Dalam posting yang lalu
menyebut bahawa kita masuk syurga dengan rahmat Allah. Kenyataan ini
disokong dengan sebuah hadis yang agak panjang. Hadi berkenaan ialah tentang
riwayat seoerang hamba Allah yang mendirikan sembahyang di sebuah pulau
terpencil. Disebutkan bahawa sembahyangnya selama 500 tahun itu tidak
menjaminnya masuk syurga. Dia dimasukkan ke syurga dengan rahmat Allah.
Mungkin ada antara kita
tidak dapat menerima pandangan ini. Bagi mereka, amalan-amalan sembahyang,
zakat, puasa dan haji, serta rangkaian-rangkaiannya itu yang membawa kita masuk
ke syurga. Memang ada bukti-bukti yang menyatakan demikian. Misalnya hadis dari
Mu’aadz bin Jabal, katanya,
‘Aku pernah
bersama Nabi saw dalam satu perjalanan. Lalu suatu ketika aku
berada di dekat beliau dalam keadaan kami sedang dalam perjalanan. Aku
bertanya, ‘Wahai Rasulullah, beritahukan kepadaku satu amalan yang memasukkanku
ke dalam syurga dan menjauhkanku dari neraka’. Baginda saw bersabda,
‘Sungguh engkau bertanya tentang sesuatu yang besar. Padahal, ia sebenarnya
mudah (dilakukan) bagi siapa saja yang dimudahkan oleh Allah. Yaitu, engkau
beribadah kepada Allah tanpa menyekutukan-Nya dengan sesuatu apapun, mendirikan
shalat, menunaikan zakat, berpuasa Ramadlaan, dan menunaikan ibadah haji” (Riwayat Ahmad Tarmizi,
An-Nasa’i dan Ibnu Majah).
Antara lain lagi ialah
yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang menyebut bahwa Rasulullah saw
pernah bersabda,
‘Barangsiapa yang shalat
pada dua waktu dingin (Subuh dan ‘Asar), niscaya masuk syurga’.
Kelihatannya dua hadis di
atas ini menyatakan dengan jelas bahawa sembahyang membawa kita masuk ke
syurga.
Dengan demikian dapatlah
kita lihat dua pandangan. Pandangan ini pula seperti bercanggah – satu
pandangan menyebut masuk
syurga dengan sembahyang, manakala yang satu lagi menyebut masuk syurga dengan
rahmat Allah.
Jadi jelas terdapat dua
pandangan yang kelihatannya bercanggah satu sama lain. Apakah benar ujud
percanggahan ini. Atau apakah ini suatu kesilapan? Bolehkan kita hendak
menyatakan Nabi saw tersilap. Bagaimana mungkin berlaku kesilapan kerana Nabi
saw adalah seorang yang maksum dan sentiasa dipelihara oleh Allah dari sebarang
kesilapan.
Atau bolehkah kita
menerima kedua-duanya sebagai benar, dan membenarkan kita membuat pilihan. Idea
ini boleh menimbulkan banyak persoalan pula. Misalnya, jika kita memilih salah
satu bererti kita menolak yang satu lagi. Bolehkah, kita menolak hadis.
Tambahan lagi jika ada hadis yang bercanggah bererti salah satunya bercanggah
pula dengan ayat-ayat al-Quran kerana kita tahu bahawa akhlak Nabi saw adalah
al-Quran.
Bukan hadis sahaja yang
sedemikian kedudukannya, tetapi juga ayat-ayat al-Quran. Misalnya,
‘Selamat sejahtera kepada
kamu; masuklah ke dalam Syurga disebabkan amal baik
yang telah kamu kerjakan’ (a-Nahal, 16: 32), manakala ayat 72 surah az-Zukhruf pula
menyebut,‘Dan (dikatakan
lagi kepada mereka): "Inilah Syurga yang diberikan kamu mewarisinya,
disebabkan amal-amal yang dahulu kamu kerjakan’. (az-Zukhruf, 43: 72)
Jika dilihat dari
lahiriahnya ayat 32 surah an-Nahl di atas tadi yang
menyebut ‘masuklah
ke dalam Syurga disebabkan amal baik yang telah kamu kerjakan’, seperti
bercanggah dengan ayat 72 surah az-Zukhruf yang maksudnya, ‘Dan
itulah syurga yang diwariskan kepada kamu disebabkan amal-amal yang dahulu kamu kerjakan’.
Percanggahan timbul jika
kita melihat frasa kata amal-amal yang dahulu
kamu kerjakan itu sebagai amal-amal mendirikan sembahyang dan lain-lain,
manakala amal baik
itu sebagai amal yang selainnya seperti menjaga silaturrahim, menjaga
kebersihan dan sebagainya. Benarkah ini satu percanggahan?
Justeru bagaimanakah sikap
kita terhadap kedudukan ini, dan apakah alasannya.
Perbahasan:
As-Syafie ra pernah
berkata, ‘As-Sunnah
tidak mungkin menyelisihi Al-Qur’an selamanya’. Jika ini kita jadikan
sandaran bererti kedua-dua pandangan di atas adalah sejajar dengan al-Quran.
Sama ada pandangan yang pertama mahupun yang kedua itu tadi, mengikut as-Syafie
adalah tidak bercanggah dengan ayat al-Quran. Secara tidak langsung ini menafikan
percanggahan antara dua pandangan di atas itu.
Semua orang, Muslim dan
non-Muslim mengakui bahawa tidak ada ayat-ayat al-Quran yang bercanggah. Namun
bagaimanakah caranya kita hendak mengatakan bahawa sebenarnya dua ayat itu tadi
tidak bercanggah!
Dalam syarah sahih Muslim menyebut
bahawa makna ayat-ayat ini adalah bahwa masuknya seseorang ke
dalam syurga adalah
sebab amal-amal yang mendapat rahmat Allah. Jika ini kita jadikan asas maka kita tidak perlu
bercakap lebih panjang lagi tentang percanggahan tersebut. Kedua-dua pandangan
itu sudah berada pada satu titik persetujuan iaitu rahmat Allah.
Dengan kata lain bahawa amal-amal yang boleh membawa kita masuk ke syurga adalah amal-amal yang telah mendapat rahmat Allah.
Ini menjelaskan bahawa amal-amal itu sendiri tidak dapat membawa kita masuk ke
syurga.
Bagaimanakah amal-amal
kita mendapat rahmat Allah. Kita tinggalkan dahulu persoalan ini.
Yang harus kita sedari di
sini ialah bahawa amal-amal yang membawa kita masuk syurga adalah yang telah
mendapat rahmat Allah, bukan amal-amal itu sendiri.
Misalnya amalan mendirikan
sembahyang. Mengikut syarah sahih Muslim
sembahyang yang kita tunaikan setakat menyempurnakan kesemua tiga belas rukun
sahaja tidak akan membawa ke syurga, kerana kita hanya mendirikan zatnya
sahaja. Sembahyang yang begini belum mendapat rahmat Allah. Untuk mendapat
rahmat Allah ada lagi yang harus dilakukan selepas itu supaya diberi rahmat.
Begitu juga halnya dengan ibadah-ibadah puasa, zakat dan haji serta
rangkaian-rangkaiannya. Inilah yang disebut sebagai amal soleh. Dengan kata
lain amalan mendirikan zatnya semata-mata tidak mendapat rahmat Allah.
Hal ini sejajar dengan
kenyataan Ibnu Katsir dalam komennya kepada ayat 72 surah az-Zukhruf itu
menyebut, ‘Amal-amal soleh kalian
yang menjadi sebab kalian diliputi rahmat. Kerana, tidak ada seorang pun
yang masuk syurga karena amalnya semata, akan tetapi (ia masuk syurga) kerana
rahmat dan kurnia Allah’.
Justeru, maksud hadis yang
menyebut, ‘Salah seorang di antara kalian tidak akan masuk syurga dengan
sebab amalnya’, adalah bermaksud bahwa amal itu
sendiri, iaitu amal yang hanya didirikan zatnya sahaja. Itu sebabnya Prof. Dato’ Dr Haron Din dalam bukunya menyebut,
‘Setelah kita mempunyai keimanan dan membentuk
sikap-sikap hidup berdasarkan rukun-rukun keimanan tersebut, atau
setelah kita mempunyai gambaran mengenai hidup berdasarkan rukun-rukun itu,
apakah yang seharusnya kita lakukan selepas itu?’ (Manusia
dan Islam, 93)
Yang maksudnya ialah setelah kita berpegang kepada Rukun Iman dan Rukun Islam, dan kita mengambil sikap
menunaikannya, dan mempunyai gambaran-gambaran tentang hari akhirat dan
sebagainya, apakah yang harus kita lakukan lagi. Persoalan ini menunjukkan bahawa setelah kita mendirikan zat
ibadah-ibadah yang terkandung dalam
Rukun Islam itu ada lagi yang harus kita lakukan.
Jadi dari kenyataan-kenyataan di atas ini dapatlah kita lihat bahawa
sembahyang sahaja belum cukup untuk membawa kita ke syurga, kecuali sembahyang
yang telah mendapat rahmat Allah. Bagaimanakah
caranya hendak mendapat rahmat Allah swt dari ibadah-ibadah yang
tersebut, atau apakah tindakan-tindakan yang boleh kita lakukan untuk mendapat
kurnia rahmat Allah. Hal ini disebut juga oleh sebuah hadis dari Abu
Hurairah, katanya Rasulullah saw bersabda, yang
maksudnya,
‘Segala amal akan
datang pada hari qiamat (untuk memberi
syafaat kepada yang mengerjakannya), antaranya sembahyang datang lalu
berkata, ‘Ya Tuhanku akulah sembahyang’; Allah Taala berfirman (kepadanya) ‘Tujuan engkau itu baik, (tetapi
engkau sahaja belum cukup)’; dan (selepas itu) datang pula sedekah,
puasa, dan amal-amal yang lain, semuanya itu Allah berfirman (kepada tiap-tiap
satunya): Tujuan engkau itu baik, tetapi engkau sahaja belum cukup’; kemudian
datang pula Islam lalu berkata, ‘Ya Tuhanku,
Engkau-lah Tuhan yang bernama Assalam, dan akulah Islam’; maka Allah Taala berfirman (kepadanya),
‘Tujuan engkau itu baik, pada hari ini
dengan engkaulah Aku menerima dan dengan engkaulah jua Aku memberi
balasan’. (Mustika Hadis Jilid I,
42)
Ada dua perkara berkait
dengan hadis ini – satu, ialah ibadah-ibadah sembahyang, zakat, puasa dan haji
yang hanya didirikan zatnya sahaja belum cukup
kecuali setelah menegakkan Islam; dua,
menggambarkan bagaimanakah caranya ibadah-ibadah itu boleh mendapat rahmat
Allah.
No comments:
Post a Comment