Monday, January 25, 2016

Yang betul adalah yang nutral

Dalam posting yang lalu saya telah tutup dengan satu persoalan, Yang mana satu betul? Saya telah sebutkan bahawa dalam menentukan jalan hidup nampaknya manusia itu keseluruhannya adalah bercelaru dan saling keliru tanpa sebarang harapan untuk mencari yang mana satu betul dan yang mana satu palsu. Ini ibarat seorang yang teraba-raba dalam gelap, tidak yakin di mana mereka berada, dari mana mereka datang dan ke mana arah tuju mereka. Dalam situasi ini, kita sendiri merasa ajaib memikirkan sekiranya ada satu cara bagaimana hendak mengenali yang mana satu betul.
Bagi menjawab persoalan di atas ini, tentu kalian setuju jika saya katakan bahawa yang betul itu haruslah yang dapat diterima ramai. Dalam konteks negara Malaysia, pegangan itu mestilah yang serasi dan diterima oleh setiap kelompok keturunan bangsa - Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, dan lain-lain. Dalam konteks manusia dalam sebuah masyarakat yang global pula, perlu berpegang kepada satu peraturan yang nutral untuk semua kelompok bangsa semua negara.
Peraturan yang nutral itu pastinya adalah yang natural. Tetapi apakah ciri-ciri natural yang hendak dibukukan? Siapakah pula yang layak untuk menentukan sesuatu peraturan itu adalah natural. Natural dalam kontek apa, atau bangsa apa? 
Jika ini yang terjadi, maka masing-masing kelompok bangsa atau negara tertentu akan menyatakan bahawa mereka mempunyai yang terbaik. Bagi kelompok agamawan, akan mengemukan agama-agama tertentu sebagai yang terbaik. Agama Budah adalah yang terbaik, agama Hindu pula akan mendakwa sebagai yang terbaik, begitu juga Islam mahupun agama-agama lain. Bagaimana pula halnya bagi kalangan bangsa-bangsa atau keturunan yang tidak percaya kepada agama seperti golongan Atheist tadi?
Bagaimana sekiranya saya katakan bahawa yang natural itu mestilah yang serasi dengan kejadian manusia, semua manusia sama ada yang sedang tinggal di bandar atau di kampung atau di pedalaman, malah di mana sahaja dan negara mana sekalipun. Hidup yang natural adalah cara yang sesuai dengan kejadian manusia, memenuhi keperluan hidup individu dan masyarakat keseluruhannya. Kesesuaian itu pula adalah yang bertujuan untuk mencapai pengertian dan tujuan hidup yang sebenar, iaitu mengekalkan keadaan semulajadi atau nature kejadian manusia itu.

Asal Kejadian Manusia

Setiap makhluk adalah dicipta mengikut satu sukatan dan perjalanannya mengikut hukum yang ditentukan. Setiap manusia dikurniakan dengan nilai-nilai dalaman dan pengetahuan oleh Sang Pencipta. Nilai-nilai dalaman yang semulajadi inilah yang membentuk moral sense yang natural yang membolehkan seseorang mengenali yang mana baik dan cantik seperti bercakap benar, menunaikan janji dan bersyukur. Dengan moral sense juga manusia boleh mengenali apa yang tidak baik dan buruk laku seperti membohong, menipu dan angkuh.
Seorang kanak-kanak yang berkata, ‘Macamana ni, kan dah janji’ atau seorang yang mencabar kaki buli, ‘Apakah kau rasa kalau orang lain buat pada kau macam ni’, kedua-duanya ini adalah menunjukkan nilai dan sikap yang standard - dalam hal ini ialah kejujuran dan keadilan, bagi manusia keseluruhannya kerana setiap orang dilahirkan dengan nilai-nilai dalam itu. Tidak kira dari mana dan di mana manusia itu, apa bangsanya sekalipun, sudah dibekalkan dengan nilai-nilai dalaman tersebut.
Moral sense yang natural ini adalah satu caranya Sang Pencipta sediakan untuk manusia mengenali perkara-perkara yang betul dan yang salah, dan kebolehan menakkul. Dia mencipta universe untuk menggerakkan manusia berfikir tentang adanya Tuhan, kuasa-Nya dan anugerah-Nya. Banyak bukti dan tanda-tanda tentang penciptaan universe ini, yang akan dijelaskan kemudian.

 Allah juga telah menetapkan setiap makhluk ciptaannya mempunyai kemampuan-kemampuan tertentu: manusia mempunyai kemampuan yang tidak sama dengan para malaikat, tumbuhan juga mempunyai kemampuan yang tidak sama dengan manusia, manakala makhluk yang tidak hidup pula sudah pastinya tidak mempunyai kemampuan seperti mana tumbuhan dan manusia. Apakah dia kemampuan-kemampuan yang ditetapkan oleh Allah kepada setiap makhluk ciptaan-Nya.
Endang Saifuddin Anshari menulis dalam bukunya bahawa makhluk Allah mempunyai tujuh kesanggupan iaitu,
1.      Makan,
2.      Tumbuh,
3.      Berkembang biak,
4.      Pengamatan hal-hal yang istimewa,
5.      Bergerak di bawah kekuasaan,
6.      Tahu mengenai hal-hal umum, dan
7.      Berkehendak dan memilih dengan bebas.
Kesanggupan yang disebut beliau itu ialah kemampuan. 
Namun tidak kesemua makhluk dianugerahi Allah swt dengan kesemua kemampuan tersebut. Bagi tumbuhan beliau mencatatkan hanya mempunyai tiga kemampuan sahaja iaitu, 1, 2 dan 3 sahaja, bagi haiwan pula Allah swt anugerahi dengan lima kemampuan iaitu 1, 2, 3, 4, dan 5, manakala manusia Allah swt anugerahi dengan kesemua tujuh kemampuan tersebut iaitu 1 hingga 7.
 Justeru, dengan pembentangan yang ringkas sahaja tentang asal kejadian manusia seperti di atas ini, dapatlah kita menggunakan kuasa takkulan akal budi kita untuk mencari pendekatan bagaimana caranya hendak menjalani kehidupan. Pertama, sudah pasti kita tidak boleh menjalani kehidupan seperti mana haiwan, apalagi tumbuhan dan lain-lain makhluk. 
Dari semasa ke semasa kita akan ketemui lagi aspek-aspek yang berkaitan dengan asal kejadian manusia. Buat masa ini keetahuilah dahulu tuntutan-tuntutan 7 kemampuna di atas bagi dijadikan asas menjalani kehidupan, iaitu hidup secara natural. Itulah caranya yang betul. Namun barang diingat bagi kemampuan yang ke-7 itu tidak bererti anda boleh melakukan apa sahaja yang anda mahu, bila-bila masa yang anda mahu, dan bagaimana cara yang anda mahu kerana anda dibekali dengan moral sense.

No comments:

Post a Comment