Sunday, February 28, 2016

Mencari rahmat Allah dari perkahwinan



Menikmati dan memelihara kehidupan berkahwin

Satu ayat dalam al-Quran menyebut, ‘Mereka (isteri) adalah pakaian bagi kamu dan kamu (suami) adalah pakaian mereka. (al-Baqarah 2: 187)
Ayat ini mengibaratkan perkahwinan seperti pakaian, yang bermaksud untuk menjadi satu keselesaan, perlindungan, dan keselamatan.
Untuk mendapat kebahagiaan segala-galanya bergantung sepenuhnya kepada kehendak, niat dan sikap suami dan isteri. Namun ada satu faktor lagi ialah bahawa perkahwinan jangan dilihat kepada perkahwinan itu sendiri tetapi harus menyertakan juga ketakwaan kepada Allah swt. Jika ini cara kita berfikir, seseorang suami atau isteri akan menjalankan peranan dan melunaskan hak mereka bukan atas dasar perintah atau larangan suami atau isteri tetapi atas tuntutan hukum Allah. Hal ini berkaitan dengan entry sebelum ini iaitu setiap amalan harus kerana Allah. Apakah yang dimaksudkan dengan kerana Allah.
Bagi suami misalnya cara melayan isteri bukan atas ketetapan isteri tetapi kerana mengikut sunnah Nabi saw, yang menyebut, Suami yang baik adalah mereka yang baik terhadap isteri. Seorang suami yang melunaskan tanggungjawab terhadap isteri seperti memberi makan, tempat tinggal, pakaian dan pendidikan bukan atas dasar permintaan isteri tetapi atas sebab hukum memerintahkan sedemikian. Seorang suami yang berhajat bersama dengan isterinya hendaklah melakukannya dengan cara yang mesra, lembut sepertimana yang dicadangkan oleh Nabi saw, bukan paksaan seperti mana haiwan. Si isteri harus ingat juga ayat 223 al-Baqarah, yang menyebut Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai. Namun mengikut sebuah hadis menyebut, asalkan bukan dubur.

Tanggungjawab seorang suami

Sebagai suami, cara anda melayan isteri adalah sebagai ujian moral untuk anda. Nabi saw bersabda, "Yang terbaik di antara kamu adalah mereka yang terbaik untuk isteri-isteri mereka'. Seorang suami mesti memenuhi keperluan isteri dan menyediakan beliau dengan makanan yang mencukupi, pakaian, rumah perkahwinan dan pendidikan penting. Selain daripada itu, mengikuti contoh Rasulullah, membantu isteri dengan kerja-kerja rumah.
Apabila anda berhajat melakukan hubungan seks dengan isteri, Rasulullah menghendaki kita mengikut cara baginda iaitu perlu memikatnya dan mendekatinya dengan cara yang lembut, bukan dengan cara yang kasar sebagai haiwan lakukan. Dan apabila anda telah klimaks anda perlu menunggu sehingga isteri juga mencapainya. Anda mempunyai tanggungjawab keseluruhan untuk menyediakan dan menguruskan rumah anda.

Tugas dan hak-hak isteri

Taat kepada suami dalam apa jua yang tidak melibatkan maksiat kepada Allah. Nabi saw bersabda, Jika seorang wanita melakukan solat harian yang lima, berpuasa pada bulan Ramadhan, menjaga kehormatannya dan dia taat kepada suaminya, berkata kepadanya: Masuklah ke dalam Syurga melalui mana-mana pintu yang anda suka. Ada satu perkara khususnya di mana isteri perlu berusaha untuk tidak menolak apabila suaminya menjemputnya ke katil.
Anda mempunyai hak untuk memberi pandangan dan cadangan dalam semua perkara tetapi peranan yang terbaik dalam menjaga hubungan perkahwinan kekal utuh dan kuat adalah mengiktiraf suami sebagai orang yang bertanggungjawab bagi mengurus keluarga. Ini adalah peraturan umum.
Sangat beruntunglah bagi seorang isteri. Mudahnya seseorang isteri untuk mendapat syurga hanya dengan melakukan dua tiga perkara yang tersebut itu. Orang yang masuk syurga itu bererti dia mendapat rahmat Allah swt.

Friday, February 26, 2016

Sikap terhadap harta



Sebagai seorang yang mukallaf kita wajib bekerja untuk menyediakan keperluan-keperluan diri sendiri dan orang-orang yang secara naturalnya bergantung hidup kepada kita, seperti ibu bapa jika mereka sudah tua, atau anak-anak kita yang masih belum dewasa.
Secara natural adalah suatu hakikat bahawa hampir semua aspek untuk membangun kehidupan adalah berkaitan dengan orang lain. Justeru, kita harus mengekalkan struktur sosial yang natural dan stabil. Caranya, semua urusan termasuklah urusan perniagaan dan komersil, harus berdasarkan sifat kejujuran, keadilan, tanggungjawab, dan persaudaraan secara natural. Sebarang urusan yang bercirikan kecurangan, penipuan, ketidakadilan, sama ada pada tahap yang kecil dan jangka pendek, atau kes putar-belit yang licik dan yang membawa untung berlebihan, akan memusnahkan sifat semulajadi individu dan memecah-belahkan ikatan persaudaraan dan perpaduan masyarakat.
Islam menghendaki umatnya bekerja kerana ianya adalah satu kewajipan seperti kewajipan-kewajipan lain. Kemalasan, mengemis atau mengharap pemberian dari sumber negeri atau dari badan-badan amal semuanya memusnahkan maruah diri seseorang, malah mungkin kebebasan dirinya sekali. Ini tidak bermakna bahawa dalam masa kesukaran yang tulen kita tidak boleh mendapatkan bantuan dan sokongan daripada orang lain. Namun bekerja biarlah secara yang halal, kerana itu Islam melihat bahawa nilai-nilai etika diperlukan untuk menyelia pemerolehan harta dan perniagaan. Ini sebabnya mengapa Al-Ghazali, cendekiawan Islam yang terkenal, mencadangkan agar seseorang Muslim yang berhasrat menjalankan perniagaan sebagai profesyen hendaklah terlebih dahulu mempunyai kefahaman yang tepat dan menyeluruh kaedah-kaedah urus niaga Islam.

Kewajipan mencari nafkah

Diriwayatkan ada seorang lelaki di Madinah menemui Nabi untuk meminta sedekah. Nabi tidak terus menolak walaupun baginda memang tidak suka menggalakkan orang itu meminta sedekah, lalu bertanya, ‘Apakah anda tidak mempunyai apa-apa di rumah?’
‘Ada’, kata lelaki itu. ‘Sehelai selimut pelana yang kadang-kadang kami pakai, dan kadang-kadang kami hampar atas lantai, dan ada kalanya kami gunakan sebagai bekas air minum’.
Nabi menyuruh hamba Allah itu mengambilnya, lalu menjualnya kepada salah seorang sahabat dengan harga dua dirham, dan diserahkan kepada lelaki itu, sambil berkata, ‘Dengan satu dirham, beli makanan untuk keluargamu dan dengan satu dirham lagi untuk membeli kapak dan bawa kepadaku’.
Lelaki itu kembali dengan kapak, lalu Nabi menggunakan kapak itu untuk membelah sebatang kayu, kemudian mengarahkan, ‘Pergi dan kumpul kayu api, dan aku tidak mahu melihatmu selama lima belas hari’.
Lelaki itu akur dan selepas dua minggu dia telah mendapat keuntungan sebanyak sepuluh dirham. Dia mengadukan halnya kepada Nabi saw bahawa sebahagiannya digunakan untuk membeli makanan dan sebahagian lagi untuk pakaian. Nabi gembira dan berkata, ‘Ini adalah lebih baik daripada mendapat contengan pada muka kita pada hari kebangkitan’.
Kisah ini menekankan bahawa sebagai Muslim mukallaf, yang khususnya apabila mempunyai keluarga, harus mempunyai kewajipan untuk bekerja. Kita harus menggunakan inisiatif dan apa jua sumber yang kita ada untuk menyara hidup. Kegagalan berbuat demikian, bererti menconteng arang ke muka kita sendiri, yang bermaksud melakukan kehinaan terhadap diri dan keluarga, kerana sikapnya yang bergantung hidup kepada orang lain.
Cerita ini juga menunjukkan kaedah yang paling berkesan untuk menawarkan bantuan dan sokongan: jika kita memberikan bantuan kepada orang-orang yang berupaya, lengkap anggota dan mempunyai sumber, walau kecil sekalipun, kita tidak sepatutnya menghulur bantuan kewangan atau kebendaan kepada orang itu. Kita boleh membantu untuk memenuhi keperluan yang segera tetapi harus yang one-off, sebagai remedi jangka pendek. Bantuan yang berterusan itu sebenarnya menggalakkan sikap kebergantungan dan hilang harga diri orang berkenaan.
Dengan pendekatan yang mudah, praktikal dan berpandangan jauh seperti yang telah ditunjukkan oleh Nabi saw itu adalah contoh bagaimana caranya membantu orang-orang yang meminta-minta, dengan cara mendorong mereka untuk mencari jalan penyelesaian jangka panjang bagi memenuhi keperluan asas mereka. Nabi pernah menegaskan, ‘Sedekah tidak halal untuk orang kaya atau yang lengkap anggota badan’.

Sikap kesederhanaan

Islam mementingkan kebaikan, tidak kecukupan keperluan asas kehidupan dan hidup dalam keadaan kemiskinan, dilihat sebagai suatu keadaan yang menakutkan. Ii jelas apabila Nabi bersabda Kemiskinan boleh membawa kepada kefakiran yang bermaksud kemiskinan boleh menjurus kepada penolakan Tuhan dan kekufuran. Bagaimanapun, Islam adalah bersifat wasatiyah, dalam ertikata seimbang, di samping menitikberatkan hal-hal ketuhanan, tidak menghalang penganutnya untuk menikmati kehidupan dunia. Jadi bersama dengan usaha-usaha untuk menghapuskan kemiskinan, orang-orang yang beriman juga digalakkan untuk menikmati keseronokan hidup, bukan menyisihkannya, atau melebihkan yang satu dan mengurangkan yang satu lagi, tetapi biar seimbang. Namun berseronok biarlah dalam ertikata menikmati sebahagian daripada limpah kurnia Allah tetapi bukan yang membawa kepada terlalu materialistik, dan kemaruk untuk memperoleh lebih banyak lagi. Jadi, dalam Islam, cita-cita untuk menikmati kekayaan adalah tertakluk kepada sifat kesederhanaan yang dipanggil wasatiyah itu.
‘Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas; Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas’. (al-Maidah 5 :87)
‘Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) masjid, makanlah dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan’. (al-A’raf 7: 31)
Ayat-ayat di atas ini menyeru kita bersikap munasabah dan seimbang terhadap kekayaan dan kemewahan. Islam tidak menyisihkan kehidupan tetapi kehidupan itu haruslah yang memenuhi keperluan hidup, yang tidak melampaui batas-batasnya. Misalnya dalam hal makan-minum biarlah makan untuk hidup bukan hidup untuk makan. Dalam konteks ini, salah satu doa yang paling kerap diulang-ulang oleh Nabi dan Muslim, Ya Allah peliharalah kami, dan kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat.

Konsep kepunyaan harta

Islam menekankan bahawa harta yang ada pada kita bukanlah milik kita secara mutlak tetapi adalah sebagai harta yang diturunkan untuk kita menguasainya, seperti yang disebut oleh satu ayat, yang maksudnya,
‘Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan nafkahkanlah sebahagian dari hartamu yang Allah telah menjadikan kamu menguasainya’. (al-Hadid, 57: 7)
Ini disebabkan bahawa Allah yang menjadikan manusia, dibekali dengan otak yang mampu berfikir, jadi dengan otaknya, manusia sudah menjadi makhluk yang kreatif, mampu meneroka alam ini dan segala sumber yang ada, untuk memenuhi keperluan dan kemahuannya, antara hasilnya ialah harta yang kita perolehi itu.
Harta kekayaan yang dipunyai oleh seseorang itu adalah ketentuan Allah swt, bukan hasil dari usaha-usaha kita seratus peratus secara mutlak. Dengan logik akal pun dapat kita lihat bagaimana orang yang cerdik akalnya, boleh meraih harta kekayaan tetapi mendapat musibah di pertengahan jalan, lalu terbantutlah usahanya; atau seseorang yang lain yang menjalankan pelbagai usaha dengan penuh gigih namun tidak juga tercapai kemahuannya, banyak perkara yang menjadikannya begitu, umpamanya banjir besar, ribut petir, faktor kesihatan dan berbagai-bagai lagi, yang berkaitan dengan qada’ dan qadar.
Mengapakah Allah menjadikan manusia tidak sama rata, berbeza-beza antara seorang dengan yang lain? Ayat dalam surah az-Zukhruf menyebut, Kami telah meninggikan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain beberapa darjat, agar sebahagian mereka dapat mempergunakan sebahagian yang lain (az-Zukhruf, 43: 32).
Dengan kata lain, agar ujud kerjasama antara seorang dengan yang lain atau satu kelompok dengan kelompok yang lain. Itu sebabnya Allah menjadikan manusia sebagai makhluk sosial, yang secara semulajadinya tidak boleh hidup menyendiri, melainkan saling memerlukan satu sama lain dalam semua bidang. Jadi, fenomena yang menunjukkan ada manusia kaya dan ada yang miskin, ada yang kuat dan ada pula yang lemah dan sebagainya adalah satu kesengajaan Allah. Begitu juga, Allah sengaja menurunkan kekayaan kepada seseorang tetapi tidak diberikan pula kepada sesetengah yang lain. Jadi hakikatnya harta kita bukanlah hasil dari usaha-usaha kita seratus peratus secara mutlak, tetapi atas izin Allah jua.

Kekayaan adalah satu amanah

Jadi harta yang kita miliki itu hakikatnya bukanlah milik kita secara mutlak, tetapi adalah harta yang diturunkan kepada kita untuk diuruskan, dengan kata lain ianya adalah suatu amanah yang diletakkan di bahu kita. Secara dasarnya, kita tidaklah boleh menggunakan kekayaan yang ada sesuka hati kita. Segala kekayaan kita mesti dianggap sebagai amanah dari Allah, dan kita akan dipanggil untuk menjelaskan bagaimana kita melunaskan amanah ini.
‘Kemudian kamu pasti akan ditanya pada hari itu tentang kenikmatan (yang kamu megah-megahkan di dunia itu’. (at-Takathur, 102: 8)
Lebih banyak yang kita punyai lebih banyak pula yang kita perlu menjelaskannya. Menurut Islam, harta kita bukan sebagai tanda kemewahan kita: kemewahan kita bukanlah lambang kemuliaan atau kecemerlangan kita, dan bukan juga lambang kelas istimewa, malah jangan pula kita menggunakannya untuk mengeksploitasi orang lain.
Pemilikan kekayaan adalah satu ujian seperti yang disebut dalam al-Quran, Dan Dialah yang menjadikan kamu penguasa-penguasa di bumi dan Dia meninggikan sebahagian kamu atas sebahagian (yang lain) beberapa darjat, untuk mengujimu tentang apa yang diberikan-Nya kepadamu; sesungguhnya Tuhanmu amat cepat siksaan-Nya dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maka Penyayang (al-Naam, 6: 165).
Sebagai pemegang amanah tentunya harus menggunakan kaedah pengurusan mengikut ketetapan Yang Memberi-nya, tidak boleh menggunakannya mengikut kemahuan sendiri. Jadi sikap kita haruslah yang sejajar dengan prinsip-prinsip yang ditetapkan-Nya.
Pertama sekali, harus yang memenuhi tuntutan ayat, yang maksudnya, Dan janganlah kamu serahkan kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya (an-Nisa’, 4: 5).
Ini bertujuan bagi menjamin natijah dari keberadaannya, agar jangan dibelanjakan dengan cara yang tidak betul seperti pembaziran, tidak digunakan untuk jalan yang dilarang, dan kemungkinan tidak dikeluarkan zakat dan sebagainya.
Persoalanya ialah pemerolehan harta itu. Bagaimanakah caranya mencari harta yang halal, dan bagaimanakah pula caranya yang betul membelanjakan harta kita. Jika kita mempunyai lebihan harta pula bagaimanakah cara menguruskannya. Lihat selanjutnya di sini.