Friday, January 29, 2016

Ilmu Sains: suatu worldview yang terhad


Tidak ada sesiapa pun, walau setinggi mana kepandaiannya, boleh memberikan jawapan yang lengkap, sahih dan memuaskan jika ditanya tentang asal kejadian dunia ini, tentang kehidupan dan destininya. Belum ada lagi mana-mana kumpulan manusia yang mampu berbuat demikian. Misalnya, semua pengetahuan tentang dunia dan jagatraya yang dikumpul oleh saintis setakat ini hanyalah pengetahuan tentang sebahagian kecil daripada kenyataan. Bagaimanapun, akan datang ramai para saintis akan tahu, bahawa satu masa nanti akan sampai masanya dengan mengatakan kami tidak tahu. Dari sudut pandangan sains, jagatraya ini ibarat sebuah buku lama yang kehilangan muka surat pertama dan yang akhir. Tidak diketahui permulaannya mahupun akhirnya. Kesimpulannya, tanggapan sains hanyalah pengetahuan tentang sebahagian sahaja, tidak menyeluruh.
Sains, sebagaimana yang kita ketahui, cuba memberi kefahaman terhadap sebahagian daripada jagatraya; sains tidak dapat menjelaskan tabii asas jagatraya itu secara keseluruhan, asalnya dan destinasinya. Tanggapan saintis adalah ibarat pengetahuan tentang seekor gajah yang mereka perolehi dengan merabanya dalam gelap. Yang teraba telinga, mencadangkan bahawa gajah adalah seperti sekeping kipas, yang teraba kakinya pula, menyatakan ianya seperti sebatang tiang, sementara yang teraba belakang gajah pula menyatakan sebagai singgahsana. Sains, seperti yang telah dinyatakan, adalah ibarat sebatang lampu suluh, yang hanya dapat menerangi sebahagian kecil kawasan, tetapi tidak mampu menerangi sekitarannya. Ini tidak bermaksud untuk memperkecilkan peranannya atau sebaliknya. Cuma untuk menyatakan bahawa ilmu sains adalah terhad.
Kuasa takkulan
Nasib baiklah, dalam keperluan kita mendapatkan tanggapan yang betul dan sahih, manusia dianugerahi kuasa menakkul dan logik. Namun, sewajarnya kita harus sedar juga bahawa kuasa ini juga terhad: ibarat sebuah alat penimbang emas, adalah satu kerja bodoh dan sia-sia menggunakannya untuk menimbang seekor gajah pula. Begitu juga halnya, jika kuasa takkulan digunakan dengan sebaik-baiknya pun, kita hanya boleh mendapat sebahagian daripada jawapan yang betul tentang dunia tempat tinggal kita ini. Namun paling kurang kuasa takkulan kita boleh digunakan untuk menunjukkan teori mana atau tanggapan mana yang palsu.
Jadi, untuk itu kita cuba menggunakan takkulan untuk menjawab soalan-soalan yang paling penting seperti dalam senarai di bahagian awal tadi, iaitu dari mana kita datang?

Dari mana kita datang?

Semua benda, termasuk manusia, ada tarikh permulaan tentang kejadiannya. Untuk menjelaskan kewujudan semua benda ini, ada tiga cara sahaja: 
1.   Sama ada ia wujud tidak tentu pasal: tidak diperbuat, atau diciptakan, atau disebabkan oleh sesuatu,
2.   Atau, muncul dengan sendirinya,
3.   Atau, ada penciptanya, ada penyebabnya, atau pembuatnya di luar sana.
Penjelasan yang pertama dan kedua rasanya mustahil. Tentu tidak masuk akal untuk menyatakan bahawa segala sesuatu itu timbul tidak semena-mena. Tentu tidak boleh diterima untuk mengatakan bahawa segala sesuatu itu muncul dengan sendirinya. Maka alam semesta ini dan segala isinya, tidak akan muncul dengan sendirinya, atau wujud secara tiba-tiba.
Kesimpulannya, sudah jelas. Alam semesta ini dan segala isinya memerlukan Pencipta atau Pembuatnya dari luar sana. Kita sebagai manusia adalah sebahagian daripada alam semesta, kewujudannya memerlukan Pencipta itu.
Untuk menyatakan bahawa manusia ini datang daripada proses ubahansur makhluk lain, atau bahawa manusia ini berasal daripada air, atau kerana kejadian big-bang maka segala-galanya wujud seperti adanya, tidak dapat menjawab soalan tentang asal-usul wujudnya alam semesta dan segala isinya itu, termasuk manusia itu sendiri. Dengan itu, maka kita menyimpulkan bahawa sebarang tanggapan yang menidakkan atau tidak menerima kewujudan Pencipta adalah tanggapan yang palsu.
 

No comments:

Post a Comment