Konsep hidup Islam bertitik tolak dari kenyataan bahawa alam semesta ini
dan segala isinya adalah hasil ciptaan Sang Pencipta, dan manusia adalah sebahagian
daripadanya yang ditempatkan di bumi ini
sebagai tempat tinggal yang sementara. Disebut sementara kerana dari
bumi ini manusia akan menuju ke suatu alam lain iaitu alam akhirat selepas
kematiannya.
Setiap manusia
dikurniakan dengan rasa moral iaitu nilai-nilai bina-dalam, yang
dengannya manusia boleh mengenali yang mana baik dan cantik seperti bercakap
benar, menunaikan janji dan bersyukur, dan
yang mana tidak baik dan buruk laku seperti menipu, membohong, angkuh
dan sebagainya.
Manusia juga dibekali dengan ikhtiar
iaitu kebebasan kehendak dan memilih, dibekali otak yang mampu berfikir
membolehkan manusia mempunyai kekuasaan untuk meneroka sumber-sumber bumi dan
menggunakannya untuk apa-apa sahaja yang disukainya. Atas sifat-sifat unik makhluk yang satu inilah maka manusia dilantik
menjadi khalifah Tuhan di bumi.
Biarpun manusia diberi kuasa otonomi
memilih, namun Allah swt telah mengingatkan bahawa dirinya adalah hamba Allah,
tuan manusia ialah Allah swt, kerana itu
manusia harus mengakui bahawa hanya Dia-lah Yang Maha Tinggi, Dia-lah
satu-satunya Penguasa dan Tuhan; seluruh
alam semesta dan semua makhluk di dalamnya termasuk manusia wajib tunduk
patuh hanya kepada Tuhan Allah semata-mata.
Tuduk patuh bererti manusia harus taat
kepada segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangannya: perintahnya
bukan terhad kepada melakukan ibadah-ibadah khusus sahaja tetapi mencakupi
keseluruhan aktiviti hidup, begitu juga dengan larangan-larangan-nya. Pendek kata manusia harus menjalani hidup di
dunia ini mengikut ketentuan-Nya. Justeru, manusia tidak harus berfikir
bahawa dirinya mempunyai kebebasan sepenuhnya, jika ada manusia yang berfikir
seperti itu, mereka akan menjadi besar diri dan sombong, tidak bersyukur, melupakan dari mana asal dirinya,
udara untuknya bernafas, makanan yang
memberinya tenaga, mata dan telinga yang digunakan untuk mencapai hajat
dan keperluannya.
Malah harus tahu bahawa bumi ini adalah satu-satunya tempat tinggalnya yang sementara, dan apabila sampai masanya
akan kembali kepada Tuhannya untuk diadili sesuai dengan caranya
menggunakan tempoh masa hidupnya di bumi. Jadi manusia harus sentiasa sedar bahawa jalan hidupnya harus yang dapat
memenuhi kehendak Penciptanya, jalan yang menuju ke syurga, bukan
neraka.
Di samping itu manusia diingatkan sesiapa yang mengikuti jalan-Nya walaupun diberi kebebasan memilih, akan
berjaya dalam hidupnya di dunia mahupun di akhirat: di dunia akan
memperoleh suatu penghidupan yang aman damai, dan di akhirat kelak akan
memperoleh syurga Jannah, iaitu satu lagi tempat tinggal yang bahagia dan aman
damai yang lebih kekal. Tetapi jika memilih jalan yang yang lain hidupnya akan
menjadi fasiq dan kecewa di dunia, dan di akhirat kelak akan menemui nasib yang
lebih derita dan sengsara daripada dunia iaitu balasan neraka jahanam.
Pada masa yang sama manusia diingatkan
supaya tidak menyengutukan Allah swt dengan makhluk-makhluk manusia,
benda-benda yang tidak hidup, makhluk-makhluk khayalan, menjadikan benda-benda
seperti itu sebagai tuhan atau dewa-dewa.
Disebut manusia
di sini bermaksud semua manusia sama ada yang Muslim atau yang non-Muslim,
tidak kira di mana tempat tinggalnya di bumi ini mahupun planet mana sekalipun.
Misalnya, mana-mana manusia yang berjaya menjejakkan kaki di bulan atau planet-planet mana sekalipun haus mempunyai worldview yang inilah.
Untuk mendapat tempat di syurga, kehidupan kita harus berlandaskan kepada worldview ini. Kerana inilah jalan kehidupan yang akan mendapat rahmat Allah swt. Ingatlah bahawa kita masuk syurga dengan rahmat Allah bukan dengan pahala-pahala yang kita kumpul itu. Wallahu a'lam.
Untuk mendapat tempat di syurga, kehidupan kita harus berlandaskan kepada worldview ini. Kerana inilah jalan kehidupan yang akan mendapat rahmat Allah swt. Ingatlah bahawa kita masuk syurga dengan rahmat Allah bukan dengan pahala-pahala yang kita kumpul itu. Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment