Sejarah menunjukkan pada zaman
kedatangan Islam, terdapat banyaknya kepercayaan, mitos, konsep, falsafah
tahyul, tradisi dan adat, yang cirinya kepalsuan bercampur
aduk dengan kebenaran, yang salah dengan yang
benar, yang karut marut dengan agama, dan mitos dengan falsafah, yang
menyebabkan hati nurani manusia bercelaru, berspekulasi, yang tidak ada
tanda-tanda akan reda.
Hari
ini kesan dan tempiasnya masih ketara. Lihat sahaja fenomena kehidupan manusia
hari ini: kehidupan manusia dipenuhi kejelekan-kejelekan seperti terjadinya
rasuah dan kelam-kabut, kezaliman dan penindasan, kesusahan dan kesengsaraan,
dan mementingkan diri sendiri. Kehidupan yang boleh disebutkan sebagai yang
bukan untuk manusia mahupun binatang.
Keadaan-keadaan
inilah yang menyebabkan kehidupan manusia tidak mempunyai identiti yang jelas,
kehidupannya tidak tentu hala kerana telah menyimpang dari jalan yang
sepatutnya. Tidak terkecuali kesannya adalah terhadap
ibadah-ibadahnya, sama ada ibadah yang
khusus maupun ibadah yang umum.
Ibadah-ibadahnya
simpang-siur, tiada tujuan, tidak
dikaitkan dengan kehidupan, gagal mengaitkannya
dengan cara hidupnya,
jauh sekali untuk membina kesedaran hubungan manusia-Tuhan,
misalnya manusia telah tidak dapat melihat apakah pentingnya mengenali Tuhan-nya dan
sifat-sifat-Nya, sudah kehilangan kesedaran pentingnya hubungan manusia
dengan manusia lain dan alam sejagatnya.
Fenomena ini berpunca daripada ketiadaan kefahaman
asas yang jelas tentang tujuan
penciptaan manusia, atau
memang tidak mengetahuinya. Selayaknya untuk menjadi seorang Islam harus
mengetahui dahulu kedudukan ini sebelum mengenali atau membina ideologi-ideologi
yang lain. Barulah imej
Islam kita jelas komprehensif dan universal, dan kehidupan Islam kita jelas.
Khalifah
biasanya dirujuk kepada seorang yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, atau
raja. Namun terdapat ayat-ayat yang maksudnya khalifah juga membawa
maksud manusia keseluruhannya. Ayat 165 al-Anam menyebut Dan Dia-lah
yang menjadikan
kamu khalifah di
bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat,
kerana Ia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakanNya kepada kamu. Frasa
kata kerana Ia hendak menguji kamu itu bukan ditujuakan kepada pemerintah
atau raja sahaja, tetapi menggambarkan manusia keseluruhannya.
Hal ini dibayangkan juga oleh yat 69
al-Araf yang menyebut Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum Nabi Nuh, dan
Allah telah menambahkan kamu kelebihan (dan kekuatan) pada bentuk kejadian
tubuh kamu. Maka kenanglah akan nikmat-nikmat Allah supaya kamu berjaya. Frasakata kelebihan (dan
kekuatan) pada bentuk kejadian tubuh kamu ini juga bukan ditujukan kepada pemerintah atau raja
sahaja, tetapi menggambarkan manusia keseluruhannya.
Maka dapatlah disimpulkan bahawa
inilah tujuan penciptaan manusia; Allah swt menjadikan manusia sebagai
makhluk yang diberi gelaran khalifah.
Ini bererti setiap orang Allah swt
jadikan dengan kelebihan-kelebihan tertentu. Kelebihan pada bentuk kejadian
tubuh itu menckupi segala apa yang ada pada sekujur tubuh badan kita..
Tentunya mencakupi kudrat kekuatan, saiz tubuh badan, pancaindera, kecerdasan
akal, aspek anatomi, dan sebagainya. Dengan kelebihan-kelebihan ini Allah
menyeru Maka kenanglah akan nikmat-nikmat Allah supaya kamu berjaya (al-Araf, 69).
Justeru, adalah menjadi tanggungjawab setiap orang menggunakan kelebihan-kelebihan tersebut untuk
orang-orang yang kekurangan: yang
kuat menolong orang yang lemah, yang besar saiz tubuh membantu orang yang lebih
kecil, yang lebih cerdik membantu orang yang kuran cerdik, yang sihat menderma
darah untuk kepentingan orang yang memerlukan, dan sebagainya. Orang-orang yang
berjaya melunaskan peranan dan tanggungjawab ini adalah seorang khalifah, sebaliknya mereka yang mengabaikannya
adalah calon neraka seperti yang dibayangkan oleh ayat 165, Sesungguhnya
Tuhanmu amatlah cepat azab seksaNya.
Ada segolongan manusia yang diberi kelebihan dari sudut harta kekayaan seperi yang dimaksudkan oleh
ayat 74 al-Araf (dengan diberi kemudahan) untuk kamu mendirikan istana-istana
di tanah-Nya yang rata. Bagi
mereka ini Allah swt menyeru Maka kenangkanlah nikmat-nikmat Allah itu dan
janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di muka bumi. Ini
bermaksud bahawa adalah menjadi kewajipan (wajib) dilaksanakan.
Ayat-ayat yang lain yang menyebut tentang khalifah mengingatkan kemudian Dia akan memerhati bagaimana pula
perbuatan kamu? (al-Araf, 129, supaya
Kami melihat apa pula corak dan bentuk kelakuan yang kamu akan lakukan
(Yunus, 14).
Bagi golongan khalifah sebagai
raja dan pemerintah pula Allah swt mengingatkan maka
jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang
diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang
demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah (Sad, 26).
Pembentangan di atas ini menunjukkan
bahawa tujuan Allah swt mencipta manusia adalah untuk dijadikan khalifah
mengikut konsepnya yang di atas ini.
Secara tidak langsung ini bermaksud
bahawa orang-orang yang mementingkan dirinya adalah tercela di sisi Allah swt.
Di dunia lagi Allah akan tunjukkan bahawa mereka tidak berdaya menjalani
kehidupan secara bersendirian. Misalnya apapun situasinya, di manapun tempat
tinggalnya orang-orang kaya akan memerlukan orang miskin untuk mengurus
perusahaannya atau ladangnya, masalah kenderaan dan tempat tinggalnya juga
harus disediakan oleh golongan yang kekurangan.
No comments:
Post a Comment