Ibadah Puasa

Puasa: Ke arah mencapai ketakwaan
Antara matlamat ibadah puasa ialah seperti yang disebut oleh ayat, ‘Hai orang-orang yang beriman diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa’ (Al-Baqarah, 2: 183). Frasa kata, agar kamu bertakwa disebut dalam ayat ini la’allakum tattaquun.
Cukup jelas bahawa antara matlamat ibadah puasa kita ialah agar kita bertakwa, dengan maksud lain jika puasa kita tidak menjadikan kita sebagai orang yang bertakwa, puasa kita tidak memberi erti sama sekali; 
itu sebab Rasulullah saw bersabda, ‘Banyak antara orang yang berpuasa tidak memperoleh sesuatu dari puasanya, kecuali rasa lapar dan dahaga.’
Ini satu peringatan bahawa tujuan utama berpuasa bukan setakat menahan diri dari lapar dan dahaga sahaja, tetapi yang dapat mendidik kita menjadi orang yang bertakwa, jika tidak, tidak akan mendatangkan faedah; misalnya
kita biasa dengar ada orang berpuasa sebagai tanda protes, tunjuk perasaan, mogok, untuk kesihatan dan sebagainya, bukan kerana Allah. Jadi, bagi mereka ini, berpuasa bukan untuk tujuan mencapai ketakwaan.
Takwa berasal dari kata dasar yang bermakna menghindar, menjauhi atau menjaga diri. Jadi seruan ittaqullah adalah membawa maksud hindarilah, jauhilah atau jagalah dirimu dari Allah swt. Oops, bolehkah kita menjauhkan diri dari Allah? Bukankah ‘Dia (Allah) sentiasa bersama kita di mana pun berada?’ Jadi, maksud takwa di sini kurang tepat jika dilihat secara langsung makna takwa itu; bagi membetulkannya, bolehlah umpamanya kita gandingkan takwa dengan perkataan lain, umpamanya seksa; ini akan membawa maksud hindari dari seksa Allah, atau jauhilah seksa Allah, atau jagalah dirimu dari seksa Allah.
Seksa Allah selalunya membawa ingatan kita ke alam akhirat. Sesiapa yang melanggar syariat Allah akan mendapat seksa-Nya, misalnya, tidak sembahyang, tidak puasa, mencuri dan menipu, merampas hak manusia atau rakyat di bawah pemerintahan kita, dan sebagainya akan mendapat seksa Allah di akhirat kelak. Jadi, dengan ini maksud ittaqullah tadi menjadi lebih jelas iaitu takutilah seksa Allah, hindarilah seksa Allah, kerana Allah menyediakan hari pembalasan seperti yang disebut dalam ayat 4 surah al-Fatihah.
Selalunya seksa Allah dikaitkan dengan alam akhirat, tetapi hakikatnya, seksa Allah juga boleh terjadi secara tunai, semasa hidup kita di muka bumi ini lagi. Misalnya tabiat makan berlebihan, tidak mengamalkan makanan seimbang, boleh menimbulkan penyakit; tidak mengawal diri dari tabiat ini boleh membawa kepada kecelakaan dan bencana. Itu sebabnya orang yang berpuasa dilarang makan-minum, sebagai latihan mengurangkan tabiat makan-minum yang keterlaluan.
Sifat takwa akan memandu kita kepada mempercayai adanya seksa Allah. Orang bertakwa akan sentiasa merasakan bahawa Allah swt sentiasa bersamanya, sentiasa melihat kita, Syeikh Muhammad Abduh mencatatkan,
Menghindari seksa atau hukuman Allah, diperoleh dengan jalan menghindarkan diri dari segala yang dilarangnya serta mengikuti apa yang diperintahkanNya. Hal ini dapat terwujud dengan rasa takut dari seksaan dan atau takut dari yang menyiksa (Allah s.w.t.). Rasa takut ini, pada mulanya timbul karena adanya siksaan, tetapi seharusnya ia timbul karena adanya Allah s.w.t. (yang menyiksa).’
Jadi, takwa mengajar kita supaya sentiasa menghindari diri, menjauhkan diri dari seksa Allah. Meremehkan takwa, boleh mengundang bencana dan kerosakan sebagai balasan Allah s.w.t. 
Nilai takwa letaknya dalam hati, pada kebiasaannya tidak dapat dilihat, tiada siapa yang tahu kecuali Allah Yang Maha Mengetahui; jadi sama ada puasa kita benar-benar sudah membina ketakwaan atau tidak, hanya Allah swt yang mengetahuinya. Tidak dinafikan ada yang berkata bahawa ketakwaan seseorang boleh dilihat dari sikap dan perilakunya, tetapi apakah kita tahu bahawa sikap dan perilaku seseorang itu ikhlas atau tidak? Wallahu a’lam! Allah sahaja yang mengetahuinya, itu sebabnya Allah menyebut bahawa ibadah puasa adalah untuk Aku, bermaksud hanya Dia-lah sahaja yang dapat menilainya; kata Imam Ghazali cukuplah dengan tahu bahawa puasa adalah untuk Allah, puasa adalah untuk-Ku, dan Aku sediakan ganjarannya; ganjarannya akan diberikan kepada orang yang sudah mencapai takwa. Antara ganjarannya ialah seperti yang selalu disebut dalam ceramah, Barangsiapa yang bertakwa Allah akan berikannya jalan keluar, dan rezeki daripada sumber yang tidak dijangkakan’.

Mengikut Prof. Dato’ Dr. Haron Din, 'Puasa sebagai latihan rohaniah' (Manusia dan Islam, 130), dan serasi dengan yang disebut dalam buku Tingkat Ketenangan dan Kebahagiaan Mu'min, 'Puasa semacam training-rohani' (muka surat 332), yang bermaksud bahawa bulan puasa adalah bulan latihan rohaniah, atau training-rohani, jadi selama kita menjalani puasa sebanyak 29 atau 30 hari itu adalah suatu latihan; jika latihan maka bilakah masanya Allah akan memberikan markah ketakwaan kita? 
Ketika berpuasa memanglah ada sedikit ketakwaan dalam diri kita, jika tidak kita tidak akan berpuasa, tetapi ketakwaan itu ketika kita berada dalam bulan latihan rohaniah atau training rohani. Persoalannya di sini ialah apakah hasil dari latihan rohaniah itu, apakah sudah benar-benar membentuk sifat takwa dalam diri kita? Jadi, maksudnya di sini ialah bahawa jika bulan Ramadan itu bulan latihan, kita berpuasa itu ibarat menghadiri perkemahan ibadah, yang objektifnya ialah ke arah mencapai takwa. Dengan kata lain kita berpuasa selama 29 atau 30 hari itu adalah tempoh perkemahan sahaja. Justeru, bilakah masanya Allah akan menilai sama ada kita sudah mencapai objektif itu atau tidak, atau setinggi manakah ketakwaan yang sudah kita capai! Jika mengikut konsep di atas ini, tentulah Allah akan memberi kita markah perkemahan itu selepas bulan Ramadan, iaitu sebelas bulan sebelum menjelang bulan Ramadan berikutnya. Sebelas bulan berikutnya itulah masanya Allah menilai ketakwaan kita; dengan kata lain adakah hidup kita yang sebelas bulan itu sikap dan perilaku kita sudah berubah sebagai orang yang bertakwa. Katakanlah kita sudah mencapai ketakwaan, apakah kita dapat mempertahankannya pada tahun-tahun seterusnya sehingga ke akhir hayat? Inilah yang harus kita sedari benar-benar. 
Apabila bulan Ramadan dianggap sebagai bulan latihan, sepatutnya bulan-bulan Ramadan berikutnya itu menjadikan kita semakin bertambah takwa, ketakwaan kita semakin meningkat dan terus meningkat lagi, dan setelah dua puluh atau tiga puluh tahun, bayangkan bagaimanakah tahap ketakwaan kita; inilah yang Allah swt kehendaki daripada umatnya yang menjalani ibadah puasa.
Antara tanda-tanda orang bertakwa ialah seperti yang disebut,
'Puasa sebagai latihan rohaniah yang mana tiap-tiap Muslim menahan diri daripada nafsu perut, nafsu kejantinaan dan untuk mencegah daripada moral yang rendah. Seorang Muslim yang benar-benar berpuasa tidak mencela, tidak mengumpat, tidak bercakap kotor dan tidak mengikut keinginan nafsu yang rendah. Inilah cara yang paling berkesan untuk membentuk peribadi yang mulia.’ (Manusia dan Islam, 130)
Jadi orang yang bertakwa dapat dilihat dari permakanannya (bolehlah diungkapkan di sini makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan), percakapannya (tidak mencela orang, tidak mengumpat, tidak bercakap kotor),    tidak mengikut nafsu, iaitu dikuasai oleh nafsunya, sama ada nafsu kemahuannya atau nafsu kejantinaan, pendek kata orang yang bertakwa mampu menahan diri daripada nafsu perut, nafsu kejantinaan dan rendah moral; inilah yang hendak dipantau oleh Allah swt selepas menjalani ibadah puasa setiap kali menjelang Ramadan; bukan menahannya ketika berpuasa sahaja!
Imam Ghazali pernah menyebut, antara tahap-tahap takwa ialah:
  • pertama ialah dengan membasmi perkara haram dalam hidup kita dan melakukan perkara wajib;
  • kedua, membanteras perkara yang dibenci iaitu yang makruhat dan perbanyakkan amalan sunat;
  • ketiga, kata Abu Ubaidah ra, iaitu menjauhi perkara yang halal bagi peringkat individu, menjauhinya kerana risau ia akan membawa kepada perkara haram; inilah peringkat takwa yang tertinggi. 
Iktibar takwa: Jika takwa diberi pengertian menghindari, menjauhi, maka ia mengajar kita agar bersikap mempercayai sesuatu berita balasan dan berhubaya mengelakkannya. Kita bertakwa kepada Tuhan kerana tujuan inilah. Apabila Allah membawa berita seksaan jika meninggalkan sembahyang umpamanya, kita mempercayainya dan berusaha menghindarinya dengan menunaikan sembahyang. Begitu juga dalam hal-hal lain, apa sahaja aktiviti yang tergolong dalam kategori dilarang jika dilakukan, maka akan diberi balasan. Orang-orang yang bertakwa akan berusaha menghindarkannya.
Dalam kehidupan seharian, inilah yang sepatutnya kita jadikan panduan ke arah hidup aman dan sejahtera. Takwa mengajar kita agar menghindari, menjauhi dan berhati-hati dalam sebarang tindakan yang boleh membawa mudarat. Misalnya, jika seorang doktor membawa berita bahawa makan tidak seimbang, seperti berlebihan lemak dan sebagainya boleh menjadi punca penyakit, kita harus mempercayainya dan seterusnya menghindarkan diri dari tabiat berkenaan. Jika dimaklumkan bahawa daging mengandungi protein yang tinggi, pengambilan yang berlebihan boleh menyebabkan badan kita berasid berlebihan dan menjadi punca penyakit gaut, kita harus mempercayai dan menghindarkan diri dari makan daging secara berlebihan. Sesetengah pengkaji mendapati bahawa protein susu yang tidak hadam atau lambat hadam boleh menghasilkan mocus di tali usus kita. Mocus adalah makanan sel barah, yang memang sedia ada dalam badan kita. Antara sebab protein susu lambat hadam adalah kerana kita mengambilnya bersama dengan air sejuk ketika makan. Air sejuk akan menyebabkan protein mengeras dan sukar dihadam, maka terhasil mocus. Jika berita ini dikatakan memberi kesan tidak baik maka kita harus mempercayainya dan mengambil langkah menjauhinya.
Percayakah anda jika dikatakan bahan Chloro-fluoro-carbon (CFC) dalam bahan-bahan semburan seperti semburan nyamuk boleh menyebabkan kerosakan ozon? Inilah berita dari para pengakaji. Mereka yang berkenaan memang sangat percaya fenomena tersebut. Maka mereka akan lebih berhati-hati, berjaga-jaga malah menghindari dari menggunakan bahan-bahan yang mengandungi CFC sewenang-wenangnya. Dengan kata lain mereka inilah yang benar-benar bertakwa. Bagaimana kita? Apakah kerana yang membuat kenyataan itu adalah orang kafir, tidak beriman, lantas kita yang mengaku beriman ini meremehkan pandangan mereka?
Ramai orang yang tahu, dan percaya bahawa daun hijau menghasilkan oksigen melalui proses fotosintisis, kerana begitulah yang diajarkan kepada kita semasa di sekolah. Tetapi apakah sikap kita terhadap kejadian Allah itu. Di mana pula peranan takwa kita kepada berita itu. Orang-orang yang benar-benar bertakwa sewajarnya berusaha menghindari dari melakukan kerosakan terhadap tumbuhan, waima terhadap rumput sekalipun, kerana percaya ada kesan buruk sebagai balasan. Orang-orang yang benar-benar bertakwa tentu mempercayainya dan berusaha menghindari dari melakukan kerosakan terhadap tumbuhan.
Itulah antara contoh yang dapat diambil dari kehidupan di dunia ini. Pendek kata apa sahaja kerosakan terhadap kejadian Allah akan membawa kepada keburukan dan kemusnahan. Jadi sifat takwa yang mampu mengetuk hati untuk mengelakkannya.
Begitu juga halnya, orang-orang yang percaya akan balasan di akhirat kelak, akan berusaha mengelakkannya atau menjauhinya, namun tidak perlulah diturunkan contoh-contohnya di sini kerana hal-hal yang berkaitan dengan akhirat sering kita dengar dalam ceramah-ceramah di masjid atau surau. 

Apakah objektif ibadah puasa anda!
Tulisan saya di atas ini sedikit sebanyak sudah memberi gambaran bahawa ibadah puasa bukan sekadar menahan dari makan-minum sahaja, tidak juga sekadar ibadah untuk bulan puasa semata-mata, tetapi lebih jauh daripada itu, iaitu ada matlamatnya yang hendak dicapai. Kita harus mempunyai tanggapan (persepsi) sebegini, itu sebabnya saya utarakan persoalan apakah objektif ibadah puasa anda! Pilih satu sahaja untuk bulan Ramadan ini, sama ada dari segi percakapan kita, perilaku dan sikap kita, atau mungkin ketakwaan; kemudian pantau sendiri tahap pencapaiannya.
Bagi saya ialah mempertingkatkan ketakwaan yang telah saya capai sejak bulan Ramadan yang lalu, kerana saya rasa belum lagi mencapai ketakwaan yang saya harapkan. Lahaula wala quwata illa billahil 'aliyulazim

No comments:

Post a Comment