Pagi ini di masjid saya ada ceramah. Seperti
biasa penceramahnya ialah ustaz, dan ustaz ini adalah antara yang tersohor.
Permulaan ceramah beliau mengucapkan
kesyukuran kerana kita diberi kesempatan hidup dan mampu bangun pagi,
menunaikan sembahyang berjemaah, dan sama-sama dapat menghadirkan diri dalam
ceramah, dan bersyukur juga kerana pagi ini juga ada program khas yang
dikepalai oleh pasukan pelajar-pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia. Tentang program
berkenaan penceramah menyebut kesyukuran kerana ianya adalah program keagamaan.
Apabila disebut keagamaan saya sedikit tersentuh, terkeliru. Persoalan yang sangat
menarik untuk difikirkan ialah apakah maksud agama (keagamaan) itu. Apakah jika
program itu berkait dengan sembahyang, zakat, puasa dan haji serta rangkaiannya
itu agama, yang berkait dengan adab-adab Nabi saw itu agama, mentafsir ayat
atau hadis itu agama, belajar tajwid itu agama, sirah para nabi itu agama, dan
sebagainya itu agama, yang lain-lain itu bukan agama? Inilah imej kalimah agama
bagi kebanyakan orang, termasuk penceramah pagi ini.
Bagi golongan ini sukan itu bukan agama,
gotong royong itu bukan agama, cerama strategi pemasaran itu bukan agama,
program jogging itu bukan agama, carnival perniagaan itu bukan agama, dan
lain-lain lagi.
Kekeliruan saya ialah apakah dalam hidup
ini ada aktiviti yang keagamaan dan bukan keagamaan. Tegasnya apakah dalam
hidup seseorang Islam itu terbahagi dua iaitu yang keagamaan dan bukan
keagamaan?
Saya bimbang jika kedudukan ini terus
menerus dijadikan sebagai pegangan hidup kita sebagai Muslim. Buktinya jika para penceramah selalu sahaja
menyebut ini keagamaan dan itu bukan keagamaan maka kebimbangan saya ini akan
berterusan sehingga entah bila kesudahannya.
Apakah dia agama?
Konsep keagamaan di atas itu tadi perlu
diperbetulkan kerana jelas salah sama sekali (bukan tidak tepat). Hal ini saya
sandarkan kepada satu ayat yang maksudnya,
‘Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia
melainkan supaya mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku’.
(az-Zariyat 51: 56)
Ayat ini menyatakan tentang tujuan Allah
swt menjadikan manusia. Yang bermaksud Allah tidak menghendaki manusia
melakukan yang lain-lain selain mengabdikan diri kepada-Nya. Jadi manusia, yang
Allah jadikan seperti adanya ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk tujuan
mengabdikan diri. Secara ringkas, mengabdi diri itu adalah tunduk patuh mengikut syariat yang ditentukan.
Bagaimanakah caranya hendak tunduk patuh itu? Untuk menjawabnya kita
harus melihat kembali kejadian manusia. Kita lihat penjelasan berikut:
Endang Saifuddin Anshari
menulis dalam bukunya bahawa makhluk Allah mempunyai tujuh kesanggupan iaitu,
1. Makan,
2. Tumbuh,
3. Berkembang
biak,
4. Pengamatan
hal-hal yang istimewa,
5. Bergerak di
bawah kekuasaan,
6. Tahu mengenai
hal-hal umum, dan
7. Berkehendak dan
memilih dengan bebas.
(Sains, Falsafah dan Agama, 6)
Kesanggupan
yang disebut beliau itu ialah kemampuan.
Namun tidak
kesemua makhluk dianugerahi Allah swt dengan kesemua kemampuan tersebut.
Bagi
tumbuhan beliau mencatatkan hanya mempunyai tiga
kemampuan sahaja iaitu, 1, 2 dan 3 sahaja, bagi haiwan pula Allah swt
anugerahi dengan lima kemampuan iaitu 1, 2, 3, 4, dan 5, manakala manusia Allah
swt anugerahi dengan kesemua tujuh kemampuan
tersebut iaitu 1 hingga 7. Jadi cara tunduk
patuh setiap makhluk adalah
tertakluk kepada kemampuan-kemampuan yang ada.
Bagi tumbuhan tunduk patuhnya terbatas kepada kemampuan yang
ada itu sahaja iaitu makan, tumbuh dan berkembang-biak, dan
akhirnya mati. Tumbuhan tidak akan cuba bergerak beralih tempat kerana
Allah tidak membekalinya dengan kemampuan untuk itu.
Bagaimanakah
caranya untuk tumbuhan itu makan, tumbuh dan
berkembang-biak. Ilmu sains membuktikan bahawa tumbuhan menjalankan
proses fotosintisis untuk makan, tumbuh dengan bergerak balas kepada cahaya
yang disebut fototropism dan bergerak balas kepada bumi yang disebut
geotropism, dan lain-lain lagi yang tidak perlu disebutkan di sini. Jadi
perjalanan hidup tumbuhan atau cara tumbuhan itu tunduk patuh adalah mengikut kemampuan-kemampuan yang telah ditetapkan Allah
swt. Begitu juga halnya dengan haiwan, cara tunduk patuhnya adalah
mengikut kemampuan yang lima itu sahaja.
Kita lihat di sini tumbuhan dan haiwan berterusan
menjalani kehidupannya secara islam
dengan cara tunduk patuh mengikut kemampuan yang telah ditetapkan.
Tidak
akan ada haiwan yang memohon untuk berjalan sepertimana
manusia, atau protes untuk tidak mahu menjadi lembu kerana sering dijadikan binatang
korban. Tumbuhan tidak pernah memilih untuk tidak mahu memanjat pokok-pokok lain kerana
telah ditetapkan begitu, tidak pernah mengadu penat mengeluarkan
buah dan sebagai-nya, tetapi berterusan tunduk patuh hidup mengikut
ketetapan Allah swt.
Tetapi manusia berbeza dari makhluk-makhluk yang lain-lain itu: mereka telah
dianugerahi akal budi yang menjadikannya makhluk yang mempunyai
kuasa intelek, memberi mereka keupayaan untuk memahami
alam semesta dan membentuk persekitaran mereka.
Tambah lagi, manusia adalah makhluk yang
dibekali dengan 5 hidayah, yang tidak diberikan kepada makhluk-makhluk yang
lain. Hidayah yang dimaksudkan ialah,
1.
hidayah
al-Ilhami, gharizah (naluri),
2.
hidayah
al-Hawasi (indera atau pancaindera),
3.
hidayah
al-‘Aqli (akal budi),
4.
hidayah
al-Adyani (agama), dan
5.
hidayah
at-Taufiqi.
Fakta yang saya bentangkan di sini adalah untuk menyatakan
bahawa manusia mampu menjalani kehidupan berdasarkan kepada asal kejadiannya.
Kehidupannya adalah meliputi 7 kesanggupan tadi tetapi harus yang berpandukan
kepada 5 hidayah ini. Ini menggambarkan bidang kehidupan manusia: makan-minum, membesar
dan berkembang biak, dengan 5 atau 6 pancaindera dan otak yang dibekalkan
manusia melakukan pengamatan hal-hal yang istimewa, bergerak di bawah
kekuasaan, mengambil tahu hal-hal umum, dan dengan nalurinya manusia cuba
memenuhi kehendaknya dan memilih dengan bebas. Inilah kejadian manusia. Apakah
perkaitannya dengan persoalan kita di atas tadi, iaitu agama (keagamaan).
Satu ayat dalam al-Quran menyebut,
‘Barang siapa mencari agama selain agama Islam sebagai deen maka
sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan di akhirat
kelak termasuk orang-orang yang rugi’. (al-Imran, 3: 85)
Ayat ini
menggambarkan agama itu adalah deen. Deen
membawa maksud cara hidup. Dengan kata lain apa sahaja aktiviti hidup manusia
itu adalah deen atau agama. Dengan
kata lain setiap niat hati, percakapan dan perlakuan manusia itu adalah agama.
Jadi apakah yang bukan agama?
Satu ayat
lain menyebut, ‘Sesiapa
yang menurut jalan yang lain dari apa yang disyariatkan Allah sebagai agamanya, maka tidak sekali-kali akan diterima
daripadanya…’ (al-Imran, 3: 85).
Dan lagi, ‘Kemudian Kami jadikan kamu berada di
atas suatu syariat (peraturan) dari urusan (agama) itu, maka
ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti
hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui’. (al-Jatsiyah, 45:
18)
Dari Muaz ra pula katanya Rasulullah saw pernah
bersabda, yang maksudnya,
Pokok segala urusan adalah
Islam, dan tiangnya adalah solat, dan puncaknya adalah jihad.’ (Ensiklopedi Shalat 1, 171)
Ayat ini menyatakan bahawa agama ialah jalan hidup, iaitu jalan hidup yang disyariatkan Allah, bukan jalan hidup selainnya. Ini serasi
dengan satu kenyataan dalam Kitab Mastika Hadis yang mencatatkan agama ialah undang-undang dan cara hidup yang ditetapkan oleh Allah Taala untuk manusia, yang
disebut sebagai syariat itu tadi.
Jadi, dapat kita simpulkan bahawa
agama adalah cara hidup, iaitu cara hidup Islam yang disyariatkan oleh Allah swt; justeru segala urusan yang menyangkut kehidupan manusia,
seperti yang disebut di atas tadi, adalah agama, dan yang menegakkannya ialah sembahyang. Ini memperlihatkan betapa besarnya peranan ibadah
sembahyang kita iaitu sebagai tiang agama, mencakupi segala urusan
hidup manusia.
Kesimpulannya: Tidak
ada aktiviti manusia yang bukan agama. Justeru apa yang disebut oleh penceramah
pada awal tulisan ini adalah salah sama sekali (bukan tidak tepat). Jadi
harapan saya agar semua pihak yang mempunyai peluang, autoriti, dan seumpamanya
membetulkan konsep agama (keagamaan) ini, jangan sampai perkara ini berpanjangan
entah sampai bila. Jika tidak akan lahir satu konsep bahawa agama itu adalah
sembahyang, zakat, puasa dan haji serta rangkaian-rangkaiannya. Ini adalah suatu yang merbahaya kerana boleh menyeret
kita kepada konsep bahawa Islam itu tidak syumul.
No comments:
Post a Comment