Muwaffak

Ini adalah riwayat yang masyhur mengenai Abdullah bin Mubarak yang melakukan ibadah haji. Dalam tempoh itu, satu hari dia tertidur di Masjidilharam. Ketika tidur dia bermimpi dikunjungi dua malaikat dan berdialog:

Malaikat 1 : Berapa ramaikah orang yang mengerjakan haji tahun ini?

Malaikat 2 : 600,000 orang.

Malaikat 1 : Antara 600,000 orang yang mengerjakan haji itu, berapakah yang diterima haji mereka.

Malaikat 2 : Antara 600,000 itu hanya seorang sahaja hajinya diterima, iaitu haji seorang tukang kasut yang bernama Muwaffaq. Dia tinggak di Damsyik. Walaupun dia tidak dapat mengerjakan haji tetapi hajinya diterima. Maka atas berkat haji Muwaffaq, kesemua 600,000 orang yang mengerjakan haji diterima.

Abdullah yang sedang tidur itu terjaga. Tanpa membuang masa dia berangkat ke Damsyik. Sampai di sana dia terus mencari tukang kasut yang disebutkan dalam mimpinya. Sebaik sampai di pintu rumah tukang kasut itu Abdullah mengetuk pintu. Muncullah seorang lelaki.

 Abdullah : Apa nama saudara?

Muwaffaq : Nama saya Muwaffak.

Abdullah : Tolong beritahu kepadaku apakah amalan yang kamu lakukan sehingga mencapai darjat yang tinggi?

Muwaffaq : Sebenarnya aku ingin menunaikan haji tetapi oleh sebab keadaanku maka aku tidak dapat menunaikannya. Namun, dengan tidak disangka-sangka aku mendapat wang 300 dirham daripada pekerjaanku, lalu aku berniat untuk mengerjakan haji pada tahun ini. Namun isteriku pula sedang hamil. Suatu hari isteriku tercium bau dari rumah jiranku dan dia mengidam ingin memakan makanan tersebbut. Aku pergi ke rumah jiranku dan mengetauk pintu rumanya. Kemudian keluar seorang wanita, maka aku pun maklumkan hajat isteriku kepadanya. Lalu jiranku berkata, Oleh sebab kamu tidak tahu keadaanku maka tidak mengapalah aku memberitahumu.

Sebenarnya anak-anak yatim di rumahku ini sudah tiga hari tidak makan, lalu aku keluar mencari makanan. Sewaktu aku mencari makanan aku bertemu dengan bangkai seekor himar, maka aku ambil sebahagiannya lalu aku masak. Makanan ini adalah halal untuk kami dan haram untuk kamu.

Mendengar sahaja kata-kata wanita itu maka aku pulang ke rumah dan mengambil wang 300 dirham yang ada padaku lalu ku berikan kepada wanita tersebut, dan aku katakana kepadanya, Belanjakanlah wang ini untuk anak-anakmu.

Sebelum beredar pergi, Muwaffaq berbisik dalam hatinya, Hajiku di muka rumahku (rumah jiranku).

 Pengertian dari kisah ini ialah keutamaan itu tadi. Muwaffak lebih mengutamakan anak-anak yatim, dengan mengalihkan dana hajinya bagi membantu mereka yang kelaparan. Oleh kerana sedekahnya menggunakan wang yang dihajatkan untuk mengerjakan haji menyebabkan dia diberi ganjaran haji yang mabrur walaupun tidak ke Mekah.

 Tidak dinafikan akan ada orang yang bertanya misalnya bagaimana mungkin kita harus mengutamakan bersedekah kepada anak yatim berbanding menunaikan ibadah Rukun Islam.

Tidak dinafikan, tetapi itulah realitinya. Muwaffak telah melakukan sesuatu yang bertepatan dengan tujuan penciptaan dirinya iaitu sebagai khalifah. Dia meletakkan kepentingan orang lain lebih utama daripada kepentingan dirinya sendiri. Dan tindakan ini telah diberikan pengiktirafan oleh Allah swt. Allah swt tidak akan mempersoal mengapa tidak menunaikan ibadah dalam Rukun Islam iaitu ibadah haji, malah sebaliknya memberi rahmat ke atas Muwaffak.

Apakah akan ada pula orang menimbulkan persoalan bahawa riwayat ini adalah suatu mimpi. Baik. Bukankah kita biasa mendengar kisah-kisah atau riwayat yang dalam bentuk mimpi – ini bukan satu-satunya. Bagaimanapun terpulanglah kepada persepsi masing-masing. Memang sangat berat untuk mengubah persepsi lama, menukarkan dengan yang baru seperti yang dilakukan oleh Muwaffak.

Seorang ulama tersohor dunia, Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi menulis dalam bukunya menurunkan kata-kata yang pernah diucapkan oleh Bisyr al-Hafi,

Kalau kaum Muslimin mahu memahami serta memiliki keimanan yang sebenar, dan mengetahui makna kefahaman terhadap pekerjaan yang perlu diutamakan, maka dia akan merasakan kebahagiaan yang lebih besar dan suasana kerohanian yang lebih kuat, setiap kali dia dapat mengalihkan dana ibadah haji itu untuk memelihara anak-anak yatim, memberi makan mereka yang kelaparan, memberi tempat perlindungan orang-orang yang terlantar, mengubati mereka yang sakit, mendidik orang-orang yang lemah bidang pelajarannya, atau memberi peluang pekerjaan kepada para penganggur (Fiqh Keutamaan, 19). Riwayat ini hendak menunjukkan soal keutamaan: membantu orang miskin dan sebagainya itu lebih utama berbanding mengerjakan ibadah haji. Inilah soal kekhalifahan itu.

Namun fenomena menunjukkan kebanyakan kita tidak menjadikannya sebagai pertimbangan setiap kali hendak menunaikan ibadah haji, umrah atau berkorban. Ramai yang mengutamakannya walaupun berkali-kali sedangkan masih ramai asnaf dalam kariahnya. Kelihatannya mereka seolah-olah lebih mengutamakan ibadah untuk faedah diri sendiri berbanding untuk faedah orang lain.

 Dalam pada itu kita lihatlah satu lagi peringatan yang boleh kita ambil dari kisah Muwaffak itu tadi, iaitu tentang haji yang mabrur. Malaikat 2 menyebut bahawa hanya seorang sahaja yang mendapat haji mabrur dari kalangan 600,000 orang. (Cerita lengkap terdapat dalam buku berjudul KE ARAH HAJI YANG MABRUR, terbitan Telaga Biru). Di sana diturunkan fakta-fakta untuk mendapat haji yang mabrur. Antara yang menarik ialah kenyataan Sayidina Umar al-Khattab yang menyatakan bahawa Ramai yang pergi ke Mekah hanya untuk melancong.

Mungkinkah ini berkaitan dengan keutamaan itu tadi, iaitu lantaran para Jemaah yang 600,000 orang itu adalah dari masyarakat yang ramai ahli kariahnya yang memerlukan bantuan, maka hajinya tidak mabrur. Kefahaman kita menunjukkan Muwaffak adalah antara tokoh khalifah, sejajar dengan tujuan penciptaan dirinya, dan diletkkan atas muka bumi.

Jelas, kekhalifahan adalah soal pokok dalam kehidupan, bukan lagi soal cabang-cabang, ranting dan pucuknya. Sebagai soal pokok maka cabang-cabang, ranting dan pucuknya haruslah yang serasi dengan pokok dan akar umbinya. Jadi setiap kali bercakap tentang Islam, berkuliah dan berceramah haruslah yang ideanya adalah bagi menanamkan sikap kekhalifahan itu. Janganlah meninggalkan nas dan dalil-dalil itu sebagai slogan kosong tanpa destinasi.

Jelas, aspek fiqh keutamaan harus dijadikan pertimbangan sebelum melakukan sesuatu ibadah. Destinasi dan tujuannya ialah menanamkan sikap kepedulian, mengutamakan orang lain, untuk faedah orang lain. Sebarang kesilapan boleh membatalkan sesuatu ibadah yang kita lakukan, ibadah berkenaan tidak diredai Allah swt. Isu moralnya di sini ialah ibadah yang memberi faedah buat orang lain harus diutamakan sebelum untuk faedah diri sendiri. inilah kefahaman yang harus ada dalam diri bagi mendapatkan rahmat Allah swt

No comments: