14 May 2016

Sikap terhadap isu sekitaran



Nilai kemuliaan semulajadi manusia seperti kebenaran, kebaikan, kasih sayang, keadilan, dan kecantikan telah dan sedang berterusan terabai secara meluas, malah bagi sesetengah negara diterbalikkan. Akibat daripada itu, Islam yang sepatutnya sebagai cara hidup untuk kesejahteraan sekalian alam termasuk manusia seperti yang disebut oleh ayat 107 surah al-Anbiya’ itu sudah hilang fungsinya. Jadi, apa yang kita dapati ialah berjuta-juta orang di dunia hari ini dilanda oleh pengisaran kemiskinan dan kebuluran, dengan penindasan dan eksploitasi, dengan keganasan dan kesan-kesan yang buruk dari peperangan yang tidak adil. Berjuta-juta yang lain pula menderita akibat daripada kejahilan dan mengejar cita-cita palsu, dan akibat daripada apa yang mereka telah lakukan kepada bumi Allah dan makhluk Tuhan
Fenomena di atas ini menyebabkan imej Islam sebagai cara hidup hanya tinggal sebagai selogan-slogan maya – ada tetapi tidak dapat dilihat atau dipegang. Sebaliknya segala kebejatan itu tadi yang dilihat sebagai cara hidup yang lebih praktikal. Bagi kalangan orang Islam yang benar-benar mempunyai kefahaman yang tepat tentang Islam mereka sedar tentang perkara ini. Mereka sedar bahawa fenomena kehidupan hari ini bukanlah cara hidup yang dianjurkan oleh Islam. Tetapi kebanyakannya hanya mampu melihat dan menyesali sahaja, seakan-akan tidak ada jalan untuk memperbaikinya, lebih-lebih lagi kerana berlaku di negara-negara luar sana. Bagaimanapun apakah cukup sekadar mengetahui, melihat, menyesali sahaja, dengan kata lain apakah itu yang diajarkan oleh Islam lantaran kejadiannya berlaku bukan dalam negara. Atau apakah kita yang memegang amanah sebagai khalifah di bumi ini rasa sudah terlepas dari tanggungjawab setelah melibat diri dengan keadaan-keadaan dalam negara sendiri sahaja!

Apakah perkaitannya dengan diri kita!

Menurut Islam, manusia hidup di muka bumi ini sebagai pemegang amanah sepatutnya mengambil berat terhadap gejala yang melanda manusia dan alam sekitar, dan amanah ini bukanlah terbatas kepada isu-isu dalam negara sahaja.
Amanah bukanalah sesuatu yang boleh dipunyai oleh seseorang, tetapi adalah tanggungjawab dan kewajipan bagi mengujudkan keamanan dan keadilan, bebas daripada kelaparan dan ketakutan. Manusia, sebagai pemegang amanah Allah mempunyai tanggungjawab untuk memastikan bahawa hak-hak menikmati sumber-sumber bumi tidak disalahgunakan – tidak boleh mencemarkan air bumi dan tidak pula menyembelih haiwan kecuali untuk makanan atau untuk mengelakkan penyebaran penyakit.
Manusia yang dalam dirinya ada iman dan hati nurani sepatutnya merasa tersentuh oleh isu-isu ketidakadilan yang berlaku dan penderitaan-penderitaan yang sedang dirasai oleh mangsa, malah makhluk keseluruhannya seperti di atas itu.
Sebagai khalifah rasa kepedulian boleh kita mulakan atas kapisiti diri kita sebagai individu, bukan mesti bersama dengan yang lain dalam satu kumpulan. Ini kerana manusia memang perlu saling bergantung antara satu sama lain, dan tidak mustahil seseorang individu boleh mengubah nasib ribuan manusia yang berselerak di pelusuk dunia ini. Seseorang yang memiliki harta dan kuasa pada bila-bila masa sahaja boleh bertindak sendirian.
Dengan segala kemajuan teknologi yang ada hari ini menyebabkan dunia ini seperti sudah menjadi kecil – berita, barangan dan manusia bergerak pantas, dan begitu juga penyakit, kemerosotan ekonomi dan sebagainya boleh memberi kesan terhadap diri kita sendiri. Seseorang yang tinggal dalam lingkungan daerah yang berlaku wabak penyakit belum tentu selamat, mungkin juga terdedah kepada jenayah kecurian dan samun yang dilakukan oleh mereka yang kelaparan, dan sebagainya.
Jika setiap individu menyedari amanah terhadap manusia lain dan sekitaran yang ditanggungnya, sudah memadai untuk menjadi bekal bagi membuat pembaikan. Sebagai pemegang amanah kita sepatutnya berfikir, paling kurang:
·      kekayaan yang ada dalam kuasanya bukanlah hak anda yang mutlak tetapi harus ingat anda hanya sebagai pengurusnya,
·      mahu melihat manusia hidup dalam aman dan di bawah keadilan,
·      mahu melihat mereka bebas dari keadaan kelaparan dan ketakutan,
·      merasai ada tanggungjawab agar segala nikmat yang diperolehinya dari sumber-sumber bumi tidak disalahguna, umpamanya mencemarkan sumber air, membunuh binatang selain daripada untuk makan, tidak menimbulkan gajala penyakit atau menyebarkannya.
Hanya individu yang merasa ada ikatan yang erat antara dirinya dengan Tuhannya sahaja yang akan menyahut seruan-seruan di atas ini, yang akan mendorongnya untuk mengambil tanggungjawab. Jika tidak kita akan tergolong dalam golongan mereka yang mengkhianati agama, yang memperlekeh agama seperti yang disebut dalam surah al-Maun ayat 1-3, iaitu orang-orang yang tidak ambil peduli terhadap golongan miskin.
Surah al-Maun menunjukkan bahawa Islam tidak menetapkan upacara agama yang ritual semata-mata, tidak juga sekadar dogma yang tidak bermaya, atau budaya misteri. Tetapi Islam haruslah yang dapat menanam benih kepercayaan kepada Tuhan dan tanggungjawab universal untuk manusia sejagat. Kebertanggungjawaban adalah untuk manusia keseluruhannya, tanpa mengira fahaman agama, bangsa atau warna kulit. Ini adalah selaras dengan ayat 107 surah al-Anbiya’ yang menyatakan bahawa peranan dan mesej Nabi saw adalah untuk kesejahteraan seluruh alam. Apabila disebut seluruh alam bererti tidak terbatas kepada satu-satu tempat sahaja tetapi menjangkau alam jagatraya di luar sana.
Tentu ada yang tertanya-tanya, misalnya, apakah yang dapat manusia lakukan kepada alam di luar sana? Kita ambil satu contoh. Bahan chloro-fluoro-carbon (cfc) yang digunakan untuk bahan-bahan semburan seperti semburan anti serangga itu boleh memusnahkan lapisan ozon bumi. Lapisan ozon Allah swt jadikan sebagai perisai yang melindungi manusia dari pancaran lampau-ungu (uv) yang berlebihan, justeru harus dipelihara kewujudannya. Sebagai individu boleh sahaja mengambil langkah mengawal penggunaannya atau jika mungkin mengelakkannya bagi mengurangkan kesan dan akibatnya. Penebangan hutan yang tidak terkawal oleh individu yang tamak pula boleh membawa kepada pemanasan global, justeru ini harus dielakkan. Ini hanya sekadar dua contoh sahaja apa yang dapat dilakukan oleh seseorang individu.
Manusia yang mempunyai hati nurani dalam dirinya sepatutnya merasa tersentuh oleh ketidakadilan dan penderitaan yang dialami oleh manusia lain dan makhluk Allah secara keseluruhannya. Sebagai makhluk yang dikurnia dengan hidayah akal budi, agama dan taufik, seharusnya ada sedikit perasaan kerana tindakan seseorang individu boleh menjejaskan mata pencarian dan keselamatan beribu-ribu orang di dalam negara mahupun di negara-negara lain di dunia yang kita tahu memang saling berhubung kait. Kepantasan perjalanan manusia, berita, dan barang-barang, sepantas itu juga dengan penyebaran penyakit. Naik turun ekonomi dan kemusnahan dari peperangan jarak jauh akan memberi kesan kepada setiap orang di bahagian mana dunia sekalipun. Apakah kita rasa segala kebejatan yang melanda itu tidak ada kaitannya dengan kita. Misalnya, apabila negara tempat kita memasarkan produk kita dilanda masalah apakah kita tidak akan merasai kesannya!

No comments: