11 March 2017

Mengapa mesti beribadah



Ibadah atau ibadat dari sudut bahasa ialah merendah diri, tunduk, patuh, taat, menghina diri dan memperhambakan diri kepada sesuatu. Dari sudut syara ialah taat, tunduk, patuh dan merendah diri kepada Allah swt. Jadi bolehlah disimpulkan, ibadah ialah pengabdian diri sepenuhnya kepada Allah, mengikut peraturan, melakukan suruhan dan meninggalkan larangan Allah swt, sebagaimana ditetapkan di dalam al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw. Kepatuhan ini hendaklah dilakukan secara berterusan setiap masa hingga ke akhir hayat. Ia merangkumi makna ketundukan dan kecintaan kepada Allah swt.
Mengikut bahasa ibadah ialah tunduk patuh. Maksud ini tercatat dalam beberapa blog yang saya temui. Satu blog mencatatkan, Kamus al-Mu’jam al-Wasith memberi erti ibadah sebagai tunduk kepada Tuhan yang menciptakan, manakala dalam satu blog yang lain pula mencatatkan kenyataan Imam al-Qurtubi yang menyebut asal ibadah ialah tunduk dan menghinakan diri. Satu blog lagi mencatatkan kenyataan Ibnu Katsir menyebut ibadah adalah taat kepada Allah dengan melaksanakan hal-hal yang diperintahkan dan menjauhi hal-hal yang dilarang. Ibnu Taimiyah pula menyebut, Ibadah ialah sesuatu yang mencakupi semua perkara yang dicintai dan diredhai Allah berupa perkataan atau perbuatan yang nampak atau pun tidak nampak.
Daripada takrif-takrif ini bolehlah disimpulkan bahawa ibadah ialah apa sahaja amalan-amalan yang melambangkan tunduk patuh atau mematuhi perkara-perkara yang diperintahkan dan menjauhi perkara-perkara yang dilarang.

Takrif Ibnu Taimiyah itu menunjukkan konsep ibadah yang lebih luas lagi, iaitu mencakupi hal-hal yang berkenaan dengan perkataan dan perbuatan yang nampak atau tidak nampak. Ini menggambarkan bahawa ibadah itu mencakupi pula hal-hal yang tidak Nampak, iaitu yang terlintas dalam hati. Kesimpulnya bahawa ibadah itu adalah mencakupi niat, perkataan dan perbuatan seseorang yang dilakukan dalam keadaan tunduk patuh kepada Allah. Dengan kata lain bahawa ibadah itu ialah apa sahaja yang kita lakukan sama ada yang berupa niat, percakapan atau perbuatan, tetapi yang dilaksanakan mengikut kaedah yang diredhai Allah.
Apakah yang dimaksudkan dengan tunduk patuh itu, dan apakah caranya tunduk patuh itu! Kita tangguhkan dahulu. Kita lihat dahulu beberapa ayat yang menyentuh soal ibadah.

Secara tersirat Al-Qur'an menyebut pengertian ibadah itu dengan menggabungkan tiga ayat berikut:
1.    Tidak Ku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdi diri kepada-Ku (Adz-Zariyat, 51: 56).
2.    Dan (Aku perintahkan): hendaklah kamu menyembahKu; inilah jalan yang lurus. Ini adalah seruan supaya manusia menjalani hidup dalam keadaan sentiasa berada pada siratal mustaqim atau jalan yang lurus (Yasin, 36: 61)
3.    Dengan yang demikian, berpegang teguhlah engkau kepada Al-Quran yang telah diwahyukan kepadamu; kerana sesungguhnya engkau berada di atas jalan yang lurus. (Az Zukhruf, 43: 43).
Dengan demikian apa yang disebut dengan manusia hidup beribadah kepada Allah itu ialah manusia menjalani hidupnya dalam keadaan sentiasa berpegang teguh kepada wahyu Allah iaitu al-Quran. Jadi pengertian ibadah menurut Al Quran tidak hanya terbatas kepada menunaikan Rukun Islam sahaja, tetapi mencakupi aspek kehidupan. Hal ini disandarkan pula kepada satu ayat lain yang maksudnya, ‘Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka’ (al Ahzab, 33: 36). Frasa kata urusan mereka itu adalah urusan hidup. Jadi ibadah adalah way of life yang diasaskan kepada konsep tunduk patuh.
Demikian secara ringkas konsep ibadah. Yang sangat penting untuk diambil tahu ialah mengapa kita mesti beribadah. Kepentingannya adalah kerana kebanyakan kita mengambil sikap negatif, umpamanya, disuruh sembahyang maka sembahyanglah kita, dilarang makan bangkai maka kita tidak melakukannya, dan sebagainya. Inilah sikap negatif namanya.


Apabila ibadah bermaksud tunduk patuh maka orang yang hidupnya dalam keadaan tunduk patuh itu dikatakan orang yang beribadah. Bagi golongan ini setiap perlakuannya sentiasa dijaga supaya tidak meninggalkan perintah dan melanggar larangan Allah swt, sama ada dalam hal-hal ketuhanan mahupun yang keinsanan.

Mengapa mesti beribadah.

Orang yang tidak faham sebab-sebabnya mungkin membuat tanggapan bahawa Allah swt mahu membulinya, mahu menyusahkan, merugikan dan sebagainya. Jika kita tanya kepada orang yang tidak menerima adanya Tuhan Allah maka itulah tanggapan mereka. Tetapi pernahkah kita bertanya diri sendiri misalnya apalah yang Allah perolehi dari perbuatan membuli itu. Allah swt tidak menghendaki apa-apa dari kita malah kita yang sangat menghendaki Allah dalam serba serbi, seperti yang disebut dalam ayat 5 surah al-Fatihah. Justeru apabila Allah menghendaki kita supaya tunduk patuh kepada-Nya maka kita harus bersangka baik kepada perintah-Nya.

Allah swt menjadikan kita, dan meletakkan kita di bumi ini, lengkap dengan segala keperluan seperti adanya. Dengan sifat-Nya yang ar-Rahman yang disebut dalam ayat 3 surah al-Fatihah itu Allah sediakan apa sahaja yang diperlukan untuk kehidupan manusia dan sekalian makhluk. Sama ada kita Muslim atau bukan Muslim Allah sediakan sama rata, terpulanglah kepada setiap orang mendapatkannya sebanyak mana sekalipun. Pemberian-Nya adalah untuk semua.

Namun ada antara keperluan yang disediakan itu yang mungkin tidak sesuai dengan jasmani manusia, malah sebahagiannya pula boleh memudaratkan. Tumbuhan misalnya, bukan kesemuanya boleh dimakan kerana sesetengahnya tidak sesuai untuk jasmani kita kerana beracun, memabukkan, menghilangkan kewarasan akal dan sebagainya. Lalu Allah melarang memakannya. Begitu juga haiwan. Dari sini maka lahirlah peraturan-peraturannya. Yang dilarang itu adalah untuk kebaikan manusia, sementara yang diperintahkan itu pula adalah yang diperlukan.



Mungkin akan ada orang yang bertanya misalnya mengapa Allah mencipta pokok ketum, ular berbisa dan sebagainya tetapi dilarang memakannya. Tentu ada tujuannya. Pokok ketum itu untuk perubatan, manakala ular itu bagi tujuan keseimbangan alam sekitar melalui sistem rantaian makanan (ular boleh digunakan mengurangkan bilangan tikus perosak di ladang dan sebagainya). Sekadar satu dua contoh sahaja.

Perkataan Islam berasal dari perkataan salam bererti sejahtera. Jadi apabila kita diperintahkan supaya tunduk patuh (beribadah) tujuannya adalah untuk mencapai kesejahteraan. Dan bagi umat Islam pastinya adalah untuk kesejahteraan dunia dan akhirat. Allah yang menjadikan kita maka Allah-lah yang Maha Mengetahui kekuatan dan kelemahan jasad dan rohani diri kita. Adalah tidak manasabah seseorang yang tidak tahu menahu tentang sesuatu perkara lalu dia yang hendak menyediakan peraturannya atau manualnya. Jadi bagi mencapai maksud kesejahteraan itu tadi Allah menyediakan peraturan-peraturan hidupnya.


Setiap hukum syariat ada tujuan dan alasannya. Jadi hukum wajib, sunat, harus, makruh dan haram itu ada muslihat di sebaliknya. Ianya bukan hukum untuk kita mencari pahala atau menjauhi dosa. Pahala itu adalah ganjaran bagi orang-orang yang mengikut perintah, dan balasan dosa bagi yang melanggar larangan. Dengan maksud lain ialah Allah tidak menganjurkan kita agar mencari pahala tetapi berjanji bahawa sesiapa yang melakukan kebajikan akan diberi pahala.

Hikmah di sebalik perintah dan larangan

Peraturan Allah ada dua iaitu perintah dan larangan. Perintah-Nya adalah merupakan keperluan untuk manusia, maka harus dilaksanakan bagi tujuan mencapai kesejahteraan, manakala larangan-Nya pula adalah merupakan pantang-larang yang harus dielakkan kerana merosakkan kesejahteraan. Jadi segala peraturan ini adalah untuk kesejahteraan manusia, iaitu kesejahteraan jasmani dan rohani.
Seseorang yang mematuhi peraturan ini akan sejahtera jasmani dan rohaninya. Jadi jika setiap orang sejahtera jasmani dan rohaninya, secara kolektifnya pula akan melahirkan iklim kehidupan yang sejahtera untuk sekalian manusia dan makhluk keseluruhannya. Inilah sebabnya manusia diseru supaya akur dan tunduk patuh kepada peraturan-peraturan yang disediakan. Mereka yang tunduk patuh kepada peraturan Allah ini dikatakan sebagai orang yang mengabdikan diri kepada-Nya. Inilah sebabnya Allah menyeru manusia dengan satu ayat, iaitu  yang maksudnya, Tidaklah Aku mencipta jin dan manusia melainkan agar beribadah kepada-Ku’. (ad-Zariyat, 51: 56).
Kita biasa mendengar kenyataan yang menyebut setiap hukum syariat ada tujuan dan alasannya. Hukum-hukum wajib dan sunat bukan setakat alat untuk meraih pahala atau menjauhkan dari dosa, manakala hukum haram dan makruh pula bukan bertujuan untuk memenjara. Kedua-duanya mempunyai tujuan dan alasan, yang destinasinya adalah kesejahteraan.
Hukum perintah iaitu wajib dan sunat itu adalah demi untuk kebaikan manusia, manakala hukum-hukum larangan itu bagi menjauhkan risiko dan kerosakannya. Sementara itu ada satu hukum lagi iaitu harus iaitu hukum yang membiarkan kita sama ada mahu melakukan atau mengelakkannya kerana tidak ada kebaikan atau keburukan melakukannya.
Mungkin boleh dibandingkan kedudukan ini dengan seorang ahli sukan seperti pemain badminton atau bola sepak. Dia dipilih kerana dilihat mempunyai bakat, ada potensi untuk maju dan berjaya. Lalu disediakan program untuk mencapainya. Antaranya dijaga dari aspek-aspek permakanannya, kesihatannya, waktu latihan dan rehatnya; dia juga tertakluk kepada peraturan, yang mana boleh dan yang mana tidak boleh. Kesemuanya ini adalah untuk kebaikan dan kejayaannya. Jadi perintah dan larangan Allah itu adalah merupakan satu program yang diatur oleh Allah demi untuk kebaikan dan kesejahteraannya.
Rasionalnya ialah bahawa Dia yang mencipta kita, Dia juga yang Maha Mengetahui kekuatan dan kelemahan jasmani, rohani dan akal kita, jadi tunduk patuh kepada perintah-Nya dan larangan-Nya itu tentu berkaitan dengan tujuan untuk mencapai kesejahteraan jasmani, rohani dan akal itu tadi. Dengan kata lain tunduk patuh itu adalah bagi mengekalkan asal kejadian kita yang terbina daripada jasmani dan rohani. Jadi ini adalah caranya yang Allah swt sediakan untuk menjamin kesejahteraan manusia.
Jadi, perintah dan larangan itu adalah panduan dan tatacara untuk mencapai kesejahteraan manusia: perintah-Nya adalah untuk kebaikan (maslahah) manusia, manakala larangan-Nya pula adalah untuk mengelakkan manusia dari sebarang gejala buruk dan kerosakan (mafsadah).
Satu contohayat perintah ialah ayat 223 surah al-Baqarah,
‘Dan kerjakanlah (amal yang baik) untuk dirimu’.
Yang bermaksud buatlah apa sahaja yang mendatangkan kebaikan untuk diri kita. Sehubungan dengan perintah ini ialah jangan pula kita membuat sesuatu yang menjurus kepada mafsadah. Amalan yang bagaimanakah boleh dikira sebagai baik dan amalan yang boleh mendatangkan mafsadah! Kita akan ketemui kriteria menentukannya dalam bab 4 nanti. Jika kita dapat merealisasikan peritah ini kita akan mendapat kebaikan dan kesejahteraan hidup. Perkara ini akan disebut dalam bab 4 di bawah perkara natijah.
Selain itu dalam al-Quran ada ayat yang menyebut bahawa manusia dicipta dan diletakkan di bumi ini adalah untuk menjadi khalifah bumi. Sebagai khalifah manusia harus dijaga kesihatan dan kesejahteraannya supaya dengan itu dapat mengujudkan iklim yang sejahtera untuk manusia dan sekalian makhluk.
Antara perintah beribadah ialah seperti firman-Nya dalam surah az-Zariat,
Antara lain lagi ialah
‘Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama’. (al-Bayinah, 98: 5)
Jadi, bagi orang-orang Islam, inilah antara sebab-sebabnya mesti beribadah. Bagaimanapun seruan ini bukan ditujukan kepada orang-orang yang Islam sahaja tetapi termasuk juga orang-orang yang belum Islam mahupun yang kafir. Justeru, siapa pun anda, seharusnya tunduk patuh kepada perintah beribadah itu jika ingin mencapai kesejahteraan.
‘Maka beribadahlah kepada Allah dengan memurnikan ketaatan (mu) untuk-Nya’. (az-Zumar, 39: 21)
Dengan logik akal sahaja pun kita dapat membayangkan apa yang akan terjadi sekiranya manusia ini diletakkan di bawah kuasa dan perintah manusia yang sifatnya membujur lalu melintang patah, iaitu orang yang akan berbuat apa sahaja yang dia mahu, bagaimana cara yang dia mahu, bila-bila masa yang dia mahu dan di mana sahaja yang dia mahu. Justeru Islam menghendaki setiap orang harus mengambil peranan sebagai khalifah, dengan cara menjalani kehidupan di bawah perintah dan larangan Si Pencipta.
Bolehkah manusia merangka peraturan hidupnya sendiri. Sesiapapun akan menjawab tidak kepada persoalan yang satu ini, kerana besar kemungkinan hasilnya akan cenderung (bias) kepada naluri perekanya. Jika direka oleh sesuatu bangsa hasilnya akan bias kepada bangsa itu sendiri. Dan ini tidak semestinya serasi pula dengan bangsa-bangsa lain. Apakah penting untuk difikirkan sama ada serasi atau tidak! Saya tinggalkan buat saudara/saudari mencari sendiri jawapannya.

No comments: