Sunday, April 24, 2011

Rahmat Allah sahaja yang menjamin kita masuk syurga

Sebuah hadis oleh Jabir menyebut Rasulullah bersabda, maksudnya, 'Bukan amal seseorang yang memasukkannya ke syurga atau melepaskannya dari neraka, termasuk juga aku, tetapi ialah semata-mata rahmat Allah belaka.' (Hadis riwayat Muslim)
Syeikh Muhyiddin Abdul Kadir al-Jailani pula berkata, 'DenganMu, kita tidak dapat sampai, sedang kami amat berhajat kepadaMu. Yakni, kita tidak dapat sampai ke mana-mana dengan amalan kita tanpa rahmat Allah Taala, sedang kita wajib beramal kerana menurut perintahNya.' (Cahayamukmin.blogspot.com)
Dari Syeikh Abu Said al Kharraz pula menyebut, 'Siapa yang mengira, bahawa ia akan sampai kepada Allah Taala dengan amalannya, maka ia adalah seorang yang membuang masa. Dan siapa yang mengira, bahawa ia akan sampai kepada Allah Taala tanpa amalan pula, maka ia adalah seorang yang berangan-angan kosong. Yang demikian itu adalah sikap yang bodoh dan terpedaya. Menyerah kepada Allah serta mengharapkan rahmatNya tidak boleh berlaku, melainkan sesudah berbakti dan beramal soleh.'
Begitu sekali peringatan-peringatan betapa kita amat memerlukan rahmat Allah s.w.t. setelah menunaikan segala amalan yang diperintahkannya. Selepas sembahyang dan lain-lainnya itu, kita tidak boleh berserah semoga Allah akan memberikan ganjaran syurga. Syurga adalah bagi mereka yang telah mendapat rahmatNya. Dengan kata lain, rahmat Allah mesti diusahakan, mesti dicari. Hanya setelah kita berbakti dan beramal soleh, maka rahmatNya akan turun.
Apa pandangan anda? Wallahu-a'lam.