Friday, October 7, 2016

Konsep Agama



Pagi ini di masjid saya ada ceramah. Seperti biasa penceramahnya ialah ustaz, dan ustaz ini adalah antara yang tersohor.
Permulaan ceramah beliau mengucapkan kesyukuran kerana kita diberi kesempatan hidup dan mampu bangun pagi, menunaikan sembahyang berjemaah, dan sama-sama dapat menghadirkan diri dalam ceramah, dan bersyukur juga kerana pagi ini juga ada program khas yang dikepalai oleh pasukan pelajar-pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia. Tentang program berkenaan penceramah menyebut kesyukuran kerana ianya adalah program keagamaan.
Apabila disebut keagamaan saya sedikit tersentuh, terkeliru. Persoalan yang sangat menarik untuk difikirkan ialah apakah maksud agama (keagamaan) itu. Apakah jika program itu berkait dengan sembahyang, zakat, puasa dan haji serta rangkaiannya itu agama, yang berkait dengan adab-adab Nabi saw itu agama, mentafsir ayat atau hadis itu agama, belajar tajwid itu agama, sirah para nabi itu agama, dan sebagainya itu agama, yang lain-lain itu bukan agama? Inilah imej kalimah agama bagi kebanyakan orang, termasuk penceramah pagi ini.
Bagi golongan ini sukan itu bukan agama, gotong royong itu bukan agama, cerama strategi pemasaran itu bukan agama, program jogging itu bukan agama, carnival perniagaan itu bukan agama, dan lain-lain lagi.
Kekeliruan saya ialah apakah dalam hidup ini ada aktiviti yang keagamaan dan bukan keagamaan. Tegasnya apakah dalam hidup seseorang Islam itu terbahagi dua iaitu yang keagamaan dan bukan keagamaan?
Saya bimbang jika kedudukan ini terus menerus dijadikan sebagai pegangan hidup kita sebagai Muslim.  Buktinya jika para penceramah selalu sahaja menyebut ini keagamaan dan itu bukan keagamaan maka kebimbangan saya ini akan berterusan sehingga entah bila kesudahannya.
Apakah dia agama?
Konsep keagamaan di atas itu tadi perlu diperbetulkan kerana jelas salah sama sekali (bukan tidak tepat). Hal ini saya sandarkan kepada satu ayat yang maksudnya,
‘Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku’. (az-Zariyat 51: 56)
Ayat ini menyatakan tentang tujuan Allah swt menjadikan manusia. Yang bermaksud Allah tidak menghendaki manusia melakukan yang lain-lain selain mengabdikan diri kepada-Nya. Jadi manusia, yang Allah jadikan seperti adanya ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk tujuan mengabdikan diri. Secara ringkas, mengabdi diri itu adalah tunduk patuh mengikut syariat yang ditentukan.
Bagaimanakah caranya hendak tunduk patuh itu? Untuk menjawabnya kita harus melihat kembali kejadian manusia. Kita lihat penjelasan berikut:
Endang Saifuddin Anshari menulis dalam bukunya bahawa makhluk Allah mempunyai tujuh kesanggupan iaitu,
1.       Makan,
2.      Tumbuh,
3.      Berkembang biak,
4.      Pengamatan hal-hal yang istimewa,
5.      Bergerak di bawah kekuasaan,
6.      Tahu mengenai hal-hal umum, dan
7.      Berkehendak dan memilih dengan bebas.
(Sains, Falsafah dan Agama, 6)
Kesanggupan yang disebut beliau itu ialah kemampuan. Namun tidak kesemua makhluk dianugerahi Allah swt dengan kesemua kemampuan tersebut.
Bagi tumbuhan beliau mencatatkan hanya mempunyai tiga kemampuan sahaja iaitu, 1, 2 dan 3 sahaja, bagi haiwan pula Allah swt anugerahi dengan lima kemampuan iaitu 1, 2, 3, 4, dan 5, manakala manusia Allah swt anugerahi dengan kesemua tujuh kemampuan tersebut iaitu 1 hingga 7. Jadi cara tunduk patuh setiap makhluk adalah tertakluk kepada kemampuan-kemampuan yang ada.
Bagi tumbuhan tunduk patuhnya terbatas kepada kemampuan yang ada itu sahaja iaitu makan, tumbuh dan berkembang-biak, dan akhirnya mati. Tumbuhan tidak akan cuba bergerak beralih tempat kerana Allah tidak membekalinya dengan kemampuan untuk itu.
Bagaimanakah caranya untuk tumbuhan itu makan, tumbuh dan berkembang-biak. Ilmu sains membuktikan bahawa tumbuhan menjalankan proses fotosintisis untuk makan, tumbuh dengan bergerak balas kepada cahaya yang disebut fototropism dan bergerak balas kepada bumi yang disebut geotropism, dan lain-lain lagi yang tidak perlu disebutkan di sini. Jadi perjalanan hidup tumbuhan atau cara tumbuhan itu tunduk patuh adalah mengikut kemampuan-kemampuan yang telah ditetapkan Allah swt. Begitu juga halnya dengan haiwan, cara tunduk patuhnya adalah mengikut kemampuan yang lima itu sahaja.
Kita lihat di sini tumbuhan dan haiwan berterusan menjalani kehidupannya secara islam dengan cara tunduk patuh mengikut kemampuan yang telah ditetapkan.
Tidak akan ada haiwan yang memohon untuk berjalan sepertimana manusia, atau protes untuk tidak mahu menjadi lembu kerana sering dijadikan binatang korban. Tumbuhan tidak pernah memilih untuk tidak mahu memanjat pokok-pokok lain kerana telah ditetapkan begitu, tidak pernah mengadu penat mengeluarkan buah dan sebagai-nya, tetapi berterusan tunduk patuh hidup mengikut ketetapan Allah swt.
Tetapi manusia berbeza dari makhluk-makhluk yang lain-lain itu: mereka telah dianugerahi akal budi yang menjadikannya makhluk yang mempunyai kuasa intelek, memberi mereka keupayaan untuk memahami alam semesta dan membentuk persekitaran mereka.
Tambah lagi, manusia adalah makhluk yang dibekali dengan 5 hidayah, yang tidak diberikan kepada makhluk-makhluk yang lain. Hidayah yang dimaksudkan ialah,
1.       hidayah al-Ilhami, gharizah (naluri),
2.      hidayah al-Hawasi (indera atau pancaindera),
3.      hidayah al-‘Aqli (akal budi),
4.      hidayah al-Adyani (agama), dan
5.      hidayah at-Taufiqi.
Fakta yang saya bentangkan di sini adalah untuk menyatakan bahawa manusia mampu menjalani kehidupan berdasarkan kepada asal kejadiannya. Kehidupannya adalah meliputi 7 kesanggupan tadi tetapi harus yang berpandukan kepada 5 hidayah ini. Ini menggambarkan bidang kehidupan manusia: makan-minum, membesar dan berkembang biak, dengan 5 atau 6 pancaindera dan otak yang dibekalkan manusia melakukan pengamatan hal-hal yang istimewa, bergerak di bawah kekuasaan, mengambil tahu hal-hal umum, dan dengan nalurinya manusia cuba memenuhi kehendaknya dan memilih dengan bebas. Inilah kejadian manusia. Apakah perkaitannya dengan persoalan kita di atas tadi, iaitu agama (keagamaan).
Satu ayat dalam al-Quran menyebut,
 ‘Barang siapa mencari agama selain agama Islam sebagai deen maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan di akhirat kelak termasuk orang-orang yang rugi’. (al-Imran, 3: 85)
Ayat ini menggambarkan agama itu adalah deen. Deen membawa maksud cara hidup. Dengan kata lain apa sahaja aktiviti hidup manusia itu adalah deen atau agama. Dengan kata lain setiap niat hati, percakapan dan perlakuan manusia itu adalah agama. Jadi apakah yang bukan agama?
Satu ayat lain menyebut, ‘Sesiapa yang menurut jalan yang lain dari apa yang disyariatkan Allah sebagai agamanya, maka tidak sekali-kali akan diterima daripadanya…(al-Imran, 3: 85). Dan lagi, Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat (peraturan) dari urusan (agama) itu, maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui’. (al-Jatsiyah, 45: 18)
Dari Muaz ra pula katanya Rasulullah saw pernah bersabda, yang maksudnya,
Pokok segala urusan adalah Islam, dan tiangnya adalah solat, dan puncaknya adalah jihad.’ (Ensiklopedi Shalat 1, 171)
Ayat ini menyatakan bahawa agama ialah jalan hidup, iaitu jalan hidup yang disyariatkan Allah, bukan jalan hidup selainnya. Ini serasi dengan satu kenyataan dalam Kitab Mastika Hadis yang mencatatkan agama ialah undang-undang dan cara hidup yang ditetapkan oleh Allah Taala untuk manusia, yang disebut sebagai syariat itu tadi.
Jadi, dapat kita simpulkan bahawa agama adalah cara hidup, iaitu cara hidup Islam yang disyariatkan oleh Allah swt; justeru segala urusan yang menyangkut kehidupan manusia, seperti yang disebut di atas tadi, adalah agama, dan yang menegakkannya ialah sembahyang. Ini memperlihatkan betapa besarnya peranan ibadah sembahyang kita iaitu sebagai tiang agama, mencakupi segala urusan hidup manusia.
Kesimpulannya: Tidak ada aktiviti manusia yang bukan agama. Justeru apa yang disebut oleh penceramah pada awal tulisan ini adalah salah sama sekali (bukan tidak tepat). Jadi harapan saya agar semua pihak yang mempunyai peluang, autoriti, dan seumpamanya membetulkan konsep agama (keagamaan) ini, jangan sampai perkara ini berpanjangan entah sampai bila. Jika tidak akan lahir satu konsep bahawa agama itu adalah sembahyang, zakat, puasa dan haji serta rangkaian-rangkaiannya. Ini adalah suatu yang merbahaya kerana boleh menyeret kita kepada konsep bahawa Islam itu tidak syumul.