Worldview

Apakah yang anda sedang lakukan, adakah yang sedang anda lakukan itu serasi dengan rancangan hidup anda hari ini? Atau, adakah ianya terjadi spontan tanpa sebarang perencanaan?

Adakah yang anda lakukan sekarang ini serasi dengan semangat agama anda, tidak kiralah sama anda seorang Islam, Kristian, Budha, Hindu, dan sebagainya; atau jika anda seorang yang tidak beragama tetapi berfahaman Athies sekalipun adakah anda sedang melakukan sesuatu yang serasi dengan fahaman anda.

Pendek kata kita harus mempunyai asas-asas kefahaman yang jelas bagaimana caranya hendak menjalani kehidupan di dunia ini.

Seseorang yang mempunyai worldview selalunya akan terdorong untuk berfikir umpamanya berfikir tentang dirinya, dan lingkungan kehidupannya – waktu santainya, hubungan dengan keluarga dan kejiranannya, masyarakatnya, dan orang-orang yang mempunyai perbezaan worldview, malah alam sekitarnya sekali. Pendek kata dia adalah seorang yang mempunyai idea-idea yang global, melihat dirinya sentiasa berkait dengan orang lain dan alam sekitarnya, bukan tentang dirinya semata-mata. Misalnya persoalan tentang apa yang sedang anda lakukan itu tadi tentunya yang dibenarkan oleh worldview anda.

Buah fikiran itulah yang akan menentukan sikap dan tindak tanduk anda. Untuk menjalani hidup di dunia bersama masyarakat sepatutnya mempunyai worldview yang sihat dan disenangi oleh kebanyakan orang dalam komuniti kita. Jika ini cara kita berfikir paling kurang kita tidak akan bertindak untuk melakukan apa sahaja yang kita suka, bila-bila masa yang kita suka dan di mana-mana yang kita suka. Tentunya ini adalah lebih baik daripada tindak tanduk orang yang tidak mempunyai worldview.

Katakanlah anda seorang yang mempunyai worldview, apakah asas yang menentukannya, yang anda jadikan pegangan hidup itu. Bolehkah anda merangka worldview anda sendiri! Sesiapapun akan menjawab tidak kepada persoalan yang satu ini, kerana worldview yang anda rangkakan itu besar kemungkinannya akan bias kepada naluri anda, dan ini tidak semestinya serasi dengan orang lain. Apakah penting untuk difikirkan sama ada serasi atau tidak!

Kita tahu bahawa mengikut asal kejadiannya bahawa manusia adalah makhluk sosial, tidak boleh hidup bersendirian di dunia ini, sebaliknya perlu bersama dengan lingkungan-lingkungan yang tersebut di atas tadi. Justeru kita tidak boleh membina worldview sendiri yang direka berdasarkan naluri individu. Jika setiap orang menentukan cara hidupnya berdasarkan worldview masing-masing, atau sesebuah masyarakat itu berpakat dengan anggotanya, atau sesebuah negeri atau negara pula menentukan worldviewnya sendiri, apakah ianya yang terbaik, sesuai dengan semua orang, semua etnik, semua bangsa dan negara!

Justeru kita harus mempunyai satu worldview yang dapat diterima ramai, dalam ertikata diterima oleh manusia sejagat. Tentunya adalah worldview atau pegangan hidup yang neutral, sesuai untuk semua orang, tidak mengira suku bangsa dan di mana pun berada. Apakah kriterianya yang boleh dijadikan landasan untuk itu, dan siapakah pula atau bangsa apakah yang layak menciptanya? Bolehkah mana-mana manusia melakukannya?

Apabila berhadapan kepada situasi seperti ini, orang akan berkata kita kembali kepada agama atau fahaman yang kita anuti. Ini bermaksud bahawa untuk mempertimbangkan perlakuan kita itu betul atau salah ialah dilihat dari sudut ajaran agama. Namun satu persoalan lain akan timbul, iaitu agama yang mana yang terbaik dan neutral, yang boleh diterima oleh semua orang?

Di Malaysia sahaja terdapat pelbagai agama, ada agama Islam, Kristian, Budha, Hindu, dan banyak lagi. Orang Melayu kebanyakannya menganut agama Islam, orang-orang Cina pula kebanyakannya berpegang kepada agama Budha, orang India pula berpegang kepada agama Hindu, dan lain-lain lagi. Inilah agama bagi tiga rumpun keturunan bangsa di Malaysia ini. Ada satu lagi agama iaitu Kristian, inilah agama yang menjadi anutan pelbagai keturunan – Cina, India, Melayu, Iban, Kadazan dan lain-lain. Tidak dinafikan ada juga agama-agama lain yang menjadi anutan kelompok-kelompok kecil masyarakat di Malaysia. Bagaimana pula jika kita tinjau ke dalam kawasan geografi yang lebih luas lagi iaitu masyarakat dunia ini. Maka akan lebih banyak lagi agama yang boleh dimasukkan ke dalam senarai di atas ini. Jadi yang mana satukah yang dapat diterima ramai?

Apabila kita bercerita tentang cara hidup berdasarkan agama, sekali lagi dipersoal, adakah benar-benar Melayu menjalani hidup mengikut yang digariskan oleh Islam, Cina menjalani hidup mengikut agama Budha, dan hidup orang-orang India pula dicorakkan oleh agama Hindu, atau sekadar agama? Pendek kata, apakah mereka benar-benar menjadikan agama-agama yang tiga tadi sebagai pegangan hidup, umpamanya keturunan Melayu yang kebanyakannya beragama Islam itu menjadikan Islam sebagai cara hidupnya, atau sekadar agama? Keturuna Cina beragama Budha, adakah Budha itu yang menentukan cara hidupnya? Begitu juga halnya dengan orang-orang yang keturunan India, serta mereka yang beragama Kristian.

Jangan pula lupa bahawa sebahagian manusia tidak mahu berpegang kepada agama. Bagaimana pula halnya mereka ini, lantaran mereka melihat agama itu sebagai khayalan, ritual, jadi pastinya mereka ini akan memandang jelek kepada kehidupan beragama. Golongan ini dikenali sebagai Atheist. Atheis bukan agama, tetapi sekadar satu fahaman; adakah mereka juga menggunakan fahaman Atheis sebagai pegangan hidup! Siapakah pula yang merangka worldview untuk golongan ini!

Persoalan-persoalan ini dilontarkan bertujuan untuk berfikir tentang kehidupan: apakah pegangan yang menjadi pedoman untuk hidup ini, atau apakah yang menentukan corak kehidupan kita; atau apakah peraturan hidup yang harus menjadi pegangan kita.

 Peraturan hidup

Dalam kontek kehidupan, manusia tidak boleh berpegang kepada peraturan masing-masing. Sebagai makhluk sosial, manusia memerlukan pergaulan dan kerjasama antara satu sama lain. Justeru harus ada satu pegangan atau peraturan yang sesuai dengan setiap ahli dalam masyarakat itu.

Dalam konteks negara Malaysia, pegangan itu mestilah yang serasi dan diterima oleh setiap kelompok keturunan bangsa - Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, dan lain-lain. Dalam konteks manusia dalam sebuah masyarakat yang global pula, perlu berpegang kepada satu peraturan yang neutral untuk semua kelompok bangsa semua negara. Apakah ciri-ciri neutral yang hendak dibukukan? Siapakah pula yang layak untuk menentukan satu peraturan itu adalah yang neutral!

Jika ini yang terjadi, maka masing-masing kelompok bangsa atau negara tertentu akan menyatakan bahawa mereka mempunyai yang terbaik. Bagi kelompok agamawan, akan mengemukan agama-agama tertentu sebagai yang terbaik: agama Budah adalah yang terbaik, agama Hindu pula akan mendakwa sebagai yang terbaik, begitu juga Islam mahupun agama-agama lain. Bagaimana pula halnya bagi kalangan bangsa-bangsa atau keturunan yang tidak percaya kepada agama seperti golongan Atheist tadi?

 Peraturan yang neutral itu pastinya adalah yang natural. Tetapi apakah ciri-ciri natural yang hendak dibukukan? Siapakah pula yang layak untuk menentukan sesuatu peraturan itu adalah natural? Ini juga adalah antara persoalan pokok yang harus diselesaikan.

Tentu kalian setuju jika dikatakan bahawa worldview yang neutral haruslah yang serasi dengan hakikat kejadian kita, dan serasi juga dengan dunia tempat kita tinggal ini.

Tetapi siapakah yang dapat menjelaskan nature kejadian kita? Sampai di sini setiap orang akan mencari-cari jawapannya, sama ada hendak menggunakan logik akal, atau menggunakan ilmu sains, atau mungkin menjenguk ke dalam agama yang dianutinya, tetapi dapatkah kita lakukannya?

Siapakah yang dapat menjelaskan asal-usul kita, dan dunia serta universe: dapatkah ilmu sains dan para bijakpandainya menjelaskan asal usul manusia dan universe ini secara menyeluruh, atau dapatkah manusia bijakpandai menggunakan logik akal menjelaskannya berserta dengan bukti-bukti sahih yang diterima akal, atau agama manakah yang mempunyai penjelasan tentangnya!

Penjelasan yang hendak dicari pula adalah yang dapat diterima ramai, bukan terhad kepada satu-satu kelompok manusia, atau negara sahaja tetapi sehingga ke peringkat global. Penjelasan inilah yang akan dijadikan worldview yang neutral untuk setiap orang atau bangsa. Inilah juga yang akan dijadikan sebagai peraturan atau pegangan hidup yang tidak bias kepada mana-mana individu, kelompok, bangsa, atau warga mana-mana negara sekalipun.

 Worldview tentang dunia

 Worldview tentang dunia adalah caranya seseorang melihat dan menjelaskan tentang dunia dan bumi tempat tinggal manusia. Worldview ini bukan sahaja melibatkan cara kita berfikir tetapi akan menentukan juga perilaku dan tindakan kita, dan sekaligus akan menentukan kualiti hidup.

Dalam sejarah peradaban manusia sejak lama dahulu, telah ada berbagai cara untuk menjelaskan tentang dunia, bagaimana ianya wujud, bagaimana peranannya, dan yang paling penting ialah tentang apakah dia dunia tempat kita tinggal.

Sejarah menunjukkan sesetengah orang melihat dunia ini sebagai suatu tempat yang penuh misteri, penuh kegelapan dan kedurjanaan, dengan worldview sedemikian, kehidupan seseorang dikuasai oleh perasaan buruk-sangka dan ketakutan. Yang lain pula, melihat dunia ini sebagai tempat yang penuh ceria, mewah dan cantik, lalu mereka tidak berminat untuk mengetahui bagaimana ianya terjadi dan apa yang akan terjadi, mereka rasa gembira dan menggunakannya dengan cara yang sebaik-baiknya – makan-minum dan berseronok. Andainya mereka ini terfikir tentang kehidupan dan kematian, mereka akan hanya berkata bahawa kita ini hidup dan akan mati, tetapi tiada yang menyebabkan kita mati kecuali masa yang menentukannya.

Sesetengah orang pula melihat universe ini sebagai suatu medan perjuangan untuk menentukan kehidupan sama ada baik atau buruk, keceriaan atau kegelapan, yang positif atau negative. Bagi kalangan orang-orang Cina, misalnya, ini adalah idea tentang yin dan yang. Yang adalah cahaya, haba dan kebaikan, manakala yin adalah kegelapan, sejuk, lembap dan buruk. Bagi sesetengah pengikut agama Zoroastrian, mereka ada Ahura Mazda iaitu kuasa yang mengawal kebaikan, berlawanan dengan Angra Mainyu iaitu kuasa jahat.

Hari ini ramai orang yang sudah tidak lagi berpegang kepada agama atau mempercayai agama. Mereka merasa bahawa idea tentang Pencipta adalah cuma rekaan imaginasi manusia. Bagi mereka, manusia sendiri yang mempunyai kuasa dan hak untuk menentukan apakah yang terbaik untuk mereka, inilah antara fahaman orang-orang atheists, agnostik atau humanists.

Golongan Atheist menafikan kewujudan Pencipta, golongan agnostics pula mengatakan bahawa mereka tidak tahu sama ada Pencipta wujud atau tidak, manakala humanists (iaitu sebahagian daripada golongan atheist atau agnostic itu tadi) menegaskan bahawa manusia itu sendiri mesti menentukan apakah yang terbaik untuk mereka lantaran mereka tidak menerima adanya Pencipta, apalagi untuk menerima hukum-hukumnya. Jadi golongan-golongan ini apabila berdepan dengan soal-soal kemanusiaan akan berpaling kepada Sains dan kaedah saintifik untuk memahami dunia, tempat manusia tinggal ini. Mereka mempunyai worldview bahawa sains sebagai sesuatu yang tepat dan boleh dipercayai, lantaran pengumpulan data, eksperimen, pencerapan dan kesimpulan adalah satu-satunya cara untuk memperoleh pengetahuan bagi menentukan apakah yang betul dan apakah yang palsu.

Sesetengah orang pula memilih-milih bagi mencari worldview tentang dunia ini – bagi sesetengah soalan, mereka menggunakan agama terutama ketika dalam keadaan yang tidak menentu. Sesetengahnya berpaling kepada ahli nujum, ramalan bintang, atau tok-tok guru yang tersohor ataupun ideologi seperti Marxisma. Sementara dalam keadaan yang lain pula mereka akan merujuk kepada sains, dan sebagainya. Pendek kata golongan ini tidak mempunyai pegangan yang jelas.

 Yang mana satu betul

Dari pelbagai pandangan di atas tadi, nampaknya manusia itu keseluruhannya dalam keadaan bercelaru dan saling keliru, tanpa sebarang harapan untuk mendapat keputusan yang mana satu betul dan yang mana satu salah. Ini ibarat seorang yang teraba-raba dalam gelap, tidak yakin di mana mereka berada, dari mana mereka datang dan ke mana arah tuju mereka.

Dalam situasi ini kita sendiri tercari-cari dan memikirkan caranya bagaimana hendak mengenali yang mana satu betul. Yang jelas, jika cara itu betul tidak pula semuanya betul, walaupun kebanyakannya dilihat seperti ada sedikit sebanyak kesamaan, tetapi jika diteliti semula didapati setiap satunya itu jelas berbeza dalam hal-hal yang penting-penting. Jadi, apa juga bentuk worldview sekalipun, mungkin kita boleh melihatnya semula dengan asas-asas pertimbangan berikut:

*   Adakah ia menggambarkan kebenaran dan adakah itu paling munasabah? Kita tidak sepatutnya berpuashati dengan satu-satu worldview yang tidak disokong dengan hujah dan logik.

*   Kita tidak sepatutnya berpuashati dengan satu-satu worldview yang hanya dapat menjelaskan atau menyolek bahagian pengetahuan yang ada bukti nyata seperti penjelasan-penjelasan yang dikemukakan oleh ilmu sains.

*   Apa-apa yang berkaitan dengan manusia, dapatkah worldview itu yang dapat memenuhi kehendak dan memuaskan keperluan manusia sejagat dan potensinya?

*   Yang mana satukah worldview yang dapat menyediakan nilai-nilai yang mampu mencorakkan hidup manusia, sekaligus boleh dikira sebagai sahih dan manasabah, lengkap dan secara logiknya memuaskan?

Realitinya tidak ada sesiapa pun, walau setinggi mana kebijaksanaannya yang boleh memberikan jawapan yang lengkap, sahih dan memuaskan jika ditanya tentang asal kejadian dunia ini, tentang kehidupan dan destininya. Sejarah menunjukkan belum ada lagi mana-mana kumpulan manusia yang mampu berbuat demikian.

Semua pengetahuan tentang dunia dan jagatraya yang dikumpul oleh para saintis setakat ini hanyalah pengetahuan tentang sebahagian kecil daripada realitinya. Pandangan yang disokong dengan fakta-fakta sahih seperti yang dikemukan oleh ilmu sains adalah terhad, boleh diibaratkan sebagai senaskah buku lama yang kehilangan beberapa muka surat bahagian hadapannya dan yang akhir, dengan kata lain ilmu sains tidak dapat menjelaskan permulaan jagatraya ini dan apakah yang akan terjadi kemudiannya. Jelas, worldview sains hanyalah pengetahuan tentang sebahagian sahaja iaitu. Yang ada di depan mata, tidak menyeluruh, yang akhirnya mereka akan mengatakan kami tidak tahu.

Satu-satunya jalan penyelesaian kepada persoalan ini adalah dengan melihat kembali asal kejadian kita, dan dunia tempat kita tinggal. Setelah persoalan-persoalan yang berkaitan dengan agama-agama itu tadi belum memberikan keputusan, pandangan pelbagai golongan tentang dunia seperti di atas tadi juga memperlihatkan suatu kedudukan yang tidak tentu arah puncanya dan tujuannya, maka marilah kita cuba melihat dari sudut yang terakhir itu iaitu dengan merenung kembali kepada asal kejadian kita dan dunia ini.

Ini melibatkan persoalan yang meliputi aspek dari mana aku datang, apa yang aku lakukan di dunia ini, dan ke manakah aku akan pergi dari sini selepas kematian.

No comments: