Khalifah adalah gelaran bagi ketua agama atau raja bagi sesebuah negara (Islam). Misalnya Sayidina Abu Bakar adalah orang pertama menjadi khalifah selepas kewafatan baginda Nabi saw.
Secara umum, khalifah bermaksud pengganti kepada Nabi saw. Yang bermaksud bahawa khalifah dalam kontaks ini adalah jawatan pemerintah.Namun terdapat juga ayat-ayat al-Quran yang menggambarkan
bahawa khalifah itu ialah manusia awam, seperti yang disebut oleh ayat 129
al-Araf. Ayat ini adalah tentang aduan kaum Nabi Musa yang dianiaya oleh Firaun
sebelum kedatangan baginda dan malah sesudahnya. Menjawab aduan itu Nabi Musa menyebut,
Mudah-mudahan Tuhan kamu akan
membinasakan musuh kamu dan menjadikan kamu khalifah di bumi.
Jawapan ini menunjukkan
seseorang khalifah itu adalah dari
golongan manusia awam. Demikian juga yang disebut oleh ayat 14 surah Yunus yang
menyebut ertinya Kemudian Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) khalifah-khalifah
di bumi menggantikan mereka yang
telah dibinasakan itu.
Ayat 30 al-Baqarah menyebut
ertinya, Sesungguhnya Aku hendak
menjadikan seorang khalifah di bumi. Namun malaikat mempersoalkan, Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak
menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan (berbunuh-bunuhan).
Menumpahkan darah menggambarkan orang itu ialah manusia awam.
Mungkin akan ada orang
menimbulkan persoalan misalnya adakah semua manusia? Atau adakah syarat-syarat
tertentu untuk dijadikan khalifah?
Terdapat beberapa ayat
al-Quran yang menyebut mereka adalah orang-orang yang diberi kelebihan
tertentu, dan apakah kelebihan-kelebihan itu?
Antaranya seperti yang disebut oleh ayat 165 al-Anam, dan meninggi-kan setengah kamu atas
setengahnya yang lain beberapa darjat. Darjat
yang dimaksudkan itu disebut oleh ayat 69
al-Araf, dan Allah telah menambahkan kamu kelebihan (dan
kekuatan) pada bentuk kejadian tubuh kamu. Iaitu kudarat tubuh badan.
Ayat ini juga menyebut, Maka
kenanglah akan nikmat-nikmat
Allah supaya kamu berjaya. Ini menggambarkan kelebihan kudrat tubuh badan itu sebagai nikmat Allah, lalu Allah menyeru Maka kenanglah bermaksud menggunakannya,
dalam kontak ini ialah untuk peranan sebagai khalifah.
Kekuatan tubuh badan itu adalah sebahagian daripada darjat kelebihan. Maka apa jua
kekuatan yang lain yang ada pada sekujur badan adalah sebahagiannya lagi.
Misalnya kekayaan, keintelekan. Allah swt menyeru untuk dipergunakan bagi
faedah menjalankan tugas khalifah. Justeru
tidak boleh dinafikan bahawa apa jua nikmat yang Allah swt berikan adalah
antara kelebihan darjat yang disebut
oleh ayat 165 al-Anam itu.
Antara darjat kelebihan yang nyata ialah kekayaan harta dan
pangkat. Justeru kelebihan ini harus dikenang
juga dalam bentuk tugas khalifah.
Nikmat-nikmat Allah juga digambarkan oleh ayat 74 al-Araf yang
menyebut, (dengan diberi kemudahan) untuk kamu
mendirikan istana-istana di tanahnya yang rata, dan kamu memahat gunung-gunungnya
untuk dijadikan rumah. Ini adalah kemudahan
yang berkaitan dengan infrastruktur tempat tinggal. Allah menyeru, Maka kenangkanlah nikmat-nikmat Allah itu
dan janganlah kamu bermaharalela melakukan kerosakan di bumi. Dari sudut qiyas, kemudahan itu meliputi juga yang berkaitan dengan unsur-unsur untuk
kelangsungan hidup seperti air, udara, tumbuhan dan haiwan. Jadi selain
kekuatan tubuh badan kelebihan darjat
itu ialah kuasa pemerintahan.
Jadi kelihatannya seseorang khalifah itu meliputi juga manusia biasa yang mempunyai kelebihan-kelebihan tertentu. Ini bertepatan dengan maksud ayat 30 al-Baqarah. Syaratnya ialah jika menggunakannya untuk membela orang yang lebih rendah darjatnya. Seruan kenangkanlah itu adalah seruan untuk menggunakannya untuk faedah buat orang lain, bukan faedah diri sendiri.
Tugas khalifah
Secara tidak langsung ayat-ayat di atas itu menggambarkan tugas dan tanggungjawab seseorang khalifah. Misalnya Maka kenanglah yang disebut oleh ayat 69 al-Araf, ayat 74 al-Araf itu bermaksud seruan menggunakan-nya untuk jihad di jalan Allah swt, iaitu untuk membela nasib orang-orang yang lebih rendah darjatnya.
Antara lain lagi ialah tanggungjawab menjaga alam sekitar. Ini
disebut oleh ayat 74 al-Araf. Dengan kata lain ialah menjaga bumi ini dan
segala kandungannya. Ini menggambarkan situasi kehidupan di dunia ini.
Dengan ayat-ayat di atas juga Allah mengingatkan kesemuanya itu
adalah ujian bagi mereka yang mempunyai kelebihan tersebut.
Jadi kelihatannya objektif utama kepemimpinan seseorang khalifah ialah untuk membina iklim kehidupan yang sejahtera, bahagia dan memuaskan di bumi buat manusia dan makhluk sekalian alam. Sasarannya pula buka manusia sahaja tetapi juga makhluk sekitaran sama ada yang hidup atau yang tidak hidup. Alasannya ialah kerana kesejahteraan manusia bergantung juga kepada kesejahteraan makhluk itu tadi.
Makhluk yang tidak hidup itu
ialah seperti air, udara, tanah, dan lain-lain. Tanah mencakupi juga bukit,
gunung dan lembahnya, ruang angkasa; harus dijaga agar tidak terjadi keadaan
yang boleh mendatang mudarat kepada manusia.
Sebagai persediaan menjadi khalifah, Allah swt mengurniakan manusia dengan akal yang mampu berfikir, agar manusia mampu meneroka segala isi alam ini untuk ikhtiar hidupnya. Dengan akalnya yang bersifat kritis dan kreatif itu mampu pula merobah sumber-sumber alam yang semulajadi ini menjadi sesuatu yang baru. Yang lebih penting lagi untuk disedari ialah dengan akal menjadikan manusia mampu membezakan antara yang salah dengan yang benar, yang cantik dengan yang buruk. Tidak seperti haiwan yang akalnya hanya untuk menerbitkan naluri makan-minum, berkelamin dan beranak sahaja selaras dengan yang telah ditentukan-Nya.
Apabila ilmu
fiqh menekankan tentang kewajipan mendirikan ibadah sebahyang, zakat, puasa dan haji, logiknya, inilah
ibadah-ibadah yang dijadi-kan asas bagi membentuk keperibadian seseorang manusia
khalifah. Jadi, kewajipan menunaikan empat ibadah dalam Rukun Islam itu adalah satu
bentuk proses yang bertujuan mengasuh manusia menerapkan nilai-nilai keperibadian
bagi melayakkannya menjadi khalifah.
Jadi secara tidak langsung menunjukkan
bahawa kewajipan (wajib) mendirikan sembahyang itu membawa kepada hukum wajib
melaksana-kan pengajaran-pengajarannya. Misalnya, ayat 2 al-Fatihah itu mengajar
kita erti kewajipan menjaga alam sekitar bagi setiap manusia yang mempunyai
kudrat tubuh badan.
Ibadah puasa mengajar erti ketakwaan.
Ini adalah sifat yang menjamin kelangsungan tanggungjawab terhadap manusia dan
alam ini keseluruhan-nya.
Iktibar dan pengajaran
dari ibadah haji juga meliputi hal-hal yang keduniaan:
antaranya mengajar erti tanggungjawab menjaga alam sekitar, mengajar erti kesaksamaan
antara sesama manusia. Justeru harus dilihat bahawa ibadah haji yang Allah swt
aturkan buat umat muslim itu sebagai asuhan untuk menjadi khalifah. Maka menjaga dan menyayangi alam sekitar itu adalah
sebahagian daripada tugas dan tanggungjawab bagi seorang haji atau hajah. Ianya
adalah manifestasi dari ibadah berumrah:
larangan membunuh haiwan dan merosakkan tumbuhan ketika umrah itu adalah
sebagai pendidikan membina sikap menjaga dan menyayangi alam sekitar. Tumbuhan
dan haiwan itu adalah ikon alam sekitar. Inilah adalah antara sikap yang menjadi
asas kemabruran ibadah haji.
Jadi kita telah lihat bahawa manusia tidak dijadikan sebagai seorang yang mementingkan diri dan bersikap menjahanam. Tidak juga dicipta hanya untuk berputus asa dan rasa tidak berguna. Tetapi mengikut Islam, manusia dicipta dengan sifat-sifat mulia, dan murni. Kerana itu Allah telah memilih manusia sebagai makhluk yang diberi keupayaan dan kepintaran bagi melayakkan mereka menjadi khalifah atau pentadbir bumi. Sebagai khalifah, manusia mempunyai peranan dan tanggungjawab terhadap sekalian makhluk. Segala-galanya, di langit dan di bumi telah diletakkan atas bahu manusia sebagai amanah.
Manusia diamanahkan untuk menjaga keharmonian: harmoni dengan Si Pencipta, harmoni dengan semulajadinya sendiri, dan harmoni dengan keperluan makhluk-makhluk yang lain. Jika semua aspek keharmonian yang universal ini dapat disempurnakan maka ia akan dikira sebagai Muslim sejati, layak digelar khalifah. Sebaliknya, jika bertentangan dengan peranan ini akan membawa kepada gejala perpecahan, ketidakadilan dan kejahatan. Ganas.
No comments:
Post a Comment