Ikhlas

Syarat utama untuk beribadah ialah niat, iaitu niat kita adalah kerana Allah. Semua orang tau kedudukan ini tetapi mungkin ragu-ragu untuk memberikan takrif kerana Allah itu. Selalunya apabila ditanya akan dijawab dengan memberikan contoh, namun contoh yang diberikan itu tidak pernah menjelaskan takrifan kerana Allah.
Secara ringkas, maksud kerana Allah itu ialah kerana mematuhi perintah atau menjauhi larangan Allah. Dari frasa kata inilah diringkaskan menjadi kerana Allah. Jadi jika kita melakukan sesuatu, atau bercakap sesuatu yang kita sandarkan kepada hukum Allah maka barulah lahir niat kerana Allah. Dengan demikian jika kita lakukan tidak diasaskan kepada hukum bererti bukan keranaAllah.
Siapakah yang mengetahui sama ada seseorang itu melakukan kerana Allah atau tidak? Hanya Allah Yang Maha Mengetahui apa yang terlintas dalam hatinya. Di mulutnya mungkin mengatakan bahawa dia melakukan itu ikhlas, demi Allah, kerana Allah, tetapi hanya Allah jua Yang Maha Mengetahui.
Niat yang ikhlas ialah yang 100% kerana Allah swt, tidak bercampur kerana yang lain walaupun sedikit. Berjoging misalnya, menjadi ibadah jika kita lakukan 100% kerana Allah - iaitu ada hukum memerintahkan kita menjaga kesihatan, tetapi jika berjoging yang kita lakukan setelah kita mengalami masalah kesihatan seperti darah tinggi, bererti niatnya sudah bercampur antara hukum tadi dengan kesihatan, dalam maksud lain, sekiranya dia tidak ada darah tinggi mungkin tidak pula berjoging; inilah niat yang kurang ikhlas kerana bercampur dengan yang selain daripada kerana Allah.

Apakah ada amalan yang tidak ikhlas?
Contoh: seorang suri rumah mengemas rumahnya kerana ada tetamu hendak datang berziarah: besar kemungkinannya dia berkemas itu kerana ada orang hendak datang berziarah, jadi niatnya bukan kerana Allah. Jika kerana Allah, sepatutnya dia tidak perlu lagi berkemas kerana rumahnya sudah sentiasa dalam keadaan kemas (dia sentiasa mengemas rumahnya kerana Allah memerintahkan agar kita menjaga kebersihan dan kecantikan, wallahu yuhibbul jamil); dia mengemas menunjukkan rumahnya tidak cukup kemas mengikut hukum tersebut.
Seorang suri rumah yang lain, menyediakan secawan minuman kepada suaminya setiap pagi. Apakah niatnya? Jika dia menyediakan itu takut dimarahi suami jika tidak disediakan, maka niatnya tidak ikhlas, sebaliknya jika dia menyediakan itu kerana ada hukum menghendaki isteri taat kepada perintah suami, maka jadi ikhlas.
Seorang AJK surau atau masjid, yang kelihatannya begitu rajin menjalankan tugasnya, apakah niatnya? Jika niatnya kerana dia sudah dilantik menjadi AJK, itu tidak juga ikhlas, kerana jika dia bukan AJK mungkin tidak serajin itu pula. Kita pernah mendengar berita seorang siak di sebuah surau di Bandar Baru Bangi yang meninggal ketika sujud. Mengikut ceritanya beliau itu ialah bekas kakitangan kerajaan, yang bersara awal dengan niat untuk berkhidmat kepada suraunya; ini betul-betul ikhlas pada pertimbangan akal. Berapa ramaikah yang sanggup melupakan soal gaji, berhenti kerja, semata-mata hendak menjadi siak surau! Wallahu alam.

Latihan untuk ikhlas
Dalam Kitab Sabilal-muhtadin ada menyebut, satu cara untuk mengasuh diri ikhlas dalam ibadah ialah dengan menunaikan sembahyang sunat di rumah; malah ada hadis menyebut sembahyang sunat di rumah lebih afdal dari di masjid. Ini logik, kerana jika kita lakukan di rumah, lambat laun hati kita tidak lagi berbisik untuk menunjuk-nunjuk, ikhlas la tu - kerana kita tidak mahu orang tahu apakah yang kita lakukan selain Allah swt. Saya sebut di sini kerana ada orang yang mendirikan sembahyang sunat rawatib ketika berada di surau atau masjid sahaja, tetapi ketika sembahyang di rumah tidak pula melakukannya, mengapa?
Jawapannya ialah menunjukkan orang berkenaan itu tidak ikhlas, yang bermaksud bahawa dia mendirikan sembahyang sunat itu kerana yang lain. Inilah sikap tidak ikhlas. Misalnya, kerana ada masa - kerana ia datang lebih awal, dan masih ada masa untuk melakukannya. Tindakan ini bukan kerana Allah lagi.
Antara lain ialah kerana mengikut adat atau kebiasaan setempat. Di Perak misalnya mereka tidak mengamalkan sembahyang sunat qabliyah maghrib, tetapi di Johor adalah sebaliknya pula. Jadi apabila seseorang dari Perak bertandang ke Johor dia mendirikan sembahyang qabliyah Maghrib kerana dirinya merasa janggal jika tidak melakukannya sama.
Sekian dulu.

No comments: