24 August 2019

Haji yang mabrur


Ibadah haji adalah umpama sesi perkemahan:
Formaliti-formaliti dalam ibadah haji seperti wukuf, tawaf, melontar, dan lain-lain adalah umpama agenda-agenda dalam sesi perkemahan atau madrasah. Jadi dalam tempoh perkemahan itulah kita mempraktikkan segala teori yang telah diajarkan dalam kursus pra-haji, ditambah dengan ilmu-ilmu daripada ayat-ayat al-Quran dan lain-lain. Dengan kata lain, mematuhi hukum-hakam bagi setiap formaliti yang kita lakukan itu adalah sebagai latihan amali ke arah merealisasikan maqasidnya.

Misalnya, berihram itu adalah agenda atau formaliti, kita melaku-kannya dengan terikat kepada hukum-hakamnya seperti tidak boleh memakai bahan-bahan yang melambangkan pride, kemewahan dan sebagainya. Kita akur atau tunduk patuh dengan larangan ini adalah sebagai latihan meninggalkan lambang pride itu tadi. Hala tujunya ialah syariat atau cara hidup. Justeru hidup kita selepas menunaikan ibadah haji ialah dengan tidak lagi mengamalkan sifat-sifat menunjuk-nunjuk.

Sesuatu yang konsepnya perkemahan ada objektifnya, yang harus dicapai. Lulus atau gagal dalam sesi perkemahan ini bergantung kepada tahap pencapaiannya. Bagi ibadah haji pencapaiannya dilihat ketika kembali ke tanah air, bukan ketika dalam sesi perkemahan sahaja. Inilah penentu untuk mendapat haji yang mabrur. Justeru, seusai menunaikan ibadah haji, cuba semak sama ada (antaranya):

·     Sudahkah kita mendapat sikap tidak bercakap joros, lucah, dan tidak berlaku fasik,

·     Tidak melakukan diskriminasi, memandang semua manusia sama taraf, kecuali ketakwaannya,

·     Tidak ego dan mementingkan diri,

·     Hubungan dengan Allah semakin erat, terasa seolah-olah sentiasa bersama kita,

·     Mendapat sikap perpaduan dalam kehidupan bermasyarakat,

·     Mendapat semangat rela berkorban dan rasa kepedulian terhadap yang memerlukan,

·     Mempunyai sikap protes terhadap syaitan dan agen-agennya,

·     Mempunyai sikap sentiasa tunduk-patuh kepada hukum syariat, dan bukan mencari jalan hidupnya sendiri,

·     Mempunyai sikap berusaha keras untuk mencapai sesuatu tujuan,

·     Ikhlas dalam semua pekerjaan sama ada yang tersembunyi atau terbuka.

Ditambah pula dengan pengajaran-pengajaran dan iktibar yang disebut oleh ayat-ayat dalam surah al-Haj, antaranya:

·     Ayat 25 adalah peringatan tentang balasan kepada orang-orang yang cenderung melakukan kejahatan. Inilah tabiat yang harus ditinggalkan di miqat sebelum melangkah masuk ke tanah suci Makkah. Seusai mengerjakan haji sikap ini harus ditinggalkan terus dari kehidupan.

·     Ayat 26 menyebut, dan sucikanlah rumah-Ku bagi orang-orang yang tawaf. Ayat ini merupakan perintah Allah kepada Nabi Ibrahim as supaya membersihkan Baitullah dari segala perbuatan syirik dan kotoran. Iktibarnya adalah tentang kebersihan tempat amal ibadat.

·     Ayat 27 merupakan perintah Allah kepada Nabi Ibrahim as menyeru manusia mengerjakan ibadah haji. Namun implikasi-nya dipanjangkan kepada seruan mengerjakan ibadah-ibadah yang lain. Justeru ketika musim haji harus mengingatkan rakan sebilik yang terlalai. Tidak dinafikan memang ada antara jemaah haji yang tidak ke masjid sepanjang musim haji.

·     Ayat 28 adalah berkaitan dengan ibadah kurban, Allah menyeru agar melakukan penyembelihan dan berikanlah sebahagian lagi untuk dimakan oleh orang-orang yang sengsara lagi fakir. Ayat ini menyeru agar mempunyai sikap kepedulian kepada orang lain terutama yang fakir.

·     Ayat 30, bermaksud, dan jauhilah perkataan yang tidak elok, termasuklah berdusta, syirik, dan penyaksian palsu. Justeru dalam sesi perkemahan haji kita diseru melatih diri mengikis sikap-sikap dan percakapan yang tidak elok.

Senarai di atas ini bolehlah dijadikan bedahsiasat atau muhasabah diri bagi menentukan lulus-gagalnya ibadah haji. Dan, sepanjang masa baki hidup kita adalah masanya untuk menentukan tahap kualiti ibadah haji. Lulus-gagalnya juga akan menentukan kemabruran ibadah haji.

Seusai menunaikan ibadah haji ayat-ayat ini kita jadikan penyuluh jalan hidup. Jika dapat dipraktikkan bererti kita berjaya lulus dalam sesi perkemahan. Hasilnya ialah perubahan sikap. Alangkah bahagia-nya mereka ini kerana mendapat haji yang mabrur.



Ibadah haji yang diaturkan dengan kepayahan dan penuh cabaran bukanlah sesuatu yang terjadi secara tidak disengajakan. Allah dan Rasul saw memang sengaja mengatur formaliti-formaliti praktikal itu kerana ada hikmah di sebaliknya. Selain daripada untuk mendapatkan pengajaran-pengajaran yang tersurat dalam surah al-Hajj itu dan yang lain-lain itu ada lagi yang hendak ditanamkan ke dalam diri pengamalnya melalui aktiviti-aktiviti yang diaturkan itu. Mungkin boleh dianalogikan dengan latihan-latihan ketenteraan.

Senarionya ialah bahawa agama Islam bukan sekadar ajaran falsafah dan teori sahaja tanpa praktikalnya. Kita lihat ajaran Islam dimulakan dengan menanam keyakinan (aqidah), diminta buktikan dengan menunaikan ibadah-ibadah yang amali iaitu sembahyang, zakat, puasa dan haji. Inilah yang disebut bahawa Islam adalah ajaran yang menanamkan akidah dan keyakinan, kemudian diikuti dengan pembuktiannya dengan melakukan ibadah, yang melibatkan tubuh badan.

Ibadah haji tidak boleh diperolehi melalui teori dan konsep semata-mata tetapi dibuktikan dengan praktikal anggota badan. Ini bagi mengelakkan persoalan seperti Mengapa mesti bersusah payah pergi ke Makkah hanya untuk mengubah sikap yang lama kepada sikap yang baru sedangkan boleh mempelajarinya melalui teori?

Dengan amalan-amalan praktik ini diharap dapat impak yang lebih bagi mengetuk pintu hati pengamalnya. Buku Allah, Roh dan Alam menyebut bahawa roh (semangat) ialah tenaga yang terbit melalui kerjasama antara aktiviti aliran darah dengan otak, yang dibaja oleh tenaga daripada permakanan. Kesedaran diperoleh melalui aliran darah yang berterusan mengalir ke seluruh badan termasuk otak. Tenaga ini diguna untuk satu proses yang melibatkan bahan kimia. Seseorang yang sedang menggunakan otaknya dikatakan berada dalam keadaan sedar, atau disebut sebagai berfikir. Inilah roh atau semangat itu.

Analoginya, bolehlah dibandingkan dengan sebuah kereta. Kereta itu adalah badan atau jasmani, manakala petrol bertindak sebagai makanan. Ketika enjin belum dihidupkan, kereta tidak mempunyai tenaga dan belum berfungsi sebagai kenderaan yang bergerak. Namun sebaik dihidupkan, petrol akan mengalir ke dalam enjin dan mencetus tenaga yang membolehkan kereta itu berfungsi, atau dikatakan kereta itu sudah mempunyai semangat. Jika aliran petrol tersekat maka enjin kereta tidak mendapat tenaga untuk bergerak. Di sini, tanggapan terhadap perfoman kereta itu adalah lebih dirasai jika kita mencubanya. Misalnya, orang yang hendak mengenali kuasa pacuannya hendaklah menekan padel minyak. Dengan menekannya akan terasa performan kereta itu, berbanding dengan membaca manualnya sahaja. Cuma kereta itu tidak boleh disebut sebagai mempunyai roh kerana ia bukanlah benda hidup seperti manusia.

Roh dalam badan manusia akan terus wujud selagi ada kerjasama antara aliran darah dengan otak. Otak akan melahirkan kesedaran terhadap amali dan praktikal yang disengajakan. Misalnya, seseorang yang sedang berwukuf, otak akan berfikir tentang teori-teori yang berkaitan berwukuf. Dengan demikian terbentuklah perubahan dalam otak iaitu perubahan sikap. Jika ditambah lagi dengan memanjatkan doa memohon kepada Allah swt supaya sikap ini dikekalkan akan menguatkan lagi proses pembentukan sikap itu. Inilah alasan mengapa Islam menekankan konsep amali.

Berikhram, berwukuf, melontar jamrah, tawaf dan saei, kesemua ini adalah aktiviti amali yang Allah dan Rasul-Nya aturkan. Mengenakan pakaian ihram yang disertai dengan kesedaran, dan dipupuk pula dengan ilmu pengetahuan tentang ihram akan mencetus fikiran-fikiran tentang teori berihram. Semangat ihram pun lahir.

Syaratnya kita menyedari apakah yang sedang kita lakukan, mengetahui tujuan dan alasannya. Jika tidak, proses yang diharapkan tidak akan berlaku, sama sahaja sama ada dia memakai pakaian ihram atau tidak, pakaian ihramnya tidak memberi sebarang makna atau motivasi. Oleh kerana tiada sebarang maklumat yang berkaitan dengan pakaiannya maka pemikirannya tentang ikhram tidak muncul. Akibat-nya maqasid ihram tidak kesampaian. Jika berwukuf, wukufnya juga sedemikian.

Jadi formaliti-formaliti yang praktikal dalam ibadah haji adalah satu bentuk latihan perkemahan atau madrasah. Maka sepanjang tempoh perkemahan inilah kita mempraktikkan teori-teori yang disampaikan ketika menghadiri kursus pra-haji, dan ajaran-ajaran ayat-ayat al-Quran yang kita baca sendiri. Inilah titik tolak perubahan sikap.

Tetapi jika prosesnya tidak berlaku misalnya dia membatalkan niatnya ke Makkah perubahan ini tidak diperolehi, pengeahuannya terawang-awang, tidak memberi kesan sewajarnya. Akibatnya, sikapnya masih serupa dengan keadaannya yang sedia ada.

Malangnya, hal-hal yang berkaitan semangat haji, matlamat haji tidak ditekankan dalam sesi kursus yang dikendalikan. Kursus berkenaan lebih menekankan perkara-perkara yang berkaitan dengan prosedur bagi mendapatkan haji yang sah dan mengelakkan perkara-perkara yang boleh membawa kepada denda dam
Roh ibadah haji:

Perubahan sikap berlaku hanya sekiranya jemaah haji berjaya menerapkan hukum-hakam ibadah haji menjadi bentuk etika dan peraturan, diikuti dengan niat untuk dijadikan syariat.  Kepergian ke tanah suci itu adalah langkah untuk menjalankan prosesnya. Prosesnya dilakukan melalui amali dan praktikal yang melibatkan anggota tubuh badan, yang dipandu oleh pengetahuannya. Jadi kejayaannya bergantung kepada sejauh mana dan sebanyak mana kefahamannya yang diperolehi ketika menjalani kursus sebelumnya iaitu kursus pra-haji.

Prosesnya termasuklah keupayaannya menterjemah hukum-hakam berkenaan. Ini bererti formaliti-formaliti, upacara-upacara dan hukum-hakamnya harus diterjemahkan menjadi etika dan peraturan hidupnya. Inilah yang kelak akan memandu jasmani kita bagaimana cara menjalani kehidupan seharian.
Aspek-aspek berkenaan saya namakan sebagai roh ibadah haji. Kalimah diterjemahkan adalah bermaksud bahawa hukum-hakam itu diqiyaskan bagi membentuk hukum atau peraturan cara hidup yang disebut way of life itu. Saya namakan roh kerana ianya boleh dihidupkan dalam bentuk aktiviti kehidupan jasmani, misalnya larangan bercakap kotor dan rafas ketika berihram itu boleh diterjemahkan menjadi peraturan jangan lagi bercakap kotor, jelek, lucah, malah termasuk percapakan yang mendatangkan rasa kurang senang.
Satu contoh lagi misalnya, cara pemakaian ikhram bagi wanita itu mengajar kita erti menutup aurat, jadi ini harus diteruskan dalam kehidupan seharian kita setelah bergelar hajah. Inilah dua contoh matlamat ibadah haji kita iaitu mendidik kita menjadi orang yang sentiasa beretika sejajar dengan semangat ibadah haji. Jika inilah pendidikan yang kita perolehi dari ibadah haji maka ibadah haji kita mabrur, dan akan mendapat rahmat Allah swt yang balasannya tidak lain iaitu syurga.
Justeru, untuk mengharap ibadah haji yang mabrur, kenalilah roh-roh ibadah itu dan hidupkanlah dalam kehidupan seharian kita, dalam bentuk sikap dan tingkah laku. Barulah konsep Rukun Islam bagi ibadah haji itu menjadi realiti. Realitinya adalah sebagai way of life. Dan yang lebih penting lagi ialah mengelakkan dakwaan haji sahaja belum cukup.


No comments: