Gagasan Hidup Islam

 
Ciri utama Gagasan Hidup Islam ialah bahawa Islam tidak memisahkan kehidupan kerohanian dengan kehidupan duniawi secara yang sangat ketara, tidak juga membenarkan konflik, maupun membuat batasan pemisah antara menulenkan kerohanian dan kehidupan moral manusia. Daerah kekuasaan Islam meliputi kepelbagaian macam, rupa dan emosi kehidupan. Syumul.

Dalam Kamus Dewan, kerohanian diberi erti perihal rohani, sifat-sifat rohani, atau dalam bahasa Inggerisnya ialah spirituality. Jadi, kerohanian ialah elemen hati (qalb), iaitu apa jua pemikiran atau konsep yang tersimpan dalam hati.

Jadi, boleh juga dikatakan bahawa kerohanian adalah nilai bina-dalam yang menggerakkan jasmani.

Pergerakan jasmani menunjukkan perangai, tingkah-laku, perilaku.

Ini bermaksud bahawa kerohanian dan pergerakan jasmani adalah saling berkait, iaitu pergerakan jasmani itu menunjukkan kerohaniannya, dan kerohaniannya itu yang menggerakkan jasmaninya. Dengan kata lain ialah bahawa antara keduanya adalah saling berkait, saling melengkapi, tidak konflik, dan tidak ada batasan pemisah.

Justeru apa jua yang kita cakapkan, apa jua yang kita lakukan adalah cerminan kerohaniannya. Demikian juga lintasan hati atau niat kita. Ini bererti kerohanian merupakan penentu moral individu dan sosial masyarakat.

Kita biasa mendengar kenyataan bahawa kehidupan di dunia akan menentukan bentuk kehidupan di Akhirat: kehidupan yang baik di dunia akan mendapat ganjaran syurga, manakala kehidupan yang jahat akan diberi balasan neraka.

Atau sebaliknya, ahli neraka itu menunjukkan bentuk kehidupan jahatnya, ahli syurga itu pula menunjukkan bentuk kehidupan baiknya di dunia.

Akhirat itu adalah kerohanian, manakala kehidupan di dunia adalah keduniaan atau duniawi. Kedudukan ini juga menggambarkan saling hubungkait antara kehidupan kerohanian dengan kehidupan duniawi.

Bolehkah kita menafikannya? Bolehkah terjadi umpamanya kita mahu hidup di dunia sahaja, tidak mahu pergi ke Akhirat? Ada ayat al-Quran yang mengatakan tidak boleh. Allah swt menyebutnya melalui ayat 115 al-Mukminun. Jadi jelas selepas kematian kita akan dibangkitkan semula dan ditempatkan di satu dunia lain yang dipanggil Akhirat.

 

Dalam ilmu fiqh kerohanian ialah kepercayaan kepada perkara-perkara yang sifatnya sam’iyat (yang didketahui melalui khabar dari nas), manakala duniawinya ialah personaliti dan watak cara hidup manusia.

Jadi, kerohanian itu adalah nilai-nilai bina-dalam yang mengawal watak dan keperibadian seseorang. Dengan demikian ketakwaan, kekuatan iman, tawakal, sabar, ikhlas, jujur dan amanah adalah elemen yang menggerakkan jasmani manusia dalam bentuk sikap, dan tindak-tanduk.  

Kerohanian ibarat raja dalam diri seseorang. Rasulullah saw pernah bersabda maksudnya Ingatlah dan bahawasanya dalam jasad manusia itu ada seketul daging yang apabila baik daging itu, maka baiklah jasad keseluruhannya dan jika rosak daging itu akan rosaklah jasad keseluruhannya, ingatlah, itulah dia hati (Riwayat Bukhari dan Muslim).

 


Disebut dalam Sunnah bahawa Rasulullah saw menjalani tarbiyah kerohanian bagi membentuk keperibadian. Ini sejajar dengan perintah Allah swt agar mendirikan sembahyang Tahajjud seperti yang disebut oleh ayat 2 al-Muzzammil. Ini kerana Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa) (al-Muzzammil, 6), dan lebih tetap betul bacaannya. Yang bermaksud ketika sembahyang malam yang disebut Tahajjud itu apabila membaca ayat-ayat al-Quran dengan tartil, boleh mendapat maksudnya dengan lebih tepat berbanding jika dibaca pada waktu-waktu yang lain.

Kerana inilah maka Nabi saw menggunakannya sebagai pendekatan membina jatidiri generasi sahabat yang mempunyai keupayaan mental, fizikal dan rohani yang mantap ketika di Madinah.

 

Secara tidak langsung ayat-ayat tersebut itu menunjukkan perkaitan antara kerohanian dan keperibadian. Keperibadian itu adalah duniawi, malah Islam melihatnya dua unsur tersebut itu saling melengkapi, tidak konflik maupun adanya batasan pemisah antara menulenkan kerohanian dan kehidupan moral manusia. Watak dan keperibadian itu duniawi, yang mencerminkan isi hati (qalb) itu tadi.

Dengan demikian maka harus difahami bahawa ideologi Islam menghendaki kita mencari unsur-unsur keduniaan dari setiap amalan yang kerohanian.

Sembahyang itu kerohanian, maka harus dicari keduniaannya, membaca al-Quran itu kerohanian maka harus dicari keduniaannya, berzikir juga kerohanian, maka harus dicari keduniaannya. Inilah sebabnya kita dikehendaki mentartil ayat-ayat al-Quran yang kita baca ketika mendirikan Tahajjud itu tadi, bagi mencari tafsirannya. Mentartil disebut oleh ayat 4 al-Muzzammil.

Dengan kedudukan ini bolehkah diterima kenyataan yang menyebut membaca al-Quran yang sekadar membunyikan ayat-ayatnya sahaja akan dapat pahala, jika tidak dicari tafsirannya? Terpulanglah kepada anda menjawabnya.

Ideologi Islam ini bertujuan untuk dipakai sebagai pegangan atau polisi kehidupan. Seseorang Islam wajib berpegang kepadanya sebagai asas dalam menjalani kehidupan dan membina sistem kehidupannya. Justeru dalam melakukan sebarang aktiviti, sama ada yang keagamaan atau muamalat haruslah yang bentuknya serasi dengan tuntutan ideologi ini.

Sebagai polisi, kehidupan seharian kita harus direncana agar benar-benar serasi dengannya. Sebarang perselisihan yang dirasai harus dijajarkan semula supaya berada di atas landasan polisi itu tadi. Harus dijaga jangan sampai terbentuk jurang-jurang yang sifatnya membuat batasan pemisah antara menulenkan kerohanian dan kehidupan moral manusia. Lebih-lebih lagi yang konflik antara keduanya.

Jadi ideologi ini merupakan kefahaman asas yang harus dijadikan pegangan atau prinsip bagi menjustifikasi betul atau salahnya sesuatu pandangan atau gagasan yang kita dengar, yang kita baca dan sebagainya itu. Lebih-lebih lagi dalam menentukan betul atau salahnya sesuatu amalan yang hendak kita lakukan.

Cara hidup kita dicorakkan oleh hukum-hakam. Hukum-hakam ini pula harus dijajarkan dengan ideologi tersebut itu. Jadi dalam keadaan di mana kedengaran hukum hakam atau kenyataan yang tidak serasi dengan ideologi ini harus dipertimbangkan semula sebelum menerimanya atau menolaknya, seperti persoalan tentang membaca al-Quran itu tadi.

Mengikut ideologi Islam sudah jelasa sesuatu yang kerohanian harus bersama dengan keduniaannya, jangan dipisahkan, atau dibuat batasan antara keduanya. Justeru persoalan mendapat pahala itu harus dipastikan syaratnya. Lihat ayat 58, 62, 103, 110, 112, 158, 261, 262, 272, 274, 277, 286 al-Baqarah, ayat 115, 195 ali-Imran, ayat 40 an-Nisa’ dan banyak lagi. Akan kita dapati bahawa pahala akan diberikan kepada amal-amal yang keduniaan, yang memberi faedah kepada orang lain.

Sikap sambil lewa dengan ideologi ini boleh merugikan diri sendiri, dan mungkin orang lain. Seseorang yang taksub dengan sesuatu kenyataan atau hukum, tanpa menyemaknya sama ada serasi dengan ideologi ini besar kemungkinannya mengundang kerugian – mengharap pahala tetapi tidak kesampaian. Seseorang yang berprinsip tidak akan mudah menjadi mangsa kekeliruan, malah mampu pula untuk membetulkannya.

Justeru harus difahami bahawa gagasan di atas ini menghendaki kita menjadikan sesuatu ibadah, sama ada yang dalam bentuk melakukan perintah atau meninggalkan larangan itu sebagai cara hidup di dunia. Jadi adalah tidak betul untuk mengatakan ibadah adalah ibadah, tiada kaitan dengan kehidupan. (Home)

No comments: