15 May 2019


Islam distruktur kepada empat bidang iaitu Aqidah, ibadah, akhlak dan syariat.
Aqidah ialah ilmu yang berkaitan dengan ketuhanan, kerasulan, dan perkara-perkara sam’iyat (perkara-perkara ghaib yang didengar melalui al-Quran dan Hadis).
Aqidah adalah tunjang keimanan seseorang, meyakinkan kewujudan Allah swt lalu mentawhidkan-nya. Tawhid ialah keyakinan bahawa Allah swt adalah satu-satunya Tuhan, tiada yang lain lagi, Tuhan yang Maha Esa, Maha Kuasa dan Maha Sempurna, suci daripada sifat-sifat kekurangan atau kelemahan, suci daripada sifat-sifat makhluk.
Aqidah yang sempurna harus dibuktikan dengan menunai-kan ibadah. Ibadah yang diperintahkan hanya empat iaitu sembahyang, zakat, puasa dan haji. Dalam struktur agama (Islam) menghendaki ibadah yang empat ini pula haruslah yang melahirkan akhlak dan dihidupkan dalam bentuk syariat atau cara hidup. Justeru, tidak betullah sekiranya kita melihat ibadah itu adalah ibadah semata-mata, tanpa sebarang tujuan. Jadi inilah pola hidup Islam yang lengkap.
Justeru, seseorang yang mengaku dirinya Islam, atau setelah dia dengan kerelaan dirinya mengucap dua kalimah syahadah Laa Ilaaha Illa Allah, Muhammadur Rasulullah, harus mendokong keempat-empat bidang ini. Tidak ada gunanya menjadi Islam jika tidak bersedia membuka hati dan sanubari untuk menerima kesemuanya ini. Jadi, tidak bolehlah seseorang Islam itu hanya mengaku dirinya Islam, orang beriman, tetapi dibuktikan hanya dengan menunaikan ibadah-ibadah yang empat itu sahaja, tetapi meninggalkan bidang-bidang akhlak dan syariat. Atau yang sebaliknya, menjaga akhlak dan syariatnya tetapi meninggalkan ibadah-ibadah yang diwajibkan. Keempat-empatnya harus didokong dalam bentuknya yang saling berkait satu sama lain.
Seseorang yang telah mengaku dirinya Islam, atau seseorang yang dilahirkan oleh keluarga Islam, dididik oleh keluarga Islam dalam lingkungan sekitaran Islam selalunya tidak lari dari meng-amalkan ibadah-ibadah yang empat itu. Jadi, sengaja atau tidak ia mungkin boleh diterima sebagai seorang yang beriman kerana dia dilihat sebagai seorang yang mempunyai aqidah dan dibukti-kan dengan ibadah. Dengan demikian dua bidang yang pertama iaitu aqidah dan ibadah langsai.
Yang menjadi masalah ialah pendidikan akhlaknya, dan syariatnya. Adakah sembahyangnya dan ibadah-ibadah yang tiga lagi itu tadi berjaya membentuk akhlak dirinya, dan seterusnya dijadikan syariat hidupnya. Dengan kata lain adakah kehidupan-nya sejajar dengan akhlak dan syariat yang dilahirkan oleh sembahyangnya, zakatnya, puasanya dan hajinya. Inilah yang harus diperhatikan.

Sebuah hadis menyebut, Segala amal akan datang pada hari qiamat (untuk memberi syafaat kepada yang mengerjakannya), antaranya sembahyang datang lalu berkata, ‘Ya Tuhanku akulah sembahyang’; Allah Taala berfirman (kepadanya) ‘Tujuan engkau itu baik, (tetapi engkau sahaja belum cukup)’; dan (selepas itu) datang pula sedekah, puasa, dan amal-amal yang lain, semuanya itu Allah berfirman (kepada tiap-tiap satunya): Tujuan engkau itu baik, tetapi engkau sahaja belum cukup’; kemudian datang pula Islam lalu berkata, ‘Ya Tuhanku, Engkaulah Tuhan yang bernama As-salam, dan akulah Islam’; maka Allah Taala berfirman (kepadanya), ‘Tujuan engkau itu baik, pada hari ini dengan engkaulah aku menerima dan dengan engkaulah jua aku memberi balasan (Mustika Hadis Jilid I, 42).
Ringkasnya bermaksud bahawa sembahyang, sedekah, puasa dan amal-amal yang lain itu belum cukup untuk menolong pengamalnya mendapatkan syafaat syurga, kecuali Islamnya. Dengan kata lain Allah hanya menerima keIslaman dari amal-amal itu tadi, dan yang akan diberi balasan.
Apakah dia Islam?
Berbagai-bagai penjelasan tentang Islam yang biasa kita dengari. Ada yang menyebut bahawa Islam itu Rukun Islam, yang lain pula menyebut Islam itu agama, sebahagian lagi menyebut Islam itu cara hidup, Islam itu ideologi, ada pula yang menyebut Islam itu tunduk patuh, Islam itu syariat, dan bermacam-macam lagi. Namun kelihatannya, kesemua takrif ini ialah bahawa Islam adalah berkaitan dengan kehidupan.
Untuk menjalani kehidupan sewajarnya kita berpegang kepada cara hidup, mengikut ideologi. Ada ayat yang menyebut bahawa Islam adalah cara hidup. Justeru, saya simpulkannya dengan satu frasa kata bahawa Islam adalah kod kehidupan, yang merangkumi kesemua takrif itu.
Kod kehidupan Islam merupakan satu pakej yang di dalamnya mengandungi idea-idea apa yang boleh dan tidak boleh dilaku-kan, ada hal-hal ketuhanan, kerohanian dan keinsanan, ada manual kehidupan sehari-hari buat individu dan kelompoknya. Manual itu mengandungi cara (atau kaedah) melakukan atau melaksanakan sesuatu aktiviti kehidupan. Cara atau kaedah yang dikehendaki Islam adalah seperti yang ditunjukkan oleh Nabi saw. Inilah satu-satunya cara hidup yang ideal, yang sifatnya universal dan komprehensif.
Asasnya, Islam menghendaki umatnya bersikap soleh, jujur, bertimbangrasa, simpati, ikhsan, empati, toleransi, bantu-membantu, dan banyak lagi. Kesemuanya itu diungkapkan sebagai siddiq, amanah, tabligh dan fatonah, iaitu sifat-sifat Nabi saw.
Malangnya, seperti mana pengikut-pengikut agama lain, kelihatannya orang-orang Islam juga belum lagi memartabatkan semangat dan pengajaran Islam yang sebenarnya, tetapi mampu dan mempunyai masa pula mencampur-adukkan pengajaran Islam dengan unsur-unsur agama lain. Inilah yang kita lihat hari ini – mereka mempunyai dua personaliti.
Fenomena menunjukkan ada golongan yang taksub agama, tetapi pada masa yang sama meminggirkan apa yang dibolehkan dan yang tidak boleh dilakukan dalam kehidupan. Walhal kita semua sering mendengar kenyataan bahawa perbuatan mencampur aduk Islam dengan elemen-elemen lain itu adalah amalan kesyaitanan.
Akibatnya, sikap tamak haloba, merosak, dan mementing-kan diri menguasainya. Keimanannya bukan sahaja lemah malah tidak menentu. Fenomena menunjukkan rasuah, menyalahi undang-undang, aktiviti kurang moral merebak dalam negara-negara Islam.
Orang yang taksub agama kita dapati tidak mengira kesejukan air yang diguna untuk berwuduk, mereka mendirikan sembahyang berjemaah ke masjid walaupun menghadapi kesejukan udara atau iklim, tetapi malangnya hal bersugi tidak diambil peduli, bau mulut atau badan seperti tidak menjadi apa untuk berjemaah, dan bermacam-macam lagi. Ibadah-ibadah yang menjadi teras Islam itupun dilaksanakan setakat menjaga sah atau batalnya, tetapi kelibat semangat sembahyangnya tidak hadir dalam kepalanya apa lagi dalam kehidupannya.
Kesemuanya ini menjadi cara hidup diri individu dan komunitinya. Jika golongan elitnya gagal untuk bersikap waras dengan Islam akan menarik umat pimpinannya ke arah kurang islamik. Keseluruhan komuniti atau warga sesebuah negara akan menerima tempelak dan ejekan. Paling malang jika di akhirat kelak dipersoalkan kerana mencemari Islam.
Jika bidang-bidang yang empat itu didokong sepenuhnya, minda, pemikiran dan semangatnya akan melahirkan sikap-sikap yang menjurus kepada cara hidup Islam yang sempurna, yang hasilnya adalah kesejahteraan dan keharmonian buat manusia sejagat, tanpa mengira agama dan fahamannya, kerajaan Islam dapat ditegakkan di bumi ini.

Ibadah-ibadah sembahyang, zakat, puasa dan haji adalah ibadah yang diwajibkan kita menunaikannya. Kepentingannya sehingga ibadah-ibadah ini dijadikan Rukun Islam, dan sembah-yang adalah tiangnya.
Sebagai rukun, empat ibadah inilah yang Allah pertaruhkan bagi membentuk umat yang bakal membina kerajaan Islam di dunia ini. Sebagai khalifah, inilah tugas dan tanggungjawab yang harus digalas. Tetapi jika tanggapan terhadap ibadah-ibadah ini tidak menepati konsepnya bagaimana cita-cita Islam membina kerajaan Allah menjadi realitinya. Inilah yang dimaksudkan oleh hadis di atas tadi.
Tanggapan terhadap ibadah-ibadah yang empat itu harus diperbetul. Pertama, ianya harus dilihat bukan sekadar amalan ketuhanan tetapi adalah teras kepada kehidupan dan perjalanan hidup di dunia. Tahap peranannya sehingga setiap pengamalnya layak menjadi khalifah di bumi ini.
Jadi penulisan buku ini akan lebih menumpukan kepada peranan dan sumbangan ibadah-ibadah sembahyang, zakat, puasa dan haji sebagai Rukun Islam dalam konteksnya yang lebih tepat; persoalan fiqhnya hanya disentuh sekali lalu.
Rukun bererti asas atau tonggak, manakala Islam adalah cara hidup. Justeru mesej utama buku ini adalah mengajak pembaca melihat ciri-ciri keIslamannya.

No comments: