Saturday, December 19, 2015

Hakikat ibadah sembahyang


Hakikatnya, ibadah sembahyang kita bukan setakat untuk mendirikan zatnya sahaja, dalam bentuk menjalin hubungan antara manusia dengan Tuhan-nya sahaja tetapi adalah lebih daripada itu kerana sembahyang adalah rukun Islam.
Rukun bererti asas, dasar atau tonggak, manakala Islam itu bererti jalan hidup atau way of life. Apabila ianya jalan hidup, di sana tidak dapat tidak adalah termasuk proses komunikasi antara seorang dengan yang lain. Dengan kata lain ada hubungan sesama manusia.
Justeru, zat sembahyang kita juga tidak terbatas setakat menunaikan rukun-rukun yang tiga belas itu sahaja tetapi harus yang dapat membina tali hubungan antara manusia dengan Tuhannya. Abul Hassan Ali Nadwi dalam bukunya menyebut,The true meaning of salah, its real worth and significance can be appreciated only when there is an adequate awarness of the nature of the relationship betweet God and man.’ 
Ini menggambarkan tentang konsep sembah-yang yang sebenarnya iaitu bukan setakat menegakkan zatnya sahaja, tetapi yang dapat membina tali hubungan antara hamba dengan Tuhannya. Ini serasi pula dengan kenyataan Prof. Dato’ Dr. Haron Din pula menyebut, ‘Ibadat merupakan pelan induk yang mengikat antara hamba dengan Tuhan.’  Ibadat di sini ialah sembahyang. Ini disebut juga oleh ayat 14 surah Toha.
Ayat ini menggambarkan tujuan sembahyang itu sendiri, iaitu untuk mengingati-Nya. Memanglah berdirinya kita di tempat sembahyang itu tanda kita mengingati Allah swt. Namun disebutkan di sini adalah kerana ditakuti ada orang yang sembahyang tetapi tidak sedar atau separuh sedar apa yang sedang dilakukannya lantaran ibadah ini sudah menjadi rutin harian, boleh berlaku secara otomatik. 
Selain untuk mengingati Allah swt, sembahyang juga bertujuan untuk, seperti yang disebut oleh Prof Haron Din,Ibadat adalah antara nilai Islam yang penting sekali kerana ia memain-kan peranan yang berkesan untuk membina keperibadian dan memajukan masyarakat.’ 
Mengikut Kamus Dewan, peribadi diberi makna sifat-sifat (kelakuan, sikap, dan lain-lain) seseorang yang sudah sebati dengan dirinya sendiri untuk merupakan wataknya, manakala keperibadian adalah bermaksud perihal peribadi, sifat (watak, ciri-ciri, dsb) yang khusus terdapat pada seseorang. Pengertian ini menggambarkan bahawa sembahyang kita juga bertujuan untuk membina watak manusia
Antara lain lagi tujuan sembahyang kita ialah seperti yang biasa kita dengar iaitu yang disebut oleh ayat 45 surah al-Ankabut, ‘Dirikanlah sembahyang. Sesungguhnya sembahyang mencegah (perbuatan) keji dan mungkar.’ 
Hakikatnya sembahyang kita bukanlah suatu amalan yang hanya setakat mendirikan zatnya sahaja tetapi ada mesej yang hendak dicapai. Petikan-petikan di atas tadi adalah antaranya, iaitu untuk membina tali hubungan antara manusia dengan Tuhannya, membina keperibadian, dan menjauhkan perbuatan keji dan mungkar. 
Inilah caranya untuk mendapat rahmat Allah dari ibadah sembahyang kita. Jika tidak dilaksanakan mungkin sembahyang kita ditolak pula, atau disebut dalam hadis yang lalu iaitu sembahyang sahaja belum cukup.
Insya Allah hal ini akan diperjelaskan lagi kemudian jika dipanjangkan umur dan diizinkan-Nya. 

No comments:

Post a Comment