12 December 2015

Untuk apakah pahala-pahala yang kita cari itu?


Jika masuk syurga dengan rahmat Allah maka untuk apakah pula segala amalan kita seperti sembahyang, zakat, puasa dan haji serta amal-amal yang lain seperti bersedekah, menolong orang, dan sebagainya itu. Logik juga persoalan itu kerana Allah mewajibkan kita menunaikan sembahyang tetapi diberitahu pula sembahyang tidak menolong kita masuk syurga.
Sembahyang adalah salah satu ibadah yang terkandung dalam Rukun Islam, yang lainnya ialah puasa, zakat dan haji. Jadi keempat-empat ibadah khusus itu sama sahaja kedudukannya seperti mana sembahyang.
Ada dua jawapan kepada persoalan yang kita utarakan ini. Satu, untuk apakah pahala-pahala yang kita cari itu, dan dua, untuk apakah pula ibadah-ibadah sembahyang zakat, puasa dan haji yang diwajibkan kita menunaikannya?
Pertama, untuk apakah ibadah-ibadah sembahyang zakat, puasa dan haji yang kita kerjakan itu.
Sembahyang, zakat, puasa dan haji adalah ibadah khusus, yang kita tunaikan bagi mematuhi perintah Allah swt. Sebagai seorang Islam, kita wajib menunaikan sepenuhnya perintah tersebut, jika tidak, tidak sempurnalah iman.
Diperintahkan, boleh membawa maksud permintaan terhadap sesuatu yang menjadi haknya. Dengan kata lain, jika kita diperintahkan menunaikan sembahyang, zakat, puasa dan haji, menunjukkan bahawa ibadah-ibadah itu adalah hak Allah swt, kerana itu sekiranya Allah swt memerintahkan agar kita menunaikannya, bermaksud Allah menuntut hak-Nya. Jadi amalan menunaikan sembahyang ini adalah ibarat melupuskan tuntutanNya, atau umpama membayar sewa yang mesti ditunaikan jika sampai waktunya. Hal ini disebut oleh satu ayat yang maksudnya,
‘Dirikanlah sembahyang untuk mengingatik-Ku.(Toha, 20: 14)
Inilah antara tujuan kita menunaikan sembahyang iaitu untuk mengingati Allah swt. Atas seruan inilah maka kita menunaikan sembahyang. Waktunya ialah lima kali sehari semalam, tetapi kesemuanya ini adalah tanda kita mengingati Allah swt.
Justeru, sembahyang lima waktu yang kita tunaikan setakat mendirikan zatnya sahaja itu adalah tandanya kita mengingati Allah. Dia-lah yang menjadikan kita, meletakkan kita di muka bumi ini, dibekali pula dengan segala keperluan hidup. Maka tidak sepatutnya kita melupakan Dia. Dari sudut manakah ingatan kita kepada Allah swt?
Kita lihat waktu-waktu sembahyang kita. Sedar atau tidak, waktu-waktu sembahyang kita adalah berkait dengan perubahan kedudukan matahari. Iaitu, sebelum matahari terbit, sebaik sahaja gelincir matahari, sebaik saahaja matahari jatuh, sebaik sahaja matahari terbenam, dan ketika matahari mula menghilangkan diri. Perubahan kedudukan ini adalah menandakan kekuasaan Allah. Allah swt mengaturnya sebagai aktiviti antara bumi-matahari. Jadi seseorang yang mendirikan sembahyang pada awal-awal waktu menandakan dianya menyertai aktiviti tersebut. Tanpa pengetahuan tentang perkara ini akan membuatkan seseorang menangguh-nangguhkan sembahyangnya.
Seseorang yang berniat menyertai aktiviti inilah yang diberi pahala. Inilah antara fungsi sembahyang kita yang disebut oleh ayat 14 surah Toha. Yang kita peringati di sini ialah berkait dengan sifat-sifat Allah swt dari sudut kekuasaannya mengatur fenomena tersebut.
Jadi seseorang yang mengetahui kedudukan ini akan menambah kuat lagi tauhid kita terhadap Allah swt. Ini adalah berkait dengan tauhid rububiyah, iaitu menunjukkan kekuasaan-Nya mentadbir alam ini. Bagaimanapun ini juga adalah soal pahala, bukan rahmat.
Justeru, kita perlu mendapatkan rahmat Allah swt untuk menjadi bekalan menemui-Nya, dan mengharap masuk syurga. Antara caranya ialah berbakti dan beramal soleh. Amalan di sini bukanlah ibadah sembahyang itu tetapi sesuatu yang lain. Jadi setelah kita menunaikan sembahyang, mesti diikuti pula dengan melakukan amal-amal soleh untuk mendapat rahmat-Nya. Inilah yang hendak dihitung oleh Jibril mengikut riwayat tentang sembahyang 500 tahun yang lalu. Maka tepatlah apa yang disebut dalam hadis yang pertama tadi, bahawa sembahyang sahaja tidak menjamin masuk syurga.
Mengikut Kamus Dewan, amal bermaksud apa sahaja yang dilakukan, perbuatan, pekerjaan, dan disebut juga ialah perbuatan baik (yang mendatangkan faedah kepada orang lain). Beramal pula diberi maksud berbuat amal, berbuat kebajikan. Soleh bermaksud taat dan patuh kepada perintah Allah.
Kedua, untuk apakah pahala-pahala yang kita cari itu.
Pahala yang kita usahakan sepanjang hidup kita di dunia adalah umpama hasil ladang, yang Allah swt himpunkan di akhirat sana dalam bentuk hazanah yang akan kia nitkmati setelah masuk syurga. Sebahagiannya tersimpan dalam bentuk mahligai, pakaian dan bermacam-macam lagi, yang menggambarkan kemewahan, bergantung sebanyak mana pahala yang kita hasilkan dan amalan apakah yang kita lakukan ketika di dunia.
Jadi, hidup di dunia ini ibarat berladang. Hasilnya bergantung kepada cara kita mengerjakan ladang kita. Jika kita lakukan dengan penuh usaha membajak, menanam benih dan dibaja dengan sebaik-baiknya, disertakan pula dengan usaha-usaha membersih dari rumput-rampai yang boleh merosakkannya, dan menjaganya dari makhluk perosak, maka hasilnya akan lumayan. Tetapi jika usaha-usaha yang kita jalankan itu kurang sempurna, setakat menanam benih, mengharap akan tumbuh, kemudian kita siram, tetapi tidak dijaga sewajarnya, tidak cukup baja, dan sebagainya, bayangkanlah hasilnya.
Ini adalah soal pahala. Pahala yang kita cari itu tersimpan di akhirat untuk kita menikmatinya kemudian, namun segala nikmat-nikmat yang menanti itu tidak dapat kita kecapi kecuali setelah masuk syurga. 

No comments: