Setiap orang dalam masyarakat Islam, tanpa
mengira warna kulit, bahasa percakapan, atau tempat lahir, mempunyai tanggungjawab
merealisasikan matlamat masyarakat Islam seperti yang disebut dalam al-Quran
iaitu merealisasikan kewajipan moral: mengajak kebaikan, melarang daripada
kejahatan dan beriman kepada Tuhan. Bagi yang non-Muslim tidak dipaksa untuk
beriman kepada Tuhan tetapi harus melunaskan tanggungjawab yang lain-lain itu.
Kata Nabi saw, sesebuah komuniti Islam
harus bersifat seperti sebatang tubuh badan manusia, di mana setiap anggota,
organ-organ dalam, pancaindera dan sebagainya bekerjasama, jika salah satu atau
sebahagiannya sakit, yang lain-lain merasai sama. Oleh itu, sebagai seorang
individu dalam masyarakat Islam jika merasa tidak perlu peduli jika komuniti
sakit, anda harus menganggap diri anda sebagai mementingkan diri sendiri, mempunyai
masalah moral, dan kurang beriman. Kata Nabi saw, siapa yang merasa dirinya
tiada kaitan dengan anggota masyarakatnya maka dia bukanlah seorang Muslim.
Prinsip
dan Nilai Islam
Jika hendak diperincikan lagi supaya
matlamat di atas lebih jelas, masyarakat Islam dikehendaki berpegang kepada
prinsip-prinsip berikut,
·
Penyerahan
diri kepada Allah semata-mata,
·
Kebebasan
yang ditadbir oleh tanggungjawab dan disiplin,
·
Keadilan
dan murah hati,
·
Kesaksamaan
yang diperkukuhkan oleh persaudaraan,
·
Syura atau perundingan bersama.
(Islam the Natural Way, 109)
Jika diamat-amati kesemua yang di atas ini
memerlukan penggunaan sumber-sumber pengetahuan dan kuasa untuk
merealisasikannya. Misalnya sesebuah komuniti yang ahli-ahlinya tidak kecukupan
pengetahuan menyebabkan lahirnya kesatuan yang lemah, lantas bagaimana hendak diharap
untuk membebaskan dan melaksanakan keadilan!
Prinsip utama bagi sesebuah masyarakat
Islam ialah berpegang kepada Tauhid, atau penyerahan diri hanya kepada Allah. Ini
yang menjadi teras kepada keadilan dan syura.
Kebebasan dan kesaksamaan di atas itu adalah sebahagian daripada keadilan, jadi
kebebasan bergerak, kebebasan bekerja dan mendapat kehidupan yang jujur, kebebasan
dalam persatuan, kesemuanya harus menjadi amalan keadilan. Demikian juga halnya
dengan kesaksamaan, setiap ahli komuniti harus menikmati kesaksamaan dalam
segala peluang dan kesaksamaan di sisi undang-undang. Dua aspek yang sangat penting untuk
diperhatikan ialah nilai-nilai keadilan dan syura,
kerana inilah nilai yang tertinggi yang mesti diamalkan oleh masyarakat Muslim.
Keadilan: Keadilan adalah nilai yang tertinggi
dalam Islam. Tujuan utama wahyu dan perlantikan Nabi saw adalah menegakkan
keadilan, itu sebabnya antara ulama Islam yang ulung pada zamannya telah
mengungkapkan kata-kata bahawa Apabila
tanda-tanda keadilan muncul dan riaknya kelihatan di sana-sini, itulah
tanda-tanda agama dan undang-undang Allah.
Keadilan adalah prinsip pertama kehidupan
sosial. Ia boleh dilihat dalam perjalanan tadbir urus pemerintah-rakyat, kaya-miskin,
suami-isteri, ibu bapa-anak-anak, malah dalam tingkah laku seseorang individu.
Keadilan perlu diljalanan untuk memenuhi tuntutan jasmani, rohani dan minda,
justeru adalah tidak adil umpamanya sebagai contoh, mengabaikan keperluan
jasmani kerana mengejar pembangunan rohani, atau memenuhi keperluan jasmani
tetapi mengabaikan keperluan rohani dan/atau minda. Justeru seseorang individu
yang adil adalah yang memenuhi kesemua keperluan tersebut dengan seimbang
(wasatiyah), tidak berat sebelah kepada salah satunya antara jasmani dengan
rohani/mental.
Sedar atau tidak sebenarnya lambang
keadilan adalah amalan kita dalam sembahyang, di mana tidak ada keutamaan
diberikan kepada seseorang atas sebab pangkat atau darjatnya, kesemuanya adalah
sama taraf sama ada yang berpangkat atau tidak, kaya atau miskin. Inilah yang menjadi
asas keadilan dalam institusi-institusi Islam. Dengan ini tidak ada sesiapa
boleh dikecualikan, atau layak membuat tuntutan imuniti bagi mencapai maksud
kesaksamaan dalam undang-undang. Jadi sama ada ia pendakwa atau saksi
pendakwaan harus berpegang kepada kesaksamaan ini. Dalam institusi keluarga
pula tidak ada keutamaan untuk ibu bapa berbanding anak-anak atau orang lain. Pendek
kata dalam semua urusan kehidupan, kita dikehendaki tegas menegakkan keadilan
walaupun ia bertentangan dengan kepentingan diri sendiri dan kawan-kawan
mahupun kaum kerabat. Ketidakadilan boleh membawa kepada berlakunya tindakan
salah.
Mengikut prinsip syariah semua perkara yang
tidak dilarang boleh dilakukan, dengan syarat tidak mendatangkan kerosakan atau
bahaya kepada pihak lain, namun jika didapati memang jelas atau dijangka boleh
mendatangkan bahaya atau kerosakan ianya adalah dilarang dan dikehendaki
mengelakkan berlakunya, malah membasminya di mana-mana yang boleh. Ini disebut
sebagai natijah dari sesuatu tindakan.
Syura. Dalam komuniti Islam perkara yang
menyentuh kepentingan umum harus berjalan atas dasar syura, atau perundingan. Al-Quran
di dalam ayat yang diturunkan di Makkah menyifatkan umat Islam adalah orang-orang yang menjawab panggilan Tuhan
dan mendirikan sembahyang dan yang menjalankan urusan mereka dengan perundingan
bersama (syura), dan yang menghabiskan apa yang telah Kami berikan kepada
mereka.
Jadi, jika kita sudah berada dalam kepimpinan
walaupun yang kecil-kecil seperti jawatankuasa pengurusan masjid, pengurusan
sekolah, persatuan perniagaan atau syarikat, atau pihak berkuasa tempatan, diwajibkan
mengamalkan syura.
Terdapat dua syarat-syarat yang
perlu dipatuhi dalam menjalankan syura: satu syura tidak boleh digunapakai
dalam hal-hal yang jelas ketetapannya dalam al-Quran atau Sunnah, kerana kedua-dua
sumber ini merupakan undang-undang mutlak. Jadi ini mesti diletakkan di luar
bidang kuasa syura, kecuali yang bertujuan untuk menguraikannya, bukan
mempersoalkan. Misalnya, dalam ketetapan kadar zakat dua setengah peratus itu
tidak boleh lagi dipersoal atau diubah walaupun oleh kumpulan para ulama. Namun
mereka dibenarkan untuk membuat ketetapan tahap minima harta yang boleh
dikenakan zakat, jumlahnya pula boleh berbeza antara sesebuah komuniti dengan
yang lain, bergantung kepada faktor seperti taraf sosio-ekonomi dan sebagainya.
Kedua, sekiranya timbul persoalan yang berkaitan
keputusan syura, penasihat atau pengerusi tidak boleh membuat keputusan yang
bertentangan dengan ketetapan al-Quran atau Sunnah. Misalnya penasihat kerajaan
tidak boleh mengutarakan masalah kejatuhan pengeluaran kilang yang disebabkan
oleh pelepasan pekerjanya untuk menunaikan sembahyang Jumaat, atau mengeluarkan
larangan terhadap pekerjanya dari menunaikan ibadah puasa, tidak membenarkan
seorang menteri pendidikan atau institusi atas nama refomasi pendidikan, mengeluarkan
arahan melarang pelajar perempuan memakai pakain yang Islamik.
Perkara-perkara yang hendak dibawa kepada
majlis syura biasanya bersifat halus dan penting yang memerlukan pengetahuan
dan perbincangan untuk mencapai keputusan, misalnya seperti yang disebut di
atas tadi, iaitu dalam perkara menentukan had minima harta yang hendak
dikenakan zakat itu.
Bagi perkara-perkara pentadbiran harian
yang tidak memerlukan polisi atau keputusan strategik, dan khususnya apabila
terdapat keperluan untuk tindakan segera, syura tidak diperlukan, kerana syura
bukanlah badan penasihat, justeru keputusan yang dicapai selepas perundingan
oleh majoriti penasihat adalah terikat kepada pemerintah, atau pemimpin
masyarakat Islam atau negeri. Prinsip syura dipatuhi oleh Nabi sendiri dan
sahabat-sahabatnya.
Mengikut prinsip syura, semua orang dalam
masyarakat mesti menerima keputusan syura sebagai peraturan, setelah syarat
proses perundingannya dipatuhi sepenuhnya. Misalnya, besar kemungkinannya akan
berlaku di mana kumpulan minoriti tidak bersetuju sepenuhnya dengan keputusan
yang diambil tetapi dalam kes ini mereka harus menerima keputusan majoriti
dengan syarat bahawa ini tidak melibatkan perkara-perkara yang bertentangan
dengan Syariah. Dalam zaman Nabi sebagai contoh, majoriti memutuskan bahawa
umat Islam harus meninggalkan Madinah untuk berhadapan dengan kuasa-kuasa musuh
di Uhud di luar bandar, walaupun Nabi sendiri merasakan bahawa mereka harus
bertahan tetapi baginda terpaksa akur keputusan majoriti.
Kaedah-kaedah syura Islam cukup fleksibel –
membenarkan mana-mana masyarakat Islam untuk memilih cara yang terbaik untuk
memenuhi keperluan mengikut keadaan masa dan tempat. Sesebuah komuniti boleh
membuat keputusan untuk memilih pemimpin atau ketua melalui pilihan langsung,
atau boleh sahaja melalui pilihan raya secara tidak langsung dengan menghantar
wakil-wakil yang dicalonkan. Prinsip-prinsip syura adalah ibarat berpakaian, membenarkan
sebarang bentuk perincian cara berpakaian, seperti warna, potongan dan
sebagainya, selagi tidak bercanggah dengan ketetapan syariah.
Syura menggalakkan perpaduan, dan berusaha
untuk mencapai matlamat yang satu dalam masyarakat: ia adalah satu pendekatan
yang amat diperlukan untuk mempromosi kebaikan bersama, memastikan rasa
tanggungjawab, penyertaan dan komitmen ahli-ahli masyarakat.
Amalan syura bertujuan untuk menghalang
kuasa kuku besi, autoritarian kepimpinan, dan membasmi pertumbuhan kroni dan
konflik dalam masyarakat. Prinsip-prinsip dan amalan keadilan dan syura adalah
yang paling sesuai untuk mengurus perselisihan dan perbalahan yang timbul dalam
komuniti, sama ada antara individu, ahli-ahli keluarga atau kumpulan yang
bercanggah atau kepentingan. Di dalamnya terdapat proses kaunseling,
timbangtara dan sekatan terhadap unsur-unsur yang degil dan sukar dikawal.
Surah al-Hujarat, adalah penting untuk dikaji
dan diaplikasikan lantaran kandungannya adalah menggalakkan hubungan sosial
yang harmoni. Misalnya Institusi kehakiman Islam adalah dilengkapi dengan dua
elemen iaitu menjalankan timbangtara dan mengenakan sekatan dan hukuman. Perlaksanaan
fungsi-fungsi ini adalah penting untuk pertumbuhan semulajadi dan kestabilan
masyarakat; lawannya ialah anarki atau penindasan.
Keperluan
institusi dan kepimpinan
Untuk merealisasikan nilai-nilai yang telah
dibincangkan di atas ini (membangun komuniti yang stabil) komuniti Islam perlu mempunyai
sumber dan kemahiran yang disokong oleh institusi-institusi yang sesuai. Kita
harus mempunyai institusi politik yang di dalamnya ada kepakaran dan kepimpinan
yang mempunyai worldview Islam – yang
berpandangan bahawa mereka adalah khalifah yang akan membawa kesejahteraan dan
kabaikan umah.
Institusi
politik: Institusi
yang sangat diperlukan bagi membangun sesebuah
komuniti yang stabil ialah institusi politik, yang di dalamnya terdiri
daripada pemimpin yang dilantik dari
kalangan orang yang mempunyai rasa tanggungjawab untuk menjalankan
hal-ehwalnya. Ini mungkin berbeza-beza antara satu tempat dengan satu tempat
yang lain. Setiap anggota komuniti harus memastikan bahawa hanya
orang-orang yang terbaik dan paling mampu dilantik untuk jawatan-jawatan itu,
bukan orang-orang yang aktif mencari pengaruh dan kuasa untuk kepentingan mereka
sendiri.
Para pemimpin dalam institusi ini harus menjalankan
kerja selari dengan prinsip-prinsip syura dan keadilan, perpaduan dan
persaudaraan, dan sentiasa berhati-hati dari perangkap sikap berpuak-puak dan
yang menjurus kepada perpecahan. Sumber-sumber tenaga di bawahnya yang
diletakkan dalam kumpulan-kumpulan yang menjaga hal-ehwal tertentu seperti
pendidikan, perumahan, sukan, bantuan kecemasan, kajian perubatan, kebajikan
haiwan, juga harus yang mempunyai pandangan yang menjurus kepada kebaikan
masyarakat keseluruhannya bukan yang ke arah perpecahan.
Dalam membentuk peraturan dan prosedur
untuk organisasi dan institusi-institusi masyarakat, sama ada peringkat
jawatankuasa kecil atau yang lebih tinggi dan kompleks seperti peringkat
negeri, perlu dipastikan ianya setara dengan kedaulatan undang-undang, dan sentiasa
telus, kecuali yang berkaitan dengan keselamatan.
Kepimpinan dalam masyarakat Islam: Sesebuah kumpulan atau
komuniti yang terancang, kepimpinan adalah penting dan perlu. Nabi saw mencadangkan,
walaupun kumpulan tiga orang sekalipun jika hendak pergi berjalan, salah
seorang harus dilantik menjadi ketua. Seseorang pemimpin seharusnya adalah:
·
Yang
bertakwa, iaitu menghormati dan komitmen untuk mendukung kod moral dan
undang-undang Islam iaitu Syariah;
·
Mempunyai
pengetahuan syariah, terutama soal-soal pokok, nilai-nilai dan prinsip-prinsip
yang dapat menyelesai isu-isu yang mungkin timbul; di samping itu, dia harus
mempunyai penasihat yang berwibawa dan pakar dalam pengetahuan Syariah;
·
Mempunyai
keupayaan mental dan fizikal yang sesuai seperti keberanian, kecerdasan dan
kekuatan, sebagai tambahan kepada ketokohan peribadi yang boleh menjadi
inspirasi dan meyakinkan orang;
·
Responsif
kepada keperluan rakyat.
(Islam the Natural Way, 114)
Diriwayatkan bahawa khalifah Umar menangis
apabila dilantik menjadi pemimpin yang menjaga hal ehwal rakyatnya kerana
baginda menyedari betapa besarnya tanggungjawab yang harus dilangsaikan:
menjaga golongan miskin yang
kelaparan, sakit dan hilang, yang bekerja keras tanpa apa-apa pakaian, anak
yatim berputus asa, janda kesepian, yang telah dianiaya, orang asing dan
tawanan, yang lama dan mereka yang mempunyai keluarga yang tidak kecukupan wang, sedangkan kedudukan mereka
berselerak di seluruh tanah air dan di sudut-sudut yang jauh dari kerajaan.
Baginda tahu pada hari kiamat kelak
Tuhan akan mempersoalkan kesemuanya itu. Riwayat ini menggambarkan nilai dan
sikap kepimpinan.
Islam menghadapi banyak masalah dalam soal
kepimpinan politik masyarakat, berpunca daripada sikap kesukuan yang dilahirkan
oleh pegangan kepada mazhab-mazahab dan kepartian – ketaksuban kepada
mazhab-mazhab atau ulamak-ulamak atau parti masing-masing kelompok menyebabkan
timbul perbezaan pendapat yang seterusnya membawa kepada konflik antara
kelompok-keompok walaupun mereka sama-sama Islam dan tinggal di daerah atau negeri,
malah negara yang sama. Lantaran itu, kepimpinan yang dilantik tidak mendapat
mandat yang padu, malah mungkin mengalami protes tersembunyi.
Kedudukan
ahli dalam
masyarakat Islam:
Sumber manusia adalah yang paling berharga bagi mana-mana komuniti dan
masyarakat. Jadi mana-mana masyarakat perlu mengambil berat untuk melindungi
sumber-sumber ini, memastikan kesihatan, kekuatan, maruah dan kesejahteraan,
kewajipan dan hak-hak mereka; memastikan keupayaan fizikal dan intelektual
semua ahli-ahlinya harus berkembang sehingga mencapai tahap keupayaan yang mereka
ada – keupayaan mereka harus dibina secara mendalam, membuka peluang-peluang yang
sama rata kepada setiap orang untuk pertumbuhannya, bukan disekat-sekat atau
berpilih-pilih.
Dalam Islam tidak ada konsep kepimpinan
elit, di mana sesuatu kepimpinan itu diserahkan kepada beberapa orang dari
golongan elit bagi menjalankan tanggungjawab untuk pengurusan politik atau
ketenteraan; dalam zaman Nabi saw setiap orang yang berkemampuan akan dilibatkan
bagi mempertahankan kepentingan komunitinya; tidak ada pasukan tentera bergaji
yang memakan belanja yang mahal, dalam mengahadapi musuh Nabi saw menyeru setiap
individu yang mempunyai kemahiran yang diperlukan, atau menggembleng seluruh
masyarakat untuk menghadapi ancaman. Walaupun keadaan hari ini tidak seperti
dahulu, di mana pertahanan memerlukan pelbagai kemahiran saintifik, teknikal
dan lain-lain, maka masyarakat Islam harus dibangunkan melalui program latihan
pertahanan dan kewaspadaan yang berterusan (Islam the Natural Way, 116).
Terdapat sesetengah pengetahuan yang
memerlukan kefahaman yang mendalam, jadi peluang harus diberikan kepada
ahli-ahli masyarakat yang mempunyai potensi memperlajarinya sehingga ke
peringkat pakar dalam satu-satu bidang, namun yang penting ialah menggunakan
ilmu itu untuk kepentingan masyarakatnya; janganlah meletakkan kebergantungan
kepada segelintir ahli masyarakat sahaja seperti kadhi, ulamak dan golongan
bijakpandai sahaja. Setiap kelompok-kelompok kecil masyarakat seperti sebuah
daerah atau kampung misalnya, harus mempunyai paling kurang seorang yang pakar
bahasa Arab sehingga mampu menghurai kandungan al-Quran dan hadis, sebagai
tempat rujukan kepada anggota masyarakatnya.
Dalam sesebuah komuniti Islam memang
mengambil berat soal etika kerja, namun seiring dengan itu harus ada semangat
menyayangi dan belas kasihan terhadap orang miskin, janda dan anak-anak yatim,
justeru setiap anggota masyarakat harus ditanamkan semangat seperti ini, bukan
meletakkan tanggungjawab hanya kepada agensi atau institusi kerajaan sahaja.
Sesebuah masyarakat harus memberi kebebasan
untuk melakukan apa sahaja selagi tidak bertentangan dengan undang-undang,
seperti kebebasan bercakap benar, kebebasan bertemu pemimpin, kebebasan
bergerak untuk mencari ilmu atau mata pencarian; tidak harus ada
sekatan-sekatan dikenakan seperti tekanan birokrasi bagi tujuan melumpuhkannya
atau sekatan-sekatan undang-undang yang meletihkan. Orang ramai tidak tidak
seharusnya diletakkan dalam situasi pengawasan yang keterlaluan, tidak juga
berhadapan dengan kebimbangan membawa kad pengenalan di mana-mana jua mereka
pergi, hidup mereka tidak ada harga diri, mereka tidak disyaki dan menjadi
buruan, pendek kata seharusnya mereka boleh bertemu dan berpersatuan secara
bebas.
Telah
terdapat juga beberapa ciri-ciri yang ideal dan menjadi amalan yang perlu
dipelihara dan dihargai dalam mana-mana masyarakat Islam iaitu setiap orang harus
mendapat peluang untuk berkembang dan membangunkan semulajadi kejadiannya dan sokong-menyokong
satu sama lain bagi mendapatkan kebaikan yang lebih besar.Jadi inilah ciri-ciri sesebuah masyarakat, sama ada di peringkat masyarakat kecil, peringkat negeri mahupun negara, yang akan mendapat rahmat Allah.
No comments:
Post a Comment