13 August 2015

Sembahyang 500 tahun tidak membawa ke syurga




Ada sebuah riwayat yang sangat baik untuk kita jadikan teladan. Riwayat ini adalah berkaitan dengan apa yang kita disebut iaitu sembahyang sahaja tidak membawa kita ke syurga. Riwayat ini tercatat dalam buku Ke Arah Haji Yang Mabrur. Disebut oleh Imam al-Hakim katanya daripada Jabir bin Abdullah ra menyebut bahawa suatu hari Nabi Muhammad saw bertemu dengan para sahabat dan bersabda,
Malaikat Jibrail baru sahaja datang kepadaku dan berkata, Wahai Muhammad, demi Tuhan yang mengutuskanmu sebagai nabi yang benar, sesungguhnya ada seorang hamba dalam kalangan hamba-hamba Allah yang beribadah selama 500 tahun di atas sebuah bukit yang terletak di tengah-tengah lautan. Lebar dan panjangnya adalah 30 hasta kali 30 hasta dan dikelilingi oleh laut seluas 4000 farsakh dari tiap penjuru. Di situ, Allah swt mengeluarkan baginya mata air yang jernih selebar satu jari yang memancarkan air yang tawar lalu ia bertakung di bawah bukit, juga pohon delima yang mengeluarkan buahnya pada setiap malam untuk dimakan pada hari tersebut. Apabila hari sudah siang, dia turun untuk mengambil wuduk dan memetik delima, lalu memakannya. Kemudian dia berdiri menunaikan sembahyang dan meminta kepada Tuhannya supaya dia dimati-kan dalam keadaan sujud dan bumi atau apa sahaja atidak dapat menghancurkannya sehinggalah dia dibangkitkan dalam keadaan sujud. Lalu Allah telah melaksanakan permintaannya.
Kami pasti akan melaluinya apabila kami turun dan naik ke langit dan kami juga mendapati di sisi ilmu Allah bahawa dia akan dibangkit-kan pada hari kiamat alau dihadapkan di hadapan Allah Azza Wajalla. Allah berfirman kepadanya (dengan memerintahkan kepada para malaikat), ‘Masukkanlah hamba-Ku ini ke dalam syurga dengan rahmat-Ku’. Orang itu berkata, ‘Wahai Tuhanku, bahkan masukkanlah aku ke dalamnya dengan amalanku’. Allah berfirman, ‘Masukkanlah hamba-Ku ini ke dalam syurga dengan rahmat-Ku’. Orang itu berkata, ‘Wahai Tuhanku, bahkan masukkanlah aku ke dalamnya dengan amalanku’. Allah berfirman lagi, ‘Masukkanlah hamba-Ku ini ke dalam syurga dengan rahmat-Ku’. Orang itu berkata, ‘Wahai Tuhanku, bahkan masukkanlah aku ke dalamnya dengan amalanku’.
Lalu Allah berfirman kepada para malaikat, ‘Hitunglah hamba-Ku ini pada nikmat-Ku yang telah dikurniakan kepadanya dengan amalannya’. Maka, didapati nikmat penglihatannya telah merangkumi ibadah yang dilakukannya selama 500 tahun, sedangkan nikmat anggota tubuh badan yang lain masih berbaki (belum dihitung). Lalu Allah berfirman, ‘Masukkan hamba-Ku ke dalam neraka’. Ketika diterik menuju ke neraka, dia berkata, ‘Wahai Tuhanku, masukkanlah aku ke dalam syurga dengan rahmat-Mu’. Maka Allah berfirman (kepada para malaikat), ‘Kembalikanlah ia’. Lalu dia dihadapkan di hadapan Allah dan Allah bertanya, ‘Wahai hamba-Ku, siapa yang menjadikanmu ketika dirimu masih tidak ada?’ Dia menjawab, ‘Engkau wahai Tuhan’. Allah bertanya, ‘Adakah ia disebabkan amalanmu atau rahmat-Ku?’ Dia menjawab, ‘Bahkan dengan rahmat-Mu.’ Allah bertanya, ‘Siapakah yang memberi kekuatan kepadamu untuk beribadah selama 500 tahun?’. Dia menjawab, ‘Engkau wahai Tuhanku’. Allah bertanya lagi, ‘Siapakah yang menempatkan engkau di atas bukit di tengah-tengah laut, mengeluarkan air segar yang tawar daripada sumber air laut yang masin, menumbuhkan sebiji buah delima sedangkan sesungguhnya ia hanya akan berbuah sekali sahaja dalam satu tahun, dan engkau mohon kepada-Ku untuk mati dalam keadaan sujud lalu Aku melakukannya?’. Jawabnya, ‘Engkau wahai Tuhanku’. Firman Allah semua itu adalah dengan rahmat-Ku’. (Ke Arah Haji Yang Mabrur, 23-24)
Mesej yang jelas di sini ialah bahawa sembahyang kita bukanlah amalan yang akan membawa ke syurga. Jadi betapa banyak mana sekalipun sembahyang yang kita lakukan, umpamanya mengikut riwayat ini ialah 500 tahun, belum dapat menjamin masuk syurga atau menjauhkan dari api neraka.