Sebagai seorang yang mukallaf kita wajib
bekerja untuk menyediakan keperluan-keperluan untuk diri sendiri dan
orang-orang yang secara naturalnya bergantung hidup kepada kita seperti ibu
bapa kita jika mereka sudah tua, atau anak-anak kita yang masih belum dewasa.
Adalah suatu hakikat bahawa hampir semua
aspek untuk membangun kehidupan adalah berkaitan dengan orang lain. Untuk
mengekalkan struktur sosial yang natural dan stabil, semua urusan termasuk
urusan perniagaan dan komersil, mesti berdasarkan sifat kejujuran, keadilan,
tanggungjawab, dan persaudaraan secara natural, sebaliknya sebarang urusan yang
bercirikan kecurangan, penipuan, ketidakadilan, sama ada pada tahap yang kecil
dan jangka pendek, atau kes putar-belit yang licik dan yang membawa untung
berlebihan, akan memusnahkan sifat semulajadi individu dan memecah-belahkan ikatan
persaudaraan dan perpaduan masyarakat.
Islam menghendaki umatnya bekerja kerana
ianya adalah satu kewajipan seperti kewajipan-kewajipan lain; kemalasan,
mengemis atau mengharap pemberian dari sumber negeri atau dari badan-badan amal
semuanya memusnahkan maruah diri seseorang, malah mungkin kebebasan dirinya
sekali. Ini tidak bermakna bahawa dalam masa kesukaran yang tulen kita tidak boleh
mendapatkan bantuan dan sokongan daripada orang lain. Namun bekerja biarlah
secara yang halal, kerana itu Islam melihat bahawa nilai-nilai etika diperlukan
untuk menyelia pemerolehan harta dan perniagaan, ini sebabnya mengapa
Al-Ghazali, cendekiawan Islam yang terkenal, mencadangkan agar seseorang Muslim
yang berhasrat menjalankan perniagaan sebagai profesyen hendaklah terlebih
dahulu mempunyai kefahaman yang tepat dan menyeluruh kaedah-kaedah urus niaga
Islam.
Perkara yang sangat penting dalam mempertimbangkan
pemerolehan harta dan yang wajib diutamakan ialah soal halal-haramnya harta
yang kita perolehi itu. Banyak faktor yang menentukannya, dan faktor-faktor ini
juga yang harus dijadikan sebagai kriteria dalam
pemerolehan harta. Hal ini diutarakan kerana perolehan harta dari sumber makan gaji pun belum tentu halal sepenuhnya.
Pertama sekali, sebagai seorang Muslim
harus sentiasa ingat bahawa manusia dan segala jagatraya ini dijadikan oleh
Allah swt, jadi manusia dan segala apa yang ada di jagatraya termasuk dunia ini
adalah kepunyaan-Nya, jadi segala aktiviti termasuk dalam hal mencari harta,
haruslah mengikut jalan yang diredai-Nya. Apakah ciri-cirinya?
Segala aktiviti kehidupan haruslah yang serasi
dengan maksud ayat 6 surah al-Fatihah yang bremaksud mengikut jalan yang lurus, bukan jalan
orang-orang yang dimurkai dan yang sesat,
yang disebut oleh ayat 7, pendek kata harus mengikut syariat Islam.
Sebagai manusia Islam, yang sangat penting
dan perlu diutamakan ialah ciri pengabdian kepada Allah swt, Yang Maha Esa,
Maha Berkuasa dan Maha Sempurna segala sifat-sifat-Nya, maka dalam semua bentuk
aktiviti, termasuk mencari harta, harus jangan melupakan-Nya, lebih-lebih lagi
kerana kita amat memerlukannya seperti yang disebut oleh ayat 5 surah
al-Fatihah yang bermaksud dan hanya
kepada-Mu memohon pertolongan.
Islam adalah perkataan terbitan dari
perkataan salam, yang ertinya sejahtera. Islam juga sering disebut sebagai ad-deen atau way of life, maka jadilah Islam
yang membawa erti jalan hidup yang
sejahtera, justeru dalam aktiviti mencari harta harus mempertimbangkan soal
kesejahteraan, iaitu kesejahteraan manusia dan alam ini keseluruhannya.
Manusia adalah makhluk sosial, jadi secara
semuajadinya memerlukan hidup bermasyarakat, saling bergantung antara satu sama
lain, dengan kata lain, manusia tidak boleh hidup bersendirian. Pernah
diriwayatkan tentang seorang hamba Allah yang terpikat kepada sebuah lembah
hijau yang aman tenteram, yang membuatkannya bercita-cita untuk tinggal di
situ, agar dapat beruzlah menghabiskan
masanya bersama alam semulajadi dan mengabdikan diri kepada Tuhannya, tidak
menyakiti orang lain dan tidak juga disakiti; tetapi apabila diajukan
cita-citanya kepada Nabi saw, baginda melarangnya.
Walaupun manusia memang memerlukan situasi
yang aman tenteram untuk beribadah dan bermuhasabah diri, memerlukan situasi
sunyi, tetapi hakikatnya tidak boleh lari dari kehidupan bersosial. Dalam
kehidupan bersosial, Islam menghendaki kita agar saling menjaga kebajikan
sesama sendiri, bertolak ansur, bagi mengekalkan kehidupan yang sejahtera yang telah disebut tadi. Justeru,
dalam menentukan kriteria mencari harta, faktor ini harus diambil kira, iaitu
iklim hubungan antara sesama manusia; bagi menjamin hubungan yang sejahtera
maka harus dielakkan perkara-perkara yang boleh merosakkan hubungan tersebut,
jangan menimbulkan ketegangan dan tidak puas hati dalam hidup bermasyarakat. Faktor ini menyangkut
pula kepada kaedah kita menggunakan harta perolehan itu, iaitu mesti yang ke
arah kesejahteraan dan keharmonian hubungan sesama manusia dalam sesebuah
masyarakat.
Untuk menjamin keharmonian hidup
bermasyarakat, harus sentiasa menjamin jangan sampai terjadi unsur-unsur yang
boleh merosakkannya seperti keganasan, penipuan, putar belit, waima unsur-unsur
yang mendorong kepada perkara tersebut seperti arak, judi dan sebagainya.
Faktor-faktor di atas ini mungkin boleh
dirumuskan seperti berikut, sebagai kriteria mencari harta kekayaan:
1. niat kerana Allah
2. produk yang halal
3. kaedah yang dibenarkan
4. natijahnya betul
5. tidak meninggalkan kewajipan
yang asas
(kita telah bincangkan dalam bab yang
lalu)
Justeru, ini harus dijadikan asas bagi
menentukan halal-haram dalam segala aspek kehidupan, termasuk dalam hal mencari
harta dan kekayaan; jika kelima-lima faktor ini dipenuhi akan membawa kepada
perolehan harta yang halal, menjamin kesejahteraan umah, dan yang paling
penting ialah jaminan kehidupan di akhirat itu. Kepercayaan kepada Allah dengan
segala sifat-sifat yang Maka Kuasa, Maha Mengetahui, menyebabkan kita rasa
tidak pernah terlepas dari dimonitor, jadi dalam menjalankan aktiviti mencari
harta itu kita tidak akan berani melakukan penipuan, putar belit, mementingkan
diri, keganasan dan sebagainya.
Harta perolehan yang dikumpul tidak
mengikut garis panduan ini adalah haram kerana boleh mengancam kesejahteraan
umah, membawa keburukan (mafsadah)
dan kerosakan. Misalnya, kaedah menggunakan racun yang tidak teratur boleh
menyebabkan tanaman orang lain rosak, atau menjejaskan perolehan ternakan ikan
orang berhampirannya.
Jika kita lihat kembali ciri-ciri asas
yang telah disebut di atas tadi, kita akan dapati bahawa kelima-lima syarat itu
memang menjurus kepada kesejahteraan umah,
menjaga kepentingan individu dan hidupnya dalam masyarakat. Jadi, dapatlah kita
lihat bahawa Islam amat mementingkan kesejahteraan umat dalam semua aktiviti
kehidupan, termasuk dalam kontek memperoleh harta, dengan kata lain,
pemerolehan harta, sebagai sebahagian daripada kehidupan, harus yang memenuhi
kelima-lima syarat itu, agar harta yang kita cari adalah halal dalam ertikata
yang sebenarnya.
Jadi dapatlah kita lihat bahawa dalam perniagaan soal halal-haram bukan tertakluk kepada produk yang kita jugal semata-mata. Nasi lemak misalnya adalah produk yang halal jika sumbernya halal. Tetapi kaedah menjualnya jika bertentangan dengan kriteria yang ke-3 itu maka perolehannya boleh dipersoal. Misalnya jika di satu-satu tempat itu sudah ada orang menjual nasi lemak tetapi kita menjual di tempat yang sama maka ini boleh menjadi sebab dipersoal halal-haramnya jika mencetus rasa kurang senang.
Jadi dapatlah kita lihat bahawa dalam perniagaan soal halal-haram bukan tertakluk kepada produk yang kita jugal semata-mata. Nasi lemak misalnya adalah produk yang halal jika sumbernya halal. Tetapi kaedah menjualnya jika bertentangan dengan kriteria yang ke-3 itu maka perolehannya boleh dipersoal. Misalnya jika di satu-satu tempat itu sudah ada orang menjual nasi lemak tetapi kita menjual di tempat yang sama maka ini boleh menjadi sebab dipersoal halal-haramnya jika mencetus rasa kurang senang.
No comments:
Post a Comment