Diriwayatkan ada seorang lelaki di Madinah menemui Nabi untuk meminta sedekah, Nabi tidak terus menolak walaupun baginda tidak suka menggalakkan orang itu meminta sedekah, lalu bertanya, ‘Apakah anda tidak mempunyai apa-apa di rumah?’
‘Ada’, kata lelaki itu. ‘Sehelai selimut pelana yang kadang-kadang
kami pakai, dan kadang-kadang kami hampar atas lantai, dan ada kalanya kami
gunakan sebagai bekas air minum’.
Nabi menyuruh hamba Allah itu mengambilnya,
lalu menjualnya kepada salah seorang sahabat dengan harga dua dirham, dan
diserahkan kepada lelaki itu, sambil berkata, ‘Dengan satu dirham, beli makanan untuk keluargamu dan dengan satu
dirham lagi untuk membeli kapak dan bawa kepadaku’ .
Lelaki itu kembali dengan kapak, lalu Nabi
menggunakan kapak itu untuk membelah sebatang kayu, kemudian mengarahkan, ‘Pergi dan kumpul kayu api, dan aku tidak
mahu melihatmu selama lima
belas hari’.
Lelaki itu akur dan selepas dua minggu dia
telah mendapat keuntungan sebanyak sepuluh dirham. Dia mengadukan halnya kepada
Nabi saw bahawa sebahagiannya digunakan untuk membeli makanan dan sebahagian
lagi untuk pakaian. Nabi gembira dan berkata, ‘Ini adalah lebih baik daripada mendapat contengan pada muka kita pada
hari kebangkitan’.
Kisah ini menekankan bahawa sebagai Muslim
mukallaf, yang khususnya apabila mempunyai keluarga, kita mempunyai kewajipan
untuk bekerja. Kita harus menggunakan inisiatif dan apa jua sumber yang kita
ada untuk menyara hidup; kegagalan berbuat demikian, bererti menconteng arang
ke muka kita sendiri, yang bermaksud melakukan kehinaan terhadap diri dan
keluarga, kerana sikapnya yang bergantung hidup kepada orang lain.
Cerita ini juga menunjukkan kaedah yang
paling berkesan untuk menawarkan bantuan dan sokongan: jika kita memberikan bantuan
kepada orang-orang yang berupaya, lengkap anggota dan mempunyai sumber, walau kecil
sekalipun, kita tidak sepatutnya menghulur bantuan kewangan atau kebendaan kepada
orang itu. Kita boleh membantu untuk memenuhi keperluan yang segera tetapi harus
yang one-off, sebagai remedi jangka
pendek, namun bantuan yang berterusan itu sebenarnya menggalakkan sikap
kebergantungan dan hilang harga diri orang berkenaan.
Dengan pendekatan yang mudah, praktikal
dan berpandangan jauh seperti yang telah ditunjukkan oleh Nabi saw itu adalah
contoh bagaimana caranya membantu orang-orang yang meminta-minta, dengan cara
mendorong mereka untuk mencari jalan penyelesaian jangka panjang bagi memenuhi
keperluan asas mereka; Nabi pernah menegaskan, ‘Sedekah tidak halal untuk orang kaya atau yang lengkap anggota badan’.
No comments:
Post a Comment