Friday, January 20, 2017

Allah tidak menyuruh manusia mencari pahala

Apakah ada ayat atau hadis yang menyuruh kita mencari pahala. Saya amat berbesar hati sekiranya ada antara pembaca yang mempunyai buktinya. Alasan tajuk saya adalah seperti berikut. Jadi sekiranya ada yang mendakwa ada bukti bahawa Allah menyuruh kita mencari pahala, maka harus disokong dengan nas juga (ayat al-Quran atau Hadis Rasulullah saw).
Banyak-banyak ayat yang saya temui dari pencarian saya, menunjukkan Allah menyuruh kita membuat kebajikan. Dan sesiapa yang membuat kebajikan Allah akan memberi ganjaran pahala. Antaranya ialah:


Dan sesiapa yang bersukarela mengerjakan perkara kebajikan, maka sesungguhnya Allah memberi balasan pahala, lagi Maha Mengetahui. (Al-Baqarah 2:158)
Dan apa sahaja kebajikan yang mereka kerjakan, maka mereka tidak sekali-kali akan diingkari (atau disekat dari mendapat pahalanya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui akan keadaan orang-orang yang bertaqwa. (A-li'Imraan 3:115)
Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu). Dan kalaulah (amal yang seberat zarrah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi, dari sisiNya, pahala yang amat besar. (An-Nisaa' 4:40)
Berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian dari harta benda (pemberian Allah) yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil. Maka orang-orang yang beriman di antara kamu serta mereka membelanjakan (sebahagian dari harta itu pada jalan Allah); mereka tetap beroleh pahala yang besar. (Al-Hadiid 57:7)
Dan lagi,

dan Kami akan tambah pula pahala orang-orang yang berbuat baik". (Al-Baqarah 2:58)

sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka. (Al-Baqarah 2:62)

Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat dan apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa Melihat segala yang kamu kerjakan. (Al-Baqarah 2:110)

(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar) bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintahNya) sedang ia pula berusaha supaya baik amalannya, maka ia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya. (Al-Baqarah 2:112)

Dan sesiapa yang bersukarela mengerjakan perkara kebajikan, maka sesungguhnya Allah memberi balasan pahala, lagi Maha Mengetahui. (Al-Baqarah 2:158)

Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya. (Al-Baqarah 2:261)

Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (agama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka. (Al-Baqarah 2:262)
Dengan kata lain, pahala tidak perlu dicari-cari.
Jika ada ayat yang menyuruh kita mencari pahala maka memadailah dengan cara duduk sahaja di masjid-masjid membaca al-Quran, beriktiqaf, sembahyang sunat, dan seumpamanya. Persoalannya apakah ini way of life yang dikehendaki Allah?
Cara hidup Islam adalah mencakupi cara hidup di dunia dan di akhirat, dengan kata lain kehidupan kita harus mencakupi hal-hal yang ketuhanan dan keinsanan. Membuat kebajikan itu adalah hal-hal keinsanan. Jadi sesiapa sahaja yang melakukan aktiviti yang berkait dengan keinsanan Allah akan memberi ganjaran pahala.
Bagi menunaikan tuntutan yang ketuhanan dan keinsanan, Allah menghendaki kita melakukannya secara wasatiyah, iaitu seimbang antara kedua-duanya. Wasatiyan di sini bermaksud seimbang, tidak melebih salah satunya, dan kedua-duanya mesti dijalankan serentak (tidak mendahalulukan yang ketuhanan, menangguhkan yang keinsanan) Misalnya bekerja bertungkus lumus untuk keduniaan ketika usia muda, kemudian menumpukan hal-hal ketuhanan ketika usia tua.
Apakah ada antara ayat-ayat di atas yang menunjukkan bahawa Allah akan memberi pahala tanpa melakukan sesuatu kebajikan. Jika ada, bererti ayat itu bertentanganlah dengan ayat-ayat  di atas ini. Dr Zakir Naik berkali-kali menjelaskan bahawa tidak ada mana-mana satu ayat yang maksudnya bertentangan, kerana Quran itu adalah wahyu dari Yang Maha Bijaksana.

Mengaji
Kebanyakan kita mengaji bertujuan mencari pahala, mengumpul pahala. Tanggapan ini betul jika mengaji itu yang mendatangkan kebajikan atau kebaikan. Jika tidak, tiadalah pahala. Saya yakin akan ada orang yang tidak bersetuju dengan pandangan ini, kerana ada hadis yang menyebut bahawa mengaji walaupun satu huruf akan diberi ganjaran pahala.
Hadis adalah penjelasan kepada ayat-ayat al-Quran, jadi bolehkah kita pegang hadis ini dengan cara mengasingkannya dari ayat al-Quran.  
Jika banyak ayat yang mengatakan bahawa pahala akan diberi kepada setiap kebajikan atau kebaikan bererti sesuatu hadis itu harus diserasikan dengan ayat-ayat di atas ini juga. Dengan ini maka mengaji yang diberi ganjaran pahala itu adalah yang mendatangkan kebajikan atau kebaikan, sama ada untuk dirinya atau orang lain dan makhluk. Dengan kata lain ialah mengaji itu mesti disertakan dengan tadabburnya, iaitu memahami maksud ayat-ayat yang dibacanya dan diterjemahkan menjadi kebajikan atau kebaikan.
Secara analogi, mungkin boleh diibaratkan seseorang yang menghadiri kursus cara membuat pau, yang dijalankan dalam bahasa Inggeris sedangkan dirinya tidak faham. Apakah kebajikan atau kebaikan yang diperolehinya, atau apakah faedah yang diperolehi oleh agensi yang menghantarnya kursus! Atau katakanlah dia faham kurus yang dihadirinya tetapi selesai kursus dia tidak pula mengamalkan ilmu membuat pau itu tadi, apakah kebajikan atau kebaikan yang diperolehinya. Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi pernah menulis maksudnya setiap hukum syariat atau tujuan dan alasannya. Justeru sesuatu yang kita lakukan tanpa tujuan atau alasan tidak akan mendapat kebaikan.

Rahmat Allah akan datang kepada manusia yang polisi hidupnya seperti di atas ini - banyak melakukan kebajikan dari aspek ketuhanan dan keinsanan. Inilah visa kesyurga. Malangnya ramai orang-orang yang kelihatan sangat beragama namun kurang melibat diri dalam aspek keinsanan kecuali melalui sedekah serba sedikit. Harapannya ialah mencari pahala
Mungkin pembaca sekalian kurang setuju dengan saya, perbetulkanlah. Buatlah catatan di bawah ini.

No comments:

Post a Comment