17 August 2019

Tujuan berselawat atas Nabi saw


Cara hidup seseorang Muslim telah digariskan oleh Islam. Bagai-manapun ajarannya harus difahami dari dua sudut iaitu tanggung-jawab beragama dan satu lagi tanggungjawab berkaitan sikap dalam kehidupan sosial. Kedua-duanya ini ada dalam diri dan kehidupan Nabi saw, dalam keadaannya di mana Nabi saw tidak melebihkan yang satu daripada yang satu lagi.

Cara hidup Islam yang ideal adalah seperti yang ditunjukkan oleh baginda Nabi saw, iaitu mendokong tanggungjawab beragama dan sekali gus mendokong tanggungjawab dalam kehidupan sosial. Malangnya, akibat daripada kejahilan dan kekurangan pengetahuan tentang Sunnah baginda ini ramai umat Islam mengambil tanggung-jawab beragama dan kerohanian melebihi tanggungjawabnya kepada yang satu lagi itu.

Berselawat ke atas Nabi Muhammad saw bukanlah sekadar untuk mengingati sosok baginda semata-mata tetapi bertujuan menjadikan-nya sebagai ikon untuk membuka lembaran-lembaran akhlak dan keperibadian baginda sebagai ikutan. Inilah antara sebabnya mengapa berselawat dijadikan sebagai salah satu rukun sembahyang.

Cara hidup yang ideal adalah seperti yang ditunjukkan oleh Nabi saw, kerana jelas disebut bahawa akhlak Nabi saw adalah al-Quran. Mungkin mustahil untuk seseorang awam seperti kita untuk mengikuti cara hidup baginda seratus peratus, namun apa yang telah dibentangkan oleh baginda itu adalah yang ideal, tiada mana-mana model yang standing dengannya, justeru setiap langkah kehidupan yang kita lalui harus dipastikan agar berada atas landasan yang dibentangkan oleh baginda.


Sikap dan personaliti Nabi saw. Ramai antara kita, baik yang Muslim atau tidak, bergelut mencari takrif siapakah kita, dan apakah bentuk keperibadian kita. Sebenarnya Islam telah menyediakan kita risalah petunjuknya iaitu al-Quran. Daripada jumlah bilangan ayatnya sebanyak 6236 ayat itu, 5936  daripadanya adalah berkaitan dengan nilai dan moral, hanya 300 sahaja yang berkaitan dengan bidang kuasa tindakan. Kerana inilah mungkin sebabnya Nabi saw bersabda yang maksudnya Aku diutus untuk menyempurnakan akhlak. Dan, apabila disebut Akhlak Nabi saw adalah al-Quran memang tepat jika dilihat bahawa sejumlah besar kandungan al-Quran itu adalah berkaitan dengan nilai dan moral.

Nilai dan moral memandu kerohanian. Destinasinya ialah sama ada akan membawa ke dalam keadaan ketenangan atau kecelaruan.

Manusia akan berada dalam keadaan ketidaktentuan ini jika berpandukan kepada nilai dan moral yang kita contohi dan teladani dari rakan sebaya. Hanya dengan mencontohi akhlak dan keperi-badian baginda Nabi saw sahaja akan meletakkan kita di suatu situasi ketenangan, lantaran baginda mengambil al-Quran sebagai sumber akhlak dan keperibadiannya. Inilah satu-satunya jalan hidup yang jelas dan meyakinkan.

Keperibadian baginda itu adalah jawapan kepada persoalan siapa-kah kita dan apakah bentuk keperibadian yang harus kita punyai, lantaran al-Quran itu adalah sumber jalan kehidupan. Dalam sejarah kehidupan zaman baginda sudah terbukti bahawa ayat-ayat al-Quran itu berjaya memukau umat kerana mesej yang dibawanya adalah suatu yang relevan dan penuh kewajaran dengan kehidupan mereka, setiap mesej yang disampaikan memang jelas logik dan bertepatan dengan naluri manusia. Sehingga puak Yahudi pun dapat merasainya, bahawa mesej al-Quran yang sifatnya universal dan komprehensif itu tidak dapat dinafikan.

Integrasi budaya dan tolerensi. Pandangan bahawa Islam menolak budaya adalah tidak betul sama sekali. Buktinya ketika Nabi saw membawa risalah Ilahi kepada umatnya ketika itu baginda tidak sedikit pun menyentuh adat dan budaya mereka apalagi membasmi-nya. Baginda lebih menekankan kepada mengajak berbuat kebaikan dan menjauhi kerosakan dan kebodohan. Bagi baginda bahawa mesej ini lebih penting daripada perkara-perkara yang berkait dengan budaya sesuatu kaum, lalu baginda mengambil budaya sebagai aset untuk kehidupan. Bagaimanapun kita harus benar-benar faham bahawa prinsip yang dikenali sebagai Amar makruf nahi munkar ini harus diutamakan berbanding hal-hal yang berkaitan budaya sesuatu bangsa.


Alam sekitar dan ekologi. Frasa kata rabbil-aalamiin harus membawa kesedaran terhadap sikap kepedulian terhadap alam sekitar dan ekologi. Alasannya ialah setelah Allah mencipta alam ini, yang dalam keadaan semulajadinya saling membentuk rantaian atau siratan makanan yang seimbang, manusia harus mengambil tanggungjawab menjaga dan mengekalkan kejadiannya.

Walaupun Allah menyediakannya sebagai sumber makanan, tempat tinggal, pakaian dan sebagainya namun manusia sangat dikehendaki agar menjaga kaedah penggunaan sumber-sumber ini. Antaranya diingatkan agar menjauhi pembaziran dan ketidak-pedulian. Justeru manusia harus mengambil tanggungjawabnya, seseorang Muslim harus ingat bahawa Allah akan mempersoalkan bagaimana caranya kita menggunakan segala sumber yang disediakan itu.

Banyak ayat dan hadis yang mengingatkan tentang tanggung-jawab memelihara alam sekitar dengan menanam tumbuhan dan mengoptimumkan penggunaannya, mengelakkan pencemaran dan membawa rahmat kepada sekalian makhluk. Orang-orang Islam telah diajar supaya yakin bahawa setiap makhluk bumi termasuk tumbuhan akan mempersembahkan kepada Allah di akhirat nanti bagaimana caranya manusia melakukannya.

Haiwan hanya dibenarkan untuk dijadikan makanan dan pakaian, pun begitu mesti tertakluk juga kepada konsep optimum itu tadi. Manusia akan ditanya tentang sikapnya terhadap haiwan, malah akan ditanya juga cara penyembelihannya sama ada dengan kaedah yang penuh adab atau kekerasan dan tidak belas kasihan. Kesemuanya ini adalah tertakluk di bawah satu ayat dalam al-Quran menyebut, Tidak Ku utuskan engkau (Muhammad) kecuali untuk kesejahteraan sekalian alam (al-Anbiya’, 107). Jadi, adalah suatu kewajipan bagi setiap orang memelihara bumi dan alam sekitar ciptaan Allah ini.


Kesaksamaan manusia. Nabi saw memperjuangkan konsep kesak-samaan atau kesamarataan antara sesama manusia. Seruan baginda ini digambarkan ketika baginda menunaikan ibadah haji yang terakhir. Baginda menyeru, Wahai sekalian manusia, Tuhan anda hanya satu, bapamu (Adam) juga satu; tiada ketinggian darjat bagi bangsa Arab ke atas Arab yang lain, atau non-Arab lebih darjatnya daripada Arab; yang putih lebih tinggi darjatnya dari yang hitam, atau yang hitam lebih tinggi darjatnya daripada yang putih, kecuali ketakwaannya.


Dalam sembahyang, konsep ini tersirat dalam frasa ar-Rahmaanirrahiim. Atas sifat ar-RahmanNya Allah menyediakan segala sumber untuk kehidupan manusia samarata, tidak mengasing-asingkan yang mana untuk orang-orang Islam dan yang mana untuk orang kafir. Justeru sesiapa sahaja yang mengamalkan sembahyang harus sedar konsep kesamarataan ini. Sebagai khalifah bumi, sifat ar-Rahman Allah ini harus menjadi tiruan buat manusia.

Dalam al-Quran pun tidak pernah menyebut bahawa Allah hanya untuk sesuatu kaum tertentu sahaja. Dia adalah Rabbul alamin atau Tuhan sekalian alam, Tuhan manusia dan makhluk keseluruhannya seperti yang disebut oleh ayat 3 surah al-Fatihah itu tadi, dan surah an-Nas. Dapatlah dilihat di sini bahawa Allah mengistiharkan semangat persaudaraan antara sesama manusia walaupun terdiri daripada pelbagai bangsa, warna kulit dan latarbelakang. Inilah yang diperjuangkan oleh Nabi saw.

Nilai-nilai akhlak dan keperibadian Nabi saw di atas ini hanyalah sebahagian kecil sahaja untuk dijadikan contoh. Perjuangan baginda yang berkait dengan kesejahteraan sekalian alam itu adalah serasi dengan konsep ayat 107 surah al-Anbiya’, sehingga baginda dilihat sebagai sosok manusia yang mendokong revolusi.


Tokoh usahawan. Nabi saw adalah seorang yang kreatif dalam semua bidang. Dari seorang agamawan baginda mampu menjelmkan dirinya sebagai seorang tokoh politik, seorang pemimpin umat, dan pada masa yang sama adalah seorang pendidik. Khadijah, seorang usahawan adalah antara para pengikut yang memeluk Islam kerananya.

Mesej yang didokong baginda ialah konsep bekerja kerana Allah, namun baginda menjelaskan lagi bahawa bekerja hendaklah dalam lapangan yang sejajar dengan kemahiran. Kedua-duanya ini adalah merupakan aset yang membawa kepada pembangunan sesebuah komuniti. Baginda dilihat amat bersungguh-sungguh mempraktikkan konsep ini sebagai suatu perjuangan jihad (menggunakan intelek bagi mendepani kemunculan masalah-masaalah baru yang timbul).

Usaha-usaha yang kreatif dan dinamik ini secara semulajadinya adalah suatu yang sangat diperlukan oleh sesebuah komuniti, organi-sasi, pentadbiran, justeru adalah menjadi satu tanggungjawab bagi setiap Muslim. Inilah sebabnya, sedar atau tidak, hal ini telah menjadi gaya pengurusan, di mana sumber manusia sesebuah oraganisasi atau pentadbiran harus diberi kemahiran dan pengetahuan yang up-to-date.

Dalam prosesnya setiap sumber manusia harus berterusan diupdate dengan daya pemikiran dan tenaga moral bagi mencapai matlamat yang disasarkan. Bersamanya, disepadukan dengan strategi dan perancangan penggunaan setiap sumber pengeluaran dan kaedah-nya, dan memberikan pertimbangan atas sebarang kemungkinan dan implikasinya. Zaman kegemilangan Islam telah membuktikan bahawa para ulama’ adalah perintis bidang sains dan matematik, yang menjadi asas kepada kemajuan teknologi hari ini.

No comments: