Sebuah
hadis menyebut, Segala amal akan datang pada hari qiamat (untuk memberi syafaat
kepada yang mengerjakannya), antaranya sembahyang datang lalu berkata, ‘Ya
Tuhanku akulah sembahyang’; Allah Taala berfirman (kepadanya) ‘Tujuan engkau
itu baik, (tetapi engkau sahaja belum cukup)’; dan (selepas itu) datang pula
sedekah, puasa, dan amal-amal yang lain, semuanya itu Allah berfirman (kepada
tiap-tiap satunya): Tujuan engkau itu baik, tetapi engkau sahaja belum cukup’;
kemudian datang pula Islam lalu berkata, ‘Ya Tuhanku, Engkaulah Tuhan yang
bernama As-salam, dan akulah Islam’; maka Allah Taala berfirman (kepadanya),
‘Tujuan engkau itu baik, pada hari ini dengan engkaulah aku menerima dan dengan
engkaulah jua aku memberi balasan (Mustika Hadis Jilid I,
42).
Ringkasnya bermaksud bahawa sembahyang, sedekah, puasa
dan amal-amal yang lain itu belum cukup
untuk menolong pengamalnya mendapatkan syafaat syurga, kecuali Islamnya. Dengan kata lain Allah hanya
menerima keIslaman dari amal-amal itu
tadi, dan yang akan diberi balasan.
Mengikut konteks hadis ini, selain sembahyang
tentunya puasa, zakat dan haji. Inilah empat ibadah yang Allah mewajibkan kita
menunaikannya. Ianya adalah Rukun Islam. Namun kewajipan menunaikannya tidak
sekadar untuk mengikut takrifnya semata-mata tetapi yang dapat menyumbang
kepada keIslamannya. Apakah Islam.
Berbagai-bagai penjelasan tentang Islam yang telah kita ketahui. Ada yang menyebut
bahawa Islam itu Rukun Islam, Islam itu agama, Islam itu cara hidup, Islam itu
ideologi, Islam itu tunduk patuh, Islam itu syariat, dan bermacam-macam lagi. Kelihatannya,
kesemua penjelasan itu adalah berkait dengan kehidupan, kehidupan dunia dan
akhirat. Saya simpulkannya sebagai Islam
adalah kod kehidupan.
Kod kehidupan Islam merupakan satu pakej yang di
dalamnya mengandungi idea-idea apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan, ada aspek-aspek
ketuhanan, kerohanian dan keinsanan, ada manual kehidupan sehari-hari, buat
individu dan kelompoknya. Manual itu adalah cara
(atau kaedah) melakukan atau melaksanakan sesuatu aktiviti dalam kehidupan.
Cara atau kaedah yang dikehendaki Islam adalah seperti yang ditunjukkan oleh
Nabi saw. Inilah satu-satunya cara hidup yang ideal, yang sifatnya universal
dan komprehensif.
Asasnya, Islam menghendaki umatnya bersikap
soleh, jujur, bertimbangrasa, simpati, ikhsan, empati, toleransi,
bantu-membantu, dan banyak lagi. Kesemuanya itu diungkapkan sebagai siddiq, amanah, tabligh dan fatonah.
Malangnya, seperti mana pengikut-pengikut agama
lain, kelihatannya orang-orang Islam juga belum lagi memartabatkan semangat dan
pengajaran Islam yang sebenarnya, tetapi mampu pula mencampur-adukkan
pengajaran Islam dengan unsur-unsur agama lain. Inilah yang kita lihat hari
ini: orang Islam mempunyai dua personaliti.
Sesetengah umat Islam memperlihatkan taksub
agama, tetapi pada masa yang sama menunjukkan pula sikap meminggirkan aspek-aspek
yang terangkum dalam Rukun Islam itu tadi. Malangnya mereka mampu pula
memasukkan unsur-unsur yang bukan dari sumber Islam. Walhal banyak kali disebut
bahawa perbuatan mencampur adukkan Islam dengan elemen-elemen lain itu adalah
amalan kesyaitanan yang merasuknya. Akibatnya,
sikap tamak haloba, merosak, dan mementingkan diri menguasainya. Keimanannya
bukan sahaja lemah malah tidak menentu. Fenomena menunjukkan bahawa akhlaknya
tidak serasi dengan semangat Islam.
Orang yang taksub agama tidak mengira kesejukan air untuk
berwuduk, sembahyang berjemaah ke masjid walaupun menghadapi kesejukan udara
atau iklim, tetapi malangnya hal bersugi seperti tidak diambil peduli, tidak
ambil peduli tentang bau mulut atau badan untuk berjemaah, dan bermacam-macam
lagi. Untuk ibadah-ibadah yang menjadi teras Islam itupun dilaksanakan setakat
menjaga sah batalnya, tetapi kelibat semangatnya tidak hadir dalam
kehidupannya. Kesemuanya ini menjadi cara hidup diri individu dan komunitinya.
Sebabnya, jika golongan elitnya gagal untuk bersikap waras dengan Islam akan
menarik umat pimpinannya ke arah situasi kurang sihat. Keseluruhan komuniti
atau warga sesebuah negara akan menerima tempelak dan ejekan. Paling malang
jika dipersoalkan di hari akhirat kerana mencemari Islam.
Jika cara hidup Islam didokong sepenuhnya, minda,
pemikiran dan semangatnya akan melahirkan sikap-sikap yang menjurus kepada
konsep cara hidup Islam seperti yang diaturkan oleh Allah dan Rasul-Nya, yang
iklimnya adalah kesejahteraan dan keharmonian buat manusia sejagat, tanpa mengira
agama dan fahamannya. Cara hidup selainnya selalunya menimbulkan perselisihan
pendapat yang akibatnya ialah perpecahan.
Ibadah-ibadah sembahyang, zakat, puasa dan haji
adalah ibadah yang diwajibkan kita menunaikannya. Kewajiban bererti mesti
ditunaikan. Sebabnya, melalui empat ibadah inilah yang Allah pertaruhkan bagi
membentuk umat yang bakal membina kerajaan Islam di dunia ini, yang penduduknya
terdiri daripada manusia-manusia yang bersifat kekhalifahan. Sebagai umat Islam,
inilah tugas dan tanggungjawab yang harus digalas. Syaratnya visi dan misinya
direalisasikan. Tetapi jika tanggapan terhadap ibadah-ibadah ini tidak menepati
konsepnya bagaimana cita-cita Islam hendak membina kerajaan Allah menjadi
realitinya. Inilah yang dimaksudkan oleh
hadis di atas ini iaitu Tujuan
engkau itu baik, (tetapi engkau sahaja belum cukup). dan sebagainya. Bagi
menjamin cita-cita Islam itu tadi tercapai maka Allah menjadikan ibadah-ibadah yang
empat itu Rukun Islam, atau asas dan tonggak Islam.
Bagi merealisasikan cita-cita Islam itu tadi, tanggapan terhadap ibadah-ibadah yang empat itu harus
diperbetul. Pertama, ianya harus dilihat bukan sekadar amalan ketuhanan iaitu
bagi membuktikan keimanan tetapi adalah asas dan tonggak kehidupan dan perjalanan
hidup di dunia. Kedua, setiap ibadah ada tujuan atau alasannya. Justeru setiap
orang yang mengamalkan sembahyang, zakat, puasa dan haji harus meyingkap tabir
keempat-empat ibadah itu bagi mencari tujuannya.
Para ulama’ menstrukturkan Islam kepada empat bidang
iaitu aqidah, ibadah, akhlak dan syariat, dalam bentuknya aqidah yang dibuktikan dengan ibadah, ibadah yang melahirkan akhlak,
dan akhlak yang dijadikan syariat
(cara hidup). Jadi tanggapan yang betul terhadap ibadah-ibadah yang empat itu
ialah bertujuan untuk melahirkan akhlak, yang seterusnya akhlak dijadikan cara
hidup. Jadi ibadah-ibadah sembahyang, zakat, puasa dan haji itu harus
diterjemahkan menjadi akhlak.
No comments:
Post a Comment