Jika masuk syurga dengan rahmat Allah maka untuk apakah
pula segala amalan kita seperti sembahyang, zakat, puasa dan haji serta amal-amal yang lain seperti bersedekah,
menolong orang, dan sebagainya itu. Logik juga persoalan itu kerana Allah mewajibkan
kita menunaikan sembahyang tetapi diberitahu pula sembahyang tidak menolong kita masuk syurga.
Sembahyang
adalah salah satu ibadah yang terkandung dalam Rukun Islam, yang lainnya ialah
puasa, zakat dan haji. Jadi keempat-empat ibadah khusus itu sama sahaja
kedudukannya seperti mana sembahyang.
Ada
dua jawapan kepada persoalan yang kita utarakan ini. Satu, untuk apakah
pahala-pahala yang kita cari itu, dan dua, untuk apakah pula ibadah-ibadah
sembahyang zakat, puasa dan haji yang diwajibkan kita menunaikannya?
Pertama, untuk apakah ibadah-ibadah sembahyang zakat, puasa dan
haji yang kita kerjakan itu.
Sembahyang, zakat, puasa dan haji adalah ibadah khusus,
yang kita tunaikan bagi mematuhi perintah Allah swt. Sebagai
seorang Islam, kita wajib menunaikan sepenuhnya perintah tersebut, jika tidak, tidak sempurnalah
iman.
Diperintahkan, boleh membawa maksud permintaan terhadap sesuatu yang menjadi haknya. Dengan
kata lain, jika kita diperintahkan menunaikan sembahyang, zakat, puasa
dan haji, menunjukkan bahawa ibadah-ibadah
itu adalah hak Allah swt, kerana itu sekiranya Allah swt memerintahkan
agar kita menunaikannya, bermaksud Allah menuntut hak-Nya. Jadi amalan
menunaikan sembahyang ini adalah ibarat
melupuskan tuntutanNya, atau umpama membayar sewa yang mesti ditunaikan
jika sampai waktunya. Hal ini disebut oleh satu ayat yang maksudnya,
‘Dirikanlah sembahyang untuk mengingatik-Ku.’ (Toha, 20: 14)
Inilah
antara tujuan kita menunaikan sembahyang iaitu untuk mengingati Allah swt. Atas
seruan inilah maka kita menunaikan sembahyang. Waktunya ialah lima kali sehari
semalam, tetapi kesemuanya ini adalah tanda kita mengingati Allah swt.
Justeru,
sembahyang lima waktu yang kita tunaikan setakat mendirikan zatnya sahaja itu
adalah tandanya kita mengingati Allah. Dia-lah yang menjadikan kita, meletakkan
kita di muka bumi ini, dibekali pula dengan segala keperluan hidup. Maka tidak
sepatutnya kita melupakan Dia. Dari sudut manakah ingatan kita kepada Allah
swt?
Kita
lihat waktu-waktu sembahyang kita. Sedar atau tidak, waktu-waktu sembahyang
kita adalah berkait dengan perubahan kedudukan matahari. Iaitu, sebelum
matahari terbit, sebaik sahaja gelincir matahari, sebaik saahaja matahari
jatuh, sebaik sahaja matahari terbenam, dan ketika matahari mula menghilangkan
diri. Perubahan kedudukan ini adalah menandakan kekuasaan Allah. Allah swt
mengaturnya sebagai aktiviti antara bumi-matahari. Jadi seseorang yang
mendirikan sembahyang pada awal-awal waktu menandakan dianya menyertai aktiviti
tersebut. Tanpa pengetahuan tentang perkara ini akan membuatkan seseorang
menangguh-nangguhkan sembahyangnya.
Seseorang yang berniat menyertai aktiviti
inilah yang diberi pahala. Inilah antara fungsi sembahyang kita yang disebut
oleh ayat 14 surah Toha. Yang kita peringati di sini ialah berkait dengan
sifat-sifat Allah swt dari sudut kekuasaannya mengatur fenomena tersebut.
Jadi
seseorang yang mengetahui kedudukan ini akan menambah kuat lagi tauhid kita
terhadap Allah swt. Ini adalah berkait dengan tauhid rububiyah, iaitu
menunjukkan kekuasaan-Nya mentadbir alam ini. Bagaimanapun ini juga adalah soal
pahala, bukan rahmat.
Justeru,
kita perlu mendapatkan rahmat Allah swt
untuk menjadi bekalan menemui-Nya,
dan mengharap masuk syurga. Antara caranya ialah berbakti dan beramal
soleh. Amalan di sini bukanlah ibadah sembahyang
itu tetapi sesuatu yang lain. Jadi setelah kita menunaikan sembahyang, mesti diikuti pula dengan melakukan
amal-amal soleh untuk mendapat rahmat-Nya. Inilah yang hendak dihitung
oleh Jibril mengikut riwayat tentang sembahyang 500 tahun yang lalu. Maka
tepatlah apa yang disebut dalam hadis yang pertama tadi, bahawa sembahyang
sahaja tidak menjamin masuk syurga.
Mengikut Kamus Dewan, amal bermaksud
apa sahaja yang dilakukan, perbuatan, pekerjaan,
dan disebut juga ialah perbuatan baik (yang
mendatangkan faedah kepada orang lain). Beramal pula diberi maksud berbuat
amal, berbuat kebajikan. Soleh bermaksud taat dan patuh kepada perintah
Allah.
Kedua, untuk apakah pahala-pahala yang kita cari itu.
Pahala yang kita usahakan sepanjang hidup kita di
dunia adalah umpama hasil ladang, yang Allah swt himpunkan di akhirat
sana dalam bentuk hazanah yang akan kia nitkmati setelah masuk syurga.
Sebahagiannya tersimpan dalam bentuk mahligai, pakaian dan bermacam-macam lagi,
yang menggambarkan kemewahan, bergantung sebanyak mana pahala yang kita
hasilkan dan amalan apakah yang kita lakukan ketika di dunia.
Jadi, hidup di dunia ini ibarat
berladang. Hasilnya bergantung kepada cara kita mengerjakan ladang kita.
Jika kita lakukan dengan penuh usaha membajak, menanam benih dan dibaja dengan
sebaik-baiknya, disertakan pula dengan usaha-usaha membersih dari rumput-rampai
yang boleh merosakkannya, dan menjaganya dari makhluk perosak, maka hasilnya
akan lumayan. Tetapi jika usaha-usaha yang kita jalankan itu kurang sempurna, setakat menanam benih, mengharap
akan tumbuh, kemudian kita siram, tetapi tidak dijaga sewajarnya, tidak cukup
baja, dan sebagainya, bayangkanlah hasilnya.
Ini adalah soal pahala. Pahala yang kita cari itu tersimpan di akhirat
untuk kita menikmatinya kemudian, namun segala nikmat-nikmat yang menanti itu
tidak dapat kita kecapi kecuali setelah masuk syurga.
No comments:
Post a Comment