Amal Soleh

Satu lagi cara mendapatkan rahmat Allah adalah dengan amal soleh. Syeikh Abu Said al-Kharraz menyebut, ‘Menyerah kepada Allah serta mengharapkan rahmatNya tidak boleh berlaku, melainkan sesudah berbakti dan beramal soleh.’ yang bermaksud, rahmat Allah akan diberi kepada hambaNya yang telah berbakti dan beramal soleh.
Al-Hassan al-Bashri pula menyebut, ‘Sesungguhnya mencita-citakan pengampunan itu telah memperdayakan banyak orang, sehingga mereka meninggalkan dunia ini dalam muflis, tiada mempunyai bekalan amal soleh sekali.’ Beliau menambah lagi, ‘Sesungguhnya orang Mukmin itu berbakti seraya gementar terhadap Allah Taala. Manakala orang Munafik pula membuat kejahatan seraya merasa aman dan sentosa sepanjang masa.’
Kedua-dua petikan ini dengan jelas menyebut tentang amal soleh. Tanpa amal soleh janganlah mengharap akan mendapat rahmat Allah. Dan, tanpa amal soleh juga kita akan dianggap sebagai orang yang menuju akhirat dalam keadaan muflis. Ini membuktikan untuk mendapat rahmat Allah, antaranya ialah dengan melakukan amal soleh.
Allah s.w.t. berfirman, maksudnya,
Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik.’ (al-Aaraf, 56).
Ayat ini pula memberitahu, rahmat Allah akan diberikan kepada orang-orang yang berbuat baik.
Hadis Abu Daud dan at-Tarmizi pula menyebut, ‘Orang-orang yang penyayang, maka Allah Taala akan menyayangi mereka (memberikan rahmat kepada mereka), sayangilah/kasihilah penduduk bumi, nescaya penduduk langit akan menyayangi kalian.’
Maksudnya, rahmat Allah akan diberi kepada orang-orang yang menyayangi penduduk bumi.
Petikan-petikan di atas menyebutkan berbakti, berbuat baik dan menyayangi penduduk bumi, adalah antara kaedah untuk mendapat rahmat Allah. Apa yang dapat kita lihat di sini ialah kesemuanya itu adalah bentuk perlakuan seseorang kepada yang lain. Berbakti, umpamanya, menunjukkan perlakuan seseorang kepada orang lain. Berbuat baik juga menggambarkan perlakuan seseorang kepada orang lain, atau mungkin haiwan. Menyayangi penduduk bumi juga perlakuan seseorang kepada pihak lain. Jadi sama ada berbakti, berbuat baik atau menyayangi adalah perlakuan yang berkaitan dengan manusia lain atau haiwan. Kesemuanya ini mendapat rahmat Allah.
Apakah hubungannya berbakti, berbuat baik dan menyayangi yang disebutkan di sini dengan amal soleh? Adakah berbakti, berbuat baik dan menyayangi penduduk bumi itu adalah amal soleh? Pada masa yang sama juga kita boleh bertanya sendiri, apakah bezanya antara amal soleh dengan berbuat baik dan sebagainya itu?
Apa yang penting di sini ialah kedua-duanya akan mendapat rahmat Allah. Sama ada amal soleh atau berbakti, berbuat baik dan menyayangi penduduk bumi, akan diberi rahmatNya. Maka bolehlah kita anggap antara perlakuan-perlakuan untuk amal soleh ialah berbakti, berbuat baik, dan apa sahaja perlakuan yang berbentuk hablumminannas.
Salah faham tentang amal soleh
Secara tidak langsung, ini memberikan kita kefahaman bahawa amal soleh itu adalah apa sahaja amalan yang berkait dengan manusia atau haiwan. Tetapi sesetengah daripada kita agak terkeliru dengan istilah amal soleh. Ramai yang beranggapan amal soleh itu adalah ibadat-ibadat seperti yang terkandung dalam rukun Islam iaitu sembahyang, puasa, zakat dan haji. Sesetengah pula menganggap amal soleh itu adalah perlakuan mengumpul pahala dari sudut hablumminallah sahaja. Misalnya, jika merasa tidak cukup dengan menunaikan sembahyang lima waktu sahaja, ditambah pula dengan sembahyang-sembahyang sunat seperti sunat rawatib, sunat tahyatul-masjid, sembahyang witir, sembahyang hajat, sembahyang jenazah, sembahyang dhuha, sembahyang gerhana, dan lain-lain. Sementara puasanya ditambah pula dengan puasa enam dalam bulan syawal, puasa hari Isnin dan Khamis, puasa-puasa sempena awal Muharram, dan lain-lain, bagi menimbun pahala. Dan mereka inilah yang dianggap sebagai beramal soleh.
Inilah kefahaman sebahagian daripada kita tentang amal soleh. Akibatnya banyak aktiviti hablumminannas terabai kerana menganggap itu bukan yang dimaksudkan amal soleh. Sehingga sebahagian besar aktiviti seperti itu sebenarnya adalah suatu tanggungjawab bagi seseorang Islam, tetapi kurang dipedulikan. Ini membawa kepada satu fenomena kurang sihat dalam masyarakat Islam. Islam itu dipandang seperti terlalu sempit, lebih terfokus kepada fardu ain sahaja. Dalam hal-hal hablumminannas tidak begitu ketara, seolah-olah Islam adalah agama untuk keTuhanan semata-mata. Akibatnya, ramai penganut-penganut Islam tidak mencerminkan peribadi Islam itu secara total.
Jika sembahyang itu amal soleh, tentulah hamba Allah yang beramal selama 500 tahun seperti dalam riwayat yang disebutkan sebelum ini akan masuk syurga. Tetapi dia dimasukkan ke neraka kerana sembahyangnya, walaupun kemudiannya dimasukkan semula ke syurga kerana rahmat Allah atas kesyukurannya terhadap segala nikmat selama dia berada di pulau itu. Jadi ini menggambarkan bahawa amal soleh itu bukanlah sembahyang, puasa, zakat dan haji.
Dalam Kamus Dewan, bakti bermaksud perbuatan baik untuk menyatakan setia (kasih, hormat, dan lain-lain), jasa. Contoh yang diberikan ialah membuat bakti kepada negara. Sementara berbakti bermaksud berbuat bakti (kepada), berjasa. Contoh yang diberi ialah berbakti kepada nusa dan bangsa.
Secara tidak langsung, maksud ini juga membuktikan bahawa amal soleh bukanlah sembahyang, puasa, zakat dan haji yang kita kerjakah itu, tetapi sesuatu yang lain, iaitu yang berkait dengan hamblumminannas.
Prof. Dato’ Dr. Haron Din mencatatkan dalam bukunya, ‘Kita tahu bahawa keimanan tidak sempurna kalau tidak diikuti oleh amalan (Manusia dan Islam, 93)
Di sini, Prof. Dato’ berpandangan bahawa keimanan dan amalan adalah dua perkara yang berbeza. Keimanan adalah yang berkait dengan keTuhanan, iaitu hubungan langsung antara seseorang dengan Tuhannya, atau hablumminallah. Kita mengaku beriman, maka kita tunaikan sembahyang lima waktu sehari, berpuasa, membayar zakat dan menunaikan haji. Ini adalah tanda-tanda keimanan kita.
Dalam satu petikan Prof. Dato’ membayangkan lagi, katanya,
Setelah kita mempunyai keimanan dan membentuk sikap-sikap hidup berdasarkan rukun-rukun keimanan tersebut atau setelah kita mempunyai gambaran mengenai hidup berdasarkan rukun-rukun itu, apakah yang seharusnya kita lakukan selepas itu?’ (Manusia dan Islam, 93)
Prof. Dato’ membayangkan ada lagi yang harus kita lakukan selepas mengaku beriman, mengerjakan sembahyang dan lain-lain. Apa lagi yang harus kita lakukan? Bukankah titik permulaan seseorang muslim ialah syahadah. Kemudian diikuti dengan menunaikan segala perkara yang terkandung di dalam rukun Islam.
Dalam rukun Islam, kita diperintahkan menunaikan sembahyang lima waktu sehari, puasa pada bulan Ramadan, membayar zakat  dan menunaikan haji jika mampu. Tidak sempurna keislaman seseorang jika tidak menunaikan kesemuanya. Manakala rukun Iman pula, seperti Sabda Rasulullah s.a.w.,
Iman itu ialah bahawa engkau percaya dengan Allah, MalaikatNya, kitab-kitabNya dan rasul-rsulNya, hari kemudian dan dengan penentuan baik dan buruk daripada Allah s.w.t. (qadak).’
Jadi rukun Islam dan rukun Iman ini memberikan kita satu gambaran yang jelas apakah yang harus kita amalkan dalam menjalani hidup seharian. Sebagai seorang Islam kita mesti patuh dan menyempurnakan segala perintah yang terkandung dalamnya.
Rukun Iman pula mengingatkan kita bahawa hidup kita bukan setakat di dunia sahaja. Selepas kematian kita, akan dibangkitkan semula di akhirat. Di sana kelak kita akan berhadapan dengan satu bentuk penilaian sama ada akan dimasukkan ke syurga atau ke neraka. Rukun Iman juga mengingatkan bahawa di dunia lagi hidup kita akan berhadapan dengan qadak dan qadar. Maka kita harus reda menghadapinya. Jadi apabila kita mengaku beriman kepada Allah, maka kita buktikannya dengan melakukan ibadah-ibadah yang ditetapkan. Kita tunaikan sembahyang lima waktu yang ditetapkan, berpuasa di bulan Ramadan, dan membayar zakat. Jika mampu dan berupaya, kita akan menunaikan haji. Inilah ibadah khusus yang ditetapkan. Inilah tanda-tanda keimanan kita. Maka inilah tanggapan kita tentang hidup bagi seseorang Islam. Apakah tidak sempurna keimanan kita dengan menyempurnakan kesemua ibadah-ibadah tersebut?
Begitulah maksud petikan Prof. Dato’ Dr. Haron Din yang mencatatkan, ‘Kita tahu bahawa keimanan tidak sempurna kalau tidak diikuti oleh amalan. Keimanan kita harus disempurnakan dengan melakukan amalan-amalan lain. Amalan-amalan itu ialah sesuatu yang lain selain daripada sembahyang dan lain-lain.
Jadi berbakti, berbuat baik dan menyayangi penduduk bumi adalah antara amalan-amalan yang dimaksudkan. Seperti yang disebut oleh Al-Hasan al-Bashri di atas tadi, ‘Sesungguhnya orang Mukmin itu berbakti seraya gementar terhadap Allah Ta'ala,’ menunjukkan berbakti itu adalah amal soleh.
Jadi benarlah jika diperingatkan bahawa sembahyang kita belum menjamin masuk syurga kecuali setelah mendapat rahmat Allah. Untuk mendapat rahmat Allah ada lagi yang harus kita lakukan selepas itu iaitu berbuat amal soleh. Itu sebab orang yang hanya banyak sembahyang kemudian berdoa memohon pengampunan, dikira orang yang muflis.
Apakah sebenarnya amal soleh?
Amal soleh bukan sekadar melaksanakan kebaikan sahaja, tetapi termasuk juga dalam hal-hal mencegah kejahatan dan kemudaratan. Jadi ada dua kategori amal soleh, iaitu:
·         amalan yang memberi manfaat kepada sesama manusia. Amalan ini yang akan memberi faedah kepada pembangunan dan kemajuan diri dan makhluk sejagat.
·         amalan mencegah kemudaratan dan kemaksiatan. Ini termasuklah mencegah dari berlaku kerosakan, penyelewengan, dan lain-lain.
Dan Tuhanmu tidak sekali-kali hendak membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya, selagi mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri.’ (Hud, 117)
Amal soleh harus dilakukan secara ikhlas dan betul. Ini bertujuan untuk pentarbiahan agama (Islam) kepada manusia. Ikhlas bererti segala amalan itu mestilah mengikut lunas-lunas yang digariskan dalam al-Quran, seperti yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. iaitu dilakukan atas asas akhlak dan berjalan dengan betul.
Amalan yang dilakukan dengan cara berakhlak tetapi jika dengan tujuan yang tidak betul, tidak akan memberi manfaat dan menghalang kemudaratan. Umpamanya, melakukan sembahyang hajat untuk merosakkan orang lain. Sembahyang adalah amalan baik tetapi tujuannya tidak betul, maka bukanlah amal soleh.
Serupa juga halnya, jika sesuatu amalan itu dilakukan dengan betul tetapi tidak diasas kepada akhlak, maka tidak akan membawa kepada kebahagiaan dan kedamaian. Bukankah Islam tidak menghalalkan cara? Membuat kebajikan memang dituntut oleh agama (Islam) tetapi tidak membenarkan pelaksanaannya dengan cara yang tidak berakhlak. Menderma atau membantu orang susah, umpamanya adalah suatu yang baik, suatu kebajikan, tetapi tidak membenarkan kita mengutip derma melalui aktiviti yang dilarang seperti perjudian, pesta yang banyak mengandungi kemaksiatan, dan sebagainya. Jadi amal baik seperti ini juga bukanlah amal soleh. Jadi sesuatu amalan itu harus dijalankan melalui pendekatan yang diredai Allah.
Melakukan amal kebajikan adalah satu tuntutan daripada Allah s.w.t. terhadap manusia sebagai hambaNya. Maka sewajarnyalah ia menjadi amal soleh dengan cara memenuhi kriteria di atas, iaitu mesti berjalan atas dasar akhlak dan dilakukan dengan betul. Jadi, barulah amal kebajikan itu akan membawa kepada hampirnya sesorang kepada Maha Pencipta, Allah s.w.t. dengan syarat:
·         dilakukan dengan ikhlas kerana Allah s.w.t tanpa ada rasa bangga, riak, walau sedikit pun. Sifat-sifat mazmumah seperti riak, menunjuk-nunjuk, mengharap pujian atau pangkat seperti ini akan menghilangkan pahala,
·         dilakukan mengikut lunas-lunas yang digariskan oleh Allah seperti yang terkandung dalam al-Quran, dan tidak dicemari dengan unsur-unsur maksiat. Jika tidak maka amalan-amalan kita akan sia-sia, dan,
·         dilakukan oleh orang Islam. Amal baik yang dilakukan oleh orang-orang bukan Islam hanya menjadi amal kebajikan, bukan amal soleh.