Tuesday, June 14, 2016

Ibadah puasa: Keutamaan ilmu berbanding amal


Ibadah puasa yang tidak sampai mencapai matlamatnya boleh dianggap sebagai ibadah adat sahaja. Ini bukan bererti bahawa orang-orang yang sebegini sengaja memilih jalan ini, tetapi besar kemungkinannya kerana tidak mempunyai ilmu pengetahuan; ilmunya setakat yang diperolehi ketika di bangku sekolah. Rugilah. 
Jadi di sini ingin diturunkan sedikit secara ringkas tentang kepentingan ilmu tentang puasa, agar amal yang kita lakukan itu mencapai matlamatnya. Hal ini sangat penting lantaran puasa adalah salah satu rukun Islam. Rukun bererti asas, tonggak, tiang, manakala Islam adalah cara hidup. Jadi dengan ilmu ini kita boleh gunakan untuk dijadikan asas etika dan peraturan hidup supaya kita menjadi orang yang lebih beriman.

Matlamat ibadah pasa
Tujuan atau matlamat sesuatu ibadah adalah terselindung di sebalik hukum-hakam, pergerakan-pergerakan atau bacaannya. Misalnya, bagi ibadah sembahyang matlamatnya terselindung di sebalik rukun-rukun qalbi, qauli dan feeli di samping hukum-hakamnya, bagi ibadah haji pula terselindung di sebalik hukum-hakam dan perlakuan-perlakuan yang ditetapkan di dalamnya, tetapi bagi ibadah zakat dan puasa, yang tidak ada rukun feeli misalnya mungkin agak sukar mengenalinya, melainkan dengan ilmu yang kita perolehi dari bacaan-bacaan atau dalil-dalil naqlinya. Untuk ini harus ada sedikit usaha untuk menyelongkarnya, namun pokoknya ialah tanggapan kita terhadap sesuatu ibadah itu – jika kita bertanggapan bahawa setiap ibadah ada matlamatnya seperti yang disebut oleh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi itu, maka kita akan berusaha mencarinya, tanggapan kita itu menjadi pendorongnya, sebaliknya jika kita tidak mempunyai tanggapan tersebut maka matlamatnya jauh daripada kita, inilah sebabnya kita diwajibkan menuntut ilmu sebelum beramal. Kata Yusuf al-Qaradhawi, ‘Ilmu itu harus didahulukan daripada amal, kerana ilmu merupakan petunjuk dan pemberi arah terhadap amalan yang akan dilakukan’ (Fiqh Keutamaan, 79).
Kenyataan beliau ini disertakan pula dengan hadis yang maksudnya, ‘Ilmu itu pemimpin, dan amalan adalah pengikutnya’. (Fiqh Keutamaan, 79)
Ilmulah yang akan memandu kita bagaimana caranya yang betul untuk melakukan sesuatu amalan, tanpanya boleh membawa kepada amalan kita terbatal, ini mencakupi amalan khusus iaitu sembahyang, zakat, puasa dan haji, dan amal-amal ibadah yang lain. Bagi ibadah sembahyang misalnya, seseorang yang tidak mempunyai ilmu tentang syarat-syarat sujud boleh menyebabkan sujudnya batal dan sekali gus membatalkan sembahyangnya, bagi ibadah haji seseorang yang kurang faham tentang haji ifrad, haji tamatu’ dan haji qiran boleh menyebabkan hajinya batal juga, begitu juga yang lain-lain. Serupa juga halnya seseorang yang tidak berilmu tidak akan menyedari bahawa ibadah puasa kita ada matlamatnya menyebabkan ibadah yang dilakukan itu sah tetapi ditolak, di akhirat kelak tidak diterima, begitulah betapa pentingnya ilmu untuk mengenali konsep sesuatu ibadah.
Tanpa ilmu juga menyebabkan seseorang yang pada zahirnya kaki sembahyang tetapi masih melakukan kemungkaran sama ada yang kecil mahupun yang besar, inilah yang dimaksudkan oleh satu ayat dalam al-Quran, yang maksudnya, Sesungguhnya yang takut kepada Allah antara hamba-hambanya hanyalah ulama’… (Fatir, 35: 28). Ulama’ dalam ayat ini adalah bermaksud orang yang berilmu, bukan ulama’ seperti yang ditanggapi oleh kebanyakan kita. Manakala sebuah hadis pula menyebut, yang maksudnya, ‘Sesiapa menghendaki kebaikan daripada Allah maka hendaklah dia memahami ajaran agamanya’ (Fiqh Keutamaan, 81).
Apabila kita memahami ajaran agama kita akan beramal dan amalannya baik serta diterima. Inilah juga sebabnya ayat yang pertama diturunkan ialah Bacalah. Ada baiknya jika saya turunkan serangkai kata dari Umar Abdul Aziz, yang maksudnya, ‘Sesiapa yang melakukan suatu pekerjaan tanpa ilmu pengetahuan berkenaan dengan perkara itu maka apa yang dirosakkan adalah lebih banyak daripada apa yang dia perbaiki’ (Fiqh Keutamaan, 82).
Sehubungan ini Imam Hasan al-Basri mengingatkan, ‘Orang yang beramal tetapi tidak disertai dengan ilmu pengetahuan tentang perkara tersebut bagaikan orang yang berjalan tetapi tidak menyusuri jalan yang sebenar; orang yang melakukan sesuatu tetapi tidak mempunyai pengetahuan tentang sesuatu itu maka dia akan membuat keburukan yang lebih banyak daripada kebaikan yang dilakukan’ (Fiqh Keutamaan, 84).
Demikianlah betapa pentingnya ilmu pengetahuan sebelum beramal, dan kesan dan akibat orang yang beramal tanpa ilmu pengetahuan tentang amalan yang dilakukan.
Begitu juga halnya dalam ibadah puasa, memerlukan ilmu tentang puasa, tanpanya ibadah puasa kita mungkin menjadi sia-sia sahaja; tanpa ilmu pengetahuan juga kita tidak dapat mengenali matlamatnya, kerana tidak mempunyai kemahiran untuk menyelaminya maksud keterangan-keterangan mahupun ayat al-Quran yang berkaitannya, menyebabkan kita tidak dapat melakukan sesuatu sewajarnya.
Insya Allah pada kesempatan lain jika diizinkan Allah akan saya sambung.  Untuk mencapai matlamat ibadah puasa akan saya sebutkan tentang Roh Ibadah Puasa dan diikuti dengan Puasa Membina Takwa sebagai contoh bagaimana harus kita berfikir tentang sesuatu ibadah, lebih-lebih lagi yang terkandung dalam Rukun Islam kita. Wallahu aalam.

No comments:

Post a Comment