17 January 2016

Agama dan Kehidupan



Sama ada kita seorang Islam atau bukan Islam, jika ingin untuk memahami Islam dan asas-asas pembinaannya, ianya memerlukan anda untuk memikirkan realitinya secara keseluruhan, dan bertanya, soalan-soalan itu seperti: Siapakah saya? Dari manakah saya datang? Apa yang saya lakukan di sini? Ke manakah kita semua pergi dari sini? 
Ia memerlukan anda berfikir tentang diri anda dan lingkungan kehidupan anda - waktu santai anda, hubungan keluarga, kejiranan anda, masyarakat, alam sekitar; dan dengan orang-orang yang mempunyai perbezaan worldview, serta idea-idea yang global, dan seterusnya.
Manusia adalah sebaik-baik makhluk. Kerana itu setiap orang harus menjaganya supaya keadaan semulajadi manusia itu akan terus kekal, dalam keadaan baik dan harmoni. Untuk itu kita harus menggunakan satu cara hidup yang natural. Bagaimanakah cara hidup yang natural? Siapakah yang layak menentukan jalan hidup yang natural? 
Inilah antara soalan-soalan yang akan timbul bagi menentukan jalan hidup kita. Pandangan kita tentang dunia ini dan kehidupan akan menentukan jalan hidup kita. Ini yang menjadi pegangan atau prinsip hidup kita. Tetapi apakah pandangan yang kita pegang itu adalah yang terbaik. Apakah sumber kepada pandangan kita itu? Dan apakah pula kriteria yang menjadi landasan kepada pegangan kita itu?
Kita lihat sekeliling kita. Di negara kita, Malaysia, ini terdiri daripada pelbagai bangsa keturunan. Masing-masing mempunyai pegangan yang tersendiri. Itulah pegangan hidup mereka. Jadi perjalanan hidup mereka adalah berpandukan kepada pegangan tersebut. Keturunan Melayu kebanyakannya menganut Islam sebagai landasan perjalanan hidupnya; orang-orang Cina pula kebanyakannya berpegang kepada agama Budha; orang India pula berpegang kepada agama Hindu; dan lain-lain lagi. Inilah agama bagi tiga rumpun keturunan bangsa di Malaysia ini. Apakah mereka benar-benar menjadikan agama-agama yang tiga tadi sebagai pegangan hidup? Atau sekadar agama. Dengan kata lain, umpamanya keturunan Melayu yang kebanyakannya beragama Islam itu, adakah menjadikan Islam sebagai jalan hidupnya, atau sekadar agama? Keturuna Cina beragama Budha, adakah Budha itu yang menentukan jalan hidupnya? Begitu juga halnya dengan orang-orang yang keturunan India.
Ada satu lagi agama iaitu Kristian. Inilah agama yang menjadi anutan pelbagai keturunan. Cina, India, Melayu, Iban, Kadazan dan lain-lain ramai yang menganut agama Kristian. Tidak dinafikan ada juga agama-agama lain yang menjadi anutan kelompok-kelompok kecil masyarakat di Malaysia. Bagaimana pula jika kita tinjau ke dalam kawasan geografi yang lebih luas lagi, masyarakat dunia ini. Lebih banyak lagi agama yang boleh dimasukkan ke dalam senarai di atas tadi.
Kita bercerita tentang agama. Sekali lagi dipersoal di sini, adakah agama itu adalah pegangan hidup, atau sekadar agama? Jika agama itu pegangan hidup, adakah benar-benar Melayu menjalani hidup mengikut yang digariskan oleh Islam; Cina menjalani hidup mengikut agama Budha, dan hidup orang-orang India pula dicorakkan oleh agama Hindu? Sebagai contoh. Ini adalah persoalan tentang pegangan atau prinsip. Atau apakah ada yang berpandangan bahawa agama adalah agama, jalan hidup adalah suatu yang lain? Kita tangguhkan dahulu persoalan ini. 
Tidak dinafikan juga sesetengah manusia tidak berpegang kepada mana-mana agama. Baginya agama itu sebagai khayalan, ritual. Agama tidak ada kaitan dengan kehidupan. Bagi golongan ini, agama adalah agama, dan kehidupan adalah suatu yang lain. Sebahagian mereka ini bepegang kepada fahaman Atheis, dan lain-lain. Atheis bukan agama, tetapi satu fahaman. Namun tidak dapat lari dari persoalan di atas tadi, iaitu adakah Atheist itu menjadi pegangan yang menentukan perjalanan hidup mereka?
Persoalan-persoalan di atas ini tadi bertujuan untuk berfikir tentang kehidupan. Yang manakah pegangan yang boleh kita jadikan panduan menjalani hidup ini. Atau apakah yang menentukan corak kehidupan kita. Apakah peraturan hidup yang harus menjadi pegangan kita. Atau adakah semua agama yang tersebut di atas tadi sudah sesuai untuk dijadikan panduan hidup?
Saya seorang Islam, saya melihat Islam itu adalah jalan hidup atau way of life iaitu jalan hidup untuk semua semua ciptaan, khususnya manusia. Sejauh mana saya mengamalkan cara hidup Islam memang masih menjadi persoalan, tetapi saya cuba sedaraya upaya mengikutinya. Cara hidup Islam saya lihat adalah yang semulajadi, kerana berlandaskan nilai-nilai semulajadi. Justeru saya cuba memenuhi keperluan dan kewajipan diri yang semulajadi.
Siapa yang hendak mengenali Islam hendaklah dengan kembali kepada kecenderungan semulajadi. Untuk memahami Islam dengan betul adalah dengan memahami pengertian dan tujuan hidup yang sebenar.
Dalam kontek kehidupan yang terdiri daripada pelbagai bangsa ini adakah agama-agama tadi sesuai untuk semua orang? Inilah yang hendak kita tinjau, yang mana satukah antara agama di atas tadi, atau ada kefahaman-kefahaman yang boleh dijadikan pegangan untuk semua bangsa dan keturunan?
Tentu semua setuju jika dikatakan bahawa untuk menjalani kehidupan dalam sebuah masyarakat harus ada satu pegangan atau peraturan yang sesuai dengan setiap ahli dalam masyarakat itu. Dalam konteks negara Malaysia, pegangan itu mestilah yang serasi dan diterima oleh setiap kelompok keturunan bangsa - Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, dan lain-lain. Dalam konteks manusia dalam sebuah masyarakat yang global pula, perlu berpegang kepada satu peraturan yang nutral untuk semua kelompok bangsa semua negara.
Peraturan yang nutral itu pastinya adalah yang natural. Tetapi apakah ciri-ciri natural yang hendak dibukukan? Siapakah pula yang layak untuk menentukan sesuatu peraturan itu adalah natural. Natural dalam kontek apa, atau bangsa apa? Jika ini yang terjadi, maka masing-masing kelompok bangsa atau negara tertentu akan menyatakan bahawa mereka mempunyai yang terbaik. Bagi kelompok agamawan, akan mengemukan agama-agama tertentu sebagai yang terbaik. Agama Budah adalah yang terbaik, agama Hindu pula akan mendakwa sebagai yang terbaik, begitu juga Islam mahupun agama-agama lain. Bagaimana pula halnya bagi kalangan bangsa-bangsa atau keturunan yang tidak percaya kepada agama seperti golongan Atheist tadi? 
Inilah persoalan pokok yang harus diselesaikan. Apakah fakta-fakta yang akan menentukan prinsip atau pegangan hidup yang natural, serasi untuk semua manusia, walau di manapun mereka berada, dan apakah budaya hidup mereka. 
Apabila menyebut natural ianya mestilah yang serasi dengan kejadian manusia, semua manusia sama ada yang sedang tinggal di bandar atau di kampung atau di pedalaman, malah di mana sahaja dan negara mana sekalipun. Hidup yang natural adalah cara yang sesuai dengan kejadian manusia, memenuhi keperluan hidup individu dan masyarakat keseluruhannya. Kesesuaian itu pula adalah yang bertujuan untuk mencapai pengertian dan tujuan hidup yang sebenar, iaitu mengekalkan keadaan semulajadi atau nature kejadian manusia itu.
Apakah bentuknya kejadian manusia yang boleh disebut natural! Saya tangguhkan dahulu persoalan ini. Buat sementara lihatlah sendiri adakah cara hidup yang sedang anda praktikkan sekian lama itu adalah natural? 

No comments: