18 August 2016

Konsep Hubungan Keluarga Islam



Dalam posting yang lalu telah disebutkan bahawa dalam Islam asas kepada pembinaan sesebuah masyarakat yang stabil ialah keluarga, bukan individu. Kali ini kita akan melihat bagaimana caranya untuk membina kekeluargaan Islam.
Hubungan keluarga Islam bukan hanya terdiri daripada ibu bapa dan anak-anaknya sahaja, tetapi juga merangkumi datuk dan nenek, cucu, bapa saudara dan ibu saudara dan anak-anak mereka sekali. Hubungan ini dikukuhkan lagi oleh pelbagai undang-undang, misalnya undang-undang pergantungan dan pewarisan.
Dengan memelihara hubungan keluarga, pertalian antara satu generasi dengan generasi berikutnya akan berterusan dan terpelihara. Generasi yang mendatang dapat belajar tentang budaya dan tabiat Islam dengan mudah, ahli-ahli isi rumah bertindak sebagai sahabat dan rakan sepermainannya, lebih memberangsangkan lagi setiap ahli dalam sesebuah keluarga akan sentiasa berada dalam iklim yang harmoni dalam suasana yang prihatin dan perkongsian ruang dan masa.  Pada masa yang sama akan terbuang sikap indi-vidualisme, egotisme dan kesunyian dalam kehidupan keluarga Islam.
Keluarga Islam juga sentiasa bersedia bertukar ganti dalam peranannya, misalnya kanak-kanak yang ditinggalkan ibu atau bapanya atas sesuatu sebab, atau mencari nafkah di luar rumah, akan terbela dan terjaga dengan baik, sedia bergotong-royong dalam suasana keharmonian, walaupun terdapat perbezaan yang jelas antara seorang ahli dalam satu-satu keluarga, atau antara sebuah keluarga dengan keluarga yang lain dari sudut status sosioekonomi atau darjat, atau berbeza dari segi kemampuan dan keupayaan yang berkait dengan kejadian semulajadi manusia yang Allah jadikan.

Sikap ibu bapa terhadap anak-anak
Undang-undang Islam menghendaki ibu bapa mengambil tanggungjawab terhadap anak-anak, memberi pendidikan dan melatih mereka. Islam menetapkan tanggungjawab ibu bapa adalah bermula sejak seseorang anak itu dalam kandungan ibunya lagi. Tanggungjawab ini berterusan sehingga ke tahap memilih calon isteri atau suami. Ibu bapa dibenarkan meletakkan kriteria-nya seperti ketaqwaannya, keturunannya, kecantikannya dan kekayaannya, namun mengikut Rasulullah saw ketakwaannya adalah yang paling penting. Jadi bolehlah disimpulkan bahawa tanggungjawab ibu bapa bermula sejak pemilihan pasangan sebelum perkahwinan itu dari sudut kepercayaan, sikap dan perangainya. Jadi seintim manapun satu-satu pasangan itu, Nabi menasihatkan agar yang dapat melahirkan anak keturunan yang soleh.
Seseorang bakal ibu harus memastikan gaya hidup Islam sama ada penampilan fizikal dan psikologinya, jangan sampai menjejas-kan janin yang dikandungnya. Umpamanya harus menjauhkan dirinya dari mengambil dadah yang berbahaya. Dan sudah tentu sebagai seorang Muslim, menjauhi juga dari perkara-perkara yang dilarang seperti alkohol, merokok atau suntikan kokain. Sebagai persediaan menyambut kelahiran anaknya secara keseluruhan bakal ibu perlu memastikan bahawa dirinya sendiri sentiasa dalam persekitaran dan emosi yang stabil.
Selepas kelahirannya pula peranan sebagai ibu lebih mencabar lagi. Menurut al-Quran sebelum usia dua tahun harus disapih dari susuannya. Peringkat usia dua atau tiga tahun itu adalah permulaan asuhan kanak-kanak. Ini menggambarkan bahawa penjagaan kebajikan, asuhan, dan pembangunan pertumbuhan seseorang anak itu bukanlah tanggungjawab awam walaupun dengan alasan bagi membolehkan wanita mencebur diri dalam aktiviti sosio-ekonomi. Islam bertegas menghendaki ibu bertanggungjawab bagi menjamin keutuhan institusi kekeluargaan, yang bakal menjadi unit asas sesebuah masyarakat yang kukuh dan stabil.
Sebagai bapa pula, harus mempunyai sikap mengambil bahagian yang besar dalam proses tarbiyyah kanak-kanak itu, yang bermaksud mengujudkan iklim untuk pembesaran dan perkem-bangannya. Perkataan tarbiyah bermaksud memiliki, menjaga dan menghargai. Kesemuanya maksud tersebut ini membayangkan sensitiviti ke arah pembesaran kanak-kanak yang mencakupi keperluan jasmaninya dan kapasiti emosinya. Dengan demikian akan dapat menumbuhkan keupayaan dan membangkitkan keyakinan diri, membangkitkan keberanian menegakkan kebenaran dan menggalakkan kreativiti dan inovasi. Ia juga membayangkan keupayaan untuk amanah dan tidak menyekat, bersikap tegas apabila diperlukan dan mengenakan sekatan apabila perlu. Peranan ibu bapa dalam pendidikan, pembentukan dan pembangunan kanak-kanak ditekankan dalam hadis yang terkenal, Setiap kanak-kanak dilahirkan dalam keadaan semulajadi yang baik; ibu bapanya yang menjadi-kan dia seorang Yahudi atau Nasrani.
Mengikut skop jaringan hubungan yang dikehendaki Islam, bukan sahaja ibu bapa yang memegang peranan dalam tarbiyyah generasi baru, tetapi juga datuk dan nenek, bapa saudara dan ibu saudara, adik-beradik dan saudara-saudara, jiran-jiran dan guru-guru juga, malah sekitarannya juga.
Sebagai datuk dan nenek, boleh menggunakan pengalaman-nya untuk membentuk kanak-kanak yang boleh menggembirakan ibu bapanya. Lihatlah bagaimana Nabi menunjukkan contoh dalam penjagaan sebagaimana baginda menjaga anak perempuan baginda Fatimah dan kasih sayang baginda terhadap anak-anak baginda, Hasan dan Husain. Malangnya fenomena menunjukkan ramai kanak-kanak hari ini dinafikan haknya lantaran ibu bapa meng-utamakan kecemerlangan kerjaya. Dalam situasi yang tidak boleh dinafikan ada anak-anak yang tidak mempunyai datuk nenek yang menghargai dan menyayangi mereka lantaran berjauhan.

No comments: