Syeikh Muhyiddin Abdul Kadir al-Jailani berkata: DenganMu, kita tidak dapat sampai, sedang kami amat berhajat kepadaMu. Yakni, kita tidak dapat sampai ke mana-mana dengan amalan kita tanpa rahmat Allah Ta'ala, sedang kita wajib beramal kerana menurut perintahNya.
Berkata Syeikh Abu Said al-Kharraz: Siapa yang mengira, bahawa ia akan sampai kepada Allah Ta'ala dengan amalannya, maka ia adalah seorang yang membuang masa. Dan siapa yang mengira, bahawa ia akan sampai kepada Allah Ta'ala tanpa amalan pula, maka ia adalah seorang yang berangan-angan kosong. Yang demikian itu adalah sikap yang bodoh dan terpedaya. Menyerah kpd Allah serta mengharapkan rahmatNya tidak boleh berlaku, melainkan sesudah berbakti dan beramal saleh.
Begitu sekali peringatan betapa kita memerlukan rahmat Allah s.w.t. walaupun setelah kita menunaikan segala amalan yang diperintahkannya. Dengan kata lain, rahmat Allah mesti diusahakan, mesti dicari. Rahmat Allah s.w.t. tidak boleh diharap-harapkan. Kita tidak boleh menyerah kepada Allah untuk mendapat rahmatNya.
Amalan kita tidak akan membawa ke mana-mana, apalagi ke syurga. Dan janganlah membuang masa untuk menemui Allah hanya dengan berbekalkan amalan semata-mata. Tetapi tidak beramal pula akan dianggap sebagai orang yang berangan-angan kosong untuk mendapat rahmatNya.
Dengan maksud lain, petikan itu seperti mengingatkan agar kita tidak terlalu mengharap akan dapat rahmat Allah hanya dengan melakukan ibadah khusus semata-mata.
Berkata Al-Hasan al-Bashri:
‘Sesungguhnya mencita-citakan pengampunan itu telah memperdayakan banyak orang, sehingga mereka meninggalkan dunia ini dalam muflis, tiada mempunyai bekalan amal saleh sekali. Beliau menambah lagi; Sesungguhnya orang Mukmin itu berbakti seraya gementar terhadap Allah Ta'ala. Manakala seorang Munafik pula membuat kejahatan seraya merasa aman dan sentosa senpanjang masa.’
Maksudnya, setelah kita melakukan segala amalan, kemudian berdoa untuk mendapatkan pengampunan, masih dianggap seorang yang muflis, tiada bekalan langsung untuk mati. Jadi di samping kita menjalani segala perintah supaya menunaikan segala yang terkandung dalam rukun Iman dan rukun Islam, mesti diikuti pula dengan membuat kebaikan dan amal soleh.
Petikan-petikan di atas membayangkan rahmat Allah akan diberi kepada mereka yang telah melakukan segala amal yang diperintahkan kemudian diikuti pula dengan amalan-amalan lain yang dianggap amal soleh. Amal soleh di sini tentunya bukan ibadah-ibadah khusus seperti sembahyang dan sebagaitnya.
Amal soleh di sini tentunya sesuatu yang lain. Ini adalah amal-amal bakti yang kita lakukan di samping ibadah-ibadah khusus yang kita tunaikan. Jadi ibadah-ibadah khusus yang diwajibkan kepada kita menunaikannya hanya sebagai tanda keimanan bagi seseorang muslim. Tetapi setakat ini sahaja, tidak memadai untuk mendapatkan rahmat Allah.
Prof. Dato’ Dr. Haron Din mencatatkan, ‘Kita tahu bahawa keimanan tidak sempurna kalau tidak diikuti oleh amalan” (Manusia dan Islam, 93)
Jadi untuk melengkapkan keimanan maka kita harus melakukan amalan-amalan lain. Itu sebab ada hadis menyebut, ‘Sembahyang kita tidak menjamin untuk masuk syurga kecuali setelah mendapat rahmatNya.’
Maksudnya, seseorang akan dimasukkan ke dalam syurga adalah kerana rahmat Allah, bukan kerana amal ibadahnya. Maka persoalan di sini adalah bagaimana cara mendapatkan rahmat Allah s.w.t.
Prof. Dato’ Dr. Haron Din, dalam bukunya bertajuk Manusia dan Islam ada menyentuh persoalan tentang Manusia dan Peribadatan. Antara tulisannya, beliau menyebut,
‘Setelah kita mempunyai keimanan dan membentuk sikap-sikap hidup berdasarkan rukun-rukun keimanan tersebut atau setelah kita mempunyai gambaran mengenai hidup berdasarkan rukun-rukun itu, apakah yang seharusnya kita lakukan selepas itu?’ (Manusia dan Islam, 93)
Petikan ini membayangkan bahawa ada sesuatu yang harus kita lakukan selepas kita mengaku beriman, dan menunaikan segala tuntutan sebagai tanda keimanan kita.
Titik permulaan seseorang muslim ialah syahadah. Kemudian diikuti dengan menunaikan segala perkara yang terkandung di dalam rukun Islam dan rukun Iman.
Dalam rukun Islam, kita diperintahkan menunaikan sembahyang lima waktu sehari, puasa pada bulan Ramadan, membayar zakat dan menunaikan haji jika mampu. Tidak sempurna seseorang Islam jika tidak menunaikan kesemuanya. Manakala rukun Iman pula mensyaratkan kita mempercayai Allah dan rasulnya, malaikat, kitab dan hari akhirat. Inilah tanda-tanda keimanan kita.
Kesemuanya ini yang memberikan kita gambaran-gambaran mengenai hidup. Umpamanya, kita akan hidup bukan setakat di dunia ini sahaja, tetapi selepas kematian, kita akan dibangkitkan semula di akhirat. Di sana kelak kita akan berhadapan dengan satu bentuk tapisan sama ada akan dimasukkan ke syurga atau ke neraka. Inilah pandangan kita tentang hidup. Maka, apakah sikap kita terhadap kesemua itu?
Jadi apabila kita mengaku beriman kepada Allah, maka kita buktikannya dengan melakukan ibadah-ibadah yang ditetapkan. Kita tunaikan sembahyang lima waktu yang ditetapkan, berpuasa di bulan Ramadan, dan membayar zakat. Jika mampu dan berupaya, kita akan menunaikan haji. Inilah ibadah khusus yang ditetapkan. Inilah tanda-tanda keimanan kita. Apakah sudah sempurna keimanan kita dengan menyempurnakan kesemua ibadah-ibadah tersebut.
Apakah yang harus kita lakukan?
Prof. Dato’ Dr. Haron Din mencatatkan, ‘Kita tahu bahawa keimanan tidak sempurna kalau tidak diikuti oleh amalan. (Manusia dan Islam, 93)
Petikan ini mengingatkan kita bahawa iman kita belum sempurna kalau tidak diikuti oleh amalan. Jadi amalan-amalan seperti sembahyang dan lain-lain yang kita lakukan bukan terhenti setakat itu sahaja, tetapi mesti diikuti pula dengan amalan-amalan lain berikutnya bagi menyempurnakan iman kita.
Sebagai contoh, selepas sembahyang apakah amalan-amalan yang yang berikutnya yang kita mesti lakukan? Begitu juga dengan amalan-amalan yang lain. Apakah tindakan-tindakan yang harus kita lakukan selepas puasa, selepas memberi zakat dan selepas menunaikan haji.
Seperti yang telah disebut di atas tadi, Syeikh Abu Said al-Kharraz menyatakan, menyerah kepada Allah serta mengharapkan rahmatNya tidak boleh berlaku, melainkan sesudah berbakti dan beramal saleh. Manakala Prof. Dato’ menyebut ada amalan-amalan lain yang perlu kita lakukan selepas mengaku beriman. Menunjukkan kedua-dua pendapat ini menghendaki kita melakukan amalan-amalan lain selepas ibadah-ibadah khusus yang kita lakukan.
Jadi, bagi mendapat rahmat dari sembahyang kita maka kita harus melakukan tindakan-tindakan selepas itu. Jika sembahyang yang kita tunaikan itu semata-mata kerana sebagai tanda kepatuhan kita kepada Allah s.w.t. tanpa diikuti dengan tindakan selepas itu, maka sembahyang itu hanya tinggal sembahyang. Sembahyang kita belum dapat menjadi bekal untuk menemui Allah s.w.t. bagi memohon rahmat dari-Nya.
Amal-amal ibadah yang lain juga begitu kedudukannya. Selepas kita berpuasa di bulan Ramadan, memberi zakat dan menunaikan haji, harus diikuti dengan tindakan-tindakan selepas itu. Jika tidak, maka amalan-amalan itu tinggal amalan sebagai tanda ketaatan kita kepada suruhanNya, tetapi tidak dapat sampai ke mana-mana.
Ini berpadanan dengan pandangan Prof. Dato’ Dr. Haron Din, dalam bukunya menyebut,
‘Iman itu tidaklah (cukup) dengan berangan-angan dan berkata-kata sahaja, akan tetapi mestilah dengan keyakinan yang bulat di hati dan diikuti dengan amalan-amalan yang sesuai dengan iman itu’. (Manusia dan Islam, xi)
Dan lagi, ‘‘Kita tahu bahawa keimanan tidak sempurna kalau tidak diikuti oleh amalan, …’. (Manusia dan Islam, 93)
Apakah yang harus kita lakukan? Merujuk kepada petikan dari tulisan Prof. Dato’ di atas tadi, ialah amalan yang sesuai dengan keimanan kita.
Kita menunaikan sembahyang sebagai tanda keimanan kita. Maka apakah yang kita harus lakukan, yang berkaitan dengan sembahyang? Selepas kita berpuasa, zakat dan haji, apakah amalan yang berkaitan yang harus kita lakukan?
Ini memberi kita satu gambaran bahawa ibadah-ibadah khusus yang diwajibkan kita melaksanakannya itu mengandungi suatu pengertian tentang apa yang harus kita lakukan, mengatur cara hidup kita. Ibadah kita umpama ikon perjalanan hidup kita. Bagaimana kita harus berperanan sepanjang hidup kita di atas muka bumi ini. Sembahyang kita melambangkan perjalanan hidup ini.
Jadi apa yang perlu diperhatikan di sini ialah bahawa ibadah-ibadah yang kita lakukan ini harus dijadikan sumber ilham kepada apa yang mesti kita amalkan selepasnya. Apakah iktibar dan pengajaran yang boleh kita ambil dari sembahyang kita dan ibadah-ibadah lain itu.
Jadi amalan-amalan yang sesuai dengan iman kita di sini adalah dalam bentuk perlakuan hidup kita. Bagaimana kita menjalani hidup ini. Adakah tindak-tanduk kita kelak sepadan dengan ibadah-ibadah yang kita lakukan? Dengan kata lain, ibadah-ibadah kita yang menentukan sikap kita dalam menjalani hidup ini
Dengan sikap-sikap ini kelak akan menentukan bentuk tindak-tanduk kita. Apa sahaja yang kita lakukan, yang kita buat dan yang kita kerjakan sepanjang hidup kita berpandukan kepada sikap-sikap ini. Sikap inilah yang akan mencorakkan budaya hidup kita. Sikap inilah yang menjadikan kebiasaan dan corak hidup yang akan kita lalui.
Namun, apakah yang harus kita lakukan?
Prof. Dato’ Dr. Haron Din dalam bukunya menyebut, ‘... apakah caranya dan apakah sistemnya?’. (Manusia dan Islam, 93)
Banyak firman dan hadis yang menyebut tentang cara mendapatkan rahmat Allah s.w.t. tetapi tidak menunjukkan apakah yang dapat kita lakukan dari seruan-seruan dan peringatan-peringatan itu. Antaranya,
Allah Ta'ala berfirman, ertinya,
"Dan dirikanlah sembahyang, tunaikanlah zakat, dan taatlah kepada Rasul, supaya kamu diberi rahmat." (QS. an-Nur: 56).
Maksudnya, untuk mendapat rahmatNya adalah dengan cara mentaati Rasulullah s.a.w. tetapi apakah caranya dan apakah sistemnya?
Dan lagi,
"Dan Al-Qur`an itu adalah kitab yang Kami turunkan yang diberkati, maka ikutilah dia dan bertakwalah agar kamu diberi rahmat." (QS. al-An'am: 155)
Firman ini menyeru agar kita mengikuti Al-Quran dan bertaqwa agar kita diberi rahmat. Tetapi apakah apakah caranya dan apakah sistemnya?
"Dan apabila dibacakan Al-Qur`an, maka dengarkanlah baik-baik, dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat." (QS. al-A'raf: 204)
Sebagai orang awam, seruan-seruan begini tidak dapat dijalankan kerana tidak memberikan jalan yang jelas dan praktikal tentang apakah caranya dan apakah sistemnya yang harus kita lakukan. Apakah program yang dapat kita atur dan laksanakan untuk menghadapi perjalanan hidup kita di muka bumi ini.
Pendek kata, kita memerlukan suatu sistem yang objektif untuk diikuti. Sistem yang konkrit dengan kaedah-kaedah yang praktikal yang dapat menunjukkan apakah tindakan-tindakan dan amalan-amalan yang harus kita lakukan sejajar dengan sembahyang dan ibadah-ibadah lain.
Rahmat Allah tidak boleh diperolehi secara langsung dengan melakukan sesuatu ibadah sepertimana kita memperoleh pahala dengan sembahyang, puasa dan haji. Bagi ibadah-ibadah ini dan yang lain-lain seperti bersedekah, menolong orang, dan sebagainya, pahala memang telah dijanjikan akan diberi secara langsung sebaik sahaja kita melakukan ibadah-ibadah tersebut jika dilakukan dengan niat ikhlas kerana Allah s.w.t. Malah pahala sudah diberikan sebaik sahaja terlintas dalam hati untuk melakukannya.
Tetapi tidak pula dalam hal mendapat rahmat Allah dari sembahyang kita. Untuk mendapatkan rahmat Allah dari sembahyang kita adalah suatu yang berbeza. Ada tindakan-tindakan lain yang mesti dilakukan. Ada amalan-amalan lain yang mesti dilakukan, sesuai dengan iman itu, kerana tidak sempurna iman jika tidak diikuti dengan amalan.
Jadi apakah tindakan-tindakan dan amalan-amalan yang mesti kita lakukan? Apakah caranya dan apakah sistemnya? Ini tidaklah bermaksud untuk mengatakan bahawa al-Quran tidak lengkap.
Untuk merungkai persoalan ini ada baiknya kita mengambil satu pendekatan yang objektif, dan praktikal, untuk kita lakukan. Sementelah kita diwajibkan menunaikan rukun Islam dan rukun Iman, mengapa tidak kita fokuskan pencarian kita dari sini.
Jadikanlah sembahyang, dan ibadah-ibadah khusus lain iaitu puasa, zakat dan haji sebagai sumber ilham untuk menentukan amalan-amalan yang harus kita lakukan. Ambil iktibar dari ibadah-ibadah kita, dan jadikan panduan dalam menjalani hidup di dunia ini. Kita jadikan iktibar ini sebagai satu set peraturan hidup kita seharian di atas muka bumi ini. Set peraturan inilah yang menjadi etika bagi menentukan sikap kita, apa yang harus kita lakukan dan apa pula yang patut ditinggalkan.
Mengapa seseorang muslim itu diwajibkan sembahyang, puasa, zakat dan haji. Tentu ada hikmah dari ibadah-ibadah tersebut.
Allah telah menentukan asas keimanan seseorang Islam ialah Rukun Islam dan Rukun Iman. Kita reda menerimanya kerana ianya adalah apa yang disebut sebagai fardhu ain, lalu menyempurnakannya sebagai rutin hidup kita. Inilah tanda keimanan kita terhadap-Nya. Tetapi setakat itu sahaja, belum sempurna iman.
‘Agama tidak akan tertegak kalau sekadar menunaikan fardu ain sahaja. Menegakkan agama mestilah di samping menunaikan fardu ain, fardu kifayah juga mesti ditunaikan bersama’. (Manusia dan Islam, xi)
Menunaikan sembahyang adalah fardu ain. Begitu juga puasa, zakat dan haji. Kesemuanya adalah urusan antara individu dengan Tuhannya, Allah s.w.t. Jadi, apa pula kifayah dari sembahyang kita, dan ibadah-ibadah yang lain itu.
Untuk itu, maka harus ada tindakan-tindakan yang berkait dengan urusan kifayah. Satu caranya ialah menjadikan ibadah-ibadah itu sebagai asas pendidikan hidup. Kita jadikan kedua-duanya sebagai satu pendekatan mendidik seseorang.
Sembahyang umpamanya, seharusnya kita gunakan bagi membentuk sikap hidup kita. Sikap kita ini kelak yang memandu kita bagaimana cara menjalani hidup di atas muka bumi ini. Jika ini yang terjadi, maka dikatakan sembahyang kita sudah mendidik dan mentarbiah diri kita. Maka setiap tindakan dan perbuatan kita kelak adalah kifayah kita. Jika tidak, maka sembahyang kita hanyalah sebagai menunaikan tuntutan Allah semata-mata. Sembahyang kita tidak memberi bekas kepada diri kita.
Begitu juga dengan ibadah-ibadah yang selebihnya. Ibadah-ibadah itu seharusnya dapat membentuk sikap kita, yang kelak akan memandu kita bagaimana cara menjalani hidup ini. Inilah amalan yang lahir dari ibadah kita.
Jika ini pendekatan yang kita ambil, maka kita telah memenuhi tuntutan di atas tadi, diikuti dengan amalan-amalan yang sesuai dengan iman. Maka sempurnalah iman.