untuk memutuskan bagaimanakah caranya kita hendak hidup di atas muka bumi ini, dan cara manakah yang hendak kita ikuti, kita harus faham benar-benar konsep dari mana kita datang, dan ke mana pula kita akan pergi selepas ini. Setelah itu baru kita sedar apa yang harus kita lakukan sepanjang hidup.


Ayat 2 surah al-Fatihah, yang bermaksud, ‘Segala puji bagi Allah, Tuhan Pentadbir sekalian alam’, memberitahu bahawa sekalian alam ini kepunyaan Tuhan Allah itu: kepunyaan bererti Dia yang mempunyai alam ini kerana Dia yang menciptanya, jadi dari bumi hingga bulan bintang dan segala planet yang berada jauh di atas sana, adalah ciptaan-Nya; bumi dan segala isinya, sama ada yang hidup atau yang tidak hidup, termasuk manusia juga adalah kepunyaan-Nya.
Allah mencipta alam ini tidak pula ditinggalkan begitu sahaja, tetapi Dia mengurusnya dengan sifat-Nya yang ar-Rahman dan ar-Rahim yang disebut dalam ayat 3 itu, sesuai dengan kalimah dalam ayat 2 itu yang menyebut rabbil-alamiin; dengan sifat-Nya yang ar-Rahman dan ar-Rahim, ditempatkannya manusia di atas muka bumi ini dengan segala isinya iaitu tumbuhan, haiwan, air, tanah, udara, galian dan sebagainya sebagai tempat tinggalnya yang sementara, lengkap dengan segala sumber untuk keperluan hidup manusia.
Untuk manusia, Dia mengurniakan pula akal yang mampu berfikir, agar manusia mampu meneroka segala isi alam ini untuk ikhtiar hidupnya; dan dengan akalnya yang bersifat kritis dan kreatif itu, mampu pula merobah sumber-sumber alam yang semulajadi ini menjadi sesuatu yang baru; dan yang lebih penting lagi ialah dengan akal menjadikan manusia mampu membezakan antara yang salah dengan yang benar, sebagai persediaan menjadi khalifah di bumi ini, tidak seperti haiwan yang akalnya hanya untuk menerbitkan naluri untuk makan-minum, berkelamin dan beranak sahaja selaras dengan yang telah ditentukan-Nya.
Konsep-konsep di atas ini harus dijadikan teras bagi membina worldview kita. Kenyataan yang walaupun ringkas ini tadi sudah memadai untuk mendorong kita berfikir tentang siapakah kita dan apakah dunia tempat kita tinggal ini, dan seterusnya berfikir tujuan Allah menjadikan manusia. 
 

No comments:

Post a Comment