27 December 2015

Konsep hidup Islam


Konsep hidup Islam bertitik tolak dari kenyataan bahawa alam semesta ini dan segala isinya adalah hasil ciptaan Sang Pencipta, dan manusia adalah sebahagian daripadanya yang ditempatkan di bumi ini sebagai tempat tinggal yang sementara. Disebut sementara kerana dari bumi ini manusia akan menuju ke suatu alam lain iaitu alam akhirat selepas kematiannya.
Setiap manusia dikurniakan dengan rasa moral iaitu nilai-nilai bina-dalam, yang dengannya manusia boleh mengenali yang mana baik dan cantik seperti bercakap benar, menunaikan janji dan bersyukur, dan yang mana tidak baik dan buruk laku seperti menipu, membohong, angkuh dan sebagainya.
Manusia juga dibekali dengan ikhtiar iaitu kebebasan kehendak dan memilih, dibekali otak yang mampu berfikir membolehkan manusia mempunyai kekuasaan untuk meneroka sumber-sumber bumi dan menggunakannya untuk apa-apa sahaja yang disukainya. Atas sifat-sifat unik makhluk yang satu inilah maka manusia dilantik menjadi khalifah Tuhan di bumi.

Biarpun manusia diberi kuasa otonomi memilih, namun Allah swt telah mengingatkan bahawa dirinya adalah hamba Allah, tuan manusia ialah Allah swt, kerana itu manusia harus mengakui bahawa hanya Dia-lah Yang Maha Tinggi, Dia-lah satu-satunya Penguasa dan Tuhan; seluruh alam semesta dan semua makhluk di dalamnya termasuk manusia wajib tunduk patuh hanya kepada Tuhan Allah semata-mata.
Tuduk patuh bererti manusia harus taat kepada segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangannya: perintahnya bukan terhad kepada melakukan ibadah-ibadah khusus sahaja tetapi mencakupi keseluruhan aktiviti hidup, begitu juga dengan larangan-larangan-nya. Pendek kata manusia harus menjalani hidup di dunia ini mengikut ketentuan-Nya. Justeru, manusia tidak harus berfikir bahawa dirinya mempunyai kebebasan sepenuhnya, jika ada manusia yang berfikir seperti itu, mereka akan menjadi besar diri dan sombong, tidak bersyukur, melupakan dari mana asal dirinya, udara untuknya bernafas, makanan yang memberinya tenaga, mata dan telinga yang digunakan untuk mencapai hajat dan keperluannya.
Malah harus tahu bahawa bumi ini adalah satu-satunya tempat tinggalnya yang sementara, dan apabila sampai masanya akan kembali kepada Tuhannya untuk diadili sesuai dengan caranya menggunakan tempoh masa hidupnya di bumi. Jadi manusia harus sentiasa sedar bahawa jalan hidupnya harus yang dapat memenuhi kehendak Penciptanya, jalan yang menuju ke syurga, bukan neraka.
Di samping itu manusia diingatkan sesiapa yang mengikuti jalan-Nya walaupun diberi kebebasan memilih, akan berjaya dalam hidupnya di dunia mahupun di akhirat: di dunia akan memperoleh suatu penghidupan yang aman damai, dan di akhirat kelak akan memperoleh syurga Jannah, iaitu satu lagi tempat tinggal yang bahagia dan aman damai yang lebih kekal. Tetapi jika memilih jalan yang yang lain hidupnya akan menjadi fasiq dan kecewa di dunia, dan di akhirat kelak akan menemui nasib yang lebih derita dan sengsara daripada dunia iaitu balasan neraka jahanam.
Pada masa yang sama manusia diingatkan supaya tidak menyengutukan Allah swt dengan makhluk-makhluk manusia, benda-benda yang tidak hidup, makhluk-makhluk khayalan, menjadikan benda-benda seperti itu sebagai tuhan atau dewa-dewa.
Disebut manusia di sini bermaksud semua manusia sama ada yang Muslim atau yang non-Muslim, tidak kira di mana tempat tinggalnya di bumi ini mahupun planet mana sekalipun. Misalnya, mana-mana manusia yang berjaya menjejakkan kaki di bulan atau planet-planet mana sekalipun haus mempunyai worldview yang inilah. 
Untuk mendapat tempat di syurga, kehidupan kita harus berlandaskan kepada worldview ini. Kerana inilah jalan kehidupan yang akan mendapat rahmat Allah swt. Ingatlah bahawa kita masuk syurga dengan rahmat Allah bukan dengan pahala-pahala yang kita kumpul itu. Wallahu a'lam. 

No comments: