Dalam Bahasa Arab, wasatiyah bermakna tengah, pusat, seimbang. Dalam konteks Islam, ia merujuk kepada jalan tengah, atau dalam kebiasaan bermaksud adil, tidak keterlaluan, sikap sederhana.
Dr. Yusuf al-Qaradawi
memberikan makna wasatiyah sebagai kesederhanaan, al-Tawazun (seimbang) dan i’tidal
(pertengahan). Beliau menyimpulkan ketiga-tiga istilah ini dengan maksud pertengahan iaitu, ‘berada antara dua pihak atau
keadaan yang bercanggah atau bertentangan, tidak condong kepada salah satunya’.
(Kesederhanaan Dalam Islam, 2)
Beliau melanjutkan takrif itu sebagai, Tidak dikuasai oleh satu pihak lalu disingkirkan pihak yang berlawanan
dengannya. Tidak pula mengambil dari satu pihak secara berlebihan lalu
meminggirkan pihak yang bertentangan dengannya.
Wasatiyah dikaitkan dengan ayat 35
al-Isra’ yang ertinya, Dan sempurnakanlah
sukatan apabila kamu menyukat dan timbanglah dengan neraca yang benar. Itulah
yang lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibat-nya. Jelas.
Ayat 143 al-Baqarah menyebut umat
yang wasatiyah adalah yang adil, tidak seperti umat yang terdahulu.
Ayat ini merujuk umat Islam adalah umat yang wasatiyah, tidak seperti umat
terdahulu. Jadi, ayat ini menyebut bahawa wasatiyah
dilihat dari perspektif umat Islam.
Muhammad Abduh dan Rashid Rida menjelaskan bahawa
sebelum kedatangan Islam, umat manusia terdiri daripada dua golongan:
Pertama, mereka mementingkan kebendaan semata, tumpuan mereka kepada kepentingan fizikal sahaja.
Mereka terdiri daripada orang-orang Yahudi dan Musyrikin.
Kedua, golongan yang sangat
mementingkan kerohanian dengan
meninggalkan keduniaan – seperti
golongan Nasara dan penganut-penganut agama Hindu di India.
Dengan demikian Islam mengambil jalan tengah (wasatiyah)
dengan cara memberi tumpuan kepada dua-dua hak iaitu hak kerohanian dan hak jasmani
atau jasad; atau dengan ungkapan yang lain, Islam telah memberi umatnya semua
hak-hak yang berkaitan dengan keberadaan
semulajadi manusia, bahawa manusia adalah makhluk yang terbina daripada jasmani dan rohani; ada sifat-sifat kehaiwanan
dan sifat-sifat kemalaikatan.
Ini bermaksud bahawa umat Islam yang adil
adalah yang wasatiyah, tidak condong kepada kerohanian
dan tidak juga condong kepada jasmani.
Justeru
keimanan yang wasatiyah menghendaki
kita berpegang kepada keadilan atau prrtengahan, tidak condong kepada kepercayaan, tidak condong kepada amalan. Dari sudut kebendaan pula tidak condong kepada kebendaan macam yahudi dan tidak condong
kepada kepaderian macam nasara.
Dari aspek dunia
dan akhirat juga demikian: amalan keduniaan dan amalan keakhiratan mestilah wasatiyah.
Ayat 67 al-Furqan pula
menyebut dengan jelas dan tegas tentang wasatiyah dalam perbelanjaan. Ayat itu menyebut
ertinya, Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila
membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan
(sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua
cara (boros dan bakhil) itu.
Mengapa Allah swt sangat menekankan soal
cara membelanjakan harta berbanding dengan soal-soal kehidupan yang lain yang
begitu banyak. Ini menggambarkan bahawa Allah swt Maha Mengetahui bahawa sifat kehaiwanan manusia akan menjadikan harta sebagai tuhan, melebihkan komitmennya terhadap harta
daripada Allah swt.
Hal pertengahan
dan seimbang disebut juga oleh ayat 77 al-Qasas, ayat 201 al-Baqarah, ayat 10
al-Jumaah.
Wasatiyah dalam Sunnah
Pernah disebut satu riwayat bahawa Hanzalah al-Usaydi
telah ditemui oleh Abu Bakar, dan bertanyakan keadaannya. Hanzalah menyatakan
bahawa dia rasa sudah munafik kerana apabila dia dalam keadaan sebok atau
ketika bersama anak isteri, dia merasa seolah-olah dia telah melupai tentang
syurga dan neraka, seperti yang diajar oleh baginda Nabi saw.
Abu Bakar tidak menjawab, sebaliknya mengajak Hanzalah
pergi menemui Rasulullah saw untuk bertanyakan kedudukan perkara tersebut.
Setelah diadukan, Rasulullah saw berkata, ‘Demi
Allah, sesiapa yang dalam tangannya ada semangatku, jika terus dalam keadaan
seperti itu di mana pun berada, tetapi apabila bersama aku untuk mengingati
Allah, malaikat akan berjabat tangan dengan anda walaupun ketika anda berehat
atau berjalan! Tetapi, wahai Hanzalah, ada masa untuk ini dan ada masa untuk
itu’, baginda mengulangi frasa ini tiga kali.
Jawapan Rasulullah saw ini bermaksud bahawa pada masa-masa tertentu Islam tidak melarang umatnya melakukan aktiviti yang duniawi. Dengan kata lain Islam tidak menghendaki umatnya sentiasa melakukan perkara-perkara yang rohani, atau melebihkannya.
Islam memperkenalkan konsep manhaj pertengahan dalam semua perkara
bagi menjamin kebaikan dan kemaslahatan umat manusia. Syariat Islam
memperkenalkan kesederhanaan, pertengahan dan keseimbangan, tidak keterlaluan atau melampau (ekstrim).
Dalam
Sunnah, wasatiyah disebut oleh satu riwayat yang
menyebut, bahawa Rasulullah saw bersabda janganlah
kamu mengamalkan cara hidup kepadrian orang-orang Kristian. Seperti yang telah
disebut di atas tadi hidup kepadrian itu terlalu condong kepada kerohanian.
Begitu juga
Rasulullah saw memberi keizinan untuk menyanyi dan menari pada majlis-majlis
seperti kahwin atau hari raya. Pernah Rasulullah saw membenarkan orang-orang
Habsyi bermain pedang dan menari di Masjid Nabawi sempena kedatangan hari raya,
lalu baginda bersabda, Supaya orang
Yahudi tahu bahawa agama kita adalah mudah. Sesungguh-nya aku diutuskan dengan
agama Hanif yang mudah (hanif dalam akidah dan mudah dalam hukum hakam)
(Hadis riwayat Ahmad).
Dihalalkan
dan dibolehkan kepada orang Islam memakai pakaian yang cantik dan juga memakai
bauan yang harum, lalu baginda bersabda, Sesungguhnya
Allah itu elok dan Dia suka kepada keelokan. (Hadis riwayat Ahmad, Muslim
dan Tirmizi).
Ketika Rasulullah saw terlihat Abdullah
bin Amr berlebihan dalam ibadatnya, Rasulullah saw bersabda kepadanya: Sesungguhnya bagi badan kamu ada hak keatas
kamu; bagi mata kamu ada hak ke atas kamu; bagi keluarga kamu ada hak ke atas
kamu; dan bagi pelawat rumahmu ada hak keatas kamu. Dan dalam riwayat
Tirmizi: Oleh itu maka berikanlah hak
kepada orang yang mempunyai haknya. Ini berpadanan dengan hadis di atas
tadi menyebut ada masa untuk ini ada masa
untuk itu.
Wasatiyah dalam kehidupan
Ayat-ayat dan hadis-hadis
di atas tadi menerbitkan situasi dalam kehidupan seharian, malah telah
disebutkan dengan jelas amalan
keduniaan dan amalan keakhiratan mestilah wasatiyah. Namun
fenomena menunjukan masih ramai yang tidak berpegang kepada konsep wasatiyah dalam kehidupannya, atau
mungkin tidak mengetahuinya.
Dalam beribadah kita harus
wasatiyah. Misalnya, jika melakukan
aktiviti ketuhanan jangan lupa pula
diseimbangi dengan aktiviti yang kemanusiaan,
jika mengejar kebendaan harus
diseimbangi pula dengan kerohaniannya,
dan minat terhadap aktiviti yang individu harus diseimbangi dengan yang
kemasyarakatan pula. Hal ini berkaitan dengan gagasan hidup yang menyebut Islam tidak memisahkan antara kerohanian
dari keduniaan, dan diingatkan sembahyang
sahaja belum cukup.
Kerohanian adalah hal-hal yang berkaitan dengan ketuhanan atau kerohanian, manakala hablum minannas adalah yang berkaitan kemanusiaan dan duniawi.
Mengikut
konsep wasatiyah, tidak boleh misalnya melebihkan ibadah ketuhanan melebihi kemanusiaan, melebihkan kerohanian
daripada yang kebendaan, melebihkan ukhrawi daripada duniawi kerana ini dilihat sebagai tidak wasatiyah. Inilah sebabnya
Sayidina Umar pernah menghalau seorang hamba Allah yang sedang berzikir di
masjid, menyuruhnya keluar dan bekerja.
Dalam
kehidupan seharian juga
Islam tidak menekankan agar umatnya sentiasa mengucapkan
perkataan-perkataan yang soleh-soleh, berdiam diri bertafakur menghadap Allah
sahaja, tidak mendengar yang lain kecuali ayat-ayat al-Quran sahaja,
menghabiskan masa lapang mereka di dalam masjid sahaja, tetapi menghendaki kita
supaya bersama dalam kehidupan manusia biasa kerana manusia adalah makhluk
sosial, setiap orang mempunyai hak masanya ke atas kita. Pendek kata harus
wasatiyah antara perkara-perkara kerohanian dengan keduniaan.
Dalam kebiasaan hidup, wasatiyah harus dijadikan pertimbangan
ketika membuat teguran atau nasihat. Teguran yang negative harus diikuti dengan
yang positif, dan sebaliknya. Misalnya, seorang ibu ketika menegur anak-anaknya
harus diikuti dengan pandangan dan nasihat yang positif, seorang mentua
terhadap menantunya, seorang abang atau kakak terhadap adik-adiknya, seorang
suami terhadap isterinya, dan sebagainya. Sikap tidak wasatiyah boleh
menimbulkan tanggapan yang kurang sihat. Pendek kata janganlah terlalu berlebihan
positif-negatifnya.
Dalam bidang-bidang yang lain seperti pengurusan wang dan harta, penjagaan kebersihan rumah tangga atau kenderaan, pengurusan pekerja.
Keutamaan Beribadah
Prinsip wasatiyah reflex
kepada ideologi bahawa Islam tidak memisahkan kehidupan kerohanian dengan kehidupan duniawi.
Justeru dalam beribadah,
konsep wasatiyah mengingatkan bahawa harus menyeimbangkan antara yang bentuknya
kerohanian dengan keduniaan.
Apakah akibatnya sekiranya
seseorang tidak berpegang kepada prinsip wasatiyah. Sekurang-kurangnya ada tiga
kemungkinan:
1.
Akan ada kelompok umat
Islam yang melakukan amalan yang hablum minallah sahaja, atau terlalu memberi
tumpuan kepada aspek ini,
2.
Akan ada pula kelompok yang
amalannya terlalu condong kepada hablum minannas, terlalu kurang yang hablum
minallah,
3.
Ada kelompok yang tidak
peduli dengan apa yang dilakukannya sama ada condong kepada hablum minallah
atau hablum minannas.
Yang pertama itu akan lebih banyak berada di masjid beramal
ibadah yang kerohanian, lalu tidak
peduli dengan hal-hal keduniaannya. Diterimakah
ibadah-ibadahnya? Bagi kelompok yang kedua pula lebih menumpukan hal-hal keduniaan, lama kelamaan akan semakin
jauh hidupnya dengan hal-hal kerohanian.
Kelompok ketiga itu pula cara hidupnya tidak jelas, bercelaru. Paling ditakuti
jika sikapnya ini akan membawanya semakin jauh dari hal-hal kerohanian maupun keduniaan.
No comments:
Post a Comment