Ibadah Sembahyang

'Dirikanlah sembahyang. Sesungguhnya sembahyang itu dapat mencegah dari perbuatan keji dan mungkar. (al-Ankabut: 45)
Apakah buktinya?

Sesetengah daripada kita menunaikan sembahyang, semata-mata kerana menunaikan perintah Allah, kerana Allah s.w.t pun berfirman, dalam Surah Toha, ‘Dirikanlah sembahyang untuk mengingati-Ku’ (Toha: 14). Firman ini begitu jelas, menunjukkan, kita melakukan sembahyang demi untuk mengingati Allah.
Memang benar. Objektif utama sembahyang kita adalah untuk menunaikan perintah-Nya. Ini yang dituntut oleh Allah. Di sana menunjukkan sembahyang itu adalah hak Allah yang mesti ditunaikan. Allah yang menjadikan kita, seolah-olah kita telah terhutang budi kepada-Nya, maka kepada-Nya, yang Maha segala-galanya, kita mesti membalas budi-Nya hanya dengan cara melakukan sembahyang sebagai satu-satunya cara mengingati-Nya.
Sembahyang yang kita lakukan lima kali sehari itu umpama membayar hutang kepada-Nya. Melunaskan hutang dijadikan satu tanggungjawab bagi seseorang muslim. Tetapi apa yang kita dapat dari sembahyang itu? Itu sebab hadis menyebutkan, sembahyang kita belum menjamin untuk masuk syurga. Hanya dengan sembahyang yang diibaratkan umpama melunaskan hutang sahaja, kita belum mendapat apa-apa yang dapat menjamin kita masuk syurga.
Hanya dengan rahmat-Nya sahaja yang akan menjamin kita masuk syurga. Bagaimana cara untuk mendapatkan rahmat-Nya?
Bagi mengharapkan rahmat Allah, maka kita harus melakukan sesuatu selepas sembahyang. Ada tindakan lain yang harus kita lakukan. Kita imbas kembali catatan Prof. Dato’ Dr. Haron Din, 

Di hujung petikan itu Prof. Dato’ menegaskan tentang apakah yang haus kita lakukan selepas kita mengaku beriman dan menunaikan tuntutan dalam rukun Islam dan rukun Iman. 
Sebagai seorang muslim, setelah kita mendakwa diri kita sebagai muslim, kita terpaksa menerima rukun Islam dan rukun Iman sebagai syaratnya. Dengannya, kita menentukan corak hidup kita, mengatur pendekatan dan masa hidup kita. Dalam pengurusan masa umpamanya, kita menetapkan sembahyang kita sebagai perkara utama. Kita meletakkan waktu sembahyang paling atas dalam senarai tindakan atau aktiviti seharian kita. Dalam membuat persiapan untuk musafir, dengan tujuan apa sekalipun, sediakan dahulu persiapan untuk sembahyang. Selepas kita mampu menunaikan haji, kita tunaikan lebih dahalu dari yang lainnya. Inilah sikap hidup yang sewajarnya yang perlu ada dalam diri kita sebagai seorang muslim.
Pendek kata, rukun Islam dan rukun Iman harus kita utamakan dari yang lainnya. Letakkan segala tuntutan di dalamnya di tempat pertama dalam senarai segala keperluan yang lain. Inilah sikap hidup kita yang mengaku muslim. Tetapi dengan demikian sahaja pun memadai untuk menjamin kita masuk syurga. Setelah kita penuhi segala tuntutan sebegitu rupa pun kita belum tentu mendapat rahmat dari-Nya. Jadi apa lagi yang harus kita lakukan selepas menunaikan tuntutan sembahyang dan haji tadi?
Merujuk kepada tulisan Prof. Dato’ di atas tadi, maksunya ada sesuatu tindakan lain yang harus kita lakukan. Mungkin, jika dapat melakukan sesuatu yang berkait dengan sembahyang kita, maka rahmat Allah akan turun.
Contohnya, kita rujuk satu firman Allah, ‘Dan dirikanlah sembahyang (dengan tetap), sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar’. (Al-Ankabut: 45)
Bagaimana, kalau kita jadikan ini sebagai asas kepada apa yang hendak kita lakukan selepas kita mematuhi perintah melakukan sembahyang? Ini hanyalah satu contoh daripada banyak lagi yang boleh kita lakukan. Cari sahaja firman-firman atau hadis yang sepertinya yang dapat kita jadikan sebagai agenda hidup kita bagi mendapatkan rahmat Allah.
Sembahyang adalah rukun Islam yang kedua selepas mengucap dua kalimah syahadat. Ini meunjukkan betapa pentingnya sembahyang itu. Maka contoh ke arah mencari rahmat Allah di sini, kita ambil dari sembahyang. Lagi pun, menunaikan sembahyang tidak sesukar seperti menunaikan zakat dan haji. Muslim keseluruhannya, tidak ada alasan untuk menunaikan sembahyang, tidak seperti menunaikan zakat dan haji.
Jika kita mengambil hukum-hakam dalam sembahyang itu, sama ada yang wajib mahupun yang sunat dan makruh, kita dijadikan iktibar dan panduan dalam menjalani penghidupan di dunia ini, maka tidak sukar untuk mencari bukti kebenaran firman Allah yang tersebut. Banyak contoh-contoh yang dapat kita lihat, yang menjadi fenomena hidup dalam masyarakat Islam.
Kita ambil satu contoh. Dalam sembahyang berjemaah, makmum dilarang membaca kuat, kerana boleh mengganggu khusyuk makmum bersebelahan. Iktibar ini dari hukum ini ialah jangan membuat gangguan kepada orang lain. Jangan mengganggu jiran dengan membuat bising. Kita tidak sepatutnya membuat bising di khalayak ramai dengan apa cara sekalipun. Ini akan dijelaskan lagi kemudian.
Banyak lagi hukum-hakam dalam sembahyang yang dapat diterjemahkan  ke dalam hidup kita, yang boleh menjadi bukti seperti yang tersebut dalam firman tersebut.
Banyak juga fenomena dalam masyarakat kita yang kita lihat baik tetapi kita sandarkan itu kepada disiplin yang lahir dari buku selain al-Quran dan hadis. Kita lihat itu adalah etika hidup ciptaan orang putih dan sebagainya.
Contohnya, orang ramai yang beratur mengambil giliran untuk membayar di kaunter-kaunter jualan, ramai yang melihatnya sebagai etika orang putih, orang barat. Kita dilihat sebagai meniru-niru budaya mereka kerana itu budaya yang baik. Jika dilihat itu suatu bidaah, tetapi bidaah hasanah, bidaah yang baik. Tetapi mengambil pengajaran dari mereka itu tidak mendapat apa-apa, tidak ada pahala. Harus sahaja. Paling tidak wajar ialah jika kita banyak menyandarkan segala yang baik itu kepada etika yang kita lihat dari barat.
Sebenarnya etika tersebut ada dalam bab sembahyang kita. Ada hukum dalam sembahyang yang boleh menjadi sandaran kepada sikap beratur sebegitu.
Contohnya, dalam bab sembahyang, ada menyebut aturan bagaimana cara kita membina saf. Misalnya disebut, orang yang pertama masuk saf hendaklah berdiri di belakang imam, ke sisi kanan sedikit. Orang kedua masuk ke sebelah kiri orang pertama tadi. Orang ketiga pula masuk ke sebelah kanan orang pertama tadi, dan seterusnya, sehingga membentuk saf. Setiap orang yang ingin bermakmum, sunat mengikuti prosedur ini.
Apakah wajar orang kedua tadi menolak orang pertama ke sisi kiri, dan dia mengambil tempatnya? Orang ini bertindak begitu kerana ingin mendapat pahala lebih. Pahala dalam saf. Disebutkan di sini, pahala yang paling besar bagi makmum ialah di tempat orang yang pertama tadi, kemudian orang yang kedua, dan yang ketiga. Tindakan orang kedua menolak orang pertama ke kiri tadi untuk tujuan inilah. Tetapi adakah wajar?
Jika ini kita jadi panduan membuat giliran dalam segala urusan, maka roh sembahyang telah diterjemahkan dalam menjalani hidup seharian. Kita mengambil iktibar dari hukum-hakam dalam sembahyang sebagai panduan atau etika hidup. Jadi, jika ini kita jadikan panduan untuk tingkah laku kita, menentukan sikap kita, maka terbuktilah bahawa sembahyang itu mencegah kita dari perbuatan mungkar.
Bayangkan apa akan terjadi jika kita tidak beretika seperti di atas? Sesuatu yang buruk boleh tercetus, dan ini disebut sebagai kemungkaran. Apakah erti kemungkaran? Secara umum, boleh dikatakan bahawa setiap perbuatan atau tingkah laku yang tidak disenangi oleh orang lain, adalah kemungkaran.
Jadi cara kita menjalani hidup harus disandarkan kepada satu pakej etika yang mampu mengelakkan berlakunya kemungkaran. Islam sebagai ad-Deen, kita beriman kepadanya, maka jadikanlah sembahyang sebagai sumbernya. Jika ini dapat diamalkan secara konsisten, maka rahmat Allah akan datang. Jika keseluruhan cara hidup kita, kita sandarkan kepada hukum-hakam dalam sembahyang umpamanya, maka kita akan menjadi muslim yang diredai. Dan, berdoalah, semoga diberi ganjaran syurga darinya.