Ibadah Haji

Haji adalah ibadah kemuncak kepada Islam kita. Seusai ibadah haji berjaya dilaksanakan, maka seseorang Muslim itu dianggap telah memenuhi setiap Rukun Islam yang lima. Namun, adakah ibadah haji dilakukan hanya sekadar untuk memenuhi tanggungjawab atau melaksanakannya sahaja? Jika ini tanggapan kita, justeru sering kali kita lihat ramai yang berjaya menjadi dhuyuf ar-Rahman di Tanah Suci, namun masih belum suci akhlak dan kehidupannya daripada kekotoran sifat keji dan najis maksiat.
Sebenarnya ibadah haji adalah membersihkan hamba daripada segala dosa dan noda serta mentransformasikan hamba kepada kualiti kehidupan sebagai Muslim yang lebih baik. Inilah yang dikatakan sebagai haji yang mabrur di sisi Allah swt. Imam an-Nawawi dalam Syarah Shahih Muslim menyatakan, 'Antara tanda haji yang mabrur adalah seseorang pulang dalam keadaan lebih baik daripada sebelumnya, serta tidak mengulangi perbuatan maksiat'. Dapat kita fahami bahawa, ibadah haji yang mabrur akan memberi kesan kepada pelakunya. Betapa bertuahnya bagi sesiapa yang berjaya memperoleh haji yang mabrur, kerana Rasulullah saw pernah memberikan berita gembira dan jaminan hebat dengan sabdan baginda, yang maksudnya, 'Haji yang mabrur, tiada balasan setimpal baginya melainkan syurga.' 
Justeru, ketika menunaikan ibadah haji, para jemaah haji tidak sepatutnya hanya memikirkan soal sah haji sahaja, bahkan perlu juga sedaya upaya menjernihkan hati dan memurnikan perbuatan-perbuatan yang dilakukannya sebelum, ketika dan selepas menunaikan ibadah haji di Tanah Suci. 
Inilah sedutan dari Kata Penerbit buku Ke Arah Haji Yang Mabrur.
Hadis Rasulullah saw tadi juga membayangkan bahawa haji yang mabrur akan mendapat rahmat Allah, yang menjadi kunci masuk syurga. 
Bagaimanakah caranya untuk mendapat yang mabrur? Hikmah-hikmah di sebalik pergerakan-pergerakan dari memakai ihram sehingga selesai haji, di sebalik hukum-hukum perintah dan larangannya, harus dikenalpasti, dan dijadikan bahan untuk memberih diri dari dosa dan noda. Semuanya disebut dalam buku yang disebutkan tadi. 
Inilah bekalan bagi bakal-bakal haji, namun bagi mereka yang sudah lama haji, seharusnya menjadikan bahan yang tersebut dalam buku ini, antaranya, sebagai amalan harian kita semoga Allah akan menerima ibadah haji yang kita lakukan sejak lama dahulu itu sebagai yang mabrur.

No comments: