Wednesday, June 29, 2016

Puasa adalah latihan jihad


Antara orang yang menjadi calon syurga, yang bererti sudah mendapat rahmat Allah, ialah orang-orang yang berjihad. Allah berfirman, (iaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu (as-Saf, 61: 11). Ayat ini menyebut dengan jelas menyebut bahawa jihad harta akan dibalas dengan syurga. Ini kerana orang-orang itu dianggap sudah bersih dari dosa-dosanya. Hal ini disebut oleh ayat 12 surah yang sama, nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosanya dan memasukkan kamu ke dalam syurga (as-Saf, 61: 12)
Satu ayat lain yang sama maksudnya ialah Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian’. (Fatir, 35: 29)
GEL AMANI penawar sakit lutut dan sendi. Mengembalikan ayah dan ibu
solat berdiri tanpa sakit lutut lagi. +6019-2248404 (Mohamad)
Apakah perkaitannya dengan ibadah puasa?
Seperti yang dapat kita lihat sendiri bahawa dalam bulan puasa banyak amalan menginfakkan harta, seperti memberi makanan atau kuih muih kepada jiran atau menghantarnya ke masjid atau surah, memberi sedekah pada kadar yang lebih daripada biasa, dan sebagainya. Ini juga boleh dilihat sebagai satu jalan jihad harta.
Alangkah baiknya jika kebiasaan ini disertakan dengan niat sebagai latihan-latihan bagi membina sikap suka menginfakkan harta. Namun bukan semua orang yang menjalani ibadah puasa mempunyai tanggapan seperti ini. Hanya orang-orang yang mempunyai tanggapan bahawa ibadah puasa kita ada matlamatnya akan mendapat petunjuk ke arah ini.
Bagi merealisasikan niat ini kita harus mengekalkan aktiviti memberi makan dan sebagainya yang kita lakukan ketika Ramadan diteruskan dalam sebelas bulan yang berikutnya. Misalnya dalam bentuk mengajak kawan minum-minum, ringan tangan menghulur seringgit dua kepada anak-anak kecil dan sebagainya. Jika ini dapat dilakukan sehingga mencapai tahap ikhlas insya Allah niat di atas ini akan menjadi kenyataan.
Sikap suka menginfakkan harta akan menjurus kepada sikap seterusnya iaitu menderma dan memberi bantuan harta kepada yang memerlukan. Kebiasaan-kebiasaan ini akan menjurus pula kepada tahap jihad yang lebih tinggi lagi iaitu berkongsi harta kepunyaan kita dengan orang lain. Misalnya menggunakan harta yang kita ada untuk membangunkan orang-orang miskin sehingga dapat berdikari, bukan lagi hanya setakat menyantuni mereka dengan menghulur dua tiga puluh ringgit sahaja.
Selain jihad harta, jihad juga mencakupi jihad melawan nafsu dan melawan godaan-godaan dan rintangan dalam mentaati Allah s.w.t. Sabda Rasulullah saw, maksudnya, Orang yang berjihad adalah orang yang memerangi hawa nafsunya dalam mentaati Allah Taala (Hadis al-Baihaqi).
Jihad melawan nafsu adalah memerangi sifat kehaiwanan, dan membendung kejahatan, seperti yang disebut dalam ayat, yang maksudnya, Sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhan-ku (Yusof, 12: 53).
Satu lagi matlamat ibadah puasa ialah membuang sifat bercakap joros, lucah, kotor, menyakitkan hati orang lain, dan sebagainya. Sifat ini adalah didorong oleh nafsu, dan usaha-usaha melawannya biarlah sehingga mencapai tahap membuangnya terus.  
Justeru, ibadah puasa kita biarlah yang dapat membentuk sikap-sikap seperti yang dicontohkan di atas ini. Ada banyak lagi selain daripada yang di atas ini. Jadi ibadah puasa yang dapat membentuk sikap-sikap berjihad seperti di atas ini akan mendapat rahmat Allah, sebaliknya, jika amalan-amalan ini hanya dilakukan ketika bulan puasa sahaja, maka matlamatnya tidak tercapai, bagaimana pula hendak mengharap rahmat Allah kerana puasanya tidak memberi bekas dalam dirinya.

Menghayati sifat-sifat Allah
Puasa juga mengajar kita agar menghayati sifat-sifat Allah swt. Dengan mengingati sifat-sifat Allah maka kita akan mendapat kesedaran bahawa Allah amat hampir dengan kita. Nabi pun pernah bersabda yang maksudnya, ‘Berakhlaklah (teladanilah) sifat-sifat Allah’.
Tidak dapat dinafikan bahawa keperluan manusia adalah beranika ragam. Yang paling jelas ialah keperluan terhadap makan-minum dan hubungan kelamin. Semua orang, sama ada yang kaya atau miskin, di manapun tempat tinggalnya, apa bangsa sekalipun, mempunyai keperluan ini. Manusia memang diberi kemampuan untuk menyempurnakan kedua-dua keperluan tersebut, tetapi, mengapakah ditetapkan bahawa antara perkara-perkara yang membatalkan puasa ialah mengadakan hubungan kelamin? Persoalan ini sebenarnya berkait dengan matlamat ibadah puasa. Jika seseorang yang berpuasa mengingat hal ini akan membawa kepada ingatan kita terhadap sifat-sifat Allah swt, iaitu Allah itu Maha Esa, tidak beranak dan beristeri seperti yang tersebut oleh ayat-ayat surah al-Ikhlas. Katakanlah (Muhammad), Dialah Allah Yang Maha Esa. (Allah) tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Hal ini disebut juga dalam ayat: Bagaimana (mungkin) Dia mempunyai anak padahal Dia tidak mempunyai isteri (al-Anam, 101), dan sesungguhnya Mahatinggi keagungan Tuhan kami, Dia tidak beristeri dan tidak beranak (al-Jinn, 3).
Antara sifat Allah yang lain ialah tidak makan, seperti yang disebut oleh ayat, Katakanlah (Muhammad), apakah aku akan menjadikan pelindung selain Allah yang menjadikan langit dan bumi, padahal Dia memberi makan dan tidak diberi makan? (al-Anam, 14)
Dari ayat-ayat yang diturunkan di atas ini menunjukkan bahawa Allah tidak mengadakan hubungan kelamin, tidak makan, malah memberi makan. Kerana inilah seseorang yang berpuasa, dilarang melakukan semua itu, jika dilakukan juga, batal puasa. Jadi, ibadah puasa ini boleh ditakrifkan sebagai latihan untuk meneladani sifat-sifat Allah yang tersebut. Jadi ketahuilah bahawa perkara-perkara yang membatalkan puasa kita itu antara tujuannya ialah bagi mengingati dan mendekatkan lagi hubungan diri dengan Allah. Justeru ketika menjalani ibadah puasa sedarilah yang satu ini bagi mendapat rahmat dari ibadah puasa kita.
Ketika menjalani kehidupan seharian pula jadikanlah ini sebagai asas kepada kesedaran sifat-sifat Allah yang lain-lain, seperti Maha Pemurah, Maha Mengasihani, Maha Pengampun, dan sebagainya semoga kita juga akan menjadi seorang yang pemurah, pengasih dan penyayang, pengampun dan sebagainya. Di samping itu pula, cara ini boleh menghakis keraguan-keraguan tentang sifat Allah yang tersebut itu, iaitu Allah tidak bersifat sepertimana makhluk: Allah tidak makan dan tidak minum, bahkan memberi makan, dan Allah tidak mengadakan hubungan kelamin. Kita juga mampu memberi makan kepada orang lain ketika berbuka puasa, dan mampu juga untuk tidak mengadakan hubungan kelamin pada waktu siang sepanjang bulan puasa, walaupun banyak masa bersama dan bergaul bebas dengan isteri kita. Jadi, ibadah puasa kita harus disertakan juga dengan niat untuk meneladani sifat-sifat Allah yang tiga itu sebagai contoh.
Namun harus diingat, sifat-sifat Allah tidaklah terbatas kepada tiga perkara tersebut, tetapi paling kurang kita cuba mencontohi sifat-sifatNya yang tiga ini melalui ibadah puasa. Kita mampu melakukannya kerana itulah ianya dijadikan sebagai antara sebab-sebab yang membatalkan puasa.
Tahap kesedaran inilah yang akan membezakan nilai ibadah puasa antara seorang dengan yang lain. Orang yang berpuasa, yang dalam dirinya hadir unsur-unsur tersebut, tentunya akan mendapat ganjaran yang lebih berbanding dengan yang hanya menahan diri dari lapar dan dahaga. Begitu pun, tahap kesedarannya boleh berbeza-beza dengan orang lain: orang berpuasa yang mempunyai tahap kesedaran yang lebih tinggi tentunya lebih baik dari orang yang kesedarannya lebih rendah. Inilah sebabnya Allah memberitahu kita bahawa ibadah puasa adalah untukku yang bermaksud hanya Allah yang menilai puasa seseorang.

No comments:

Post a Comment