Rasulullah saw bersabda, Sebaik-baik manusia adalah yang memberikan manfaat kepada orang lain, dan sejahat-jahat manusia adalah yang mendatangkan kerugian bagi orang lain.
Hadis ini bertepatan dengan konsep khalifah yang telah kita bincangkan, iaitu menggunakan apa jua kelebihan yang kita punyai untuk faedah buat orang lain: dari
sekecil-kecil kelebihan iaitu kelebihan (dan kekuatan) pada bentuk
kejadian tubuh (al-Araf, 69) hingga harta kepunyaan (al-Araf, 74). Jadi
darjat sebaik-baik manusia adalah mereka yang berjaya merealisasikan idea ini
untuk faedah buat orang lain.
Kitab Mukasyafah al-Qulub mengaitkan kedudukan ini dengan ayat 110
ali-Imran yang ertinya, Kamu (wahai umat
Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia.
Mereka adalah umat yang mengutamakan
umat-umat yang lain. Kalimah ukhrijat
dalam ayat ini bermaksud dinampakkan
kepada manusia, iaitu memberi manfaat
dan kebaikan kepada manusia lain. Tidak dapat dinafikan sikap dan watak mengutamakan orang lain ini adalah ukhrijat, tidak dapat disorok. Orang
yang terlihatnya akan mengatakan baiknya
budak tu.
Sambungan ayat 110 itu menyebut (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang
daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman
kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)…
Maksudnya, kitab ini menyebut, Ayat 110 ini mengandungi penjelasan tentang
kewujudan mereka sebagai yang terbaik selain kelebihan mereka yang tegak di
atas sifat-sifat tersebut. (Mukasyafah al-Qulub, 180) Ini bererti bahawa
antara sifat-sifat lain yang bersama dengan watak
terbaik itu ialah sikap amar makruf nahi
munkar yang disebut menyuruh berbuat
segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk
dan keji). Dengan kata lain ialah bahawa sesiapa yang bersikap amar makruf nahi munkar juga adalah
termasuk ke dalam golongan sebaik-baik manusia. Hal ini disebut oleh hadis yang
maksudnya, Barangsiapa yang menyuruh
kebaikan dan mencegah kemunkaran, bererti ia adalah khalifah Allah swt, serta
khalifah Kitab dan rasul-Nya di bumi (Mukasyafah al-Qulub, 181).
Pernah diriwayatkan bahawa Khuzaifah
ra berkata, Akan datang suatu zaman
kepada manusia ketika bangkai keldai lebih mereka sukai daripada orang Mukmin
yang menyuruh mereka berbuat kebaikan dan mencegah mereka dari kemungkaran.
Fenomena menunjukkan hari ini lebih
ramai orang yang tidak menyukai sifat amar
makruf nahi munkar. Lihat sahajalah, teguran-teguran selalunya menjadi
punca perselisihan dan pertengkaran.
Pernah diriwayatkan juga bahawa Nabi
Musa bertanya kepada Allah swt, Tuhanku,
apakah balasan bagi orang yang mengajak saudaranya kepada kebenaran,
menyuruhnya berbuat kebaikan dan mencegahnya dari kemungkaran? Allah swt
menjawab, Untuk setiap kata-katanya Aku
menuliskannya sebagai ibadah Sunnah untuknya dan Aku merasa malu untuk
mengazabnya dengan api neraka.
Apakah yang kita faham dari
maksud Aku merasa
malu untuk mengazabnya dengan api neraka. Siapakah mereka? Mereka adalah
calon syurga, yang bermaksud akan masuk syurga tanpa hisab. Sedangkan Muslim yang
yang lain masuk syurga selepas sesi penyucian dosa di neraka buat satu tempoh
mengikut banyaknya dosa.
Pendek kata, darjat sebaik-baik manusia itu diberikan kepada
manusia yang wataknya sebagai khalifah iaitu mengutamakan faedah buat orang lain, atau boleh
disebut sebagai sifat kepedulian. Dan
telah disebut tadi antara sifat-sifat manusia ini ialah yang menegakkan prinsip
amar makruf nahi munkar.
Inilah caranya untuk meraih rahmat Allah swt. Namun, ramai yang
melihat amar makruf nahi munkar
sebagai watak yang berat. Mereka
lebih suka mengambil jalan menegur dengan hati,
walaupun dalam keadaan-keadaan yang membolehkannya menegur dengan lisan atau perbuatan,
seperti mengutip sampah di laluan kita, atau menyingkirkan ranting/duri pokok,
bekas minuman dan sebagainya; seorang suami menyambung kerja rumah isterinya
yang kelihatan kurang sempurna. Jika ini jalan yang kita pilih bererti kita
boleh tergolong kepada kategori orang yang menyukai bangkai keldai.
Mengapa kita tidak melakukannya?
Cara kita berfikir yang menjadi puncanya. Jika kerana malu bererti hidup kita bukan kerana
Allah tetapi kerana orang, sedangkan ini bukan yang Allah swt kehendaki
menerusi ayat 56 az-Zariyat. Bagaimana pula hendak mengharap rahmat Allah jika
ini jalan yang kita pilih.
Dari Abu Daud dan Tarmizi
diriwayatkan Rasulullah saw pernah bersabda maksudnya, Barangsiapa dipercayakan (diberi kepercayaan) Allah untuk menangani
sekecil-kecil apa pun urusan umatku dan kaum muslimin, lalu dia menghindar dari
keperluan dan kemiskinan mereka, maka Allah akan menghindar dari keperluan
kemiskinan dan kemiskinannya pada hari Kiamat.
No comments:
Post a Comment