06 March 2016

Masyarakat yang mendapat rahmat Allah


Setiap orang dalam masyarakat Islam, tanpa mengira warna kulit, bahasa percakapan, atau tempat lahir, mempunyai tanggungjawab merealisasikan matlamat masyarakat Islam seperti yang disebut dalam al-Quran iaitu merealisasikan kewajipan moral: mengajak kebaikan, melarang daripada kejahatan dan beriman kepada Tuhan. Bagi yang non-Muslim tidak dipaksa untuk beriman kepada Tuhan tetapi harus melunaskan tanggungjawab yang lain-lain itu.

Kata Nabi saw, sesebuah komuniti Islam harus bersifat seperti sebatang tubuh badan manusia, di mana setiap anggota, organ-organ dalam, pancaindera dan sebagainya bekerjasama, jika salah satu atau sebahagiannya sakit, yang lain-lain merasai sama. Oleh itu, sebagai seorang individu dalam masyarakat Islam jika merasa tidak perlu peduli jika komuniti sakit, anda harus menganggap diri anda sebagai mementingkan diri sendiri, mempunyai masalah moral, dan kurang beriman. Kata Nabi saw, siapa yang merasa dirinya tiada kaitan dengan anggota masyarakatnya maka dia bukanlah seorang Muslim.


Prinsip dan Nilai Islam



Jika hendak diperincikan lagi supaya matlamat di atas lebih jelas, masyarakat Islam dikehendaki berpegang kepada prinsip-prinsip berikut,

·         Penyerahan diri kepada Allah semata-mata,

·         Kebebasan yang ditadbir oleh tanggungjawab dan disiplin,

·         Keadilan dan murah hati,

·         Kesaksamaan yang diperkukuhkan oleh persaudaraan,

·         Syura atau perundingan bersama.

(Islam the Natural Way, 109)

Jika diamat-amati kesemua yang di atas ini memerlukan penggunaan sumber-sumber pengetahuan dan kuasa untuk merealisasikannya. Misalnya sesebuah komuniti yang ahli-ahlinya tidak kecukupan pengetahuan menyebabkan lahirnya kesatuan yang lemah, lantas bagaimana hendak diharap untuk membebaskan dan melaksanakan keadilan!

Prinsip utama bagi sesebuah masyarakat Islam ialah berpegang kepada Tauhid, atau penyerahan diri hanya kepada Allah. Ini yang menjadi teras kepada keadilan dan syura. Kebebasan dan kesaksamaan di atas itu adalah sebahagian daripada keadilan, jadi kebebasan bergerak, kebebasan bekerja dan mendapat kehidupan yang jujur, kebebasan dalam persatuan, kesemuanya harus menjadi amalan keadilan. Demikian juga halnya dengan kesaksamaan, setiap ahli komuniti harus menikmati kesaksamaan dalam segala peluang dan kesaksamaan di sisi undang-undang.  Dua aspek yang sangat penting untuk diperhatikan ialah nilai-nilai keadilan dan syura, kerana inilah nilai yang tertinggi yang mesti diamalkan oleh masyarakat Muslim.



Keadilan: Keadilan adalah nilai yang tertinggi dalam Islam. Tujuan utama wahyu dan perlantikan Nabi saw adalah menegakkan keadilan, itu sebabnya antara ulama Islam yang ulung pada zamannya telah mengungkapkan kata-kata bahawa Apabila tanda-tanda keadilan muncul dan riaknya kelihatan di sana-sini, itulah tanda-tanda agama dan undang-undang Allah.

Keadilan adalah prinsip pertama kehidupan sosial. Ia boleh dilihat dalam perjalanan tadbir urus pemerintah-rakyat, kaya-miskin, suami-isteri, ibu bapa-anak-anak, malah dalam tingkah laku seseorang individu. Keadilan perlu diljalanan untuk memenuhi tuntutan jasmani, rohani dan minda, justeru adalah tidak adil umpamanya sebagai contoh, mengabaikan keperluan jasmani kerana mengejar pembangunan rohani, atau memenuhi keperluan jasmani tetapi mengabaikan keperluan rohani dan/atau minda. Justeru seseorang individu yang adil adalah yang memenuhi kesemua keperluan tersebut dengan seimbang (wasatiyah), tidak berat sebelah kepada salah satunya antara jasmani dengan rohani/mental.

Sedar atau tidak sebenarnya lambang keadilan adalah amalan kita dalam sembahyang, di mana tidak ada keutamaan diberikan kepada seseorang atas sebab pangkat atau darjatnya, kesemuanya adalah sama taraf sama ada yang berpangkat atau tidak, kaya atau miskin. Inilah yang menjadi asas keadilan dalam institusi-institusi Islam. Dengan ini tidak ada sesiapa boleh dikecualikan, atau layak membuat tuntutan imuniti bagi mencapai maksud kesaksamaan dalam undang-undang. Jadi sama ada ia pendakwa atau saksi pendakwaan harus berpegang kepada kesaksamaan ini. Dalam institusi keluarga pula tidak ada keutamaan untuk ibu bapa berbanding anak-anak atau orang lain. Pendek kata dalam semua urusan kehidupan, kita dikehendaki tegas menegakkan keadilan walaupun ia bertentangan dengan kepentingan diri sendiri dan kawan-kawan mahupun kaum kerabat. Ketidakadilan boleh membawa kepada berlakunya tindakan salah.  

Mengikut prinsip syariah semua perkara yang tidak dilarang boleh dilakukan, dengan syarat tidak mendatangkan kerosakan atau bahaya kepada pihak lain, namun jika didapati memang jelas atau dijangka boleh mendatangkan bahaya atau kerosakan ianya adalah dilarang dan dikehendaki mengelakkan berlakunya, malah membasminya di mana-mana yang boleh. Ini disebut sebagai natijah dari sesuatu tindakan.



Syura. Dalam komuniti Islam perkara yang menyentuh kepentingan umum harus berjalan atas dasar syura, atau perundingan. Al-Quran di dalam ayat yang diturunkan di Makkah menyifatkan umat Islam adalah orang-orang yang menjawab panggilan Tuhan dan mendirikan sembahyang dan yang menjalankan urusan mereka dengan perundingan bersama (syura), dan yang menghabiskan apa yang telah Kami berikan kepada mereka.

Jadi, jika kita sudah berada dalam kepimpinan walaupun yang kecil-kecil seperti jawatankuasa pengurusan masjid, pengurusan sekolah, persatuan perniagaan atau syarikat, atau pihak berkuasa tempatan, diwajibkan mengamalkan syura.

Terdapat dua syarat-syarat yang perlu dipatuhi dalam menjalankan syura: satu syura tidak boleh digunapakai dalam hal-hal yang jelas ketetapannya dalam al-Quran atau Sunnah, kerana kedua-dua sumber ini merupakan undang-undang mutlak. Jadi ini mesti diletakkan di luar bidang kuasa syura, kecuali yang bertujuan untuk menguraikannya, bukan mempersoalkan. Misalnya, dalam ketetapan kadar zakat dua setengah peratus itu tidak boleh lagi dipersoal atau diubah walaupun oleh kumpulan para ulama. Namun mereka dibenarkan untuk membuat ketetapan tahap minima harta yang boleh dikenakan zakat, jumlahnya pula boleh berbeza antara sesebuah komuniti dengan yang lain, bergantung kepada faktor seperti taraf sosio-ekonomi dan sebagainya.

Kedua, sekiranya timbul persoalan yang berkaitan keputusan syura, penasihat atau pengerusi tidak boleh membuat keputusan yang bertentangan dengan ketetapan al-Quran atau Sunnah. Misalnya penasihat kerajaan tidak boleh mengutarakan masalah kejatuhan pengeluaran kilang yang disebabkan oleh pelepasan pekerjanya untuk menunaikan sembahyang Jumaat, atau mengeluarkan larangan terhadap pekerjanya dari menunaikan ibadah puasa, tidak membenarkan seorang menteri pendidikan atau institusi atas nama refomasi pendidikan, mengeluarkan arahan melarang pelajar perempuan memakai pakain yang Islamik.

Perkara-perkara yang hendak dibawa kepada majlis syura biasanya bersifat halus dan penting yang memerlukan pengetahuan dan perbincangan untuk mencapai keputusan, misalnya seperti yang disebut di atas tadi, iaitu dalam perkara menentukan had minima harta yang hendak dikenakan zakat itu.

Bagi perkara-perkara pentadbiran harian yang tidak memerlukan polisi atau keputusan strategik, dan khususnya apabila terdapat keperluan untuk tindakan segera, syura tidak diperlukan, kerana syura bukanlah badan penasihat, justeru keputusan yang dicapai selepas perundingan oleh majoriti penasihat adalah terikat kepada pemerintah, atau pemimpin masyarakat Islam atau negeri. Prinsip syura dipatuhi oleh Nabi sendiri dan sahabat-sahabatnya.

Mengikut prinsip syura, semua orang dalam masyarakat mesti menerima keputusan syura sebagai peraturan, setelah syarat proses perundingannya dipatuhi sepenuhnya. Misalnya, besar kemungkinannya akan berlaku di mana kumpulan minoriti tidak bersetuju sepenuhnya dengan keputusan yang diambil tetapi dalam kes ini mereka harus menerima keputusan majoriti dengan syarat bahawa ini tidak melibatkan perkara-perkara yang bertentangan dengan Syariah. Dalam zaman Nabi sebagai contoh, majoriti memutuskan bahawa umat Islam harus meninggalkan Madinah untuk berhadapan dengan kuasa-kuasa musuh di Uhud di luar bandar, walaupun Nabi sendiri merasakan bahawa mereka harus bertahan tetapi baginda terpaksa akur keputusan majoriti.

Kaedah-kaedah syura Islam cukup fleksibel – membenarkan mana-mana masyarakat Islam untuk memilih cara yang terbaik untuk memenuhi keperluan mengikut keadaan masa dan tempat. Sesebuah komuniti boleh membuat keputusan untuk memilih pemimpin atau ketua melalui pilihan langsung, atau boleh sahaja melalui pilihan raya secara tidak langsung dengan menghantar wakil-wakil yang dicalonkan. Prinsip-prinsip syura adalah ibarat berpakaian, membenarkan sebarang bentuk perincian cara berpakaian, seperti warna, potongan dan sebagainya, selagi tidak bercanggah dengan ketetapan syariah.

Syura menggalakkan perpaduan, dan berusaha untuk mencapai matlamat yang satu dalam masyarakat: ia adalah satu pendekatan yang amat diperlukan untuk mempromosi kebaikan bersama, memastikan rasa tanggungjawab, penyertaan dan komitmen ahli-ahli masyarakat.

Amalan syura bertujuan untuk menghalang kuasa kuku besi, autoritarian kepimpinan, dan membasmi pertumbuhan kroni dan konflik dalam masyarakat. Prinsip-prinsip dan amalan keadilan dan syura adalah yang paling sesuai untuk mengurus perselisihan dan perbalahan yang timbul dalam komuniti, sama ada antara individu, ahli-ahli keluarga atau kumpulan yang bercanggah atau kepentingan. Di dalamnya terdapat proses kaunseling, timbangtara dan sekatan terhadap unsur-unsur yang degil dan sukar dikawal.

Surah al-Hujarat, adalah penting untuk dikaji dan diaplikasikan lantaran kandungannya adalah menggalakkan hubungan sosial yang harmoni. Misalnya Institusi kehakiman Islam adalah dilengkapi dengan dua elemen iaitu menjalankan timbangtara dan mengenakan sekatan dan hukuman. Perlaksanaan fungsi-fungsi ini adalah penting untuk pertumbuhan semulajadi dan kestabilan masyarakat; lawannya ialah anarki atau penindasan.



Keperluan institusi dan kepimpinan



Untuk merealisasikan nilai-nilai yang telah dibincangkan di atas ini (membangun komuniti yang stabil) komuniti Islam perlu mempunyai sumber dan kemahiran yang disokong oleh institusi-institusi yang sesuai. Kita harus mempunyai institusi politik yang di dalamnya ada kepakaran dan kepimpinan yang mempunyai worldview Islam – yang berpandangan bahawa mereka adalah khalifah yang akan membawa kesejahteraan dan kabaikan umah.



Institusi politik: Institusi yang sangat diperlukan bagi membangun sesebuah komuniti yang stabil ialah institusi politik, yang di dalamnya terdiri daripada pemimpin yang dilantik dari kalangan orang yang mempunyai rasa tanggungjawab untuk menjalankan hal-ehwalnya. Ini mungkin berbeza-beza antara satu tempat dengan satu tempat yang lain. Setiap anggota komuniti harus memastikan bahawa hanya orang-orang yang terbaik dan paling mampu dilantik untuk jawatan-jawatan itu, bukan orang-orang yang aktif mencari pengaruh dan kuasa untuk kepentingan mereka sendiri.

Para pemimpin dalam institusi ini harus menjalankan kerja selari dengan prinsip-prinsip syura dan keadilan, perpaduan dan persaudaraan, dan sentiasa berhati-hati dari perangkap sikap berpuak-puak dan yang menjurus kepada perpecahan. Sumber-sumber tenaga di bawahnya yang diletakkan dalam kumpulan-kumpulan yang menjaga hal-ehwal tertentu seperti pendidikan, perumahan, sukan, bantuan kecemasan, kajian perubatan, kebajikan haiwan, juga harus yang mempunyai pandangan yang menjurus kepada kebaikan masyarakat keseluruhannya bukan yang ke arah perpecahan.

Dalam membentuk peraturan dan prosedur untuk organisasi dan institusi-institusi masyarakat, sama ada peringkat jawatankuasa kecil atau yang lebih tinggi dan kompleks seperti peringkat negeri, perlu dipastikan ianya setara dengan kedaulatan undang-undang, dan sentiasa telus, kecuali yang berkaitan dengan keselamatan.



Kepimpinan dalam masyarakat Islam: Sesebuah kumpulan atau komuniti yang terancang, kepimpinan adalah penting dan perlu. Nabi saw mencadangkan, walaupun kumpulan tiga orang sekalipun jika hendak pergi berjalan, salah seorang harus dilantik menjadi ketua. Seseorang pemimpin seharusnya adalah:

·         Yang bertakwa, iaitu menghormati dan komitmen untuk mendukung kod moral dan undang-undang Islam iaitu Syariah;

·         Mempunyai pengetahuan syariah, terutama soal-soal pokok, nilai-nilai dan prinsip-prinsip yang dapat menyelesai isu-isu yang mungkin timbul; di samping itu, dia harus mempunyai penasihat yang berwibawa dan pakar dalam pengetahuan Syariah;

·         Mempunyai keupayaan mental dan fizikal yang sesuai seperti keberanian, kecerdasan dan kekuatan, sebagai tambahan kepada ketokohan peribadi yang boleh menjadi inspirasi dan meyakinkan orang;

·         Responsif kepada keperluan rakyat.

(Islam the Natural Way, 114)

Diriwayatkan bahawa khalifah Umar menangis apabila dilantik menjadi pemimpin yang menjaga hal ehwal rakyatnya kerana baginda menyedari betapa besarnya tanggungjawab yang harus dilangsaikan: menjaga golongan miskin yang kelaparan, sakit dan hilang, yang bekerja keras tanpa apa-apa pakaian, anak yatim berputus asa, janda kesepian, yang telah dianiaya, orang asing dan tawanan, yang lama dan mereka yang mempunyai keluarga yang tidak kecukupan wang, sedangkan kedudukan mereka berselerak di seluruh tanah air dan di sudut-sudut yang jauh dari kerajaan. Baginda tahu pada hari kiamat kelak Tuhan akan mempersoalkan kesemuanya itu. Riwayat ini menggambarkan nilai dan sikap kepimpinan.

Islam menghadapi banyak masalah dalam soal kepimpinan politik masyarakat, berpunca daripada sikap kesukuan yang dilahirkan oleh pegangan kepada mazhab-mazahab dan kepartian – ketaksuban kepada mazhab-mazhab atau ulamak-ulamak atau parti masing-masing kelompok menyebabkan timbul perbezaan pendapat yang seterusnya membawa kepada konflik antara kelompok-keompok walaupun mereka sama-sama Islam dan tinggal di daerah atau negeri, malah negara yang sama. Lantaran itu, kepimpinan yang dilantik tidak mendapat mandat yang padu, malah mungkin mengalami protes tersembunyi.



Kedudukan ahli dalam masyarakat Islam: Sumber manusia adalah yang paling berharga bagi mana-mana komuniti dan masyarakat. Jadi mana-mana masyarakat perlu mengambil berat untuk melindungi sumber-sumber ini, memastikan kesihatan, kekuatan, maruah dan kesejahteraan, kewajipan dan hak-hak mereka; memastikan keupayaan fizikal dan intelektual semua ahli-ahlinya harus berkembang sehingga mencapai tahap keupayaan yang mereka ada – keupayaan mereka harus dibina secara mendalam, membuka peluang-peluang yang sama rata kepada setiap orang untuk pertumbuhannya, bukan disekat-sekat atau berpilih-pilih.

Dalam Islam tidak ada konsep kepimpinan elit, di mana sesuatu kepimpinan itu diserahkan kepada beberapa orang dari golongan elit bagi menjalankan tanggungjawab untuk pengurusan politik atau ketenteraan; dalam zaman Nabi saw setiap orang yang berkemampuan akan dilibatkan bagi mempertahankan kepentingan komunitinya; tidak ada pasukan tentera bergaji yang memakan belanja yang mahal, dalam mengahadapi musuh Nabi saw menyeru setiap individu yang mempunyai kemahiran yang diperlukan, atau menggembleng seluruh masyarakat untuk menghadapi ancaman. Walaupun keadaan hari ini tidak seperti dahulu, di mana pertahanan memerlukan pelbagai kemahiran saintifik, teknikal dan lain-lain, maka masyarakat Islam harus dibangunkan melalui program latihan pertahanan dan kewaspadaan yang berterusan (Islam the Natural Way, 116).

Terdapat sesetengah pengetahuan yang memerlukan kefahaman yang mendalam, jadi peluang harus diberikan kepada ahli-ahli masyarakat yang mempunyai potensi memperlajarinya sehingga ke peringkat pakar dalam satu-satu bidang, namun yang penting ialah menggunakan ilmu itu untuk kepentingan masyarakatnya; janganlah meletakkan kebergantungan kepada segelintir ahli masyarakat sahaja seperti kadhi, ulamak dan golongan bijakpandai sahaja. Setiap kelompok-kelompok kecil masyarakat seperti sebuah daerah atau kampung misalnya, harus mempunyai paling kurang seorang yang pakar bahasa Arab sehingga mampu menghurai kandungan al-Quran dan hadis, sebagai tempat rujukan kepada anggota masyarakatnya.

Dalam sesebuah komuniti Islam memang mengambil berat soal etika kerja, namun seiring dengan itu harus ada semangat menyayangi dan belas kasihan terhadap orang miskin, janda dan anak-anak yatim, justeru setiap anggota masyarakat harus ditanamkan semangat seperti ini, bukan meletakkan tanggungjawab hanya kepada agensi atau institusi kerajaan sahaja.

Sesebuah masyarakat harus memberi kebebasan untuk melakukan apa sahaja selagi tidak bertentangan dengan undang-undang, seperti kebebasan bercakap benar, kebebasan bertemu pemimpin, kebebasan bergerak untuk mencari ilmu atau mata pencarian; tidak harus ada sekatan-sekatan dikenakan seperti tekanan birokrasi bagi tujuan melumpuhkannya atau sekatan-sekatan undang-undang yang meletihkan. Orang ramai tidak tidak seharusnya diletakkan dalam situasi pengawasan yang keterlaluan, tidak juga berhadapan dengan kebimbangan membawa kad pengenalan di mana-mana jua mereka pergi, hidup mereka tidak ada harga diri, mereka tidak disyaki dan menjadi buruan, pendek kata seharusnya mereka boleh bertemu dan berpersatuan secara bebas.
Telah terdapat juga beberapa ciri-ciri yang ideal dan menjadi amalan yang perlu dipelihara dan dihargai dalam mana-mana masyarakat Islam iaitu setiap orang harus mendapat peluang untuk berkembang dan membangunkan semulajadi kejadiannya dan sokong-menyokong satu sama lain bagi mendapatkan kebaikan yang lebih besar.

Jadi inilah ciri-ciri sesebuah masyarakat, sama ada di peringkat masyarakat kecil, peringkat negeri mahupun negara, yang akan mendapat rahmat Allah.

No comments: