Rahmat Allah

Apakah sebenarnya rahmat?
Di dalam al-Quran, perkataan rahmat disebut sebanyak 124 kali, yang membawa maksud sifat-sifat mengasihani, memberkati, menganugerahi.
Antaranya,
Dan taatlah kepada Allah dan Rasul (Muhammad), agar kamu diberi rahmat.’ (al-Imran, 132)
Dan adalah kerana rahmatNya, Dia jadikan untukmu malam dan siang, agar kamu beristirahat pada malam hari dan agar kamu mencari sebahagian kurniaNya (pada siang hari) dan agar kamu bersyukur kepadaNya.’ (al-Qasas, 73)
Dan Kami anugerahi dia (dengan mengumpulkan kembali) keluarganya dan Kami lipatgandakan jumlah mereka, sebagai rahmat dari Kami dan pelajaran bagi orang-orang yang berfikiran sihat (supaya mereka juga bersikap sabar semasa ditimpa kemalangan).’ (al-Saad, 43)
Apabila kami berikan sesuatu rahmat kepada manusia, nescaya mereka gembira dengan (rahmat) itu. Tetapi apabila mereka ditimpa sesuatu musibah (bahaya) kerana kesalahan mereka sendiri, seketika itu mereka berputus asa.’ (ar-Rum, 36)
Itulah sebahagian daripada 124 ayat yang terdapat dalam al-Quran, tentang rahmat Allah s.w.t. Jadi kejadian siang dan malam, memberikan keluarga kepada manusia, sesuatu yang dianugerahkan kepada manusia adalah rahmat Allah. Ini merupakan sebahagian kecil dari begitu banyaknya rahmat Allah.
Siang dan malam terjadi kerana matahari memancarkan cahayanya ke bumi yang sentiasa berputar dua puluh empat jam sekali. Jadi matahari juga adalah sebahagian lagi anugerah Allah, atau rahmat Allah.  Kita maklum, bumi dan matahari, disebut oleh ilmu Sains sebagai berada dalam satu sistem iaitu sistem solar. Selain bumi, dalam sistem solar mempunyai enam lagi planet yang berada dalam sistem solar, iaitu Marikh, Pluto, Jupiter, Uranus, ... Kesemuanya adalah kejadian Allah s.w.t. yang berada di atas sana.
Allah mencipta manusia bermula daripada Adam kemudian diciptakan Hawa, diturunkan ke bumi, lalu berkembang dan bertambah dari semasa ke semasa, dan dari bilangannya yang semakin banyak itu terbentuk keluarga dan seterusnya terbentuk pula kelompok-kelompok manusia di atas muka bumi ini yang berbagai-bagai bangsa, juga adalah sebahagian daripada rahmatNya.
Dan yang paling penting, untuk manusia, Allah menyediakan segala keperluan untuk hidupnya. Selain dari keperluan asas tersebut, dengan rahmatNya juga disediakan apa-apa yang menggembirakan mereka, iaitu nikmat-nikmat kehidupan. Ini juga adalah rahmat Allah juga.
Apakah yang menggembirakan manusia. Bolehlah diambil beberapa contoh seperti makanan, pangkat, kemewahan, kesihatan, kuasa dan kekayaan, maka adalah rahmat juga. Kita juga sering mendengar orang berkata, bila hujan turun, mereka akan kata hujan itu rahmat. Pendek kata apa sahaja yang disediakan oleh Allah s.w.t. untuk kebaikan dan kegembiraan manusia adalah rahmatNya.
Bertolak dari contoh-contoh ini bolehlah dikatakan di sini, segala apa sahaja yang ada di ruang angkasa sana mahu pun di bumi ini adalah rahmat Allah s.w.t. belaka.
Maka jika mereka mendustakan kamu, katakanlah, Tuhanmu mempunyai rahmat yang luas, dan seksaNya kepada orang-orang yang berdosa tidak dapat dielakkan.’ (al-Anam, 147)
Dialah (Allah) yang menciptakan segala apa yang ada di bumi untukmu kemudian Dia menuju ke langit, lalu Dia menyempurnakannya menjadi tujuh langit.  Dan dia Maha Mengetahui segala sesuatu.’ (al-Baqarah, 29)
Ayat ini menyebut Allah menciptakan segala apa yang ada di bumi ini untuk kita. Lihat sahaja betapa banyaknya yang disediakan untuk kita, sama ada yang berada di muka bumi, di ruang angkasa bumi, di dalam perut bumi, di dalam air sungai dan lautan. Sama ada yang dapat kita lihat, rasa, bau, dengar, sentuh, malah sebahagiannya tidak dapat dikesan dengan deria-deria tersebut, contohnya gelombang radio. Kesemuanya ini adalah rahmat Allah s.w.t.
Apakah kita lupa betapa banyaknya rahmat Allah yang ada pada diri kita? Allah memberi kita jasad yang lengkap dengan lima pancaindera, diberi otak yang mampu berfikir, tidak seperti haiwan, otaknya bukan untuk berfikir. Malah terlalu banyak rahmat Allah yang sudah kita ketahui, dan memang banyak lagi. Firman Allah,
Dan kalau mahu menghitung nikmat Tuhan, nescaya tidaklah dapat kamu menghitung (seluruhnya). Dan sesungguhnya Tuhan itu Pengampun dan Penyayang.’ (an-Nahl, 18)
Secara mudah boleh disimpulkan di sini, apa sahaja yang ada pada tubuh badan kita, sekitaran kita, bumi ini dan segala yang terkandung di dalamnya, termasuk juga alam di luar sana dengan segala planet dan bintang yang ada, adalah rahmat Allah.
Semua benda diciptakan untuk kegunaan manusia
Dialah (Allah) yang menciptakan segala apa yang ada di bumi untukmu kemudian Dia menuju ke langit, lalu Dia menyempurnakannya menjadi tujuh langit.  Dan dia Maha Mengetahui segala sesuatu.’ (al-Baqarah, 29)
Berapa banyakkah untuk dihitung apa yang ada di bumi? Ini mencakupi segala apa yang ada di ruang angkasa bumi, di atas muka bumi, di dalam perut bumi dan lautan. Allah menyediakan segala-galanya untuk kita.
Mereka bertanya kepadamu (Muhammad), apakah yang dihalalkan bagi mereka? Katakanlah, yang dihalalkan bagimu (adalah makanan) yang baik-baik dan (buruan yang ditangkapnya untukmu), dan sebutlah nama Allah (waktu melepasnya). Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat cepat perhitungannya.’ (al-Maidah, 4)
Buruan di sini ialah buruan yang ditangkap oleh binatang buas semata-mata untuk tuannya dan tidak dimakan sedikit pun oleh binatang itu. Jadi binatang juga disediakan untuk kita tetapi terbatas kepada yang dihalalkan sahaja.
Katakanlah (Muhammad), siapakah yang mengharamkan perhiasan dari Allah yang telah disediakan untuk hamba-hambaNya dan rezeki yang baik-baik? Katakanlah, semua itu untuk orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia, dan khusus (untuk mereka sahaja) pada hari kiamat. Demikianlah kami menjelaskan ayat-ayat itu untuk orang-orang yang mengetahui.’ (al-Aaraf, 32)
Perhiasan-perhiasan dari Allah dan makanan yang baik-baik itu dapat dinikmati di dunia ini oleh semua orang, sama ada yang beriman dan yang tidak beriman.
Dan haiwan ternak telah diciptakanNya untuk kamu, padanya ada (bulu) yang menghangatkan dan berbagai manfaat, dan sebahagiannya kamu makan. Dan kamu memperoleh keindahan padanya, ketika kamu membawanya kembali ke kandang dan ketika kamu melepaskannya (ke tempat penggembalaan).’ (an-Nahl, 5-6)
Dan Kami menciptakan besi yang mempunyai kekuatan hebat dan banyak manfaat bagi manusia, dan agar Allah mengetahui siapa yang menolong (agama)Nya dan rasul-rasulNya walaupun (Allah) tidak dilihatnya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat, Maha Perkasa.’ (al-Hadid, 25)
Ayat ini menyebut besi, sejenis logam yang kuat, disediakan untuk manfaat manusia. Perkataan besi adalah sampel kepada banyak lagi logam yang disediakan oleh Allah s.w.t. Misalnya  emas, tembaga, zink, kupram, dan yang bentuk cecair ialah logam raksa. Kesemuanya disediakan untuk kebaikan kita.
Sebahagian logam pula kita gunakan untuk perhiasan, emas, emas putih. Bahan-bahan ini pula memberi peluang kepada dunia perniagaan.
Apa yang disebut dalam ayat-ayat di atas adalah untuk manusia. Dari bahan-bahan keperluan hidup, seperti makanan termasuk yang berupa binatang buruan, dan pakaian daripada bulu, disediakan juga bahan untuk kegunaan peralatan seperti besi, malah Allah menyediakan juga perhiasan. Kesemuanya ini adalah rahmatNya.
Rahmat Allah s.w.t. 100 bahagian
Pun begitu, apa yang dapat manusia fikirkan tentang segala pemberianNya ini, yang tidak terhitung banyaknya, adalah hanya satu daripada seratus bahagian kesemuanya. 
Sebuah hadis oleh Bukhari dan Muslim, menyebut,
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Allah s.w.t. menjadikan rahmat sebanyak seratus bahagian. Dari satu bahagian inilah seluruh makhluk saling kasih mengasihi antara satu sama lain sehinggakan binatang mengangkat kaki dari anaknya takut terpijak atau menyakiti anaknya’.
Hadis ini menyebut makhluk. Makhluk adalah sebahagian daripada daripada rahmat Allah yang satu bahagian itu.  
Tetapi Ustaz Saifuddin Aman pula menyebut dalam laman webnya (http://almawardiprima.co.id)
Allah memiliki 100 rahmat. Satu rahmat diberikan di dunia, dan 99 rahmat akan diberikan di akhirat.’
Hadis ini pula menyebut satu rahmat diberikan di dunia. Apakah yang dimaksudkan dengan di dunia?
Apa pun, dari kedua-dua hadis ini kita boleh membuat satu kesimpulan bahawa segala apa yang terdapat di dunia ini adalah hanya satu bahagian daripada seratus rahmat Allah s.w.t. RahmatNya yang satu peratus itu telah diterjemahkan dalam bentuk apa yang ada di duniaseperti yang dapat kita lihat sekarang ini.
Alam ini
Satu peratus rahmat yang disebut dalam hadis di atas tadi ialah alam ini. Allah yang menterjemahkan rahmatNya yang satu peratus ke dalam bentuk adanya alam ini. Orang Islam, malah manusia keseluruhannya akan mengakui bahawa Allah yang menjadikan alam ini.
Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka: “Siapakah yang menjadikan langit dan bumi dan menundukkan matahari dan bulan?” Tentu mereka akan menjawab: “Allah”, maka betapakah mereka (dapat) dipalingkan (dari jalan yang benar),” (Al-Ankabut: 61)
Sunnatullah, dan syariat Allah
Setiap sesuatu yang ada dalam alam ini ialah makhluk Allah, sama ada yang hidup atau tidak hidup. Manusia, haiwan, tumbuhan adalah makhluk yang hidup. Batu, tanah, air, angin, udara, planet-planet dan sebagainya adalah tidak hidup.
Allah menentukan peraturan untuk perjalanan hidup semua makhluk ini demi kebaikan dan kesejahteraan. Jika setiap makhluk, baik yang hidup atau yang tidak hidup, mematuhi setiap peraturan yang ditetapkan, akan mencapai kehidupan saling kasih mengasihi, aman sejahtera. Sebaliknya, jika tidak diikuti akan menghadapi keributan dan kerosakan.
Peraturan Allah terbahagi kepada dua: satu dikhususkan kepada manusia, dan satu lagi untuk segala makhluk yang lain. Peraturan untuk manusia ialah apa yang kita sebut sebagai syariat Allah, sementara untuk makhluk-makhluk yang lain dipanggil sunnatullah.
Sunnatullah ialah ketentuan Allah s.w.t. kepada alam ini. Ketentuan inilah yang menjadi alam ini seperti adanya. Dengan ketentuanNya bumi berpusing dan membolehkannya terapung, mengelilingi matahari, yang dengan peraturan ini menyebabkan terjadinya siang dan malam. Bumi juga ditetapkan mempunyai daya graviti, yang dengannya menyebabkan sesuatu akan kekal melekat ke bumi, atau apa sahaja yang tergantung, atau kita lambung ke atas, akan jatuh ke bumi.
Allah juga menentukan penyebab terjadinya pasang surut air laut. Ikan yang hidup di dalamnya tidak pula menjadi masin selagi masih hidup kerana Allah telah menetapkan begitu. Itulah antara sunnatullah.
Allah juga yang menentukan umpamanya, sebiji batu yang diam tidak memberi sebarang mudarat. Tetapi apabila bergerak akan memperoleh momentum, dan merbahaya kepada apa sahaja yang berada di laluannya.
Allah juga yang menentukan udara panas akan bergerak naik. Perbezaan suhunya pula akan menjadi penyebab terjadinya angin, ribut dan taufan dan puting beliung.
Allah juga menentukan bahawa setiap yang hidup akan mati. Manusia mempunyai perasaan, manakala binatang pula mempunyai naluri, untuk menyukai jantina yang berlawanan. Bila berlaku proses mengawan akan terjadi proses mengandung dan beranak. Tetapi monyet tidak boleh mengandung jika mengawan dengan anjing kerena itu adalah ketentuan Allah.
Pendek kata apa yang telah dan yang belum ditemui oleh sains yang kemudiannya diberi simbol sebagai hukum sains atau hukum alam, sebenarnya adalah ketentuan Allah kepada alam ini. Inilah apa yang dipanggil sebagai nature atau alami atau sifat semulajadi. Inilah yang akan menentukan bentuk perjalanan alam ini.
Syariah Allah ialah peraturan untuk manusia. Manusia walaupun menjadi sebahagian dari alam ini, tetapi telah diberikan peraturan yang khusus bagaimana ia berperanan sebagai khalifah Allah.
Syariat Allah menenttukan peraturan bagaimana caranya manusia harus menjalani kehidupan atas muka bumi. Allah telah menentukan apa yang boleh dilakukan dan apa pula yang dilarang. Semua peraturan ini terkandung dalam al-Quran. Lalu Rasulullah s.a.w. diutus bagi memberi penunjuk melalui sunnahnya.
Dan Kami tidak mengutus engkau (Muhammad) melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi seluruh alam’. (Al-Anbiya’, 107)
Rahmat dalam ayat ini adalah membawa pengertian seperti yang tersebut dalam satu laman web, yang menyebut,
Rahmat pada umumnya mengandung pengertian kasih sayang, keadilan, dan kesejahteraan. Dengan demikian tujuan Islam adalah identik dengan tujuan pembawanya, Muhammad s.a.w., yaitu membawa ajaran kasih sayang, keadilan, dan kesejahteraan bagi alam semesta.’
Jadi, kasih sayang, keadilan dan kesejahteraan adalah sebahagian daripada rahmat. Ayat dalam surah al-Anbiya tadi menunjukkan Nabi Muhammad s.a.w diutus untuk membawa pengajaran ke arah itu.
Jika kita rujuk kembali ayat 132 dalam surah al-Imran, ‘Dan taatlah kepada Allah dan Rasul (Muhammad), agar kamu diberi rahmat’, menunjukkan rahmat Allah akan turun kepada orang-orang yang taat kepada Rasulullah dengan syarat kita mengamalkan segala sunnahnya secara menyeluruh, termasuk yang satu ini iaitu mensyukuri segala nikmat yang wujud seperti adanya ini.
99 rahmat akhirat?
Dari 100 rahmat Allah, 99 lagi akan diberikan kepada hamba-hambanya  setelah kematiannya. Inilah rahmat akhirat. Tiada siapa tahu bagaimana rupanya rahmat akhirat kerana ianya adalah rahsia Allah. Rahmat ini hanya akan diberikan kepada umatnya yang terpilih sahaja, dan pengurniaannya pula setelah kita masuk syurga.
Betapa banyak lagi nikmat yang akan kita kecapi di syurga kelak. Tidak dapat dibayangkan apakah nikmat-nikmat itu, bagaimana rupanya, layakkah kita memperolehi kesemuanya yang 99 itu.
Sedangkan satu peratus nikmat dari rahmat Allah yang sedia ada di bumi ini sudah tidak terhitung, inikan pula 99. Itu sebabnya kita sering diingatkan bahawa kehidupan yang lebih bermakna adalah kehidupan di akhirat nanti. Nikmat kehidupan di sana nanti melimpah ruah dan kekal abadi. Penghidupan di dunia ini hanyalah sementara, umpama suatu tempat persinggahan, dan hanya dibekali dengan sebahagian daripada satu peratus nikmat sahaja.
Kita memang memelukan rahmat Allah s.w.t. Sembahyang sahaja tidak menjamin untuk masuk syurga. Hanya rahmatNya sahaja yang menjamin untuk itu. Untuk mendapat rahmatNya, apakah yang harus kita lakukan selepas sembahyang? Carilah, apa lagi yang harus kita lakukan yang berkaitan dengan sembahyang kita agar mendapat rahmat Allah s.w.t. Wallahu-a’lam.