Satu ayat dalam al-Quran menyebut maksudnya, Sesungguhnya Allah telah membeli dari para Mukmin jiwa-jiwa mereka dan harta-harta mereka, (sebagai balasan) bagi mereka itu adalah syurga Jannah; mereka berperang di jalan Allah, dan membunuh dan terbunuh. (Janji syurga itu) adalah satu perjanjian yang mengikat bagi-Nya dalam kebenaran (sebagai tersebut) dalam Taurat dan Injil dan al-Quran; dan siapakah lebih menyempurnakan janjinya selain Allah? Maka itu bergembiralah dengan (perjanjian) penjualan yang engkau telah lakukan dengan-Nya; itu adalah kemenangan yang besar (at-Taubah, 9: 111).
Ayat ini
memperlihatkan konsep hidup manusia, yang
menyatakan bahawa hidup kita ini biarlah yang akhirnya menjadi satu yang disebut oleh ayat
ini: aset yang layak untuk dijual kepada Allah, yang bayarannya ialah syurga.
Jadi orang-orang yang mendapat syurga adalah mereka yang dapat menyediakan
dirinya sebagai
· Para Mukmin
atau orang yang beriman,
· Mereka yang
menyerahkan jiwa dan harta untuk jalan Allah.
Ayat di atas merupakan satu kontrak (perjanjian) Allah dengan manusia
seperti yang tercatat dalam al-Quran mahupun Taurat dan Injil. Allah memberi
jaminan bahawa Dia akan menunaikan janjinya dengan
balasan syurga kepada orang-orang mukmin iaitu orang-orang Islam yang beriman.
Siapakah dia?
Ayat di atas
menjelaskan iaitu mereka yang sedia menyerahkan jiwa dan hartanya untuk jalan
Allah. Secara tidak langsung ayat itu memberi gambaran bahawa seseorang yang
Islam belum tentu beriman. Fenomena menunjukkan bahawa orang Islam memang
ramai, tetapi yang beriman terlalu sedikit jika dilihat dari sudut penyerahan
jiwa dan harta kepunyaannya. Justeru konsep hidup yang dikehendaki Allah adalah
hidup dalam beriman. Mengikut ayat di atas ini menunjukkan bahawa iman bukanlah satu konsep metafizik
semata-mata tetapi satu bentuk perjanjian dengan Allah swt, bahawa Allah swt
akan membeli diri manusia dan hartanya dengan syurga.
Implikasi
dari konsep jual beli ini adalah sangat penting untuk dimengerti dan
difahami dalam-dalam bahawa ianya akan menentukan watak manusia selama hidupnya
di dunia. Ini bertepatan dengan konsep bahawa bumi dan segala isinya dan alam
semesta ini adalah kepunyaan Allah swt, jadi harta yang dikumpul oleh manusia
itu adalah manifestasi dari kurniaan akal yang memberinya kemampuan untuk
meneroka isi bumi ini.
Mungkin ada
yang mempersolkan, misalnya jika manusia dan hartanya adalah milik Allah swt
maknanya manusia tidak mempunyai apa-apa walau sedikit sekalipun, bagaimana
boleh berlaku jual beli! Ya, secara logiknya ini satu persoalan yang tidak
dapat disangkal, tetapi jika dilihat kembali bahawa Allah swt juga memberikan
manusia akal, dan dengan akalnya manusia diberi kebebasan memilih, maka di
sinilah letaknya kepunyaan manusia: jika manusia memilih untuk mengikut jalan
hidup yang benar, ini merupakan aset kepunyaan manusia, jika sebaliknya manusia
memilih jalan yang lain, mereka tidak mempunyai apa-apa untuk ditukar dengan
syurga. Justeru manusia harus menggunakan kebebasan memilihnya itu dengan
menyerahkan diri dan hartanya untuk jalan Allah swt.
Allah
swt tidak menghalang manusia memilih jalan mana yang dikehendakinya. Manusia
boleh sahaja memilih untuk menjadikan dirinya sebagai bebas secara mutlak,
tidak terikat dengan Tuhannya, boleh melakukan apa sahaja yang dia mahu dan
bila-bila masa yang dia mahu dan menikmati segala hartanya mengikut
pertimbangan akalnya sendiri, malah manusia boleh sahaja menunjukkan protesnya
kepada peraturan Allah swt, namun akhirnya manusia seperti inilah yang tidak
mempunyai sebarang aset untuk jual beli yang dimaksudkan itu.
Aset
yang dimaksudkan di sini sebenarnya ialah watak
manusia itu, dan hartanya itu walaupun
sebenarnya kepunyaan Allah jua, namum Allah meminjamkan kepada manusia sebagai
satu amanah. Sebagai pemegang amanah maka akan dilihat adakah manusia
menyempurnakan amanah yang diberikan itu untuk jalan yang diredai-Nya. Jadi
seseorang manusia yang mengambil pertimbangan menggunakan kebebasan memilihnya
untuk tidak mengingkari kekuasaan Allah dikatakan sebagai seorang manusia yang
beriman, sebagai manusia Mukmin,
yang diri dan hartanya kelak akan ditukar dengan syurga jannah. Jadi, Iman adalah ibarat satu perjanjian atau
persetujuannya untuk tunduk patuh dengan segala ketetapan Allah swt. Jadi
beriman bererti persetujuan menjadikan dirinya dan segala hartanya digunakan
semata-mata untuk jalan Allah.
Tidak
dinafikan memang ada sebahagian manusia yang sejak mula lagi tidak dapat
menerima perjanjian ini, atau sebahagian lagi walaupun berikrar dengan Lailaha illallah namun pada masa yang
sama wataknya tidak selari dengan perjanjian yang diikrarkan itu. Mereka
memilih jalan hidupnya sendiri, mengikut akal budinya sendiri, menggunakan
kebebasan memilihnya secara mutlak walaupun tidak serasi dengan kalimah yang
disebut itu. Tidak dinafikan juga memang sebahagian manusia jelas protes dengan
kalimah Lailaha illallah itu, mereka
inilah yang digelar kafir, manakala
manusia dalam golongan kedua itu pula disebut sebagai kufur.
Justeru
manusia harus sentiasa berhati-hati dalam mengurus dirinya dan hartanya,
sentiasa menyedari kedudukannya sebagai hamba Allah, sentiasa jujur memelihara
ketaatannya hanya kepada Tuhan, imannya haruslah yang selari dan serasi dengan
ajaran-ajaran yang menjuruskan dirinya menjadi seorang Mukmin, inilah pilihan
yang sewajarnya. Bila disebut pilihan di sini bererti seseorang manusia harus
dengan sukarela, bukan dipaksa, untuk menyerahkan diri dan hartanya hanya untuk
Allah semata-mata. Manusia yang kelihatannya tunduk patuh dengan peraturan ini
tetapi dengan rasa terpaksa adalah manusia yang tidak jujur, tidak amanah, ada
rasa terbuku di hatinya.
Kesimpulannya,
terdapat tiga kelompok manusia jika dilihat dari sudut pilihannya menggunakan
kebebasan memilih yang diberikan:
1.
yang memilih untuk tunduk patuh seratus peratus
kepada jalan yang lurus yang diredai Allah, menyerahkan diri dan segala
hartanya untuk jalan Allah semata-mata,
2.
mereka yang pada mulanya menjanjikan untuk
tunduk patuh dengan segala ketetapan Allah tetapi pada masa yang sama
menyeleweng memilih jalan hidup yang lain, dan
3.
manusia yang dengan sengaja protes dengan
konsep hidup seperti yang dikehendaki Allah swt.
Golongan pertama itu
akan menjadikan dirinya sebagai manusia yang sentiasa berhati-hati dalam
menjalani hidupnya. Mereka ini adalah individu yang sentiasa berhati-hati
dengan pengurusan hartanya, hubungan dengan keluarganya, jirannya,
masyarakatnya, dan umah sejagat. Mereka juga sentiasa memelihara jalan untuk
memenuhi keperluan jasmaninya dan rohaninya, lebih-lebih lagi agamanya, kerana
selepas hidupnya di dunia ini akan ada satu lagi kehidupan di akhirat. Pendek
kata, seluruh sistem hidupnya yang melibatkan dirinya, organisasi sosialnya,
kebudayaannya, politik, ekonomi, kehakiman dan sebagainya adalah yang sejajar
dengan ketetapan Tuan-nya. Bagi golongan ini wahyu Allah (al-Quran) itulah
perlembagaan hidupnya, bukan dari sumber-sumber lain yang terhasil dari akal
manusia, atau campur aduk antara kedua-duanya.
No comments:
Post a Comment